Thursday, December 23, 2010

Kenangan Bersunat Dulu-dulu

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila membawa anak ke-4 untuk khatan di sebuah klinik swasta, saya mengimbau kenangan dikhatankan dahulu. Jauh benar perbezaannya. Arwah ayah membawa saya membonceng motor miliknya ke klinik untuk proses 'cuci'. Saya mengalami pendarahan akibat 'bentan' dek tidur yang agak lasak.

Aqil sedang menanti detik dikhatan

Anak zaman ini sudah mempunyai pelbagai teknik yang mudah dan cepat sembuh. Saya mencuba teknik 'clamp' dan ia amat ringkas, tanpa memerlukan penjagaan yang rumit.

Itulah perbezaan dunia mengikut zaman. Anak zaman ini lebih bertuah. Begitupun, saya menyanjungi jasa bakti arwah mak dan ayah, yang telah menguruskan saya berkhatan dulu.

Thursday, December 9, 2010

Zina Semakin Membudaya..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

1. Sumber Berita Harian Online

“Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.”
17,303 setahun anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan di Malaysia pada tahun 2009. Ini bermakna 17,303/365 iaitu  47 kelahiran anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan setiap hari di Malaysia pada tahun 2009 bersamaan 2 kelahiran anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan setiap jam di Malaysia pada tahun 2009. Ini juga bermakna 47 kes zina yang menghasilkan kehamilan berlaku setiap hari di kalangan Melayu (Islam) pada tahun 2009.

Kita hanya bersikap 'tidak apa..'. Bak cerita Luncai yang terjun dengan labu-labunya, biarkan...

Tuesday, November 30, 2010

Kejamnya Lelaki Ini..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya petik berita daripada Mstaronline, kisah seorang suami yang sanggup membunuh isterinya, kemudian berzina dengan kekasihnya di bilik tempat mayat isterinya disembunyikan.

SHAH ALAM: Pengurus sebuah syarikat katering, Mohafri Mohamed tergamak melakukan hubungan seks dengan kekasihnya di bilik utama yang sama di mana mayat isterinya disumbat ke dalam almari selepas dibunuh.
Teman wanita tertuduh, Nazratul Anis Zainal Abidin, 23, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, selepas masuk dan meletakkan beg pakaian di ruang tamu dia kemudiannya naik ke bilik utama untuk menggunakan tandas. Selepas itu, katanya, Mohafri mengajaknya melakukan hubungan seks.
“Pada mulanya saya tidak mahu, tetapi tertuduh kata sekejap sahaja,” katanya yang mengenali tertuduh sebagai berstatus duda semasa mereka bekerja di Tropicana Medical Centre pada 2009.
Ketika ditanya mengenai kedudukan almari pakaian berkenaan, saksi pendakwaan kelima itu memberitahu, pandangannya tidak jelas kerana tidak memakai cermin mata yang diletakkan di atas kabinet.
Tambah Nazratul Anis, tertuduh juga berkelakuan seolah-olah mahu menghalang pandangannya di bahagian kiri kerana sering berdiri di sebelah kiri dan juga menunggunya keluar daripada tandas.
Saksi menambah, dia tidak melihat perkara luar biasa ataupun mendengar bunyi orang mengerang semasa berada di bilik itu.
Mohafri, 37, yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus syarikat katering dibicarakan atas tuduhan membunuh Fazlina, 38, antara pukul 5 dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009 di rumah nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang.
Dia yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mayat Fazlina, ibu kepada dua orang anak itu ditemui dibaluti kain selimut tebal dan diletakkan di bahagian bawah almari pakaian manakala hidung dan mulutnya ditekup dengan menggunakan pita pelekat.
Mangsa juga merupakan seorang penghidap asma kronik.
Terdahulu, saksi berkenaan memberitahu, dia bertolak pada pukul 1 petang dari Parit Buntar, Perak dan tiba di Perhentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur (dekat sini) pada pukul 5 petang.
Katanya, tertuduh datang menjemputnya dan membawa dia ke sebuah rumah teres dua tingkat di Ampang.
Katanya lagi, selepas mengadakan hubungan seks dia mendengar bunyi loceng dan tertuduh telah mengarahkan saksi untuk mendiamkan diri manakala tertuduh menuju ke arah tingkap.
“Saya ada menyuruh tertuduh membuka pintu kerana mungkin ada sesiapa di luar, mungkin ada pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi tertuduh beritahu ada seorang perempuan memakai seragam polis di luar rumah,” katanya.
Tertuduh semasa itu tidak mahu membuka pintu dan memberi alasan polis itu mencari pembantu rumahnya yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.
Mengenai hubungan sulit mereka, Nazratul Anis berkata, mereka telah merancang untuk ke sempadan Thailand bagi urusan pernikahan pada hari kejadian pembunuhan itu berlaku.
Katanya, rancangan untuk bernikah di sempadan Thailand dibuat ekoran hubungan mereka tidak direstui oleh bapanya dan tertuduh telah menguruskan segala urusan berkaitan pernikahan.


Sunday, November 28, 2010

Rosli Churalia.. Alfatihah Untuknya.

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semasa di tingkatan 5, saya tinggal di asrama untuk menyediakan diri dengan SPM. Di situlah saya mengenali Rosli Mat Johan, seorang yang agak kelakar. Susuk tubuhnya kurus tinggi, berambut kerinting dan kulitnya agak cerah. Dia suka berlawak, dan kerap menyebabkan kami ketawa. Apabila dia berada di sisi kami, pasti ada lawaknya yang menceriakan suasana.


Kami menggelarnya 'Li Churalia' sebab dia suka sangat menyanyikan lagu Hindustan dan menghafal sebahagian daripada liriknya. Kalau dia salah menyebutnya, siapa yang tahu lirik lagu itu. Itulah sebabnya dia tidak kisah akan sebutannya, betul atau salah.

Tiga minggu sebelum kematiannya, dia mengadu sakit kepala. Saban hari dia makan Panadol dengan jumlah yang agak banyak juga. Kami pelik dengan sikapnya, tapi dia menjelaskan kepalanya sangat sakit. Ketika itu, dia sudah kurang berlawak. Kami sendiri simpati dengan kesakitannya. Adakalanya, dia tidur lebih awal daripada orang lain.

                                                       Berposing ketika di kelas prep

Sangkaan kami sakit kepala itu bersifat sementara, rupanya tidak. Makan Panadol pun, masih tak hilangkan sakitnya. Dia mohon untuk balik kampung. Pada mulanya setiap Sabtu dan Ahad, tetapi akhirnya hampir dua minggu dia tidak kembali ke asrama. Khabarnya, dia berubat cara kampung dan berselang dengan janji temu bersama doktor pakar di Hospital Taiping.

Ketika berada di kelas, kami mendapat perkhabaran yang sahabat kami, Li Churalia meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam kepala. Patutlah dia asyik mengadu sakit kepala. Pihak warden menyediakan sebuah bas untuk kami menziarahinya buat kali terakhir di Kampung Baru 3, Segari. Saya dan rakan lain sempat bertemu dengan Li ketika di perkuburan, tanpa nyanyian sumbang dan gelak ketawanya. Ketika itu jasadnya sudah dibaluti kafan.

Sudah hampir 22 tahun peristiwa itu berlaku, tapi ingatan kami terhadap arwah Li Churalia masih segar.
Moga Allah merahmati rohnya.

Sunday, November 21, 2010

Majlis Kurban Disempurnakan

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bertempat di masjid Al-Khairiah, Batu Sepuluh, Lekir, saya menyertai ahli kariah untuk menyempurnakan ibadah kurban yang diadakan sempena Aidil Adha baru-baru ini. Sejumlah 6 ekor lembu telah disembeih dan dagingnya diagihkan kepada masyarakat setempat serta golongan fakir miskin.



