Wednesday, December 30, 2015

Ceramah Santai Bekas Paderi Pengampun Dosa Di Masjid Rahmaniah Lekir

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya mendapat pesanan wassaps Haji Zakaria Sharif, pesara guru yang memaklumkan bahawa satu ceramah agama sempena Maulidulrasul, Selasa 29 hb Disember diadakan di masjid Rahmaniah Lekir. Pada hemat saya, ia satu kesempatan yang tidak patut dilepaskan lalu saya membawa bersama 4 orang anak lelaki selepas solat maghrib. Kami sampai ketika Ustaz Ahmad Junaidi, imam bertugas sedang menyampaikan kata aluan. 

Ceramah santai oleh Ustaz Ayub Abdul Rahman 63, yang dahulunya adalah seorang seorang pendeta atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam. Berasal dari Pulau Pinang, beliau membesar dalam persekitaran masyarakat pelbagai kaum dan hidup berjiran dengan masyarakat Melayu-Islam semasa kecilnya. 

Sememangnya Anthony Samy sangat teruja untuk menjadi seorang paderi, dan taat kepada ajaran Kristian sejak zaman remajanya. Beliau pernah digelar 'Pope' oleh rakan sekolahnya kerana hampir setiap hari, dia akan singgah di sebuah gereja sebelum ke sekolah. 

Selepas tamat SPM, beliau nekad menyambung pengajian Kristianisasi di Jerman. Kewibawaannya diiktiraf apabila diberikan peluang berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurt selama hampir 10 tahun. Gereja tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris) merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris yang beraliran Anglican Episcopal Church. Ia sering menjadi tumpuan penganut Kristian terutamanya dari Amerika Syarikat dan Britain serta lain-lain negara Eropah.

Anhony Samy menguasai kitab Injil dan mempelajari bahasa Latin sebagai syarat untuk pergi lebih jauh dalam misi menyebarkan Kritian. Dia amat mengetahui semua isi dan selok belok kitab Injil itu. Namun sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya, hidayah Allah tidak dapat ditolak, akhirnya dilimpahkan dengan cahaya kebenaran untuk memeluk Islam.

“Saya telah mempunyai kehidupan yang begitu sempurna semasa menjadi paderi.Segala-galanya disediakan dan diberi percuma oleh pihak gereja. Daripada orang yang akan membasuhkan tandas kita sehinggalah pemandu dengan kereta Mercedes mewah untuk membawa saya ke mana sahaja. Beritahu sahaja ke mana destinasi, jika jaraknya jauh, saya akan diberikan tiket penerbangan kelas pertama ke hampir seluruh pelosok dunia."

"Jadi saya tidak ada masalah sepanjang berkhidmat untuk gereja kerana apa sahaja yang dihajati akan segera dipenuhi, malah saya diiktiraf sebagai Biecht-vader iaitu pengampun dosa penganut Kristian antarabangsa.

Sehinggalah pada suatu hari berdasarkan pembacaan kitab Bible, perasaan beliau tidak tenang apabila terkenangkan jiran-jiran Melayunya di Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam Pulau Pinang. 

“Mereka merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka menjalani ibadat puasa Ramadhan, kami sekeluarga akan menerima juadah berbuka puasa mereka. “Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan. “Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira. “Saya kira mereka merupakan jiran terbaik yang pernah saya jumpa” katanya dalam ceramah tersebut.

Apabila mengenangkan kebaikan jiran-jirannya itu dan ajaran Kristian, Anthony begitu terusik kerana kebaikan mereka itu akan berakhir dengan 'masuk ke neraka' kerana menurut ajaran Kristian, hanya mereka yang dibaptiskan sahaja boleh ke syurga..

Disebabkan memiliki kunci pintu gereja, maka pada suatu malam yang sunyi sepi, di hadapan altar Jesus, beliau bercakap dengan Tuhan dan ‘merayu’ supaya jiran-jirannya itu dikecualikan daripada memasuki neraka. Selepas itu beliau tertidur, dan ketika itulah beliau mendengar satu suara menyuruhnya memahami Islam supaya mudah berdakwah kepada jiran-jiran di kampungnya nanti. 

