Wednesday, May 31, 2017

AMALAN-AMALAN SUNAT KETIKA BERPUASA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ramadhan datang lagi. Bersyukurlah kita masih dapat menikmatinya. Mari kita imbas semula perkara sunat untuk menambahkan pahala semasa berpuasa.

1) Menyegerakan berbuka jika telah yakin matahari telah terbenam. Misalnya, jika sudah berbunyi azan di kawasan kita, jangan dilewatkan. Namun jika dia berasa syak, maka wajib ke atasnya berjaga-jaga dan melewatkan berbuka.

2) Bersahur walaupun dengan seteguk air, walaupun telah kenyang. W
aktu sahur bermula dari tengah malam hingga sebelum subuh. Hikmahnya adalah untuk menguatkan badan dan menyalahi perbuatan ahli kitab yang tidak bersahur.
3) Melambatkan bersahur tetapi tidak terlalu lambat. Dan disunatkan imsak (menahan diri) dari memakan sesuatu sekitar tempoh bacaan 50 ayat (lebih kurang 15 minit) sebelum terbit fajar.
4) Berbuka dengan rutob (kurma basah). Jika tiada, maka dengan busr (kurma segar). Jika tiada, maka dengan tamr (kurma kering) . Jika tiada, maka dengan air zamzam. Jika tiada, memadai dengan makanan manis (tidak disentuh api) seperti madu dan kismis . 

 
5) Membaca doa berikut :
(اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ. ذَهَبَ الظَمَأُ، وَابْتَلَّتْ العُرُوْقُ، وَثَبَتَ الْأجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ.
الْحَمْدُ للهِ الَّذِي أَعَانَنِي فَصُمْتُ وَرَزَقَنِيْ فَأَفْطَرْتُ. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَلِيْ)
Kemudian, berdoa dengan apa sahaja yang dimahukan.
Ertinya : “Ya Allah! KeranaMu aku berpuasa. DenganMu aku beriman. Dengan rezekiMu aku berbuka. Hilanglah dahaga, basahlah tekak dan tetaplah ganjarannya jika dimahukan Allah. Segala puji bagi Allah yang membantuku hingga aku dapat berpuasa, yang memberiku rezeki hingga aku dapat berbuka. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu, dengan rahmatMu yang meliputi segala perkara, agar Engkau ampunkanlah aku”.
[ Doa ini diriwayatkan awalnya oleh Abu Daud dan akhirnya oleh Ibnus Sunni ]
6) Menjamu orang berbuka puasa, kerana padanya pahala yang besar.
Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : 
Barangsiapa yang menjamu orang berbuka puasa, nescaya dia beroleh sama pahala seperti orang yang dijamu itu, tanpa berkurang sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu. Riwayat Tirmidzi (dan beliau mentashihkannya), Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban,
7) Mandi janabah (jika ada) sebelum fajar, untuk mengelak dari khilaf yang ada dan supaya dia dapat memulakan puasanya dalam keadaan suci.
8) Mandi setiap malam di Bulan Ramadhan selepas maghrib supaya dia cergas untuk melakukan ibadah qiam.
9) Berterusan melakukan Solat Tarawih dari malam pertama hingga malam terakhir. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : ((Barangsiapa yang berqiam (mendirikan Solat Tarawih) di Bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan menghitung ganjaran, nescaya diampunkan baginya dosanya yang telah lalu)). Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.
10) Tuntutan yang kuat untuk berterusan melakukan Solat Witr. Solat Witr di Bulan Ramadhan mempunyai 3 keistimewaan berbanding di bulan lain :
10.1 disunatkan berjemaah
10.2 disunatkan untuk menyaringkan bacaan
10.3 disunatkan padanya bacaan Doa Qunut di sebahagian akhir Bulan Ramadhan mengikut pandangan yang muktamad
11) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran sambil bertadabbur (menghayati) maknanya.
Disebut di dalam satu athar : “Ramadhan adalah Bulan Al-Quran”.
12) Memperbanyakkan amalan-amalan sunat, seperti solat rawatib, solat dhuha, solat tasbih dan solat awwabin.
13) Memperbanyakkan amalan-amalan soleh, seperti bersedekah, menyambung talian persaudaraan, menghadiri majlis ilmu, beri’tikaf, melakukan umrah, sentiasa menyedari kewujudan Allah dengan menjaga hati dan anggota badan serta banyak membaca doa-doa yang ma’thur iaitu yang datang daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
14) Lebih bersungguh dalam beribadat di sepuluh malam terakhir disamping mencari Lailatul, lebih-lebih lagi di malam-malam yang ganjil.
15) Memastikan berbuka puasa dengan santapan yang halal.
16) Melebihkan layanan kepada anak-anak.
17) Meninggalkan perkara sia-sia dan perbuatan memaki-hamun. Sekiranya dia dimaki seseorang, maka hendaklah dia mengingati dihatinya bahawa di sedang berpuasa, agar dia mengelak diri dari mencacatkan puasanya. Dan sunat juga untuk melafazkannya dilidah jika dia tidak takut berlaku riya’, sebagai amaran dan jawapan terbaik kepada musuhnya.
(Kitab Taqrirat Sadidah – m/s 444-446)
Semoga bermanfaat
disesuaikan daripada: Lau Laa Murabbi Maa ‘Araftu Rabbi