Selain menyempurnakan ibadah, ia turut merapatkan silaturahim dalam kalangan ahli masyarakat. Saya bersyukur dapat menyertai rakan-rakan kariah di sini untuk sama-sama menyempurnakan ibadah tersebut.

Friday, November 12, 2010

Memantapkan Komponen Sastera Dalam P&P Bahasa Malaysia

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selama 4 hari 3 malam, seramai 70 orang guru berkampung di Hotel Impiana Ipoh, sejak 9 November menghadiri Kursus Pendedahan Teks Baharu Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 2 dan Tingkatan 5 Bagi Jurulatih Utama Semenanjung Malaysia. Ia dianjurkan oleh Kementerian pelajaran Malaysia melalui Pusat Perkembangan Kurikulum.

Saya teruja kerana kursus ini mempertemukan saya dengan guru-guru berpengalaman dalam KOMSAS. Antaranya Puan Hajah Rohaya dari Melaka dan Hj Zainuddin dari Johor. Mereka antara orang lama yang telah mengembalikan semangat kepada para peserta untuk berkhidmat kepada anak bangsa.

Terima kasih kepada semua. Jasa anda tidak dilupakan.

Thursday, October 21, 2010

KASIHAN..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Seorang rakan yang sudah lama tidak berhubung dengan saya, menceritakan perihal seorang rakan kami yang masih solo, tidak berkahwin pada usia menjengah 40-an. Lebih malang lagi, dia masih berharap ehsan ibu bapa yang telah tua. Mujur bapanya bekas askar pencen.

Menurut rakan saya, kawan kami itu malu dengan kegagalannya dalam peperiksaan hampir 22 tahun lalu.. sesuatu yang saya tak jangka, sebab dia asalnya pelajar yang boleh tahan bijaknya.. Apa yang boleh dibuat? Sejarah tak boleh dipinda...

Tuesday, October 5, 2010

Kenaikan Harga Rokok Tidak Menjamin Kadar Pengurangan Perokok

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Menurut laporan BERNAMA, Harga Minimum Rokok Kini 35 Sen Sebatang.

Berkuatkuasa 1 Oktober lepas, Kementerian Kesihatan telah menetapkan harga minimum rokok ialah 35 sen sebatang, atau RM7 bagi sepaket 20 batang rokok.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kemampuan membeli rokok di kalangan pengguna, khususnya kanak-kanak kerana boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan.

"Rokok telah disahkan sebagai penyebab pelbagai masalah kesihatan dan penyakit-penyakit serius yang boleh membawa kepada kesengsaraan dan kematian. Saya pasti, masyarakat sedar akan bahaya merokok.

"Generasi muda dinasihatkan agar tidak memulakan tabiat merokok yang amat merugikan dan merosakkan kesihatan ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Penetapan harga minimum itu juga selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan cukai rokok sebanyak 3 sen sebatang, yang turut berkuatkuasa Jumaat lepas, menyaksikan harga runcit rokok naik di seluruh negara bermula semalam, iaitu RM10 bagi sepaket 20 batang berbanding RM9.30 sebelum ini.

Sehubungan itu, Liow berkata, semua pengilang dan pengimport rokok dikehendaki memohon kelulusan harga baru jualan runcit bagi produk masing-masing kepada kementeriannya sebelum Jumaat ini, bagi menggelakkan ada pihak menjual di bawah harga minimum baru.

Beliau berkata, selain itu, mereka juga perlu mempamerkan notis harga minimum rokok secara jelas dan mudah dilihat di semua kaunter atau tempat jualan tanpa sebarang logo, jenama, tanda niaga atau deskripsi mengenai rokok berkenaan.

Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Liow berkata, kementeriannya turut menyediakan perkhidmatan seperti klinik berhenti merokok bagi membantu mereka yang terbabit menghentikan tabiat yang terbukti memudaratkan itu.

Berdasarkan statistik, setakat ini terdapat tiga juta perokok atau kira-kira 11 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini. - BERNAMA

Usaha KKM dilihat agak pro-aktif, tetapi ini bukan jaminan untuk mengurangkan jumlah perokok. Kesan langsung adalah bertambahnya rokok seludup dan rokok murahan untuk menampung jumlah permintaan tinggi perokok, terutama remaja yang tidak mampu membeli rokok pada harga yang mahal...

Wednesday, September 22, 2010

Penguncupan Ekonomi Amerika Bakal Bermula?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pakar2 ekonomi telah menjangkakan ekonomi dunia akan runtuh dengan kejatuhan nilai US Dollar. Ia akan mewujudkan kesan rantai ekonomi yang dahsyat sehingga ekonomi seluruh dunia mengalami kesan kemelesetan yang sangat buruk.

Hari ini, ekonomi Greece, sebuah negara kecil di Eropah sedang mengalami kemelesetan yang parah. Ekonomi negara tersebut terpaksa disuntik berbilion-bilion Euro melalui dasar fiskal EU, bertujuan mengelakkan ia menjangkiti negara Eropah lain. Kejayaannya masih belum dapat dipastikan, sebaliknya ekonomi Greece yang tenat tampaknya mula terkesan kepada Portugal dan negara Eropah Timur yang lain.

Amerika Syarikat, sebuah negara konsumer yang begitu berpengaruh di dunia, bakal mengalami defisit melalui beberapa tanda jelas dalam sistem ekonominya. Permintaan barangan pengguna yang semakin menurun, dengan kadar faedah yang dinaikkan, mendorong kerajaan Barack Obama bertindak pro-aktif melambatkan proses penguncupan ekonomi tersebut.

Hakikatnya, apabila kemelesetan ini berlaku, ia memberi kesan kepada negara lain yang berurus niaga dengan AS. Kejatuhan nilai eksport Malaysia akan menyebabkan nilai mata wang Ringgit Malaysia akan jadi serupa duit pisang masa zaman pemerintahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Baru-baru ini, kerajaan melancarkan pakej rangsangan ekonomi 60 billion, tetapi tujuan tindakan ini samalah dengan pakej rangsangan yang Barrack Obama lancarkan sebanyak 789 billion. Sistem kapitalisme berasaskan riba pasti akan runtuh, dan ia dijangka bermula pada bulan November 2010. Antara tokoh pemikir yang melontarkan kebimbangan ini ialah Gerald Celente, Pengarah Trends Research Institute dalam forum kewangan yang disiarkan dalam CNBC. Beliau menyatakan penguncupan ekonomi Amerika lebih buruk daripada kemelesetan yang berlaku pada tahun 1930-an dahulu.

Sedikit perkongsian yang boleh kita lakukan. Jika anda mempunyai tabungan, laburkan dalam bentuk pembelian emas. Harga emas lebih stabil, berbanding jika anda membeli saham dan membuat pelaburan dalam saham terbitan awam.

Sunday, September 19, 2010

Akhirnya Kehilangan Jutawan Kosmetik dan Rakannya Terjawab..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Umum sudah pun mengetahui tragedi yang menimpa Datuk Soesilawati dan tiga orang lelaki yang turut dibunuh bersamanya.

Biarlah undang-undang menentukan hukuman ke atas suspek, kerana menurut polis, segala bukti dan saksi sudah mencukupi.

Moga keluarga mangsa tabah menerima musibah ini. Ingatlah, segala yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui..

Thursday, September 2, 2010

Kahwin Satu Ibadah

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila membaca berita perkahwinan Pengerusi NAZA yang bakal dilangsungkan, terdetik hati ini, apakah ia boleh menjadi punca kejatuhan empayar SM Nasimuddin, atau sebaliknya. Ingatlah sabda Nabi dalam satu hadis:

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya,keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Wednesday, August 25, 2010

APAKAH UKURAN KEJAYAAN ANDA?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

"Lama tak jumpa. Tengok kau pakai Mercedes Compressor, hebat."
"Kau pun apa kurangnya. Rumah besar, dah jadi eksekutif, tentu lebih berjaya daripada aku." Balas rakan yang disapa.

