Wednesday, September 30, 2009

Tsunami Lagi!

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Seramai 34 orang dilaporkan terbunuh selepas gempa bumi kuat yang membawa tsunami melanda Pasifik Selatan, khususnya di Samoa dan Samoa Amerika.

Menurut Palang Merah dan laporan media setakat pagi ini, mangsa yang maut ialah di Samoa dan Samoa Amerika dalam kejadian jam 6.48 pagi waktu tempatan (1748 GMT).

Menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat, gempa berukuran 8.0 magnitud itu cukup kuat untuk menyebabkan tsunami di dua negara kepulauan Pasifik Selatan itu.

Moga-moga negara kita terhindar dari bencana itu. Ingatlah, Allah berkuasa membolak-balikkan segala isi bumi jika Dia menghendakinya.

Tuesday, September 29, 2009

Kecelaruan Nilai Generasi Muda Kita

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Alif Aziz, seorang artis yang fotonya tersebar di internet memohon maaf daripada masyarakat setelah keluarganya menanggung malu akibat perbuatannya.

Syarifah Sofea, peserta Gadis Melayu musim ke-2, mengakui fotonya bercium dengan rakan sejenis, tetapi membela diri dengan menyatakan ia foto dua tahun lalu.

Itu adalah contoh kecelaruan nilai generasi mudah Melayu beragama Islam tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan. Hari ini, generasi muda kita seolah-olah gagal memahami mana yang baik, mana yang buruk. Semuanya ditelan atas nama pemodenan. Nilai tradisi dipinggirkan kerana dianggap tidak relevan dengan zaman remaja mereka.

Jika anda peminat SINARFM, anda pasti mendengar satu iklan tentang kecelaruan nilai yang dialami seorang budak. Pada akhir iklan tersebut, budak itu bertanya, "Saya tak tahu, cikgu saya salahkah, atau masyarakat yang betul?"

Iklan tersebut menggambarkan bahawa generasi muda kita dahagakan tunjuk ajar yang positif, tetapi masyarakat, ibu bapa dan keseluruhan entiti kita tidak membantu mereka.

Pagi tadi, seorang pelajar lelaki teragak-agak menjawab apabila diminta memberi contoh nilai yang baik. Dia ditahan kerana ponteng kelas intensif PMR semalam.

Seorang lagi pelajar boleh menjawab perbandingan antara dia perlakuan. "Antara merokok dengan membaca buku, mana yang baik untuk kamu?" tanya saya.

"Membaca buku," katanya perlahan.

"Habis, mengapa kamu merokok?" saya bertanya semula.

Dia diam. Terkedu tak menjawab.

Hakikat yang perlu kita telah ialah generasi muda kita memerlukan suntikan semangat daripada orang dewasa. Nilai yang mereka pegang bercelaru, sehingga tidak boleh memahami mengapa itu boleh, dan mengapa ini tidak boleh.

Apa yang dibimbangkan, anak-anak ini bakal mempunyai keluarga dalam 5-10 tahun lagi. Jika sekarang pun mereka sudah hanyut, apakah kita tak perlu bimbang pada masa akan datang? Bagaimana nasib anak-anak mereka kelak?

Sunday, September 27, 2009

Nikah juga akhirnya Dia..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Wajahnya manis, baru berusia 17 tahun, dan masih remaja dan keanak-anakan. Agaknya, kerana mudah diperdaya, akhirnya dia bunting 5 bulan tanpa suami.

Mak dan ayahnya malu. Tapi apakan daya, terpaksa juga ditutup dengan kenduri kahwin kecil-kecilan.  Mujur jantan yang merosakkannya mahu bertangungjawab. Mereka dinikahkan dan kenduri tersebut dibuat Sabtu lalu(semalam). Kami yang mengajarnya pun tidak dijemput. Tak mengapalah, asalkan Dia dan pasangannya bahagia.

Saya hantar mesej kepadanya, memberitahu dasar sekolah tidak membenarkan pelajar hamil ke sekolah. Dia boleh ambil SPM di Pusat Pemulihan Akhlak, tapi sehingga kini dia tak balas mesej tersebut.  Pihak sekolah sudah pun menghantar surat makluman, tetapi emak atau ayahnya tak datang berbincang dengan pihak sekolah.

Saya simpati dengannya. Saya fikir dia mempunyai masa depan, tetapi dia sendiri yang menempah bala. Keseronokan sementara akhirnya membawa kepada 'kemaluan' yang besar kepada ibu bapa dan keluarganya.

Ramai lagi remaja yang sebenarnya sudah mengamalkan hidup seperti ini, terlanjur mengandung, barulah timbul keinsafan dan penyesalan. Bukan tidak dinasihat, tetapi kekadang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Hedonisme seolah semakin sebati dengan jiwa anak-anak remaja kita.

Saturday, September 26, 2009

Raya, Semangatnya Semakin Pudar..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kali terakhir menulis di blog ini 17 September lalu. Semuanya gara-gara sambutan aidilfitri. Jika difikirkan, sambutan hari raya kini tak semeriah zaman kecil-kecil dulu. Banyak sangat perbezaannya, lantaran perubahan suasana dan cara hidup masyarakat kita hari ini.