Tuesday, May 23, 2017

FAKTOR YANG MENGGAGALKAN KERJA SEPASUKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

      Dalam sesebuah organisasi, kerja sepasukan adalah kunci kepada kemantapan organisasi. Hubungan muafakat antara ketua jabatan dan staf bawahan membentuk kerja sepasukan yang kukuh. Namun, beberapa aspek perlu diperhatikan supaya kerja sepasukan tidak gagal di tengah jalan. 

         Antara halangan yang menggagalkan kerja sepasukan adalah percanggahan idea. Pasukan cuba menangani tugasan pekerjaan dengan mencadangkan idea-idea. Bagaimanapun percanggahan idea yang tidak dikendali dengan baik, ia akan melumpuhkan kerja berpasukan. Perhubungan antara pasukan akan terjejas jika percanggahan pandangan dibiarkan berlarutan.  Jika pasukan terlebih fokus untuk mendapatkan persetujuan semua, pasukan mungkin akan memilih jalan atau cara terbaik untuk menyelesaikan masalah atau pekerjaan. Ini akan menimbulkan masalah di kemudian hari. Fasa ini amat penting  terutama jika pasukan tersebut mempunyai pemimpin yang boleh menjalankan tugas dengan teguh dan berkeyakinan tinggi.

            Faktor seterusnya adalah norma atau peraturan. Dalam fasa ini ahli pasukan bergerak ke arah bekerja secara harmoni, dan bersetuju terhadap nilai dan peraturan pasukan. Dalam situasi yang terbaik, pasukan boleh bertindak supaya ahli pasukan mengambil tanggungjawab terhadap risiko yang mungkin terjadi.  

          Jika norma dan peraturan lama menjadi panduan, pasukan mungkin menjadi santai dan mereka kehilangan daya kreativiti serta daya usaha yang akhirnya menggagalkan matlamat organisasi.
Faktor berikutnya adalah pelaksanaan. Tidak semua pasukan akan mencapai tahap pelaksanaan yang sempurna. Pasukan yang berjaya  menjalankan tugas adalah organisasi yang mempunyai keupayaan bekerja sendiri, bermotivasi, berilmu dan berdaya saing. Keputusan dibuat secara kolektif tanpa tekanan dan sikap bertoleransi diamalkan kerana wujud sikap saling hormat menghormati dalam komunikasi antara ahli pasukan.

Akhir sekali, penamatan. Ini adalah fasa terakhir yang ditambah oleh Tuckman untuk meliputi penamatan projek dan pembubaran kerja berpasukan. Pasukan boleh kembali ke mana-mana fasa dalam model ini untuk lebih berdaya saing. 


Tuesday, May 16, 2017

BERLAKON PADA HARI GURU SMK SUNGAI BAYOR 2017

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

    Sehari sebelum sambutan Hari Guru SMK Sungai Bayor, saya didatangi tiga orang pelajar, memaklumkan mereka ingin membuat kelainan sambutan kali ini. Saya sebenarnya suka mendengar idea anak anak muda yang energetik, dan bersetuju dengan idea mereka untuk melakonkan watak pengetua diculik.
     Diculik?
     Tentunya menarik, fikir saya. 
    Sinopsisnya begini. Sehari sebelum sambutan Hari Guru (HG) SMKSB, saya merakamkan adegan memberi ucapan dan tiba-tiba rakaman tersebut (dengan menggunakan teknik videografi yang mereka pelajari) bertukar kepada keadaan saya duduk sambil diapit dua orang 'penculik' yang menuntut wang tebusan daripada pihak sekolah. 

     Kemudian, pada pagi sambutan HG, video itu berdurasi 3-4 minit itu ditayangkan kepada warga sekolah. Ketika itu, saya sudah tiada di kawasan dewan kerana kononnya saya sudah 'diculik', dijadikan tebusan yang dibawa ke pentas oleh dua 'banjingan' tadi. 
Biarpun begitu, tentulah klimaksnya membawa kemenangan kepada pihak yang baik. Dua 'penjenayah' itu telah ditumpaskan oleh pasukan keselamatan dengan latar lagu Gerak Khas. Saya akhirnya 'selamat' dan lepas daripada penculikan tersebut. 