Kita biasa mendengar ucapan begini. Hakikatnya, itulah kayu ukur kejayaan dalam hidup manusia sekarang. Tidak dinafikan, dalam dunia yang bergerak di atas landasan kapitalisme, kebendaan menjadi ukuran penting menentukan kejayaan individu.

Kita jarang sekali menceritakan hal-hal yang sebaliknya. Pernahkah anda bertanya rakan yang sudah lama tak ditemui dengan pertanyaan begini:

"Lamanya tak jumpa. Anak-anak kau semua dah khatam Quran?"

"Syukurlah kita dapat hidup lagi. Kau dah ke Mekah? Insya-Allah, aku dah mendaftar untuk tahun depan."

Mungkin itu adalah sebahagian daripada persoalan yang mungkin kurang ditanya apabila kita bertemu rakan lama.

Hakikatnya, kita menilai manusia dengan apa yang dilihat. Jika besar rumah atau kereta, besar pangkatnya, maka kita simpulkan dia berjaya. Kita tidak betah untuk melihat adakah dia berjaya mentarbiyah anak-anaknya menjadi manusia yang mengenal tuhan dan dunia. Kita jarang sekali mempersoalkan bagaimana dia gagal mendidik isterinya untuk bertudung, kerana mata kita ditutup dengan penilaian sempit si polan sudah berjaya kerana dia memiliki apa yang orang lain tidak ada.

Tidak dinafikan, kekayaan material pada zaman sekarang sudah menguasai pemikiran sebahagian besar daripada kita. Asal sahaja dapat memiliki apa yang diingini, cara halal atau haram diketepikan. Itulah sebabnya rasuah menjadi-jadi dan jenayah kolar putih seakan-akan diterima oleh masyarakat. Sebabnya, matlamat untuk kaya menghalalkan cara yang salah untuk mendapatkannya.

Kita lupa janji Allah, bahawa keberkatan hidup berasaskan rezeki yang halal. Adakah kita termasuk dalam golongan ini?

Friday, August 20, 2010

Jenayah Buang Bayi dan Zina Saling Berkaitan

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr. Khaizil Ismail berkata, Kajian Remaja Berisiko Tinggi yang dijalankan selama enam bulan itu dijalankan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun.

“Biasanya gadis yang sudah berzina dengan pasangan akan mengandung dan kemudian mengambil keputusan membuang bayi yang dilahirkan bagi mengelakkan rasa malu atau diketahui keluarga.

“Perzinaan yang berlaku akan menyebabkan terhasilnya anak luar nikah. Jadi, saya menyokong kenyataan bahawa kes-kes buang bayi yang semakin banyak sekarang ini adalah berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah,”

Sudah terang lagi bersuluh, segala 'pintu maksiat' dan ruang untuk zina harus dikunci bagi mengelakkan gejala zaman Jahiliah ini berterusan. Moga Allah mengampuni kita.

Saturday, August 7, 2010

Apabila Pelakon Lucah Menjadi Presiden

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mungkin tajuknya agak kasar, tapi sesuai dengan apa yang ingin saya nyatakan. Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Menurut bekas pelakon lucah ini, apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing,ia mewujudkan dasar-dasar yang menyebabkan negara terperangkap dalam isu yang mengancam penduduk minoriti.

"Kita perhatikan Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu. Kita timbulkan isu ini bagi memembolehkan masyarakat Cina berfikir mengenainya,” katanya pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, hari ini.

Menurut suami yang pernah curang ini, UMNO dan PAS masing-masing cuba mementingkan agama Islam, lalu mengetepikan prinsip demokrasi; negara mengadakan pilihan raya tetapi pemimpin Islam veteran menikmati kuasa mutlak; mengamalkan monarki mutlak; dan membuat dasar yang tidak setara dengan pembangunan global.

Beliau juga bagaimanapun memuji kepimpinan BN yang lebih mementingkan pembangunan negara berbanding kepentingan agama.

Lazimnya juga pendapatan rakyat di negara-negara Islam itu juga rendah, kadar pengganguran tinggi dan negara sentiasa dilanda kontroversi kerana tafsiran undang-undang pemimpinnya yang kebanyakan mereka adalah fundamentalists.

"Walaupun Malaysia adalah negara majoriti penduduknya beragama Islam, kita bernasib baik kerana dasar-dasar sederhana dan pragmatik yang dilakasanakan oleh kerajaan BN,” katanya yang tidak pernah dikenakan tindakan undang-undang biarpun video lucahnya pernah tersebar seperti mana tersebarnya video Ariel dan Luna Maya dahulu.

Chua berucap kepada kira-kira 300 ahlinya yang turut dihadiri oleh beberapa pemimpin kanannya - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Tan Chai Ho, Datuk Chor Chee Heung, Datuk Donald Lim - dan beberapa pemimpin Pulau Pinang lain seperti Lau Chiek Tuan dan Tan Cheng Liang.

Ini bukanlah kali pertama Presiden MCA ini menongkah arus. Pemikirannya agak berbahaya, dan menunjukkan sikap anti-perpaduan yang jelas. Apa yang diinginkannya semakin jelas, iaitu Malaysia mesti menolak sistem Raja Berperlembagaan dan dan mengamalkan sepenuhnya demokrasi ala barat. Mungkin apabila ia berlaku, Chua Soi Lek boleh berlakon porno sebebas-bebasnya?

Tuesday, August 3, 2010

MCA dan DAP Bersatu Menentang Larangan Kalimah Allah

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila membaca berita MCA dan DAP bersatu menentang larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, saya terdiam seketika.

Mana tidaknya, saat orang bukan Islam boleh bersatu atas nama agama, kita orang Islam masih tercari-cari peluang untuk menghentam dan membelasah saudara seIslam.

Di mana jati diri kita sebenarnya?

Thursday, July 22, 2010

PERPADUAN PERLU DIPERKASAKAN

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama. Setiap individu memainkan peranan agar perpaduan antara kaum dapat dipupuk secara mapan. Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi titik tolak ke arah pembinaan perpaduan kaum yang lebih kukuh seiring dengan kemajuan negara. Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan berjaya merapatkan jurang perbezaan masyarakat luar bandar dan bandar, khususnya dalam kegiatan berorientasikan ekonomi.
Beberapa tindakan perlu dilaksanakan dalam usaha memupuk persefahaman rakyat pelbagai keturunan agar lebih memahami aspirasi negara. Kerajaan telah mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN bermula pada tahun 2003, yang antara lain bertujuan membentuk jati diri remaja yang berwibawa dan terampil. Melalui program ini, khidmat masyarakat, malam kebudayaan dan aktiviti berkumpulan akan memupuk perpaduan, di samping mengeratkan hubungan remaja yang menyertai kem ini. Malam kebudayaan misalnya, dapat member ruang kepada peserta memahami keunikan budaya kaum lain.
Selain itu, sambutan rumah terbuka pada musim perayaan juga dapat mewujudkan suasana harmoni dan muhibah antara ahli masyarakat. Malah, rakyat dapat meraikan bersama perayaan seperti Hari Raya. Tahun Baru Cina dan Deepavali tanpa prasangka atau prejudis terhadap kaum yang berbeza budaya. Ini sekaligus mengukuhkan ikatan hidup berjiran antara satu sama lain.
Antara faktor lain yang boleh diberi penekanan ialah aktiviti sukan. Kewujudan sukan seperti Liga Malaysia untuk sukan bola sepak, hoki dan bola keranjang dapat merapatkan jurang antara kaum. Sukan tidak seharusnya menjadi milik kaum tertentu. Contohnya, bola sepak dan sepak takraw sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu, manakala remaja Cina lebih berminat dengan sukan bola tampar dan bola keranjang. Tembok perbezaan ini harus diruntuhkan supaya penglibatan masyarakat dalam bidang sukan tidak dikelaskan mengikut entiti kaum semata-mata. Natijahnya, kita harus bekerjasama menaikkan nama negara dalam bidang sukan seperti kata pepatah,”sepakat membawa berkat”. Dengan kata lain, sukan mampu menjadi medium untuk merapatkan hubungan rakyat pelbagai keturunan dan budaya.
Kerjasama masyarakat juga boleh dipupuk melalui aktiviti kejiranan seperti bergotong royong atau ‘berderau’. Masyarakat Malaysia terkenal dengan sifat peramah dan mudah membantu. Ini dapat menjadi kunci dalam memupuk semangat kejiranan sama ada di bandar mahupun luar bandar. Kita haruslah membantu mereka yang memerlukan pertolongan, tidak kira warna kulit dan keturunan kerana hakikatnya kita adalah rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, setiap ahli masyarakat perlu bersatu padu untuk memastikan kedaulatan negara terpelihara.
Konklusinya, setiap individu memainkan peranan yang penting dalam menjayakan hasrat dan gagasan 1Malaysia, seperti yang dicanangkan oleh Perdana Menteri. Melalui perpaduan yang kukuh, kita akan dapat membina negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang bak kata pepatah, “perpaduan asas kejayaan.”