Kuih raya dahulu, cukup dengan ketupat, lemang, bahulu, kuih bakar dan semperit. Itupun di'bikin' sendiri oleh ibu-ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Hari ini, kuasa beli wanita bekerja semakin besar. Masa menghasilkan kuih raya terhad. Lebih mudah untuk kaum ibu hari ini mendapatkan biskut atau 'kuih tunjuk'. Biksut raya pula pelbagai jenis. Biskut moden mengambil tempat, tetapi yang lama tetap sinonim dengan suasana raya.

Kalau dahulu, kanak-kanak tanpa segan silu mengunjungi rumah jiran tetangga atau saudara mara. Kunjungan pun bukan sendirian, sebaliknya dengan kumpulan, semata-mata ingin dapatkan 'duit raya'. Dalam kunjungan itu, dapatlah tuan rumah mengenali si polan anak siapa, dan berbual mesra sambil memberi sedekah berupa siling 20 sen atau 30 sen, tetapi sudah cukup menggembirakan kanak-kanak tadi. Hari ini, kelibat kanak-kanak seperti itu sukar ditemui. Lebih ramai yang suka bersantai di depan TV, menonton rancangan hiburan yang ditayangkan sepanjang hari. Budaya kunjung mengunjung musim raya sudah semakin dipinggirkan. Jika ada pun, mereka datang bersama ibu bapa. Lebih ramai yang suka merencana program dengan rakan sebaya seperti merempit dan berfoya-foya tak tentu hala.

Memasang pelita panjut pun, kini sudah diganti dengan lampu moden yang lebih cangggih dan berseri. Dahulu, kita sanggup menebang buluh, mencari tin susu untuk dijadikan pelita panjut Malam Tujuh Likur.  Ketika itu, minyak tanah mudah sangat dibeli. Hari ini, minyak diesel jadi pengganti, manakala minyak tanah sukar dicari.
Mercun dan bunga api kini semakin canggih dan berbahaya, berbanding dahulu. Remaja yang tersalah catur, menyebabkan hilang jari. Agaknya anak remaja kita hari ini semakin kreatif merosakkan diri?

Perubahan-perubahan ini menjadikan raya tidak lebih daripada ritual adat yang tidak lebih daripada itu. Semangat aidilfitri semakin pudar dimakan zaman. Akhirnya, anak-anak akan datang meraikan aidilfitri sebagai waktu balik kampung dan majlis makan-makan sahaja.

Salam aidilfitri. Jangan lupa puasa 6 hari dalam bulan Syawal, sebab dalam satu hadis Nabi, orang yang berpuasa sebulan Ramadhan dan ditambah 6 hari dalam bulan Syawal, ia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

Thursday, September 17, 2009

Berbini Dua?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Semalam, saya ke rumah Yong untuk satu urusan. Itulah satu-satunya kakak kandung yang ada, dan pengganti arwah mak dan ayah. Menjelang raya, rendang tok Yong memang menjadi pesanan wajib. Saya jarang lepaskan peluang minta Yong sediakan juadah ini, biarpun hanya menikmatinya sedikit. Sebab air tangan Yong dapat melepaskan rindu pada masakan arwah mak.
"Kamu nak dengo satu ceghite?" tanya Yong ketika saya ke rumahnya petang semalam.
"Ceghite apa?"
"Hari tu, kamu ada sembang dengan Fairuz, kan? Semasa dia tunggu bas di kedai P** C**."
Saya mengiyakan," Ha'ah, pehtu napenyer?"
P** C** kata pada dia, kamu berbini dua!" kata Yong menyebabkan saya dan dia sama-sama ketawa.
Nak pecah perut mengenangkan cerita itu. Entah dari mana orang tua itu dapat berita saya beristeri dua, tak tahulah pulak. Kisah saya ber'bini dua' itu sampai ke telinga Yong, mujur dia cepat-cepat nafikan.
Tapi saya tak ambil hati, biarpun berita itu jauh menyimpang daripada hakikat sebenar. Saya maafkan orang tua itu. Saya kenal dengannya dan taiada masalah selama berurusan dengannya selama ini. 
Saya yakin dia pun hanya mendapat cerita 'pelik' ini daripada mulut orang lain. Inilah bahana akibat cerita sejengkal jadi sedepa, cerita sedepa jadi sebatu.
Tak mampu nak berlaku adil, cukuplah seorang. Lagipun suri yang ada sekarang, adalah yang terbaik untuk saya. 
Selamat menyambut lebaran 1 Syawal. Maaf zahir dan batin kepada semua, khususnya rakan blogger yang rajin berkunjung dan singgah menapak di sini. 

Wednesday, September 16, 2009

Gempar! Mi Bandung Haram.