Sebaik terjaga daripada tidur, Anthony dipenuhi semangat yang meluap-luap untuk mengubah akidah umat Islam. Lantas beliau memohon kebenaran pihak gereja untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang bakal dijadikan senjata untuk melumpuh dan melemahkan umat Islam itu sendiri. Permintaan Anthony segera dipenuhi malah pada tahun 1973 beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute di utara London bagi membolehkan paderi ini mempelajari Islam sebanyak mana yang beliau mahu.
“Pada mulanya untuk selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui hanyalah keindahan Islam. Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama. Kata-kata Allah itu begitu terpelihara dan tidak berubah oleh sebarang tokok tambah dan pengurangan. Berbanding dengan Bible, ia telah diubah dan disesuaikan dengan kehendak gereja. Ini benar-benar mengejutkan saya sehingga saya menjadi lebih takut membandingkan kedua-dua agama ini," sambungnya.
.
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imraan: 85)

Menurut Ayub, tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sangat berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehinggakan banyak mengunjungi tempat suci orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak diperolehi oleh penganut lain. “Ditambah dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali, saya tak mungkin mudah untuk berubah kepercayaan,” katanya.

Dia berkawan dengan orang Islam dari Afrika Utara, dan mereka memberinya tafsir Al-Quran untuk dibandingkan dengan kitab Bible. Apa yang ditemuinya lebih mengejutkan. Jika Bible menyebut Nabi pilihan Allah, ia juga dinyatakan dalam Quran. Abraham, disebut Ibrahim, Nuh (Noah), dan tiada konsep triniti dalam AlQuran. Dalam Quran, kisah para Nabi yang diceritakan sesuai dengan konsep insan terbaik pilihan Allah, berbanding dalam Bible yang banyak menceritakan kisah Nabi dari sudut negatif. 
 
Kebenaran mula terungkap dan perubahan sikapnya dihidu oleh pihak gereja. Anthony Samy mula mempertikaikan konsep triniti, tetapi tidak mendapat jawapan yang diharapkan. Lebih buruk lagi, dia telah ditahan di hospital mental kerana dianggap tidak kompeten dan diresapi unsur jahat. Dia berjaya pulang ke tanah air setelah melalui pelbagai dugaan.
 
Tanggal 4 September 1978, beliau diIslamkan di bumi Sarawak dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob dengan nama Ayub Abdul Rahman bin Abdullah.

Demi keselamatan dirinya yang mendapat ugutan, Ayub terpaksa menyembunyikan diri di Jeddah, Arab Saudi dan di Tanah Haram, Mekkah Al Mukarramah selama tiga tahun. “Tetapi begitu sekali kekuasaan Allah! Jika tidak kerana persembunyian ini tentulah saya tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya benar-benar bersyukur kerana diberikan peluang yang sebegini hebat. “Bagai tidak percaya, baru sehari dua mengucapkan kalimah syahadah di tanah air tetapi Rumah Allah, Kaabah itu kini berada di hadapan mata dan saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Seumur hidup tidak pernah menangisi diri tetapi saya benar-benar merasakan diri ini begitu kerdil dan hina berbanding nikmat iman yang diberikan oleh-Nya kepada saya,” katanya.
 
Sesungguhnya, hidayah Allah memberikannya peluang mengIslamkan ramai orang, kerana kelebihannya menguasai pelbagai bahasa dan boleh membuat perbandingan agama Islam dan Kristian secara terperinci. 
 
Terima kasih kepada jawatankuasa masjid Rahmaniah Lekir yang mengadakan program yang begitu menarik dan sangat bermakna.   

Monday, December 21, 2015

(MASUK GUA) ..sambungan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
(Nasihat: Anda dinasihatkan membaca entri sebelumnya bagi memudahkan pemahaman jalan cerita di bawah.)