Friday, July 16, 2010

Remaja Wajar Menghargai Kasih Sayang Ibu Bapa

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Peristiwa seorang pelajar cemerlang dalam UPSR di Kedah lari dari rumah untuk berkahwin dengan teman lelakinya baru-baru ini, amat mengecewakan kita. Lebih malang lagi, apabila pelajar berusia 15 tahun tersebut membuat keputusan terburu-buru sehingga sanggup mengetepikan pandangan ibu yang mengasuhnya sejak kecil lagi.
Hakikatnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk kesejahteraan institusi keluarga. Tanpa ibu bapa, kita tidak lahir ke dunia ini. Lantaran itu, setiap anak remaja, sepatutnya menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa. Ibu bapa adalah orang yang patut disanjung kerana mereka banyak berkorban untuk membesarkan dan mengasuh anak-anak menjadi manusia. Oleh yang demikian, setiap anak remaja, berperanan untuk membalas pengorbanan ibu bapa mereka.
Al-Quran menganjurkan umat Islam melakukan kebaikan dan menghormati ibu bapa, termasuklah merendah diri ketika bertutur di hadapan mereka. Dari sudut penghormatan, ibu mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi kerana mengandung dan melahirkan anak. Jasa ayah pula adalah menyediakan perlindungan dan mencari sumber rezeki untuk menyara keluarga.
Antara perkara yang boleh dilakukan remaja untuk membalas jasa ibu bapa adalah dengan menjaga kebajikan dan prihatin terhadap keperluan mereka. Anak yang telah berjaya misalnya, hendaklah memastikan ibu bapa sebagai orang pertama dalam apa juga urusan. Kejayaan yang dikongsi bersama ibu bapa akan lebih manis dan lebih berkat. Inilah tatacara yang sepatutnya menjadi pegangan anak-anak yang tahu membalas budi orang tua mereka.
Bagi mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa, remaja tidak sepatutnya mengengkari nasihat dan teguran ibu bapa. Barangkali, kisah dongeng tragis Si Tanggang, wajar dijadikan panduan hidup. Tanggang menjadi batu setelah terkena sumpahan ibu yang terlalu hiba dek perbuatan derhakanya. Kisah ini harus menjadi teladan kepada remaja dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba kini.
Segala tunjuk ajar daripada ibu bapa, harus dipatuhi kerana mereka lebih dahulu makan garam daripada kita yang bergelar anak. Berdasarkan pelbagai peristiwa yang berlaku kini, sewajarnya kita mengangkat kembali martabat ibu bapa ke tempat yang sepatutnya.
Remaja yang masih belajar, haruslah menggunakan peluang untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran dan peperiksaan. Keputusan yang cemerlang sudah tentu menjadi satu cara membalas jasa ibu bapa. Selagi berkesempatan, kita harus memberi penghargaan agar mereka berbangga melihat anak-anak menjadi insan yang berguna untuk bangsa dan negara.
Oleh itu, remaja harus mengenang dan menghargai jasa ibu bapa selama mereka hidup atau selepas mereka tiada di dunia ini. Sesungguhnya, nilai diri ibu bapa tidak dapat ditukar ganti biarpun dengan segunung intan. Pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu harus disemat di dalam jiwa agar kita kekal tidak dianggap anak derhaka.

Tuesday, July 13, 2010

Mencabul Perbuatan Hina.

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tabiat meraba tubuh badan orang lain boleh dikelaskan sebagai mencabul kehormatan. Cabul, atau perbuatan tidak senonoh, sering dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab terhadap orang lain, khususnya wanita. Bagaimanapun, ia tidak terhad kepada wanita muda sahaja. Ada juga mangsa cabul terdiri daripada budak lelaki, wanita tua dan seumpamanya.

Apakah yang menyebabkan tabiat buruk ini berlaku? Sebenarnya, banyak sebab dan faktor berlakunya perbuatan mencabul kehormatan. Antaranya ialah latar belakang pencabul yang kebiasaannya menghadapi masalah psikologi. Selain itu, pendidikan yang diterima daripada ibu bapa, di samping kurang pegangan agama menyebabkan seseorang itu akan terdorong melakukan perbuatan buruk ini.

Saturday, July 10, 2010

Keburukan Penggunaan Telefon Bimbit Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Marcapada ini, telefon bimbit menjadi satu daripada alat komunikasi yang menguasai dunia tanpa memilih usia, status dan kedudukan ekonomi seseorang. Tidak hairanlah telefon bimbit menjadi medium penting untuk masyarakat berinteraksi dalam dan luar negara. Namun begitu, penggunaan telefon bimbit mendatangkan pelbagai kesan buruk terhadap pengguna, khususnya pelajar sekolah. Dalam kalangan pelajar sekolah hari ini, telefon bimbit sinonim dengan mereka. Malah, ada ibu bapa yang berkemampuan menyediakan telefon bimbit untuk kegunaan anak-anak.

Malangnya, ada pelajar yang menyalahgunakan teknologi ini demi keseronokan dan kepuasan jiwa. Mereka gemar berbual dengan rakan sebaya sehingga lewat malam. Ini menyebabkan masa untuk mengulangkaji pelajaran terbuang begitu sahaja. Apabila lewat tidur, tentulah masa tidur tidak mencukupi. Ini pasti menjejaskan prestasi mereka semasa di dalam kelas. Akibatnya, mereka tidak mampu memberikan tumpuan yang sepenuhnya semasa guru sedang mengajar.

Lebih membimbangkan, telefon bimbit menjadi alat menyebarkan bahan lucah. Dengan kemampuan telefon bimbit menghantar dan menerima mesej SMS dan MMS, segelintir pelajar sanggup merakam dan memuat turun klip video, menyimpan dan mengedarkan foto lucah dan seumpamanya. Menurut statistik PDRM, jenayah rogol dan cabul meningkat akibat salah guna telefon bimbit. Lebih buruk lagi, remaja sekolah mudah terdorong dengan ‘cinta monyet’ yang boleh mendatangkan keburukan kepada diri mereka, terutama bagi remaja perempuan. Sesetengah mesej lucah yang disebarkan boleh menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang remaja. Ia juga menggalakkan pergaulan yang tidak sihat seperti hubungan seks bebas dan perzinaan. Inilah punca yang mengakibatkan kes pembuangan bayi persis zaman Jahiliah di Tanah Arab dahulu.

Selain itu, telefon bimbit turut mendatangkan masalah terhadap keputusan akademik pelajar kerana mereka teruja untuk menggunakan perkakasan tersebut berbanding mentelaah buku pelajaran. Sikap suka bertangguh akan mula bertapak di dalam jiwa kerana terlalu obses dengan telefon bimbit. Ini sekaligus menyebabkan prestasi mereka merudum, apatah lagi jika mereka diberi ruang menggunakannya pada usia yang masih belasan tahun.

