Tuesday, June 14, 2016

SELOKA SMG3 (Dedikasi buat keluarga SMG3 NPQEL Ambilan 1/2016)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

SMG3 nama diberi
Kumpulan NPQEL pelbagai negeri
31 orang bermacam peri
Otak berkarat belajar kembali

Tok Ngulu gelaran empunya
Khairi Mohd Noor diberi nama
Warung mamak persinggahan utama
Walau tegas tapi bersahaja

Penghuluwati Zalina Hassan
Berkaca mata penuh senyuman
Pandai mengambil hati rakan
Jari di pipi gaya pingitan

“One Day” dan Sahari orang yang sama
Bekas nazir yang hebat ilmunya
Jenuh nak jawab kalau ditanya
Sebab soalannya bertaraf dunia

DG52 gred jawatannya
Jarang bercakap tegas orangnya
Puan Rozemi berkaca mata
Memang ada ciri pengetua

Kulit cerah dan mudah mesra
Belajar di Scotland bermacam kisahnya
Mendengar cerita kami ketawa
Itulah Halim Musa yang bijaksana

Kamisah duduk paling hadapan
Orangnya pendiam banyak pengalaman
Noriha tauke kurma pilihan
Riuh mulutnya tanya soalan

Jamalulail jangan diduga
Pemegang ‘black belt’ hebat bertenaga
Dengan Tajul Ariffin kerap bersama
Maklumlah dari negeri Ganu kite

Kecil molek lantang suara
Bertugas di sekolah Seri Perkasa
Kasmiyati Katiman itulah orangnya
Susah menangis mudah ketawa

Ravi kacak berbaju Melayu
Pernah bertugas di Sarawak dulu
Ahad hari untuk ayah melahu,
Prinsip Tuan Saad kalau nak tahu

Ustaz Kasim ada fb
Mudah senyuman terukir di pipi
Kalau bercakap penuh berisi
Elearning tak siap dia ketip gigi

Teratur bicara tenang orangnya
Hamidah Abdul Samad gerangan nama
Ustaz Ahmad di KV bertugasnya
Sekali pandang, gaya Imam Muda

Unik nama Khatamarazi
Anak Pahang berjati diri
Alias Ismail dijangkiti denggi
Minggu kedua tak larat berdiri

Ustaz Rusmizi tersilap langkah
Tersasul Saadiah dipanggil Saodah
Anuar Lela bakat terserlah
Gazebo dijual rezekinya murah

Tinggi lampai tertib bicara
Fatimah Haron empunya nama
Sabariah Ibrahim teman rapatnya
Ke mana pun pergi kerap bersama

Aishah Mujab rupanya ustazah
Duduk sebelah dengan Puan Rahimah
Baru dapat cucu bertuah
Sudah sah bergelar opah

Cheongsam pakaian pilihan
Jee Kiat Mei suaranya boleh tahan
Subaidah Kandar menjaga tuntutan
Bijak menjaga hati rakan-rakan

Musa Aziz duduk di depan
“Saya protes” jadi kenangan
Satu negeri dengan Cikgu Azlan
Seorang di Ipoh, seorang lagi Teluk Intan

Norazhar Mohd Shah cakap berfakta
Bertugas di Alam Shah Putrajaya
Cikgu Mohamad pula berhati waja
Bermotor besar hobi utama

Ustaz Redhuan manis wajahnya
Jarang bercakap tak tentu hala
Hari pertama berbuka puasa
Doanya kami aminkan saja

Sekian sahaja seloka ini
Niat bersenda bukan mengeji
Daripada saya Izzuddin Ali
Mohon untuk mengundur diri








Thursday, June 9, 2016

DEMAM SEBELUM KE IAB MINGGU TERAKHIR KURSUS NPQEL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Setelah melalui 2 fasa sebelum ini, perjuangan menempuhi kursus NPQEL (Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan) sudah sampai ke penghujung. Hanya satu minggu sahaja lagi kami perlu berada di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands. Ini juga bermakna, saat perpisahan keluarga SMG3 juga makin dekat. Bagaimanapun minggu terakhir ini penuh dengan cabaran. Pertamanya, ia betul-betul bermula pada 1 Ramadhan. Saat orang lain sibuk bertarawikh dengan keluarga pada awal Ramadhan, saya terpaksa berjauhan dengan anak isteri. 

Keduanya, untuk membuat perjalanan ke IAB Genting pada Ahad, 5 Jun 2016, cukup mencabar, Saya demam teruk dan tidak bermaya untuk memandu ke sana, yang jaraknya melebihi 200km. Buntu memikirkan Kakyong juga perlu kembali ke UiTM Dengkil selepas tamat tempoh cuti. Dia pula baharu mendaftar dan tidak betah untuk menaiki ETS atau bas. Isteri pula memang tidak biasa memandu jarak jauh tanpa saya di sisi. Semua kebimbangan itu menambahkan kekusutan. Syukurlah semua tugasan NPQEL dapat disiapkan lebih awal. 

Saat itu pertolongan Allah tiba seperti yang dirancangNya. Adik kesayangan yang bertugas jauh di IPG Tawau Sabah balik bercuti, bersedia menghantar saya ke IAB dan anak saudaranya ke Dengkil. Alhamdulillah, perjalanan kami selamat dan segalanya dipermudahkan oleh Allah. Menjelang maghrib kami tiba di IAB. Terima kasih Sani!

Isteri tersayang turut mengiringi saya memberikan semangat. Sebelum pulang masih sempat dia memberikan kata perangsang, dan pelukan kasihnya sebelum mereka bertolak ke Dengkil menyebabkan saya terharu. Terima kasih Ma!

Walaupun saya agak lesu dan tidak bertenaga hingga pada awalnya saya sudah bertekad tidak hadir ke IAB, akhirnya saya meneruskan minggu terakhir yang mempunyai dua agenda penting dalam melengkapkan kursus NPQEL. Pertama, kami menduduki peperiksan akhir dan kedua, pembentangan laporan sandaran dalam kolokium yang dinilai oleh pensyarah.   Pada Isnin, demam saya tidak menampakkan tanda surut, dengan bantuan rakan seperjuangan, dia menghantar saya ke klinik dan doktor mengesahkan saya saya demam akibat jangkitan tonsil yang membengkak di dalam tekak, bukannya denggi. Terima kasih Encik Mohamad Saad, rakan yang selalu susah senang bersama sepanjang kursus ini.

Saya telah pulih daripada demam itu pada hari kedua Ramadhan, dan dapat menduduki peperiksaan tanpa masalah besar. Syukur Allah. Kau Maha Mendengar segala keluh resah hambaMu yang banyak dosa ini.