     Sebenarnya, bukan mudah untuk pengetua melakonkan, atau memberi persetujuan terlibat dalam 'lakonan' begini. Namun begitu, saya fikir, anak-anak muda SMK Sungai Bayor mempunyai kreativiti yang perlu saya sokong. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan memberikan mereka peluang menonjokkan bakat?
      
      Sambutan HG kali ini, meriah dengan pelbagai aktiviti. Kami juga menerima banyak kek yang disumbangkan oleh pelbagai pihak, sebagai menghargai usaha guru SMK Sungai Bayor mendidik anak bangsa. 
       
      Saya dan penolong kanan lain turut menyertai sukaneka bersama guru lelaki di parkir belakang sekolah. Menjelang tengah hari, kami disajikan nasi arab yang enak. Dalam meraikan sambutan tersebut, kami juga mendapat perkhabaran pasukan inovasi yang diterajui oleh Cikgu Anuar Nordin, Cikgu Kanisah, dan Cikgu Norfaezah yang menyertai pertandingan di Seberang Jaya Pulau Pinang hari ini, mendapat tempat ketiga di belakang MRSM dan Kolej Vokasional, dan merupakan satu-satunya sekolah harian biasa (luar bandar pulak tu) yang berjaya ke peringkat seterusnya. 
             
          Media sosial dipenuhi ucapan selamat hari guru daripada bekas pelajar dan kenalan. Bersyukurlah masih ada insan menghargai tugas guru sebagai murabbi, pendidik dan membimbing insan ke arah kebaikan. 

Semoga SMK Sungai Bayor terus melahirkan insan yang berjaya dunia dan akhirat demi masa hadapan yang cemerlang 


Monday, May 15, 2017

Pendidikan Abad Ke-21

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Hari ini, cara berfikir dan bertindak generasi muda sudah berubah. Namun begitu, corak dan gaya guru mengajar tidak seiring dengan perubahan zaman. Ada guru masih selesa dengan kaedah tradisional, iaitu 'talk and chalk'. Rata-rata pakar pendidikan masa ini bersetuju bahawa kaedah guru mengajar dalam kelas perlu berubah sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat. Ini kerana apa yang kita asuhg dan bimbing, merupakan generasi skrin yang terdedah dengan monitor TV, laptop, PC, HP dan seumpamanya.

Untuk menarik minat golongan pelajar memahami apa yang diajar oleh guru, ia memerlukan kaedah dinamik yang sentiasa baharu, pelbagai dan memberi inspirasi kepada murid. Usaha KPM memperkenalkan  Sekolah Amanah, Sekolah Transformasi, dan Pendidikan Abad 21 sebenarnya berkait rapat dengan usaha menjadikan sekolah sebagai tempat yang seronok untuk didatangi, bukannya dibenci.

Tuesday, May 9, 2017

BERTEMU TAN SERI KPPM DI MASJID BESI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

      Pada Sabtu 6 Mei 2017, saya sekeluarga menziarahi seorang lagi anak saya yang belajar di MTD Sungai Besi. Kami sempat hadir majlis ramah mesra para ibu bapa Kompeni Bravo yang turut di hadiri CO Tuan Khairul dan KSM En. Azhari. 
      Selesai majlis, kami singgah bermalam di rumah ibu saudara, Datin Siti Hajar Ahmad, di Presint 16, Putrajaya. Gembira rasanya dapat bertemu Anjang dan Pak Anjang. Pagi esoknya saya mengajak anak anak ke masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi untuk solat subuh.
       Jumlah jemaah tidak ramai subuh Ahad 7 Mei, tetapi niat kami untuk solat di situ tertunai juga. Ketika bersalaman dengan jemaah yang tak sampai 30 orang itu, mata saya tiba-tiba terpaku ke arah kelibat lelaki pertengahan 50-an, berjubah kelabu cerah, dan wajahnya seakan saya kenal. 
       Masya-Allah, rupanya Tan Seri Dr Khir Mohd Yusof, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia turut hadir solat di situ. 
        Saya sebenarnya tidak menyangka dapat bertemu dengannya di situ. Tapi gayanya, persis seorang lelaki yang biasa ditemui di masjid, datang bersama isterinya, tanpa pemandu (beliau memandu sendiri kereta Perdana hitam) dengan tujuan mengabdikan diri sebagai hamba Allah.
      Saya memberanikan diri menegurnya, kerana jarang sekali saya berpeluang bertemu 'orang besar' dalam suasana tidak formal. 
        "Assalamualaikum Tan Seri.." saya menyapanya.
      Dia menoleh ke arah saya dan menjawab salam. Subhanallah,      beliau amat sopan, humble dan merendah diri. 
       Selepas saya perkenalkan diri, dia teruja mendengar nama sekolah saya. 
       "SMK Sungai Bayor di mana yer?" Dia bertanya sebaik saya memaklumkan kepadanya tempat saya bertugas.
       "Sekolah saya, sekolah luar bandar, Tan Seri,.. letaknya di daerah Selama, dekat sempadan Perak dan Kedah."
      Dia mengangguk-anggukkan kepalanya. Dua tiga kali dia menyebut nama sekolah itu, mungkin untuk memahatkannya dalam ingatan. Sempat juga dia berpesan supaya saya melaksanakan tugas dan amanah dengan baik. 
        "Cikgu jagalah sekolah tu baik-baik, bawa perubahan untuk kebaikan sekolah."
       "Nanti, kalau ada kesempatan, saya akan datang ke sekolah cikgu," Katanya menguntum senyuman yang penuh makna. 