Penggunaan telefon bimbit juga menyebabkan masalah kewangan. Ada pelajar sekolah yang sanggup mengikat perut semata-mata untuk memastikan telefon mereka mempunyai baki kredit prabayar. Selain itu, ada pelajar yang sanggup berbohong terhadap ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan duit poket yang lebih. Secara purata, seorang pelajar sekolah memerlukan antara RM20 hingga RM30 sebulan untuk membiayai nilai tambah kad prabayar mereka. Ini tentulah dianggap suatu pembaziran kerana pesanan SMS dan perbualan berkenaan tidak penting dan hanya celoteh kosong sahaja.

Ada segelintir pelajar menganggap telefon bimbit lambang kekayaan. Bagi sesetengah ibu bapa yang berkemampuan, mereka membeli telefon bimbit yang canggih kepada anak-anak. Sikap suka menunjuk-nunjuk dan menayangkan kepada rakan-rakan sebaya membuka ruang kepada persaingan yang tidak sihat. Alangkah baiknya jika wang menukar beli telefon tersebut digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah.

Telefon bimbit juga menyebabkan segelintir pelajar menipu dengan membuat panggilan palsu kepada agensi tertentu. Antaranya, nombor talian 999 untuk kecemasan sering disalahgunakan demi keseronokan yang menyusahkan pihak lain. Mereka harus sedar bahawa penggunaan telefon bimbit yang berterusan dalam tempoh yang lama juga, boleh mendatangkan kesan kepada otak seperti peningkatan sel-sel barah.

Konklusinya, teknologi komunikasi seperti telefon bimbit bergantung kepada niat penggunanya. Sebagai pelajar, kita harus bijak menggunakan peranti teknologi maklumat ini dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan yang sia-sia.

Monday, July 5, 2010

Pendidikan Seks

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Akhir-akhir ini, kebejatan sosial remaja semakin membimbangkan. Pelbagai pihak tampil memberi pandangan dan cadangan untuk mengatasi masalah ini, khususnya pembuangan daripada perzinaan dan persundalan.
Hakikat yang perlu kita telan adalah longgarnya hubungan kemanusiaan yang wujud dalam kalangan masyarakat hari ini. Ini menjadi punca mengapa gejala seks bebas dan persundalan menjadi-jadi. Hubungan antara ibu bapa yang longgar dan rapuh turut menjadi sebab anak-anak remaja hilang punca dan menjadikan rakan sebaya sebagai tempat mencurahkan masalah.

Selain itu, longgarnya hubungan dengan Allah juga menjadi sebab mengapa anak remaja hari ini tidak betah dengan hukum agama. Mereka tidak takut, malah berani melakukan perbuatan yang dianggap dosa besar tanpa memikirkan akibatnya. Mereka juga hilang rasa malu melakukan adegan tidak senonoh di khalayak ramai. Masyarakat pula lebih selesa membiarkan ia berlalu, sebab 'ia bukan anak saya', menyebabkan persundalan sebegini semakin diterima sebagai satu norma dalam masyarakat.

Hidup bertunjangkan nafsu dan berpaksikan hedonisme, menjadikan anak-anak remaja kita dibuai dalam suasana yang menakutkan. Takut bagi kita, tapi bagi mereka, ia suatu kenikmatan hidup. Kita sering menyalahkan anak-anak remaja ini, tetapi sejauh manakah kita berusaha membantu mereka? 

Ibu bapa sibuk dengan tugas dan kerjaya, manakala guru bergegas menghabiskan silibus dan kehendak KPM yang kadangkala tidak masuk akal. Nilai murni dalam masyarakat juga semakin terhakis dek kemajuan yang tidak diiringi kemantapan rohani.

Jadilah anak-anak remaja ini elok di luar, tapi buruk di dalam. Ramai dalam kalangan anak remaja kita hari ini kosong jiwanya, dan lemah imannya. Apakah usaha kita? Cukupkah dengan menubuhkan 'Baby Hatch' dan Pendidikan Seks semata-mata?

Pendidikan Seks ibarat mengajar mereka berzina dengan lebih terancang. Nauzubillah..


Thursday, July 1, 2010

Menabung Atau Melabur?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mempunyai wang adalah sesuatu yang amat didambakan oleh hampir semua manusia. Ada manusia sanggup berbunuh dan menggadai maruah diri hanya disebabkan wang. Hakikatnya, jika mempunyai wang, manusia perlu mengawal perbelanjaan agar tidak menggunakan wang secara boros.

Ada dua cara mengelakkan pembaziran yang melampau, iaitu melalui menabung dan melabur. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Menabung iaitu menyimpan sejumlah wang di dalam akaun tertentu untuk kecemasan. Ada juga kaedah menyimpan secara konservatif, iaitu menyimpan wang di bawah bantal dan tilam. Kaedah ini tidak membantu ekonomi berkembang sebab wang tidak 'bergerak dalam pasaran'.

Jika melabur, pastikan institusi pelaburan yang disertai adalah dijamin oleh kerajaan. Jika tidak, meloponglah anda sekiranya ditipu hidup-hidup oleh golongan yang pandai memanipulasi kata-kata dan gaya.

Friday, June 25, 2010

Demam Piala Dunia 2010

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bumi Afrika berpesta sepanjang sebulan ini, bermula 11 Jun sehingga 12 Julai 2010. FIFA telah memilih Afrika Selatan sebagai tuan rumah kejohanan yang begitu popular di muka bumi kita. Seperti di tempat lain, ramailah peminat bola sepak di negara kita yang teruja melihat pasukan pilihan masing-masing beraksi. Ramai juga bersengkang mata menonton perlawanan yang diadakan dinihari.

Kejutan demi kejutan berlaku dalam edisi kali ini, menyaksikan beberapa kuasa bola sepak Eropah, tersungkur di peringkat pusingan pertama. Antara skuad yang pulang awal ialah Peranchis dan Itali, dua finalis dalam kejohanan 2006 yang lalu.

Kejutan lain menyaksikan Jepun dan Korea Selatan menepati ramalan bahawa Asia tidak ketandusan bakat. Selain itu, Ghana, satu-satunya negara Afrika yang akan bersaing ke peringkat kedua. Jika Ivory Coast berjaya mengalahkan Korea Utara malam ini, ia masih bergantung kepada perlawanan Portugal menentang Brazil dalam kumpulan yang sama. Andainya Portugal kalah, skuad Didier Drogba akan melangkah ke pusingan kalah mati.

Saya memilih skuad Oranje tetapi hati kecil menyukai corak Brazil dan Argentina. Mungkin itulah empat pasukan semi final termasuk Ghana


Sunday, May 30, 2010

Mengenali Hartawan Dermawan Melayu

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya titipkan artikel wawancara Utusan bersama Tan Seri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Moga beliau dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, kerana begitu banyak jasanya terhadap anak bangsa Melayu Yayasan Al-Bukhary.

Wawancara Bersama Tan Sri Mokhtar Al-Bukhary
www.murabbi.net
Dihantar Oleh : KAKLONG

  MUKADIMAH

JARUM jam sudah menjangkau tengah malam ketika dua wartawan Mingguan Malaysia rancak menemu bual Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, tokoh korporat Melayu yang latar hidupnya tidak begitu banyak diketahui.

Isu yang dibincangkan hanya satu - tentang sikap sesetengah korporat Melayu berjaya yang keberatan turun ke bawah membantu anak bangsa. Isu itu dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

``Saya pun naik semangat bercakap tentang hal orang Melayu ini walaupun tadi ada rasa mengantuk sedikit,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan SITI MARIAM MD. ZAIN di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, tengah malam Rabu lalu.

Syed Mokhtar adalah salah seorang daripada orang Melayu berjaya yang diketahui umum banyak menyumbang kepada pengembangan anak bangsa. Beliau menubuhkan Yayasan Al-Bukhary yang antara projek utamanya ialah memberi peluang pendidikan kepada anak-anak pintar yang kurang berkemampuan.


