Wednesday, July 19, 2017

KEPENTINGAN SAINS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

     Dunia hari ini berkembang pesat, hasil daripada percambahan ilmu dalam pelbagai bidang. Teknologi maklumat merupakan satu bidang sains yang cepat berkembang. Sains dan matematik berkait rapat antara satu sama lain dan ia amat penting dalam kehidupan manusia sejagat. 

     Sains dan teknologi bergerak seiring dengan kemajuan sesebuah negara seperti Malaysia. dan menghasilkan pelbagai peralatan yang canggih untuk kegunaan manusia.

   Pada zaman dahulu kehidupan manusia mundur kerana tiada perkembangan sains dan teknologi. Manusia ketika itu ketinggalan dalam aspek pendidikan, perubatan, perindustrian kerana tiada alat yang berteknologi tinggi. Hari ini, perkembangan sains dan teknologi berkembang pesat, sehingga membolehkan manusia meneroka ke angkasalepas. Kaedah perubatan misalnya, menggunakan pembedahan laser berkamera kuasa tinggi, sehingga dapat mengurangkan pembedahan major. 

     Perkembangan Sains menjadikan kerja kita semakin mudah dan cepat. Semua kerja harian kita dapat dibuat dengan pantas dan betul. Kecanggihan teknologi menjadikan manusia semakin pintar. 

Namun begitu, belajar sains bukan sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata. Melalui Sains juga, kita dapat mendekatkan diri kepada Tuhan Maha Pencipta. Ilmuwan Islam terdahulu seperti Al-Kindi, Ibnu Rusyd, Al-Battani, Al-Razi dan seumpamanya adalah tokoh  yang banyak meneroka lapangan ilmu sains untuk kesejahteraan ummah. AlQuran sendiri menceritakan kejadian manusia dan pembentukan galaksi dari sudut sains Islam. 

Harus ada dalam minda anak remaja hari ini, untuk menyemai minat  mendalami ilmu sains. Jangan benci tapi sayangilah sains, kerana ia sebahagian daripada hidup kita. 


Wednesday, July 12, 2017

MOTIVASI AYAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

          Motivasi atau keinginan untuk mencapai impian atau cita-cita, sering dikaitkan dengan kejayaan insan dalam bidang yang mereka ceburi.  Mengikut sains psikologi, motivasi datang daripada dalaman (intrinsik) dan luaran (eksrinsik). Motivasi dalaman dan luaran ini saling berkait rapat. Dengan motivasi yang tinggi, seseorang dapat mengekalkan keupayaan bersaing dengan orang lain, dan akhirnya berjaya mencapai impian dalam hidup. 

       Tan Sri Loh Boon Siew, asalnya seorang pengutip besi buruk, tetapi akhir hayatnya dikenali sebagai jutawan yang sinonim dengan jenama motosikal Honda di Malaysia. Tan Seri Syed Mokhtar AlBukhary, jutawan Melayu yang berasal daripada keluarga yang bukan hartawan, tetapi kini mempunyai empayar perniagaan yang meliputi industri kenderaan, perbankan serta minyak dan gas. Mereka adalah contoh insan hebat yang mempunyai motivasi diri yang kuat untuk berjaya. 

            Saya kongsikan kisah ayah saya, seorang lelaki biasa, tapi kata-katanya masih terpahat dalam jiwa saya hingga ke hari ini. Kehidupan ayah saya bukannya orang senang. Dia seorang buruh majlis bandaran. Dengan gaji yang tidak seberapa, ayah dan emak membesarkan kami lima beradik. Ayah tahu, hidup sebagai pekerja rendah tanpa kelulusan yang tinggi tidak menjamin masa hadapan. Namun, ayah berusaha memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anaknya.  Usaha itu menjadikan saya kagum dengan ayah. 

Saya tahu ayah memang tidak berpeluang mendapat pendidikan yang tinggi, kerana kemiskinan zaman dia membesar. Tambahan pula, ibunya meninggal dunia pada usia muda. Hidupnya zaman remaja terumbang ambing. Begitu juga dengan emak. Pemikiran masyarakat Melayu dahulu mengutamakan pendidikan kepada anak lelaki, kerana anggapan bahawa anak perempuan akhirnya akan ke dapur juga. Pendek kata, mak dan ayah tidak berpeluang menamatkan pendidikan pada tahap yang sepatutnya. 

Ayat ayah yang saya ingat sampai kini, adalah kata-katanya, ketika mengingatkan saya tentang pentingnya pendidikan. 

         "Ein, (panggilan mesra ayah kepada saya) ayah tak ada harta. Ayah tak boleh wariskan kamu dan adik beradik lain harta yang banyak."

     "Ayah beri kamu peluang belajar, dan kamu mesti gunakan sebaiknya. Kalau kamu gagal, hidup kamu tak akan ke mana-mana.."

       Nasihat ayah itu memberi kesan besar dalam hidup saya. Apatah lagi, sistem pendidikan zaman itu turut menjadi motivasi yang kuat kepada saya. Dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), kegagalan matematik menyebabkan pelajar tidak boleh menyambung pelajaran ke tingkatan 4. Ini menjadikan saya berusaha mengulangkaji dengan jiran bernama Abang Jamaluddin yang menyewa selang dua buah rumah ketika itu.

