Tuesday, June 28, 2011

SURAT LAYANG LAGI!

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semalam mungkin detik yang merimaskan dalam hidup saya. Sepucuk surat daripada "Wak Lekir" ditujukan kepada pentadbiran sekolah, gara-gara tidak puas hati dengan kegiatan kokurikulum sekolah yang diadakan.
Surat itu dialamatkan kepada Pengarah JPN dan salinan kepada PPD dan pengetua sekolah. Antara kandungannya ialah rasa tidak puas hatinya terhadap kegiatan kokurikulum yang kononnya tidak mengikut jadual. 

Hakikatnya, kegiatan kokurikulum hari tersebut berjalan seperti biasa. Bagaimanapun, pengawal keselamatan 'terlupa' mengunci pintu pagar menyebabkan pelajar yang culas, telah keluar dari kawasan sekolah tanpa rasa bersalah. Lebih daripada itu, mereka melepak di hentian bas dan pulang ke rumah. 
Tindakan Wak Lekir tidak merujuk pihak sekolah amat dikesalkan. Beliau hanya bertanya kepada pelajar yang berpeleseran. Jawapan mereka tentulah "Cikgu batalkan Kokurikulum", "Cikgu bagi kami balik" dan seumpamanya. 

Hal ini amat mengecewakan guru yang bertungkus lumus mengadakan perjumpaan kokurikulum mingguan. Amatlah malang apabila Wak Lekir menyerang kami membuta tuli tanpa menyelidik terlebih dahulu.


Monday, June 27, 2011

Tangan Tersembunyi Di Sebalik Perhimpunan BERSIH 2.0?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semakin hampir ke tarikh 9 Julai 2011, pergerakan ke arah merealisasikannya telah dilaksanakan. Bagaimanapun, belum sempat tindakan seterusnya diambil, polis telah menahan 31 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S Jayakumar Devaraj selepas menemui bahan mengandungi unsur komunis dan penentangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, dalam bas yang mereka naiki, di Plaza Tol Sungai Dua, petang kelmarin.

Menurut sumber, antara yang ditemui adalah 28 helai pakaian warna hitam dan merah tertera nama dan gambar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), iaitu Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah serta gambar tokoh komunis Argentina, Ernesto ‘Che’ Guevara atau dikenali sebagai El Che.

Polis turut menemui kira-kira 7,000 risalah PSM dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil yang bertulis ‘Udahlah tu... Cukup 54 tahun, bersaralah’, 600 risalah berkaitan perhimpunan haram 9 Julai, 25 naskhah sosialis termasuk 15 naskhah berbahasa Tamil, satu set pembesar suara mudah alih, 15 bendera PSM, sembilan helai baju T tertera tulisan ‘Serangan Neo Liberal Rakyat Terus Sengsara’ dan lapan helai baju T tertera tulisan ‘Anti Capitalism’.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Jaafar, ketika memaklumkan penemuan itu pada sidang media di sini, semalam, berkata, tiada senjata berbahaya ditemui dalam bas berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati bahan yang ditemui bersama kumpulan itu sangat serius serta boleh menggugat keselamatan negara dan berikutan itu, siasatan dibuat mengikuti Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu cuba melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kita melihat usaha kumpulan ini membawa ke arah penentangan dan peperangan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Abd Rahim berkata, pihaknya mendapat maklumat ada rombongan dalam sebuah bas dari Sungai Petani, Kedah ke Pulau Pinang dipercayai cuba menghasut orang ramai untuk membenci kerajaan dan membawa senjata berbahaya.

Sementara itu, Mahkamah Sesyen Butterworth menetapkan tempoh reman tujuh hari sehingga 7 Julai terhadap 30 ahli PSM terbabit, termasuk Jayakumar.

Majistret Amernudin Ahmad membenarkan mereka ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu cuba melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka diwakili peguam Karen Lai, A Chandra Segaran, Rowena Nair, Sukhindarpal Singh, Agatha Foo, Joshua Narendren dan Benjamin Sathyanandam.

Karen berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan mengkaji semula siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi kerana tiada sebarang senjata berbahaya ditemui.


Perhimpunan BERSIH dianjurkan oleh NGO yang menganggap SPR tidak telus. Mereka bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran dengan menjadikan orang Melayu sebagai aset utama yang dapat membarisi perhimpunan berkenaan. 
 
Jika melibatkan gerakan subversif seperti tokoh komunis dijadikan idola, ada wajarnya orang Melayu memikirkan kembali natijah di sebalik perhimpunan ini. Ramai tentera kita mati berjuang mempertahankan negara daripada ancaman komunis pada tahun awal kemerdekaan. Ketika pemerintahan Bintang Tiga selama 14 hari selepas Jepun menyerah kalah, bukan sedikit pemuda Melayu yang disembelih, termasuk datuk saudara mak saya di Kg Bharu, Lumut dahulu.

PAS tidak wajar menjadikan ini sebagai agenda parti. Ia merosakkan kredibiliti PAS dalam kalangan orang Melayu kelak.

Thursday, June 16, 2011

Gerhana Bulan Bukti Kebesaran Allah Maha Pencipta

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Zaman dahulu, apabila berlaku gerhana, sesetengah orang beranggapan ia malapetaka, atau tanda-tanda musibah akan berlaku. Masyarakat tamadun Mesir dan Mesopotamia misalnya, beranggapan ia sebagai tanda kemarahan Tuhan mereka. Masyarakat Hwang Ho mentafsirkan gerhana sebagai simbolik adanya 'naga' yang memakan bulan atau matahari.

Masa berlalu, kini gerhana tidak lagi dianggap membawa konotasi negatif, sebaliknya Islam menggalakkan umatnya mensyukuri nikmat sebagai hamba Allah yang masih berpeluang melihat kebesaran Maha Pencipta.

Malam ini, 16 Jun 2011, kita bakal melihat gerhana bulan. Jangan lupa buat solat sunat gerhana, sebagai manifestasi kecilnya kita di sisi Allah yang Maha Segala-galanya.

Monday, June 13, 2011

ASPIRASIKU UNTUK MALAYSIA

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sajak seorang pelajar bukan Melayu kelas saya yang amat berbakat dalam penulisan sajak.


ASPIRASIKU UNTUK MALAYSIA

Malaysia
Tanah airku tercinta
Membangkitkan semangat waja
Menuju wawasan negara maju

Menjelang tahun 2020
Dengan wawasan teguh
Kami bentangkan harapan
Demi nusa tercinta ini

Tempat aku lahir
Tempat aku dibesarkan
Bersama rakan taulan
Tidak dibataskan rupa, warna kulit dan pegangan

Malaysia
Kudambakan perpaduan ini
Kekal selamanya

Karya
Tineshwary a/p Muniandy
5 ER (MAC 2011)

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...