``Saya dulu tidak ada peluang. Setelah ada rezeki ini kenapa saya tidak boleh tolong orang miskin yang boleh pergi jauh,'' katanya yang bersekolah setakat tingkatan lima.


Dalam wawancara ini, Syed Mokhtar juga ditanya tentang tanggapan umum terhadapnya yang dilihat sebagai seorang ahli perniagaan yang kerjanya mengambil alih kepentingan demi kepentingan pelbagai syarikat.


``Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tidak ada esok,'' katanya. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Syed Mokhtar mengakui bahawa semua itu bukan untuk dirinya sendiri sebaliknya beliau mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.


Wawancara ini adalah antara sedikit yang pernah diberikan oleh tokoh korporat yang selalu cuba mengelak daripada tumpuan media. Ditanya kenapa beliau bersedia ditemu bual pada kali ini, Syed Mokhtar menjawab: ``Saya mahu membela diri.''


``Saya perlu tampil untuk membetulkan pandangan-pandangan serong tentang diri saya.''



MINGGUAN: Bagaimanakah Tan Sri melihat hubung kait diri Tan Sri dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB)?


SYED MOKHTAR: Saya menikmati jasa dasar itu semasa memulakan perniagaan dulu, daripada pinjaman Mara sehinggalah kepada bangunan kedai UDA. Saya produk DEB tetapi semua ini melalui proses selama 34 tahun.


MINGGUAN: Dalam tempoh lebih 34 tahun ini, apakah rahsia kejayaan Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Tidak ada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama saja, cuma proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa saja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa.


Saya sendiri melalui pahit maung dan merasai segala-galanya untuk sampai ke tahap ini. Tidak ada jalan yang singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini dari kecil lagi, dan saya juga biasa kena tipu.


Saya memang sudah buat keputusan dari awal bahawa saya mahu buat sendiri. Saya tidak gadai lesen dan permit yang saya ada.


MINGGUAN: Ini tentang know how atau know who?


SYED MOKHTAR: Semasa mula berniaga dulu saya tidak ada kenal sesiapa. Tetapi selepas saya mengembangkan perniagaan ini memang faktor know who itu penting juga. Bangsa lain tidak mengapa tetapi orang Melayu dalam berniaga kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit.

Dasar DEB itu tidak sia-sia. Saya boleh mempertahankan manfaatnya. Ini bukan masalah dasar tetapi masalah manusia yang tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik.

Saya juga mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang saya tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan susah tetapi itulah jalan yang kekal.


Tidak banyak peniaga Melayu yang buat macam Tan Sri - dapat empat permit lori walaupun cuma mampu pakai dua, yang baki itu tidak dijual.?



SYED MOKHTAR: Alhamdulillah, Tuhan tidak gerakkan hati saya buat kerja-kerja itu. Saya yakin, insya-Allah dua buah lori lagi saya boleh beli kalau saya rajin berusaha. Saya percaya kalau perniagaan saya maju dan tidak cukup lori, saya tentu kena minta lagi. Jadi walaupun hanya mampu beli dua buah lori, dua lagi permit itu saya simpan untuk masa depan.


MINGGUAN: Maksudnya kena sabar menunggu?


SYED MOKHTAR: Memang kena banyak sabar dan kuat berusaha. Semasa mula-mula berniaga dulu saya pun biasa kena tindas, bukan saja dengan bangsa lain tetapi dengan orang Melayu yang dipergunakan.

Saya terpaksa bersaing dengan orang Cina yang sudah jauh lebih maju dan boleh juga mendapatkan lesen daripada orang Melayu yang sanggup menggadainya.


MINGGUAN: Semasa mula berniaga Tan Sri bekerjasama dengan orang Cina. Kenapa?


SYED MOKHTAR: Kita perlu menggunakan kepakaran mereka kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham, kita berkongsi dengan mereka dengan tujuan untuk belajar daripada mereka. Apabila sudah faham barulah kita boleh menjaga kepentingan kita.

Sampai sekarang saya masih berkongsi dengan orang Cina tetapi saya juga terlibat secara aktif dalam perniagaan itu.


MINGGUAN: Bagaimanakah lahirnya Yayasan Al-Bukhary ini?


SYED MOKHTAR: Apabila saya dapat rezeki sedikit ditambah pula dengan didikan ibu bapa saya, saya mula menolong orang. Itulah juga punca saya mewujudkan yayasan di Alor Star itu. Insya-Allah, harapan saya setelah mati nanti yayasan itu tetap kekal dan terus memberi bakti.

Selain Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur saya juga buka pusat tuisyen. Sebenarnya saya hendak buat sudah lama tetapi tiada siapa yang sanggup hendak tengok-tengokkan sehinggalah saya dapat tahu Datuk Seri Shukor Abdullah (bekas Ketua Pengarah Pendidikan) bersara. Saya cari dia dan dia sanggup untuk melaksanakan hasrat ini. Ini daripada hati saya, siapa pun tidak suruh.

Projek ketiga yayasan ialah Kompleks Al-Bukhary di Alor Star. Itu asalnya tanah datuk saya dan masjid itu asalnya dia yang bina. Saya sebenarnya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

Dalam hal ini, apabila saya masuk ke dalam masyarakat saya tidak lihat orang itu UMNO atau Pas. Kalau orang itu memerlukan bantuan, kalau boleh ditolong, saya tolong. Dalam hal-hal kemasyarakatan tidak ada UMNO dan Pas.


MINGGUAN: Maksudnya?


SYED MOKHTAR: Orang Melayu semuanya sama. Pendirian politik itu terpulanglah kepada diri masing-masing. Dalam kompleks masyarakat itu kita semua sama. Dalam soal kemajuan ummah kita mesti bersatu.


MINGGUAN: Prof. Diraja Ungku Aziz dalam satu wawancara sebelum ini menyebut bahawa orang Melayu tidak berfikir seperti satu ummah. Orang Melayu individualistik. Tan Sri nampaknya bukan dari golongan itu?


SYED MOKHTAR: Saya fikir soal parti adalah hak masing-masing. Apabila hidup bermasyarakat, kita tidak sepatutnya mengasingkan ini orang UMNO, ini orang Pas. Saya memberi bantuan hanya atas dasar sebagai orang Islam. Soal ideologi atau perjuangan mana yang betul, hanya Allah yang akan menentukannya.

Dalam menjayakan agenda Melayu, orang Melayu sendiri kena tolong orang Melayu. Tidak guna kita buat seminar sana sini tetapi tidak mahu menolong bangsa sendiri untuk jadi maju. Kita kena berusaha, baru orang Melayu boleh jadi kuat.

Apabila kuat, kita tidak lagi ditindas. Jangan kita bercakap tentang agenda Melayu dalam Perhimpunan Agung UMNO tetapi selepas itu kita senyap. Sepatutnya semua orang kena buat kerja, bukannya bercakap saja.


MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri kepada korporat Melayu yang tidak mahu tolong Melayu?


SYED MOKHTAR: Mereka mungkin tidak nampak ini sebagai kewajipan kerana mereka tidak melalui kesusahan. Saya pun suka kepada kemewahan. Saya pun suka pergi tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tetapi kita ini hendak mewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana? Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah. Kita tidak boleh mengagung-agungkan diri kita sangat. Masalahnya sekarang ada yang sudah ke atas tetapi tidak mahu turun ke bawah.


MINGGUAN: Kenapa ini berlaku?


SYED MOKHTAR: Mungkin kerana kurang didikan dan nilai sehingga hidup jadi terbawa-bawa. Tidak mengapa kalau mereka boleh hisap curut RM500. Tetapi tidak semestinya bermakna mereka tidak boleh turun ke bawah membantu orang. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa Dia boleh ambil balik. Mereka bersikap begini boleh jadi kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain. Ini berbeza dengan orang Cina yang ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tidak mahu berusaha, apabila orang lain usaha, mereka marah.