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
JAKARTA, 17 September: Pihak berkuasa Indonesia hari ini menerima cadangan dari Gerakan Pemuda Betawi dan beberapa NGO lain untuk membuat tuntutan menghalang Malaysia daripada menggunakan elemen Indonesia dalam ritual adat budaya serta makanan di negara jiran mereka itu.
Dalam kontroversi sebelum ini, Jakarta menuduh Kuala Lumpur cuba mengambil kesempatan terhadap isu tarian pendet yang dikatakan dipromosikan oleh Malaysia, sedangkan ia merupakan tarian suku masyarakat di Indonesia. Kesannya, beberapa tunjuk perasaan membantah tindakan Malaysia telah diadakan di Jakarta sehingga menjejaskan hubungan dua negara serumpun tersebut.
Dalam hal yang berkaitan, Indonesia juga tidak senang dengan penggunaan nama-nama makanan yang mempunyai unsur Jawa atau Indonesia di Malaysia. Ia dibawa ke tengah jika tiada tindakan daripada pihak Kuala Lumpur.
"Kita bisa mengambil tindakan mahkamah jika nama Mi Bandung enggak ditukar," kata seorang Menteri Indonesia sambil mengorek-ngorek hidungnya. Beliau menambah, perkataan Bandung merupakan tempat di Indonesia dan tidak wajar digunakan dalam produk makanan di Malaysia.
Ketika ditanya wartawan kehebatan menu tersebut, menteri itu kemalu-maluan sambil menegaskan rasa mi tersebut lazat seperti masakan neneknya. 
"Saya pasti pihak Malaysia telah mencopet resipi ini daripada mbah saya," katanya dengan wajah yang mencuka.
Beberapa sumber lain yang dipetik daripada akhbar tabloid Indonesia turut menyatakan Air Bandung juga dikategorikan sebagai haram digunakan oleh pihak Malaysia.
Nama Kampung Jawa di Selangor turut disentuh dalam perbincangan bersama NGO berkenaan. Menurut sumber, komuniti kampung tersebut akan diberi masa yang terhad untuk menukar namanya, kerana mempunyai kaitan dengan elemen Indonesia. 
"Pihak Malaysia seharusnya tidak menganggap ini soal gampang," kata seorang anak muda di Jawa Tengah, ketika sedang sibuk mencari sisa-sisa runtuhan gempa bumi di sana dua minggu lalu. Dia turut bercadang membawa Kampung Jawa ke Pulau Jawa jika tiada tindakan diambil pihak berkuasa Malaysia.
Pihak berkuasa Malaysia ketika dihubungi mengesahkan mereka telah menerima bantahan tetapi hanya akan bertindak melalui saluran diplomasi dan perbincangan dua hala. 
"Kita memahami sensitiviti dan ketololan segelintir rakyat Indonesia, tetapi semua ini adalah kerana provokasi media massa yang keterlaluan. Bagaimanapun, saya berharap semua pihak khususnya di Malaysia tidak bimbang dengan situasi ini. Keadaan tenang." Kata seorang atase pendidikan di Jakarta.
BERITA INI TIADA KAITAN DENGAN ISU YANG BERLAKU SEKARANG. SAJA NAK LEPAS TENSION.. HEHEHEHEHEHE...

Sunday, September 13, 2009

Kitar Semula Menjelang Raya

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
"Siapa tolong baba, dapat upah," kataku ketika menyusun akhbar lama untuk dijual.
Menjelang lebaran, kami merancang untuk mengemas mana yang perlu. Anak-anak yang sedari tadi asyik dengan kerja sendiri, perlahan-lahan bergerak untuk membantu. Mungkin letih berpuasa menjadikan pergerakan mereka agak perlahan petang itu.
Berjaya nampaknya taktik 'upah' yang aku tawarkan. Mudahlah kerja, sebab dibantu anak-anak,tapi kasihan pun ada, sebab tubuh-tubuh yang kecil itu seakan terhoyong-hayang mengangkat akhbar.  
"Nak letak di mana, baba?" tanya Angah. 
"Biar umi ikat dulu, mudah baba masukkan dalam kereta." Aku memberi arahan. Sebenarnya, akhbar lama di rumah sudah semakin banyak. Kerap juga isteri 'mengomel' agar akhbar-akhbar ini dijual. Hanya kini baru ada kesempatan. 
Akhbar merupakan sumber maklumat yang murah dan mudah. Menjelang era IT, kegunaan kertas sebagai bahan asas akhbar mungkin akan jadi sejarah, kerana masyarakat kini sedang menuju ke arah 'paperless'. Ketika di bangku sekolah dahulu, guru Geografi memaklumkan dunia memerlukan pokok pain yang banyak untuk menghasilkan kertas akhbar yang dicetak setiap hari.
 
