Thursday, May 26, 2011

Semangat Berkobar, Hajat Menderma Darah Tak Sampai..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sempena sambutan hari guru, sudah menjadi kelaziman PPD Manjung menganjurkan program Derma Darah  yang disertai oleh guru-guru di daerah ini. Awal pagi lagi saya sudah bersedia. Selepas memberi kerja kepada pelajar, saya bertekad untuk menderma darah di PPD Manjung secepat mungkin. Tujuannya mudah. Saya boleh kembali ke sekolah dan mengajar seperti biasa. Perancangannya begitu, tapi  saya tidak mampu melawan perancangan Allah.

Segalanya bagai sudah dalam jadual. Tiba awal di Dewan Bestari, PPD Manjung. Ketika itu, unit Derma Darah Hospital Seri Manjung pun belum tiba. Dewan masih kosong. Petugas pun baru mula membelek-belek borang pendaftaran. Wah, semangat sungguh saya.

Selepas beberapa ketika, van HSM dan pasukan petugas derma darah pun tiba. Seorang pegawai perubatan yang kacak begitu mesra melayani karenah guru-guru yang agak 'cuak' dengan darah. Bermula dengan pemeriksaan jenis darah dan kepekatan, kami berbaris menunggu giliran. En. Suhaimi Ramli, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Manjung turut memberi sokongan.
"Saya dah tak boleh menderma,.. Banyak sangat sakitnya." katanya sambil disambut ketawa para guru. 

Menurut seorang pembantu perubatan, kepekatan darah yang sesuai untuk menderma adalah pada ukuran 12.5 hingga 18. Bacaan kepekatan darah saya 15.5, manakala kandungan gula hanya 7.7. 

"Darah cikgu jenis O," katanya sambil mengarahkan saya ke kaunter berikutnya. 

Di kaunter tersebut, saya dilayani seorang doktor Cina yang petah berbicara. Dia mengukur tahap tekanan darah. Malang sekali, tekanan darah saya hari ini tidak memenuhi syarat pendermaan darah. Bacaan tekanan darah saya 119/112. Ia agak tinggi dan membahayakan jika saya teruskan niat menderma darah.

Saya diminta rehat seketika.

"Tenang, fikirkan yang indah-indah.." Katanya sambil tersenyum.

Hati saya sudah berkata-kata, nampaknya saya masih gagal menderma, seperti tahun lalu. 

Lebih nyata lagi, saya mungkin sudah mendapat pusaka daripada arwah ayah, iaitu tekanan darah tinggi. 
Saya masih berharap ia tidak menjadi kenyataan.

Wednesday, May 11, 2011

Hari terakhir mak (Dedikasi untuk Hari Ibu)