Tiba-tiba lampu suluh Tongkhai terpadam.
Suasana menjadi senyap dan sedikit menyeramkan. 
"Kau ada pemetik api?" Adi bertanya Tongkhai dengan suara bergetar.
Bunyi kelawar tiba-tiba berdecit-decit bagai diganggu sesuatu. 
Tongkhai yang mula berpeluh jantan mengunjukkan pemetik api kepada Adi.
"Susahlah kalau selalu begini.." Adi memecahkan kebuntuan. Ada riak takut pada suaranya.
"Kalau Liverfool kalah lagi, nampaknya lamalah kita di gua ni," katanya sambil tersenyum kelat ke arah Tongkhai yang terangguk-angguk mengiyakan kata-katanya. 
Dia menyalakan api dan membakar kayu serta daun kering yang ada di lantai gua.  Suasana gua menjadi sedikit cerah. Mereka terus berbual santai ditemani bunyi cengkerik dan decit kelawar di gua itu. 
Sedang mereka berbual, kedengaran sayup-sayup suara dari arah pintu gua.
"Hoiiiiiiii,... ada orang tak?"
"Kalau ada orang, kami nak masuk..." Laung suara itu lagi.
Adi dan Tongkhai saling berpandangan. Suara itu, macam biasa mereka dengar.
"Kau dengar apa yang aku dengar?" Tanya Tongkhai.
Adi mengambil lampu suluh Tongkhai. Di ketuk-ketuknya lampu suluh itu dan secara tiba-tiba, ia menyala semula, biarpun tidak begitu terang.Dia menyuluh ke arah suara tersebut.
Dari kejauhan yang samar-samar, kelihatan susuk tubuh dua orang lelaki tegap menuju ke arah mereka.
"Woih, hangpa merajuk ka masuk gua ni?" Tanya suara itu. Semakin lama, wajah lelaki itu jelas kelihatan.
Sudah sah. Adi dan Tongkhai tersenyum melihat kelibat lelaki tersebut. Mereka kenal benar dengannya.
"Tak aih... saja dok melengung, tunggu game minggu depan," Tongkhai menjawab dengan suara yang agak nyaring.
Tepat telahan mereka, dua lelaki tersebut ialah Pak Din Hensem dan Pak Alim KIPS. Kedua-duanya penyokong kelab Mancistu United.
"Pak Din Hensem buat apa kat sini?" Tanya Adi.
" Ada bawak makan kaa?" Tongkhai pula bertanya.
"Huhh... makan apa, kami nak temankan hangpa laa..." Pak Din Hensem bersuara.
Riak wajahnya tetap hensem walaupun keletihan berjalan.
"Nak temankan kami?" Adi tercengang sambil memandang Tongkhai.
"Tak payahlah Pak Din... Kami kot lama lagi kat sini. Pak Kulop janji kebangkitan, tapi kelmarin dah kena 3 bijik,... malulah kami nak keluaq," Adi berhujah menggunakan dialek Kedahnya.
"Betoi tu,... kami relah dok lama kat dalam gua ni," Tongkhai menyampuk.
"Kome tak tengok ASTRO ker?" Pak Alim KIPS yang dari tadi diam, bertanya.
"Mana ada ASTRO dalam gua ni?" Adi menjawab sambil menguis-nguis unggun api yang hampir padam.
"Kelab Mancistu United pun kena baham gak. Tu sebab kami nak lepak sini temankan hangpa." Kata Pak Din Hensem perlahan-lahan sambil menunduk.
Keempat-empat mereka duduklah di gua itu buat seminggu lagi...

(Cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa, melainkan untuk hiburan hati yang lara juga adanya..)

Tuesday, December 8, 2015

MASUK GUA (Untuk Peminat Kelab Bola Sepak BPL Sahaja)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan persinggahan anda di sini.