Sebahagian akhbar lama yang sedang ditimbang
Program kitar semula membantu mengurangkan penebangan pokok pain/tirus untuk menghasilkan kertas. Ironinya, kertas akhbar lama diproses semula untuk digunakan kembali dalam industri percetakan. Hasilnya menakjubkan. Penebangan pokok pain dapat dikurangkan. Impak jangka panjang adalah, kita dapat mengurangkan kesan rumah hijau di samping membantu menstabilkan suhu dunia. 
"230 kg,.. banyak ni," kata wanita India pengurus tempat 3R yang menimbang akhbar lama. 
"Saya pun tak sangka banyak ini," kataku.
 Gudang kitar semula menerima apa sahaja barang yang masih ada nilai
Kedai kitar semula itu nampak bersepah, tetapi ia menjadi nadi kehidupan golongan pencari besi buruk yang rata-ratanya daripada golongan miskin. Tuntutan tekanan hidup menjadikan mereka menghargai barang-barang untuk dikitar semula. Berbanding dengan mereka yang kaya atau berkedudukan, golongan pencari besi buruk mengutip apa yang perlu untuk dijadikan penyambung hidup mencari sesuap nasi. Sebaliknya, ada ahli masyarakat kita mengambil jalan singkat, hanya buang atau bakar sahaja, kerana sikap ambil mudah dan memandang enteng program kitar semula.
Duit jualan akhbar kuagihkan kepada 'petugas cilik' yang membantu di rumah tadi. Bukan main seronok lagi mereka mendapat upah.
"Lain kali, boleh kami tolong baba lagi?" tanya si Uda.
"Boleh. Lain kali, tolong baba kumpul akhbar lagi. Boleh dapat duit. Masukkan ke dalam tabung."
Dari riak wajah mereka, terpancar kegembiraan. Mungkin ini satu daripada cara mendidik generasi muda kita menghargai program kitar semula.

Thursday, September 10, 2009

Bodoh Sangatkah Orang Indonesia?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Saya tidak percaya apabila dalam sebulan ini, media Indonesia yang terkenal dengan 'kebebasan bersuara' selepas era Soeharto, telah bertindak memainkan isu yang merenggangkan hubungan dua negara. Indonesia, sebuah negara pulau yang bermajoriti Muslim, yang selalu dirujuk bersama kita sebagai 'serumpun',  telah  menghiris hati dan perasaan rakyat negara ini melalui beberapa tindakan bodoh segelintir rakyatnya. 
Rupa-rupanya segelintir rakyat negara yang baru ditimpa musibah gempa bumi di Jawa Tengah ini, tidak bijak menilai. Laporan medianya yang bertuhankan kebebasan bersuara, tanpa sebarang sekatan oleh pemerintah telah diterima bulat-bulat oleh warganya, yang mungkin sudah mendendami negara ini sejak era Soekarno lagi.
Biarpun hanya segelintir yang mengadakan provokasi mencetuskan kekacauan di kota raya Jakarta, tindakan mereka menimbulkan tanda tanya, terutama di pihak kita. Apatah lagi pihak berkuasa di sana tiada inisiatif meredakan isu 'Tarian Pendet' (yang entah siapa nak mengaku sebagai milik Malaysia) dan beberapa isu lain yang dijadikan pemangkin gerakan "Anti-Malaysia". 
Sejarah membuktikan semasa penubuhan Malaysia pada 1963, Presiden Indonesia ketika itu, Soekarno telah melancarkan gerakan konfrontasi terhadap negara ini yang diistilahkan sebagai "Ganyang Malaysia". Tindakan ini adalah lanjutan daripada rasa tidak puas hati pemimpin negara itu yang membantah penubuhan Malaysia.
Secara zahirnya, tindakan membakar bendera Jalur Gemilang dan cubaan mengusir warga kita dari Indonesia, dilihat sebagai satu tindakan bodoh dan berpandangan sempit. Bagaimanapun, ia sedikit sebanyak membimbangkan para penuntut kita dan rakyat Malaysia yang bekerja di mana-mana wilayah Pancasila itu. Keadaan ini berterusan sehingga ada segelintir rakyat negara itu 'berkampung' di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta sebagai tanda protes. Tidak cukup dengan itu, mereka menyediakan buluh runcing dan mengawal Jalan Diponegoro yang terletak berhampiran kedutaan negara kita, semata-mata untuk "Mengusir Orang Malaysia". 
Tindakan bodoh dan dangkal ini sepatutnya dihidu lebih awal oleh pihak berkuasa Indonesia. Tidak perlu kita mengajar mereka untuk bertindak, tetapi jika di Malaysia, rakyat kita yang mengadakan protes di kedutaan negara lain akan dikenakan tindakan tegas. Paling tidak pun, mereka akan dipantau oleh Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan jika tidak bernasib baik, dapatlah semburan air kuning dan gas pemedih mata sebagai bekalan.
Saya tidak fikir semua rakyat Indonesia sebodoh itu untuk mempercayai dakwaan media massanya yang tidak profesional. Bagaimanapun perkara ini harus diselesaikan secepat mungkin.  Terdapat ramai rakyat Indonesia yang mencari rezeki di bumi bertuah Malaysia, dan perkara itu harus diingat berulang kali oleh 'orang-orang bodoh' di seberang Selat Melaka.