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya masih ingat menjelang hari terakhir jasad mak bercerai daripada nyawanya. Perit untuk kami menerima hakikat mak menghidap kanser hempedu. Dalam masa yang sama, ayah diserang angin ahmar, menyebabkan dia tidak mampu berjalan. Kedua-dua orang yang kami sayang diuji hampir serentak waktunya. Mujur adik saya Wa belum berkahwin ketika itu. dapatlah dia memberi perhatian lebih kepada penjagaan mak.
Sabtu 22 Oktober 2005, penyakit mak semakin parah. Batuk mak mula mengeluarkan darah berketul-ketul. Enam bulan sebelumnya, Doktor pakar di Hospital Tuanku Bainun mengesahkan mak menghidap kanser hempedu tahap 3.
"Mak encik ni, ada enam bulan sahaja. Tapi kalau buat pembedahan, kita boleh jangka 50-50, sebab faktor umur. Lagipun keadaan badannya agak lemah." katanya selepas membuat pemeriksaan khas untuk mak.
"Prepare for the worst" kata-kata akhir doktor itu menyebabkan kami terkesima. Kami pasrah dengan takdir untuk mak.
Saya dan Yong bertekad memberitahu adik beradik sahaja. Ayah pun kami tak maklumkan. Lagipun, ayah masih lemah selepas serangan strok, kami bimbang ayah terkejut pula.
Selepas pengesahan tersebut, kami bawa mak ke sebuah hospital pakar swasta berhampiran Tambun. Kami cuba dapatkan pandangan alternatif. Nasihat pakar tersebut tidak ada bezanya dengan pendapat pertama. Akhirnya kami bawa mak pulang. Mak sendiri tak mahu dirawat lama-lama di hospital.
"Badan mak sejuk. Mak nak balik ke rumah," rintih mak semasa kami memujuknya lebih lama di hospital.
Dalam tempoh enam bulan, kami bawa mak ke pusat rawatan tradisional dan alternatif lain, tapi keadaan mak semakin berat. Sel-sel barah semakin merebak sehingga ke pangkal hati.
Sehari sebelum mak pergi, mak teringin benar berjumpa adik saya yang tinggal di Batu Pahat, Johor.
"Mana Oun, .. dia dah tiba?" dia bertanya lemah.
Oun adik ke-4 saya sudah berumahtangga dan bekerja di TM Batu Pahat. Dialah yang jarang kami jumpa sebab tugas dan jarak membataskan kepulangannya.
"Oun dalam perjalanan, mak. Nanti petang dia tiba." Saya pujuk mak.
Petang Sabtu, keadaan mak semakin berat. Darah keluar bersama batuk yang berpanjangan. Lebih memilukan, darah beku keluar bersama batuk mak. Wajah mak juga semakin pucat. Kami bersedia menghadapi apa juga yang bakal berlaku. Mungkin derita mak bakal berakhir. Tapi, berakhirnya penderitaan mak bermakna kami akan kehilangannya.
Kepada ayah, kami jelaskan juga tentang situasi mak. Ayah banyak termenung. Mungkin mengenangkan suka duka hidup dengan mak selama hampir 40 tahun.Untuk membantu mak, ayah tak berdaya. Dia sendiri terpaksa dipapah untuk ke sana ke mari. Menolak kerusi roda dengan tangan pun ayah tak mampu.
Sebelum Asar, adik saya Oun akhirnya tiba di rumah setelah menempuh perjalanan lebih 600km. Sebenarnya sepanjang tempoh mak sakit, Oun kerap pulang sehingga cutinya habis. Kali ini, dia pulang sendirian sebab dia menjangka pulang lagi bersama keluarga pada minggu berikutnya.
Anehnya, sebaik Oun tiba, mak bagaikan mendapat semangat baru. Lebih kurang 30 minit mak berbual dengan Oun. Oun picit-picit badan mak. Oun tadah muntah mak. Kami berbual seolah-olah mak hanya demam biasa. Menjelang maghrib, mak koma tidak sedarkan diri. Itulah detik akhir kami berbual dengan mak. Hakikatnya mak berada dalam tenpoh akhir hidupnya.
Selepas azan subuh pagi Ahad 23 Oktober 2005, mak pergi menghadap Penciptanya dengan tenang. Hajat mak untuk bertemu semua anaknya tercapai juga.
Selepas mak pergi, keadaan ayah semakin buruk. Hajat ayah untuk 'bertemu' mak dimakbulkan selepas hampir dua tahun. Pada 17 November 2007, ayah kembali ke rahmatullah. Kami kebumikan jasad ayah seperti mana yang diwasiatkannya, iaitu bersebelahan pusara isteri tercintanya.
 
Ya Allah, terima kasih dan kami bersyukur dikurniakan ibu bernama AMINAH BINTI MD HUSIN. Moga Allah rahmati roh mak dan ayah ALI HASSAN BIN AHMAD dalam kumpulan mukmin terpilih.

Tuesday, May 3, 2011

Tindakan Keluar Daripada Islam (Murtad)

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Keluar daripada pegangan agama Islam, atau lebih tepat lagi MURTAD seakan tidak berkesudahan. Terbaru, di Kota Bharu, Kelantan seorang penuntut universiti yang berhasrat keluar Islam, akhirnya menukar pendiriannya dan kekal Islam ketika dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.

Utusan Malaysia memetik pemuda itu sebagai Mohamad Fariz Ilham Mohd. Zulkifli, 19, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, telah menukar hasratnya itu ketika dihadapkan di hadapan Hakim Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty.

Dia turut mengucap dua kalimah syahadah, beristighfar dan membaca surah al-Fatihah setelah diminta berbuat demikian oleh Abu Bakar.

Syukurlah dia masih lagi mempunyai iman untuk kekal dalam Islam. Bagaimana dengan Lina Joy atau Aishah Felecia Bukhari? Masih adakah sinar untuk mereka kembali kepada Islam. Marilah kita berdoa agar usaha memurtadkan orang Islam yang digerakkan oleh badan-bvadan tertentu ini gagal.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...