         Selalunya, kita bertemu dengan orang berpangkat besar hanya dalam majlis rasmi. Namun begitu, saya bersyukur kerana bertemu dengan Tan Seri KPPM selepas solat subuh, dalam suasana santai. Lebih daripada itu, beliau pada pandangan saya sangat menjaga ukhuwah dengan masyarakat. 
        Bagi masyarakat Putrajaya, hal ini mungkin perkara biasa, tapi saya jarang mendapat peluang sebegitu.

Wednesday, May 3, 2017

JMFR 2017: Berjaya Tamatkan Kayuhan 110 km

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Usai program penutup MYIPO bersama Menteri KPDNKK, Dato' Seri Hamzah Zainuddin di SMK Sungai Bayor pada Sabtu 29 April, saya terus memecut menuju ke Teluk Batik, untuk mengambil 'goodies' JMFR 2017.

Seperti mana sebelumnya, JMFR 2017 adalah program kayuhan santai berbasikal menjelajah daerah Manjung, yang dianjurkan oleh Kelab Kilat TNB Janamanjung Teluk Rubiah sejak 10 tahun lalu. Tidak seperti selalu, kali ke-10 ini bermula di Teluk Batik, Lumut. Hero saya, Afif Wajdiy menyertainya buat kali kedua. Kali ini saya berpesan kepadanya agar mengikut kayuhan peloton hadapan. 
"Kamu jangan ikut baba, sebab kayuhan baba agak perlahan.." pesan saya kepadanya. Saya tahu kemampuannya. Pasti dia boleh berkayuh lebih laju daripada saya kerana tenaga mudanya kuat. Lagipun dia lebih banyak berlatih berbanding saya, yang semakin sibuk dengan tugas baharu.

Pada keesokannya, 30 April 2017, kami solat subuh di Masjid Rahmaniyah Lekir, sebelum terus bergerak menuju tempat permulaan. 

Kayuhan bermula 7.30 pagi, dengan dirasmikan oleh Datuk Syamsul Ahmad, pengurus besar TNBJ. Seramai 1012 orang peserta menyertai kayuhan, kurang sedikit daripada edisi tahun 2016. 
Bergaya sebelum memulakan kayuhan 110 km

Kami berkayuh menaiki Bukit Teluk Batik dan terus menuju ke Pantai Remis, melalui Jambatan Bainun. Stesen pertama hentian kami di Kg Permatang Acheh, selepas kayuhan sejauh 47 km. 
Saya dan bekas pelajar, Janggut @ Hafizuddin

Selepas itu, kami berkayuh lagi hingga ke hentian kedua di Kg. Tengah, Beruas. Saya teruskan kayuhan sehingga kaki kekejangan di laluan Sungai Wangi-Sitiawan. Mujur juga ada marshall yang membantu menyembur ubat anti-kejang, dan akhirnya saya sampai juga di kaki bukit Teluk Batik. Di situ, sekali lagi saya diserang kekejangan dan terpaksa menolak GIANT TCR ke puncak, sebelum turun dengan laju hingga ke garisan penamat, tepat jam 1.05 petang. 
Jumpa lagi dalam JMFR 2018

Ketika sampai di sana, Wajdiy sudah pun lebih awal tiba, dalam kelompok 50 orang pelumba peloton hadapan. 

Tahniah Wajdiy. kamu memang kuat! 

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...