Memartabatkan Budaya Bangsa

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Semua pasar raya di Kelantan dilarang operasi pada raya pertama 
 
Menurut Mstar Online, Semua pasar raya di Negeri Kelantan telah diarah menutup premis perniagaan masing-masing pada hari raya pertama tahun ini sebagai tanda menghormati hari kebesaran perayaan umat Islam.
Pengerusi Pihak Berkuasa Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tahun lalu, Kerajaan Negeri membenarkan semua pasar raya membuka premis perniagaan mereka dari tengah hari sehingga tengah malam.
“Bagaimanapun, kami telah menerima pelbagai aduan dan rungutan termasuk majikan enggan membayar kerja lebih masa pada hari cuti am dan pada masa yang sama kami juga turut menerima aduan daripada pekerja Islam bahawa mereka telah didenda kerana enggan bekerja pada hari raya pertama,” ujarnya.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Exco petang Rabu, Takiyuddin menambah, pihak berkuasa tempatan akan mengedarkan pekeliling memaklumkan kepada semua pengusaha pasar raya akan peraturan baru ini.
Sementara itu, Takiyuddin juga memaklumkan mulai 1 Januari tahun hadapan, semua papan tanda baru (billboard) mestilah mempamerkan tulisan Jawi yang sama ada sama besar atau lebih besar daripada Bahasa Malaysia, Cina, Tamil ataupun Siam.
Langkah terbaru ini adalah untuk memastikan tulisan Jawi mendapat kedudukan yang sewajarnya dan juga sebagai satu langkah untuk mempopularkan tulisan Jawi.
Kata Takiyuddin semua peniaga dibenarkan mengguna bahasa Ibunda masing-masing selagi Jawi diberikan kedudukan yang utama pada papan tanda iklan.

Inilah bagusnya jika pemerintah tegas. Orang Islam yang merupakan majoriti di negeri Serambi Mekah mempunyai lebih masa berkunjung ke rumah sanak saudara, manakala para pekerja di pasar raya berkenaan dapat menikmati hari raya dengan lebih santai.

Tulisan Jawi pula, dapat dimartabatkan pada kedudukan yang lebih baik. Jika di Perak, tulisan bukan Jawi lebih besar sebab perniagaan di sini dikuasai oleh bukan Islam.

Tuesday, September 8, 2009

Bahagia Mengikut Kaca Mata HAMKA

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Haji Abdul Malik Kariom Amrullah, lebih dikenali sebagai HAMKA, merupakan seorang ilmuwan Islam Nusantara tersohor, dikenali ramai melalui ilmu yang dimilikinya. Beliau dilahirkan di Sumatera Barat pada 17 Februari 1908 dan kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 1981.
HAMKA bukan sekadar ilmuwan dan ulama, malah beliau adalah seorang sasterawan. Antara novelnya yang menggamit perasaan pembaca ialah Tenggelamnya Kapal Van der Wijck(1937)  dan Di Bawah Lindungan Kaabah(1936). Ia sarat dengan persoalan kemanusiaan diselitkan unsur dakwah yang menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Seorang yang mendalami ilmu tasauf, HAMKA melalui bukunya, Tasauf Moden menggariskan beberapa pengertian kebahagiaan:
1. Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan
2. Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan
3. Orang yang bergelumang dosa mengatakan berhenti daripada dosa itulah kebahagiaan
4. Mereka yang merindui pasangan hanya bahagia apabila berada di samping kekasih hati
5. Seorang pemimpin akan berasa bahagia apabila umat bangsanya merdeka dan negaranya aman
6. Seorang penyair berasa bahagia apabila syair atau sajaknya menjadi hafalan orang
Ditanyakan orang kepada Yahya bin Khalid Al-Barmaky, iaitu seorang Wazir yang masyhur semasa pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah, "Apakah bahagia itu, wahai tuan?"
Yahya menjawab,"Sentosa perangai, kuat ingatan, bijaksana akal, tenang dan sabar menuju maksud."
Menurut Ibnu Khaldun, bahagia ialah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan.
Imam Al-Ghazali berpendapat, bahagia dan kelazatan yang sejati ialah bilamana dapat mengingati Allah.
Disesuaikan daripada Tasauf Moden, HAMKA, 1970

Sesungguhnya kupasan HAMKA tentang bahagia amat jelas dan sesuai untuk kita baca. Beliau membandingkan makna kebahagiaan mengikut konsep Timur dan Barat, di samping membuat analogi mudah yang menyenangkan kefahaman.
Satu analogi mudah daripada HAMKA, katanya: rokok, walau bagaimana mahal sekali pun, wangi dan menerbitkan nafsu bagi perokok, tetapi bagi yang tidak merokok, ia tidak langsung ada harganya.
Fikir-fikirkan...

Monday, September 7, 2009

Berakhirnya Kisah Tragis Mariam Di Korea

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Pertama kali membaca kisah Mariam, seorang wanita Melayu yang pindah dan hidup dengan seorang lelaki Korea, perasaan saya bercampur baur. Sedih, marah dan sinis pun ada. 
Mariam Johari, 88, rakyat Tanah Melayu yang terkandas di Korea Selatan sejak 64 tahun lalu, meninggal dunia, malam kelmarin di sebuah rumah kebajikan di Seoul. Beliau diberitakan ada membuat wasiat sebelum menyambut Ramadan, yang antara lain, mahukan pengebumiannya diadakan mengikut Kristian.
Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae meninggal dunia kira-kira jam 1.20 pagi waktu Korea Selatan (kira-kira jam 12.20 malam kelmarin waktu Malaysia) ketika tidur selepas kira-kira empat bulan tidak sihat.Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won, yang membawanya ke Korea Selatan dan terkandas di negara itu.