MINGGUAN: Inikah pegangan Tan Sri dari dulu lagi; rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain?


SYED MOKHTAR: Saya fikir memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.


MINGGUAN: Tan Sri melihat menolong orang lain itu satu tanggungjawab?


SYED MOKHTAR: Apabila kita memberi kerja kepada orang lain, ia juga satu amalan kerana kerja mendatangkan rezeki kepada mereka. Sekarang kumpulan saya ada 36,000 pekerja. Ini satu tanggungjawab kepada saya, bagaimana hendak menjadikan mereka ini maju, dapat bonus dan sebagainya.


MINGGUAN: Kalau Tan Sri tidak buat semua ini apa Tan Sri rasa?


SYED MOKHTAR: Saya akan rasa sedih kerana tidak banyak orang Melayu yang tolong Melayu. Saya tidak kisah; saya boleh tidak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya akan rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata, kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat.

Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa. Tetapi semua ini sebenarnya bukan mampu saya buat seorang.

Saya ada emotional attachment kepada agama, negara, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak mustahak. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

Kalau saya dulu tidak dapat peluang belajar tinggi, kenapa pula saya hendak sekat peluang orang lain? Lagipun saya datang daripada golongan itu. Kalau ada rezeki lebih sedikit takkan saya sanggup lupakan mereka.


MINGGUAN: Tan Sri mengharapkan lebih ramai lagi orang Melayu yang berjaya seperti Tan Sri?


SYED MOKHTAR: Saya kadang-kadang sedih apabila media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya.

Tetapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat, tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.


MINGGUAN: Apakah yang selalu Tan Sri fikirkan?


SYED MOKHTAR: Saya selalu fikir bagaimana hendak mengekalkan kumpulan ini untuk masa depan; bagaimana hendak menjalankan semua projek di bawah yayasan.

Sebahagian daripada keuntungan kumpulan ini saya khaskan kepada kos operasi Yayasan Al-Bukhary yang akan menempatkan 3,000 pelajar dari negara-negara Islam - 70 peratus pelajar antarabangsa, 20 peratus pelajar kita dan 10 peratus bukan Islam. Kita memberikan fokus kepada soal pendidikan anak bangsa. Kelas tuisyen itu boleh dikatakan 100 peratus untuk anak Melayu. Universiti itu pula adalah untuk pelajar-pelajar yang cerdik tetapi tidak ada kemampuan.

Kita akan ambil mereka dan beri bantuan seratus peratus. Kita mahu mereka menjadi profesional yang apabila tamat pengajian boleh pulang ke negara masing-masing dan membantu masyarakat mereka pula.


MINGGUAN: Salah satu masalah ekonomi orang Melayu ialah pengangguran di kalangan siswazah. Dalam hal ini misalnya apakah yang boleh Tan Sri lakukan?


SYED MOKHTAR: Saya telah meminta kumpulan kami mengkaji masalah ini dan mengambil sekumpulan mereka bekerja dan memberikan latihan. Insya-Allah kami akan sentiasa mencari perniagaan baru, mungkin daripada swasta atau kerajaan. Kalau daripada kerajaan orang mungkin akan menjadikannya sebagai isu lagi. Tetapi kalau kita terus mencari peluang dan perniagaan lain kita akan terus dapat membantu orang lain untuk mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya sendiri semata-mata.


MINGGUAN: Laporan-laporan tentang Tan Sri selama ini, itu maksudnya bukanlah untuk mengembangkan kekayaan peribadi?


SYED MOKHTAR: Diri saya tidak mustahak. Kalau saya hendak ambil alih mana-mana syarikat pun saya mesti ada kemampuan untuk menguruskannya. Orang tidak tahu bahawa apabila saya mengambil sesetengah syarikat itu ia sebenarnya dapat menyelamatkan berpuluh-puluh ribu keluarga pekerjanya yang sebahagian besarnya ialah orang Melayu. Tetapi apabila saya mengambil alih syarikat-syarikat itu orang bertanya apakah tidak ada orang lain selain daripada Syed Mokhtar?


MINGGUAN: Orang tidak bercakap tentang hal-hal di belakang itu.


SYED MOKHTAR: Perkara yang elok lambat orang tahu. Saya ini ada dibenci orang. Orang kata saya tamak, ambil semua peluang yang ada dan hendak jadi kaya seorang. Kaya apa? Kaya itu bukanlah pada diri saya. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara saja. Saya tidak ada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tetapi apa yang saya lakukan sekarang. Tetapi banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.


MINGGUAN: Apakah yang orang tidak tahu tentang syarikat-syarikat yang Tan Sri miliki itu?


SYED MOKHTAR: Sesetengah daripada syarikat itu bermasalah; saya membeli untuk menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan bangsa lain atau orang Melayu sendiri yang boleh membawa lebih kerosakan. Saya tidak menggadaikan hak dan kepentingan orang kita. Tetapi kerja saya bukan beli syarikat. Saya ada perniagaan sendiri - syarikat lori dan beras. Alhamdulillah, Tuhan memberikan saya kekuatan untuk ke depan apabila ada peluang. Walaupun sesetengah syarikat itu bermasalah tetapi saya melihatnya sebagai satu peluang juga - bagaimana hendak mengubahnya. Tetapi saya tidak pernah ambil daripada mulut orang Melayu lain; sudah hendak sampai ke kerongkong saya ambil, saya tidak buat begitu. Apa yang saya dapat ini adalah daripada usaha saya sendiri. Ada juga yang saya usaha tetapi tidak dapat dan orang tidak tahu. Apa yang saya dapat itu pula yang menjadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Orang kita terlupa bahawa bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi negara ini. Siapa pula yang memberikan pelbagai kemudahan untuk membolehkan mereka memegang kepentingan itu? Siapa pun tidak kata apa. Inilah masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik Pas dan UMNO; di bandar, berpecah kerana ini. Saya tidak pergi cari mana syarikat hendak saya beli. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

Orang tidak tahu bagaimana saya rugi lebih RM2 bilion dalam pelaburan semasa kegawatan 1997 semata-mata kerana hendak melindungi 30 peratus kepentingan orang Melayu.


MINGGUAN: Setiap kali mendapat rezeki daripada Tuhan, apakah yang Tan Sri rasakan?


SYED MOKHTAR: Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok, bukan lebai pondok. Tetapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu kita minta terus daripada Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan. Orang kata saya tidak ada duit tetapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tidak berhutang. Tetapi kita mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara kita boleh buat.

Kalau beratus-ratus orang Cina dalam bandar boleh buat kenapa saya orang Melayu tidak boleh? Tetapi kerana saya Melayu orang menjadikannya sebagai satu isu. Inilah masalahnya. Tidak ada salahnya berhutang kalau berniaga. Tetapi sebelum berhutang RM100 juta kita mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Soal tanggungjawab ini yang banyak orang tidak sanggup pikul. Banyak orang mahu senang tetapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab. Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama. Emak saya mengajar: Kalau dapat lebih, beri lebih; kalau kurang, beri kurang.


MINGGUAN: Tan Sri ada sikap yang begitu sensitif kepada keperluan anak bangsa dan saudara seagama. Soalnya kenapakah tidak banyak korporat Melayu yang ada sikap sebegini?

SYED MOKHTAR: Mungkin kerana masalah didikan atau kerana mereka naik dengan begitu mudah. Atau mungkin juga kerana pergaulan mereka. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal-usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan. Saya sangat berterima kasih kepada emak saya yang ambil setengah daripada duit pertama saya dulu. Kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak juga melakukan kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

MINGGUAN: Adakah Tan Sri rasa keseorangan melakukan semua ini?