Foto hiasan
Susuk tubuh dua pemuda kelihatan merangkak-kangkak di lantai gua.
"Gelapnya gua ni," bisik Tongkhai yang berada di barisan hadapan.
"Jalan terus. Jangan berhenti. " Kata Adi sambil merenung siling gua yang dipenuhi kelawar bergayutan.
Tidak lama merangkak bagaikan itik berjalan, mereka berhenti seketika, menghilangkan penat.
Suasana agak sepi. Sesekali ada bunyi cengkerik dan kelawar berebut tempat bergantung. Ada bunyi titisan air dari staktait yang membentuk permukaan gua batu kapur itu. 
"Ada yang tahu tak kita di sini?" Tongkhai bersuara, memecahkan hening suasana. Lampu suluhnya dihalakan ke muka Adi seketika.
"Adi mendiamkan diri.
"Tak ada." Katanya pendek.Kemudian dia menghela nafasnya perlahan-lahan, bagaikan merintih.
"Kau pasti?" Tongkhai meminta kepastian.
"Adi mengangguk perlahan bagaikan Juergen Klopp di tepi padang bola.
Mereka diam seketika.
"Aku tak sangka, dah menang bergaya sebelum ni, baru je nak selebret, dah kalah balik." Tongkhai meluahkan perasan yang terbuku di hatinya.
"Rilek la,... ada lagi game yang akan datang, mana tau boleh menang?" Adi memujuknya. Sebenarnya Adi sendiri tak pasti akan keyakinannya kepada kelab bola sepak mereka, iaitu Liverfool.
Gua itu adalah saksi kepada sokongan mereka terhadap pasukan Liverfool selama ini. Di situlah mereka akan melepak sehingga ke minggu perlawanan berikutnya. Jika kelab bola mereka menang atau seri, mereka akan keluar semula dan bersembang penuh gaya dengan penyokong pasukan lain.
Jika ada kesempatan, mereka boleh mengutuk kelab bola sepak Mancistu United, iaitu kelab bola sepak yang disokong oleh Pak Din Hensem. Tetapi, akhir-akhir ini kelab tersebut sering menang, atau paling kurang seri dengan lawannya.
"Berapa lama kita nak lepak sini?" Tongkhai merenung Adi, sambil jarinya memutar-mutar ranting kecil.
"Tengoklah, hujung minggu ni mungkin boleh keluar. Pak Kulop janji buat kebangkitan." Kata Adi, yang begitu mengagumi Pak Kulop, pengurus kelab Liverfool yang baharu dilantik. 

Cerita ini tiada kena mengena dengan sesiapa, melainkan untuk hiburan semata-mata


Thursday, December 3, 2015

SATIRA POLITIK: HIKAYAT BENDAHARA BEBAL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan persinggahan anda di sini.

Sahibul hikayat, maka diceriterakan orang, ada sebuah negeri antah berantah, jauhnya sepurnama berjalan ke arah matahari terbit, maka negeri itu pun diperintah oleh seorang bendahara, terlalu baik parasnya, ibarat bagai pauh dilayang, bagai bulan di pagar bintang. Hatta, diperisterikannya seorang puteri yang tidak kalah rupanya, sekonyong-konyong dikatakan orang mirip pelakon Saadiah juga adanya.

Adapun bendahara itu, tidaklah sepintar almarhum ayahandanya, yang juga memerintah negeri antah berantah itu. Hatta, setelah kemangkatan ayahandanya, lalu dinobatkan ia sebagai ganti, kerana rakyat negeri itu sudah terhutang budi dengan jasa ayahandanya dahulu.Sudah menjadi adat negeri antah berantah, pemerintah akan digantikan dengan keturunannya, kerana barang dipercaya oleh kebanyakan orang, rakyat negeri itu tidak ada yang layak memerintah, melainkan keturunan bendahara juga adanya.

Maka bendahara yang muda itu pun memerintah negeri antah berantah, mengikut kebijaksanaannya.Setelah lama ia memerintah, maka bendahara mulalah lupa akan dirinya. Maka, selalulah ia berfoya-foya, mabuk dengan harta dunia sehingga ia lupa akan rakyat jelata yang setia kepadanya.
Lalu, dibandingkan orang dengan pemerintahan ayahandanya, maka kata seorang daripadanya, "tidaklah hamba melihat bendahara itu lebih baik daripada ayahandanya," Lalu dikhabarkan orang kata-kata itu kepada dia, Maka bendahara itu pun murka seraya berkata," Siapakah yang telah menghina beta, membandingkan beta dengan ayahanda beta yang sudah tiada? Hadapkan ia ke istana, biar beta ajarkan dia, bersopan dengan bendahara ternama."

Maka sejak daripada itu, rakyat mulalah rasa gundah gulana, barangsiapa tidak sependapat dengan bendahara, hukuman sudah pasti ada. Hatta, bendahara pula semakin alpa, tidak terkira harta negara, diambil digunakan setiap masa. Cukai yang ada dinaikkan hinga terkejutlah rakyat jelata, menghimpit kehidupan marhaen jadi papa kedana. Kepada rakyat, bendahara menunjukkan muka selamba, berjalan ke sana ke mari bagaikan tidak berdosa, diberikan sekupang dua, supaya rakyat senyap tak berkata apa-apa.