Namun, hasratnya bertemu semula tiga anaknya kandungnya, Ramlah Sonni, 74, Jelani dan Jamnah, 67, akhirnya termakbul apabila Korea Broadcasting System (KBS) membawa Ramlah dan Jelani serta cucunya, Ahmad Onn, 43 dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.

Pertemuan kali pertama selama enam hari tidak berakhir di situ apabila Mariam pula dibawa ke Malaysia pada 5 September tahun sama sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007. Jelani berkata, itulah kali terakhir beliau serta kakak dan adiknya bertemu dengan ibu mereka.

Berakhir sudah kisahnya, biarpun ada urusan yang belum 'selesai'. Kematiannya juga mengundang polemik jika jasadnya dibawa ke tanah air. Moga Allah mengampuninya.

Sunday, September 6, 2009

Tembok Kaum Yang Menebal!

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Apabila adanya rasa saling mempercayai dan hormat menghormati  antara kaum,  akan wujud hubungan mesra atau 'rapport' yang menjadi tunjang keamanan negara. Sebaliknya, jika sudah tiada rasa hormat, dan kontrak sosial dalam Perlembagaan mula dipertikaikan, ia bakal menjadi duri dalam daging, apatah lagi jika gagal ditangani dengan baik oleh pihak yang berkenaan.  
Kontrak Sosial dalam Perlembagaan melibatkan lima perkara penting:
1. Kedudukan serta hak orang Melayu dan Bumiputera
2. Kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan
3. Kedudukan Raja-raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara
4. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
5. Pemberian Kerakyatan kepada orang bukan Melayu
Untuk memastikan aspirasi negara difahami, hal berkaitan perkara ini dimasukkan dalam sukatan Sejarah di sekolah-sekolah seluruh negara. Malah, di universiti, ia turut dijadikan subjek asas Kenegaraaan. Jabatan latihan Khidmat Negara (JLKN) turut memasukkannya sebagai satu silibus kepada peserta PLKN.
Tujuannya mudah, supaya setiap rakyat di negara ini mengamalkan prinsip-prinsip yang mengekalkan keamanan negara Malaysia yang kita sayangi ini.
 
Foto ehsan Berita Harian Online
Semalam, majlis dialog antara penduduk Seksyen 23 Shah Alam dan Menteri Besar menjadi perang mulut dan tidak terkawal. Puncanya daripada bantahan penduduk yang menolak pemindahan sebuah kuil Hindu ke kawasan mereka yang majoritinya adalah Muslim.
Lebih parah lagi, apabila ia tidak ditangani dengan berhemah sehingga menjadi api dalam sekam. Akhirnya, meletuslah rasa tidak puas hati berkenaan dalam suasana yang tidak harmoni.
Jelas kepada kita, hakikatnya, perpaduan kaum di negara ini semakin rapuh.  Dalam negara pelbagai kaum, agama dan adat resam seperti Malaysia, ia diibaratkan seperti 'bom jangka' yang boleh meletup tiba-tiba.
Menurut Berita Harian Online, sejam sebelum majlis dialog diadakan, pergaduhan hampir tercetus di dalam dewan antara lebih 200 penduduk Seksyen 23 dengan wakil kerajaan negeri dan sekumpulan wakil komuniti India yang menyokong pemindahan kuil ke kawasan itu.

Sesi dialog bermula kira-kira jam 10.10 pagi dengan perang mulut antara penduduk dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila anggota terbabit tidak membenarkan dua warga emas dari kawasan itu memasuki dewan.

Kekecohan kedua timbul apabila beberapa penduduk menghalau keluar empat anggota unit amal PAS yang berada di dalam dewan kerana mereka bukan penduduk Seksyen 23.

Sebaik Abdul Khalid, Khalid dan Rodziah memasuki dewan, mereka di'boo', selain penduduk enggan mendengar taklimat yang mahu disampaikan Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Noor mengenai pembangunan Shah Alam dengan membuat bising dan berkeras mahu mendengar keputusan Menteri Besar mengenai isu pemindahan kuil.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Kuil Seksyen 23, Mahayuddin Manaf, ketika ditemui, berkata tujuan penduduk menghadiri dialog untuk mencari jalan penyelesaian, selain menyuarakan bantahan terhadap pembinaan kuil di kawasan perumahan mereka.
Foto ehsan Mstar Online
 
Buat sementara, kerajaan negeri membuat keputusan menangguhkan pemindahan kuil tersebut ke Seksyen 23. Keputusan ini nampaknya bagai memihak kepada majoriti penduduk di situ, tetapi tidak memuaskan hati pihak yang satu lagi.
Apa yang pasti, tembok antara kaum yang bertunjangkan isu-isu sensitif semakin menebal. Tidak mustahil jika gagal diselesaikan dalam jangka yang terdekat, ia boleh menimbulkan anarki dan huru hara yang merosakkan  keseluruhan entiti di Malaysia. 
DI MANA BUMI DIPIJAK, DI SITU LANGIT DIJUNJUNG. Moga Malaysia kekal aman dan sejahtera.

Thursday, September 3, 2009

Mengenali Leukemia

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Pertama kali mengenali penyakit ini, apabila abangku, Azwadinoor disahkan menghidap leukemia oleh HSM. Abang Adi, susuk badannya ada persamaan dengan ayah. Wajahnya selalu tersenyum biarpun sakit. Sudah tertulis ajalnya dalam usia muda, awal 30-an, akhirnya pada Oktober 1997, dia meninggal dunia tanpa waris setelah agak lama menderita leukemia.
 