SYED MOKHTAR: Saya fikir banyak orang yang buat begini juga tetapi dengan cara mereka sendiri. Insya-Allah kita berdoa mereka akan buat lebih lagi pada masa akan datang. Saya buat apa yang tergerak dalam hati dan apa yang boleh dicapai oleh tangan. Saya juga insaf bahawa diri saya tidak kekal; saya hanya seorang hamba Allah yang kalau ditakdirkan hidup sehingga 70 tahun umur saya hanya tinggal 17 tahun saja lagi. Oleh itu saya suka melakukan perkara yang kekal dan berterusan seperti yayasan ini. Kalau bangsa lain boleh ada macam-macam yayasan kenapa tidak kita? Apa yang penting ialah komitmen. Pendekatan saya selari; sambil mencari rezeki saya juga menyumban semula kepada masyarakat. Saya sendiri tumpang seronok melihat orang lain mendapat kesenangan daripada sedikit apa yang saya ada ini.

MINGGUAN: Tan Sri seronok melihat orang lain dapat berkembang hasil daripada rezeki yang Tan Sri nikmati?

SYED MOKHTAR: Ya. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

MINGGUAN: Harapan Tan Sri kepada orang Melayu lain yang juga sudah berjaya?

SYED MOKHTAR: Insya-Allah, kebanyakan orang Islam ini baik-baik, ada niat yang baik. Bukan mereka tidak mahu menolong tetapi mungkin masanya belum sampai atau Tuhan belum menggerakkan hati mereka lagi. Mungkin juga mereka ada masalah maklum saja selepas tahun 1997 masih belum banyak yang pulih semula.

Saya sendiri sambil berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya berdoa apabila nanti saya pejam mata masa itu juga hutang pun habis, perniagaan dan amal jariah pun sama-sama berjalan elok.

Saya tidak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tidak sempat buat.

MINGGUAN: Kepada orang Melayu yang sanggup hisap curut RM500 tetapi susah hendak tolong orang lain, apakah yang hendak Tan Sri katakan kepada mereka?

SYED MOKHTAR: Kalau mereka hendak hisap curut, pakai kereta Porsche atau duduk rumah besar, tak apa. Cuma ingat-ingatlah juga tanggungjawab untuk membantu anak bangsa. Kita tidak boleh marah kepada mereka. Kita ingat-ingatkan saja. Kebanyakan mereka itu orang yang bagus-bagus; mungkin terbawa-bawa saja. Kepada saya ini masalah kecil saja. Masalah yang lebih besar ialah diri kita sendiri. Orang Melayu kena yakin dan berusaha untuk terus memajukan diri.

MINGGUAN: Harapan Tan Sri kepada orang Melayu keseluruhannya?

SYED MOKHTAR: Peluang kita semua sama; saya tidak dapat lebih dan tidak dapat kurang. Cuma satu saja saya minta daripada orang Melayu: Beri masa sedikit kepada apa yang hendak diusahakan. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok-belok perniagaan, insya-Allah boleh maju. Mereka juga kena fokus, majukan diri dan selalu meningkatkan kemahiran. Kalau sudah maju dan hendak mempelbagaikan perniagaan, masa itu tidak mengapa. Kita juga jangan cepat berputus asa. Putus asa boleh tetapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Kita juga jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

MINGGUAN: Bolehkah orang Melayu maju?

SYED MOKHTAR: Tidak ada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun kalau ada yang mengatakan orang Melayu tidak boleh maju. Cuma nasihat saya kalau hendak jadi apa pun, jadilah yang terbaik dalam bidang masing-masing sehingga kukuh bertapak.

Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari mahu ambil alih akhbar itu. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

MINGGUAN: Cara hidup Tan Sri bagaimana?

SYED MOKHTAR: Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tetapi tidak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun. Jangan amalkan cara hidup yang tidak boleh ada fleksibiliti. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tetapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana. Saya juga tidak bermain golf kerana kepada saya ia memakan banyak masa. Tetapi tidak semestinya orang yang main golf itu tidak bagus atau orang yang tidak main itu lebih bagus. Saya pun tidak ada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu benda yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau orang ramai mendapat nikmatnya.

Tetapi pada masa akan datang tidak tahu lagi. Kalau panjang umur saya berniaga ke negara-negara lain dan ketika itu saya memerlukan, mungkin saya akan beli juga kapal terbang. Setakat ini Proton Perdana sudah memadai.

MINGGUAN: Tetapi orang Melayu umumnya apabila berniaga perkara pertama yang dilakukan ialah beli kereta mewah.

SYED MOKHTAR: Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi yang negatif kepada orang Melayu. Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Jangan kita memberikan gambaran bahawa ini sebenarnya yang perlu mereka buat. Sesiapa pun memang mahu semua itu tetapi bukan itu matlamatnya.

Kita kena tekankan hal-hal yang positif tentang orang Melayu. Orang Melayu boleh jadi yang terbaik dalam apa juga bidang kerjaya mereka. Itu yang perlu kita lakukan.

MINGGUAN: Di kalangan orang Melayu masih ada pemikiran bahawa kerajaan perlu menolong mereka. Bagaimanakah Tan Sri melihat realitinya?

SYED MOKHTAR: Saya ingat kena tengok tahap-tahapnya. Kerajaan kena tolong orang Melayu. Orang Melayu mesti naik berperingkat-peringkat. Bantuan kerajaan sentiasa ada. Sistemnya sudah ada. Kalau orang Melayu masuk ke dalam sistem itu, mereka sudah boleh jalan ke depan.

Tetapi seperti saya katakan tadi mereka perlu melalui proses ujian masa. Mereka yang perlukan bantuan ini ialah mereka yang hendak cepat dan tidak faham apa. Orang Melayu sebenarnya tidak perlu meminta kerajaan membantu kerana dasar itu memang sudah ada. Orang Melayu sebenarnya yang kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

Saya mendapat nikmat daripada DEB sejak awal pelaksanaannya lagi. Ketika itu lebih susah kalau hendak dibandingkan dengan peluang-peluang yang ada sekarang.

MINGGUAN: Adakah Tan Sri puas hati dengan apa yang sudah dilakukan ini?

SYED MOKHTAR: Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada air segelas, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

MINGGUAN: Apakah yang Tan Sri rasa apabila melihat orang yang menerima bantuan daripada yayasan ini?

SYED MOKHTAR: Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

Saya gembira dapat membantu. Kalau saya boleh beli seekor lembu untuk sebuah kampung yang sudah lama tidak makan daging, saya rasa gembira. Saya rasa seronok dapat bawa anak-anak dari luar datang ke Kuala Lumpur, tengok lampu-lampu yang cantik.

Saya tahu bagaimana perasaannya. Saya mahu orang lain merasai apa yang saya pernah rasa. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan kita beri kurang daripada itu, lebih tidak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

MINGGUAN: Tan Sri tentu rasa boleh menyumbang lebih lagi daripada ini?

SYED MOKHTAR: Memang itulah yang selalu saya rasa. Saya kata kepada kawan-kawan apa yang kita buat ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Insya-Allah, kalau orang Melayu lain boleh bersama-sama membantu tentulah lebih baik. Ayah saya kata, guni beras kalau seorang pikul memang berat tetapi kalau ramai-ramai kita pakat pikul ringan jadinya.

MINGGUAN: Kenapa beri wawancara sekarang?

SYED MOKHTAR: Saya rasa saya perlu tampil untuk membetulkan pandangan-pandangan yang serong tentang diri saya itu. Saya kena membela diri. Setidak-tidaknya saya jelas dengan apa yang hendak saya lakukan. Terpulang bagaimana umum hendak menerimanya.

Kepada saya, apa yang benar itu akan kekal. Saya segan kerana kerja saya yang sedikit ini orang besar-besarkan. Niat saya baik tetapi orang fikir sebaliknya. Saya bukan orang jahat. Saya asal orang miskin.

Saya pun sebenarnya bukan hendak menonjol-nonjolkan diri. Saya hormat kepada pemimpin. Saya akan sama-sama membantu. Pemimpin datang dan pergi tetapi saya hormat kedudukan itu. Perjuangan yang mereka tentukan itu akan terus saya bantu.



Sumber: Petikan dari Utusan Malaysia