      Kata-kata ayah menjadi azimat saya dan adik beradik lain, untuk mengubah nasib keluarga. Kami tidak menghina pekerjaan ayah sebagai buruh, tapi kami bertekad tidak mewarisi pekerjaan itu, kerana ayah telah beri peluang pendidikan kepada kami. Alhamdulillah, kami semua berjaya dalam bidang masing masing. 

Rumusannya, motivasi amat penting dalam mencorakkan minda insan yang ingin kita ubah. Seorang guru perlu mempunyai motivasi yang tinggi untuk membentuk jati diri dan minda pelajarnya. Jika guru tersebut tidak bermotivasi, pelajarnya tentu juga sepertinya. Begitu juga seorang pengurus yang mempunyai motivasi yang tinggi dapat berkongsi semangat dengan pekerja di bawahnya. Ringkasnya, motivasi dapat membangunkan jiwa dan mengubah sikap individu untuk menggerakkan organisasi yang lebih cemerlang.

Persoalannya kini, apakah dan siapakah yang memberi motivasi dalam hidup anda hari ini? 

Tuesday, July 4, 2017

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI HUBUNGAN DALAM PEMUAFAKATAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


      Sejak dahulu lagi, sekolah menjadi institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh masyarakat untuk memberi pendidikan dan ilmu kepada anak bangsa. Sejarah pendidikan awal bermula dengan wujudnya sekolah pondok, yang berteraskan ilmu agama. Selepas kedatangan penjajah, para mubaligh menubuhkan sekolah berasaskan agama Kristian, untuk menyebarkan agama tersebut kepada penduduk tempatan. Imigran seperti dari China dan India juga menubuhkan sekolah untuk memastikan bahasa ibunda mereka kekal dalam kalangan generasi muda. Dengan kata lain, sekolah merupakan sebuah institusi milik masyarakat. Ringkasnya, sekolah adalah harta sepunya masyarakat, diibaratkan bagai isi dengan kuku, kerana saling berinteraksi dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

      Oleh sebab komuniti merupakan sebuah masyarakat kecil, jadi sekolah juga diertikan sebagai masyarakat kecil kerana sekolah merupakan sebahagian daripada masyarakat di mana semua anggota hidup bersama dalam kawasan sekolah, mengikut peraturan-pertauran dan cara-cara yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Bukan itu sahaja, sekolah juga berkonsepkan sebagai suatu sistem sosial iaitu salah satu institusi pendidikan yang ditubuhkan untuk memenuhi keperluan anggota-anggota masyarakat supaya membolehkan mereka menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk kemajuan dan perkembangan diri dan masyarakatnya. 

        Hari ini, peranan sekolah masih dipertanggungjawabkan memberi pendidikan dan membentuk modal insan yang diperlukan oleh negara. Dengan demikian, sekolah mempunyai pengaruh utama sebagai satu aspek alam sekeliling yang mendatangkan kesan di dalam pembentukan sahsiah pelajarnya. Kebudayaan masyarakat yang sentiasa mengalami perubahan mewujudkan peranan baharu sekolah. Justeru pendidikan sekolah tidak memadai lagi dengan penyampaian pengetahuan dan cara hidup tradisi sahaja malah ia perlu menyediakan ahli-ahli masyarakat untuk menghadapi dan menerima proses pembaharuan. Oleh itu, sekolah juga memainkan peranan sebagai agen memodenisasikan masyarakat dalam semua bidang perkembangan dan kemajuan selari dengan keperluan-keperluan yang telah dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

         Di samping meningkatkan kerjasama dalam bidang aktiviti kurikulum dan kokurikulum antara sekolah-sekolah daerah, negeri dan negara, konsep sekolah wawasan pula diperkenalkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, pada bulan Disember 1995 bertujuan memberi peluang kepada murid-murid daripada pelbagai kaum untuk belajar dan berinteraksi bersama dalam sesuatu kawasan yang sama demi memupuk dengan lebih awal lagi perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat berbilang kaum. 

        Sekolah melahirkan pelajar-pelajar atau generasi yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Generasi-generasi yang berilmu pengetahuan seterusnya dapat memberi sumbangan yang amat bernilai untuk perkembangan dan kemajuan masyarakat dan negara. Kerjasama antara sekolah dan masyarakat adalah penting untuk membawa sekolah dan masyarakat bersama-sama menuju ke arah kejayaan dan kegemilangan. Jika kedua-dua aset ini tidak saling berinteraksi sudah pasti remaja yang berilmu pengetahuan tidak akan terhasil. Golongan ini amat penting kerana merekalah yang akan menentukan masa hadapan dan bakal pemimpin Negara. 



Kesimpulannya, membentuk muafakat dalam komuniti memerlukan anjakan paradigma yang bakal mewujudkan suasana sekolah yang disukai dan diterima oleh komuniti. Untuk itu, mereka perlu berketerampilan, mempunyai daya saing, kreatif dan inovatif. Remaja yang berilmu dan bijaksana juga merupakan golongan intelektual yang mampu berfikir dan menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan juga ketamadunan bangsa dan negara. Dalam merealisasikan “ Satu Malaysia” remaja seharusnya menghayati falsafah muhibah dan kerukunan serta keharmonian antara kaum.

(dipetik daripada tugasan individu NPQEL 1/2016 IABGH)

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...