Sel leukemia yang aktif 

Leukemia
adalah kanser tisu yang menghasilkan darah, termasuk sumsum tulang dan sistem limfa.

Leukemia berasal daripada perkataan Greek bermaksud darah putih dan penyakit ini biasanya bermula dengan masalah sel darah putih.

Dalam keadaan normal, sel darah putih bertindak sebagai penghalang jangkitan yang membahagi secara teratur untuk menambah bilangannya dan leukemia mengganggu perjalanan proses ini.

Sum-sum tulang pesakit leukemia menghasilkan banyak sel darah putih berlainan bentuk dan tidak berfungsi dengan baik
. Akhirnya, kehadiran sel darah putih yang terlalu banyak akan menghalang pembentukan sel darah putih yang normal dan menjejaskan kebolehan badan melawan jangkitan.

Sel leukemia ini juga mengganggu sel darah lain, termasuk sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan dan platlet yang membantu pembekuan darah untuk mengawal pendarahan.

Leukemia sebenarnya bukan penyakit kanak-kanak seperti disangkakan. Ada empat jenis utama leukemia dan hanya sebahagian yang menyerang kanak-kanak dan boleh membawa maut jika tidak mendapatkan rawatan.

Simptom leukemia
berbeza-beza, tetapi secara umumnya pesakit mengalami demam dan letih berpanjangan, jangkitan yang susah sembuh, hilang selera makan, berat badan menurun, nodus limfa dan hati bengkak, mudah luka dan berdarah, kulit berbintik merah, berpeluh pada waktu malam dan sakit tulang.

Semua tanda ini bagaimanapun bergantung kepada jumlah sel darah putih yang terkumpul dalam badan pesakit. Biasanya, tanda awal leukemia sering dilepas pandang kerana ia menyamai simptom selesema dan penyakit biasa lain.

Doktor membahagikan punca leukemia mengikut jenisnya - akut dan limfositik. Dalam leukemia akut, sel darah yang tidak normal adalah sel tidak matang (blasts). Sel ini tidak boleh berfungsi secara normal dan membahagi dengan cepat. Jadi, penyakit mudah menjadi serius dan memerlukan rawatan segera yang agresif.

Dalam kes kronik membabitkan sel darah lebih matang, sel-sel darah ini akan mengganda dan berkumpul lebih perlahan, boleh berfungsi secara normal bagi satu tempoh tertentu. Sesetengah jenis leukemia kronik tidak menunjukkan simptom dan pesakit tidak mendapatkan rawatan hinggalah apabila sudah terlalu serius.

Klasifikasi kedua pula dibuat berdasarkan jenis darah putih yang terbabit. Leukemia limfositik memberi kesan kepada sel limfoid atau limfosit dan membentuk tisu limfoid atau limfa.

Tisu ini adalah komponen utama sistem imun badan yang ada di semua bahagian tubuh, termasuk nodus limfa, limpa dan tonsil.

Leukemia mielogenus pula membabitkan sel mieloid iaitu penghasilan sel darah (sel darah merah, putih dan platlet) dalam sumsum tulang tidak normal.

Antara jenis leukemia yang paling lazim adalah mieologenus akut (yang berlaku pada kanak-kanak dan orang dewasa), limfositik akut (biasanya pada kanak-kanak), mielogenus kronik (menyerang orang dewasa) dan limfositik kronik (dewasa).

Bagaimanapun, punca sebenar leukemia belum dapat dipastikan dengan tepat. Sehingga kini ia dipercayai berkaitan rapat dengan genetik dan faktor persekitaran.

Apa pun sebabnya, bilangan sel darah putih yang normal dan sihat akan melemahkan sistem pertahanan badan, menyebabkan pesakit mudah mendapat jangkitan, anemia dan pendarahan teruk. Sebaliknya, mempunyai terlalu banyak sel darah putih akan merosakkan fungsi sumsum tulang dan memasuki organ badan lain. Jika berlaku pendarahan atau jangkitan, ia boleh membawa maut.

Antara faktor risiko mendapat leukemia termasuk terapi kanser (kemo dan radioterapi), genetik, pendedahan kepada radiasi atau bahan kimia seperti benzene (dalam minyak tanpa plumbum, asap rokok dan bahan kimia industri). Bagaimanapun, biasanya orang yang kerap terdedah kepada faktor di atas tidak mendapat leukemia.

Jika anda mengalami simptom leukemia, segera jalani pemeriksaan kesihatan. Tidak seperti kanser lain, rawatan leukemia rumit kerana ia membabitkan sumsum tulang yang menghasilkan sel darah merah, putih dan platlet - yang sangat penting untuk hidup.

Jenis rawatan
bergantung kepada banyak faktor, termasuk umur, keadaan kesihatan dan tahap penyakit. Cara paling utama adalah kemoterapi untuk membunuh sel leukemia secara pengambilan pil atau suntikan terus ke dalam salur darah.

