Monday, August 27, 2018

RINDUNYA SUASANA MEKAH 2017

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Julai 2017, saya dan isteri menerima undangan menjadi tetamu Allah (kisahnya di sini), dengan penerbangan XY16B KLIA -Jeddah pada 2 Ogos 2017. 

Sudah setahun berlalu, kenangan semasa berada di sana menggamit perasaan untuk bertandang lagi. Selepas 5 tahun, andainya ada rezeki, bolehlah jemaah haji yang telah pergi, mendaftar semula. Peraturan ini ditetapkan oleh TH kerana tempoh menunggu kini sudah mencecah 108 tahun. Baru baru ini, kami mendaftarkan haji untuk anak anak yang belum daftar, dan giliran mereka tiba pada musim haji tahun 2126.

Saya ingin kongsikan beberapa foto dan cerita di Mekah, sebagai kenangan dan panduan bersama. 

Pesawat FlyNas  yang disewa oleh TH selamat mendarat
  Semua jemaah Malaysia penerbangan XY16B tidak solat subuh kerana kami perlu mematuhi masa penerbangan dan tiba di KLIA pada masa yang ditetapkan. Kami diarahkan menaiki bas dari Kelana Jaya ke KLIA. Waktu itu, azan subuh sudah berkumandang. Ironinya, kami ke Mekah untuk mengerjakan ibadah haji. Mungkin selepas ini keadaan begitu tidak berlaku lagi, kerana Kompleks TH di KLIA hanya 3 km daripada Lapangan Terbang. 
Arwah Andak Ani (dua dari kanan), meninggal dunia 7 Mei 2018
Ibu saudara saya, Rohani Ahmad berfoto kenangan terakhirnya bersama kami semasa bertemu di Kelana Jaya. Pada Mei 2018, Andak menghembuskan nafas akhirnya selepas berjuang 2 tahun melawan kanser  (kami pun tak tahu penderitaannya)
Saya berkongsi bilik dengan Haji Munshi sepanjang di Mekah
Mungkin ada yang terkejut jika saya katakan, bilik hotel kami di Mekah dikongsi dua orang sebilik. Saya berkongsi dengan Komander Haji Munsi Abdullah, rakan daripada daerah yang sama. Mudah untuk kami bertolak ansur dalam banyak perkara. 

Jemaah haji memang melalui suasana mencabar menentang suhu panas di Arafah, sehingga 38 darjah Celsius. Kebanyakan kami berbaring sambil berzikir, atau melakukakn ibadah sunat lain. Memang benar, untuk masuk syurga Allah, harus melalui cabaran getir. Insya-Allah kesudahannya manis untuk dinikmati. 

Suasana Masjidilharam yang tenang
Masjidilharam, tumpuan jutaan Muslim yang mencari keredhaan Allah, menyediakan suasana damai, dan membolehkan jemaah membuat amalan sunat serta wajib, terutama jika datang awal. Contohnya, jika waktu zohor masuk pada 12.25 tgh, jemaah disarankan datang seawal 9 pagi. Ini membolehkan kita memilih lokasi untuk iktikaf. Tempat kegemaran saya adalah aras tiga, berdepan dengan Kaabah.    

Mengunjungi Mekah sebenarnya satu anugerah. Saya berharap dan berdoa agar dapat mengunjunginya lagi  satu hari nanti. Itulah tekad saya.



Monday, August 13, 2018

SISI KEHIDUPAN DI PONDOK MENGAJI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dari kiri: Saya, Opah Ramlah dan Makcik Midah
Ketika ke Manong untuk satu majlis peringkat negeri pada Sabtu lalu, saya bertemu dengan dua orang penghuni Pondok Ar-Ridzuan, Manong, iaitu Opah Ramlah dan Makcik Midah. Kebetulan saya melalui jalan tempat mereka menunggu bas. Saya pelawa kedua-duanya untuk ditumpangkan ke pekan Manong. Daripada situlah perkenalan ringkas kami bermula.

Sebenarnya, kedua-duanya bukan orang terbuang. Opah Ramlah merupakan bekas isteri seorang Datuk, manakala makcik Midah mempunyai kehidupan selesa di Beruas. Namun begitu, mereka selesa tinggal di pondok tersebut untuk menuntut ilmu sebagai bekalan selepas meninggalkan dunia ini. Antara kedua-duanya, Opah Ramlah lebih mesra, dan sudah lebih 12 tahun tinggal di pondok tersebut, manakala Makcik Midah sudah 6 tahun menjadi penghuni di situ.

Yuran bulanan termasuk sewa rumah RM80/bulan, tetapi makan minum diuruskan sendiri. Konsepnya sama seperti pondok AlBaraqah yang dikendalikan oleh Datuk Ustaz Kazim Elias di Manjoi. Rutin penghuni pondok di situ adalah menuntut ilmu fardhu ain, fardhu kifayah dan lain lain setiap hari Isnin hingga Jumaat. Sabtu dan Ahad, adalah hari bebas untuk aktiviti individu.

Saya dibawa oleh kedua-dua wanita yang baik hati ini ke rumah sewa mereka di pondok tersebut, selain ditunjukkan kawasan persekitarannya yang tenang dan damai. Di rumah sewa, mereka berkongsi dua orang serumah. Ada dapur disediakan. Peti sejuk dan mesin basuh, radio kecil dan keperluan asas lain adalah hak individu. Ada hampir 100 orang penghuni warga emas di situ, dan 40 orang pelajar tahfiz (lelaki), tinggal di pondok Ar-Ridzuan.

Hari ini, ramai warga emas yang berkemampuan, memilih untuk tinggal di pondok bagi belajar ilmu agama, berbanding tinggal di rumah anak-anak (sekaligus menjadi pengasuh dan penjaga cucu). Ada kalangan mereka bertemu jodoh kali kedua semasa belajar agama di sana. Hakikatnya, mereka memilih menghabiskan sisa hidup dengan cara yang lebih bermanfaat, demi kelangsungan bekalan hari akhirat. 

        

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...