Maka sampailah perkhabaran kepada rakyat, entah mana datangnya berita, kononnya bendahara ada menerima derma, yang jumlahnya banyaklah juga. Ketika rakyatnya hidup sederhana, bendahara itu berbelanja sakan lagaknya, seolah negeri antah berantah itu, miliknya sahaja. Cukai kepala dan tambang pengangkutan awam dinaikkan berganda, maka diciptakannya alasan yang berjela-jela.

Barangsiapa yang menongkah, pasti hukuman pancunglah jawapannya. Rakyat menjadi susah dan amarah mula bernyala. Sampailah berita kepada Datuk Temenggung, timbalannya, lalu berbisiklah temenggung mengkhabarkan rakyat sudah tidak suka akan perilaku bendahara yang suka berfoya-foya. 
" Wahai Datuk Bendahara, sudah cukuplah berfoya-foya, rakyat kita semakin celik akalnya, jangan pula kita dihinakan bila tiba masanya," pujuk datuk temenggung kepada bendahara.
Maka, murkalah datuk bendahara, kerana temenggung yang selama ini menyokongnya, sudah berpaling arah mengkritik kepimpinannya. Maka kata datuk temenggung lagi, rakyat bertanya apakah derma yang banyak kepada bendahara, siapakah yang memberinya?
Lalu bertambah murkalah bendahara, kerana dihina sedemikian rupa. Tidaklah dapat dijawab siapa pemberi derma kepadanya, melainkan kononnya daripada jutawan Arab kaya yang tidak diketahui namanya.
Diceritakan orang, datuk temenggung yang selama itu menjadi penasihatnya, tidak lagi diumpamakan bagai bangsawan ternama, di mana dia berada, datuk temenggung diludah dinista oleh juak-juak bendahara, kononnya ingin merampas kuasa, lalu dituduhlah datuk temenggung bermukah hingga hilanglah maruah dan harga diri datuk temenggung itu.
Lalu, ke mana sahaja pergi datuk temenggung itu, tidaklah lagi diberi hormat oleh rakyat jelata, jika ada pun sedikit sahaja yang tahu akan cerita di sebalik tuduhan nista itu.
"Barulah puas hati beta, datuk temenggung ingin menunjukkan bijaksananya, tak padan dengan rupa, sudahlah hodoh, hitamlah pula," kata bendahara bersama permaisuri yang menjadi penasihatnya sekian lama.  
Hatta, setelah beberapa lama, rakyat antah berantah semakin meluat bertambah bencilah kepada bendahara. Barang apa dikatanya, sudah tidak lagi dipercaya, maka gundahlah hati bendahara, hendak diletak jawatan, penggantinya bodoh-bodoh belaka. 
Apakah kelak nasibnya tatkala banyak lagi khazanah negeri antah berantah tidak dibelanjakannya.
Lalu diciptakannya skim pemberian subsidi kepada rakyat, kononnya hendak dikongsikan khazanah negara, diberikan beberapa keping syiling perak kepada rakyat jelata, tetapi selebihnya, wang emas berkoyan-koyan masuk ke poket bendahara. 
Lalu makin beranilah bendahara mengutip hasil masyghul negeri antah berantah itu. 
Sekonyong-konyong, datanglah seorang lelaki, elok parasnya, menyapanya pagi hari, ketika datuk bendahara sedang mengira wang emas dalam tempayan di bilik tidurnya. Entah daripada mana datangnya lelaki itu, lalu terkejutlah bendahara lalu bertanya, "siapakah gerangan tuan hamba, datang tidak memberi salam, muncul secara tiba-tiba?"
Lalu dijawab oleh lelaki itu, "akulah malaikat maut, yang ditugaskan mencabut nyawamu." 
Menangislah bendahara, maka berjurailah air matanya, merayu diberikan sedikit masa, untuk dia menyimpan khazanah negeri antah berantah supaya dapat digunakan keluarganya. 
" Barang diberikan masa untuk hamba membuat wasiat kepada anak cucu hamba supaya tidaklah mereka berebut harta hamba sesudah hamba .....," katanya seraya berlakon mengesat-ngesat air matanya. 
Tidak sempat dia menghabiskan ayatnya, maka tercabutlah nyawa daripada badannya. 
Maka terkangkanglah bendahara, mati di mahligai miliknya, tanpa sempat meninggalkan wasiat kepada anak cucunya. 

CERITA INI TIADA KENA MENGENA DENGAN MANA-MANA PIHAK JUGA ADANYA...

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...