Terapi biologi
atau imunoterapi juga dijalankan untuk meningkatkan tindak balas sistem imun badan terhadap kanser. Manakala rawatan radiasi menggunakan sinar-x atau sinar bertenaga tinggi lain untuk memusnahkan sel leukemia dan menghalang pertumbuhannya.

Kaedah lain adalah pemindahan sumsum tulang. Dalam kaedah ini, pesakit diberi kemoterapi atau radiasi pada dos lebih tinggi untuk memusnahkan sel leukemia dalam sumsum tulang. Sumsum tulang diperoleh daripada penderma sesuai atau sumsum tulang pesakit sendiri.

Pemindahan sel stem
lebih kurang sama dengan pemindahan sumsum tulang dan sel stem diambil daripada darah pesakit atau penderma. Kaedah ini lebih popular daripada pemindahan sumsum tulang kerana tempoh penyembuhan yang singkat dan kurang risiko jangkitan.

Menghidap kanser - sebarang jenis kanser adalah pengalaman paling mengerikan, terutama jika ia membabitkan anak kecil. Apa pun keadaan anda, ingat, anda tidak bersendirian.

Anda perlu kuatkan semangat menghadapi dugaan ini. Beberapa cara boleh dilakukan, termasuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai penyakit, kaedah rawatan dan kesan sampingannya.

Dapatkan sokongan keluarga. Jika tidak, sertailah kumpulan sokongan pesakit kanser. Ini penting untuk meningkatkan tindak balas badan terhadap rawatan. Berbual dengan pesakit yang senasib sedikit sebanyak akan membantu menguatkan semangat dan pengalaman orang lain boleh membantu anda menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Buat rancangan mengubah kehidupan mengikut kemampuan anda. Pastikan anda meluangkan masa untuk diri, ambil makanan seimbang, bersenam dan dapatkan rehat yang cukup.

Kekalkan kehidupan yang aktif. Menghidap penyakit bukan bermakna anda perlu mengenepikan kegiatan digemari. Jika anda suka menyertai aktiviti kemasyarakatan, teruskan kerana ia membantu anda meningkatkan kualiti hidup.

(Artikel ini disesuaikan daripada Halaqah.net)

Wednesday, September 2, 2009

Khidmat Cuci Kereta.

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Anda pernah menggunakan khidmat cucian kereta? Tidak kiralah sama ada ia menggunakan tenaga manusia (manual) ataupun mesin, kedai cuci kereta akhir-akhir ini semakin bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan. Dari satu segi, ia menjana ekonomi di samping membuka peluang perniagaan kecil-kecilan.
Meskipun mencuci kereta boleh dilakukan oleh tuan punya kenderaan, ramai dalam kalangan kita termasuk saya yang suka menghantar kereta ke kedai cuci kenderaan yang berdekatan taman perumahan, kompleks beli belah dan seumpamanya. Lebih mudah dan murah, berbanding dengan mencuci sendiri.
 Sebuah kereta mengambil masa 10-15 minit untuk dicuci
Akhir-akhir ini, seolah wujud perang harga antara kedai cuci kereta, dek persaingan yang semakin sengit dan kegawatan ekonomi yang belum pasti pulihnya, menyebabkan ada kedai menerima bayaran cuci kereta serendah RM3 untuk cucian luar dan dalam. Pelanggan biasanya ingin khidmat yang murah tetapi berbaloi. Hargalah yang jadi penentu.
 Antara cecair pencuci yang digunakan untuk mencuci kenderaan
Sama ada disedari atau tidak, khidmat cucian kereta semakin dimonopoli oleh satu kaum. Saya sempat berbual dengan pengusahanya, seorang India warga tempatan, tetapi mempunyai pekerja daripada kalangan warga asing dari negara India.
"Boleh untung ke cuci kereta sekarang?"
"Tarak untung juga, ini ekonomi tada baik." Katanya bersahaja.
"Dalam satu hari, berapa customer you dapat?" Saya melontar soalan kedua.
"Tarak tentula, dalam 20 pun susah mau dapat," katanya dengan telor Tamil. Sambil melayan, dia memerhatikan 'anak buah'nya yang sibuk mencuci sebuah Waja. Sebuah TV lengkap dengan ASTRO menayangkan klip video lagu Tamil, mungkin untuk memberi hiburan kepada pekerjanya yang sedang bertugas.
"Mana you dapat chemical?"
"Teluk Intan," Jawabnya pendek. 
Saya melihat labelnya yang agak kusam, tetapi masih jelas dibaca. Sah, pembekalnya adalah syarikat milik orang India juga. 
 Cecair pencuci dibekalkan dari Teluk Intan
Kesimpulan yang mudah boleh saya buat, industri (kalau boleh dikatakan industrilah) mencuci kereta mempunyai prospek yang baik, dan kini diambil peluang oleh kaum India. Mereka membekalkan bahan kimia dan cecair pencuci, mereka mengusahakannya dan menggajikan pekerja yang sebangsa tetapi dari negara lain. Sama seperti perkhidmatan gunting rambut yang kini dimonopoli oleh satu kaum, kerana orang kita terutama generasi muda tidak melihat prospek jangka panjang industri ini.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...