Sunday, February 7, 2010

Ketakutan Menjadikan Dia Berani?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Di Sungkai, seorang pencari petai telah melepaskan tumbukan bertalu-talu ke muka seekor harimau sambil menjerit sekuat hati. Tindakannya itu telah menyelamatkan penduduk Orang Asli tersebut, Yok Meneh Yok Din, 47, daripada dibaham ‘Pak Belang’ yang menerkamnya ketika mencari petai di kawasan hutan, kira-kira 1.3 kilometer dari rumahnya di Kampung Ras kelmarin.

Walaupun terselamat dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Yok Meneh dari suku Asli Semai, mengalami luka parah terutama bahagian belakang badannya terkoyak, selain cedera di kaki dan tangan.

“Saya tidak tahu dari mana harimau itu datang, tiba-tiba saja diterkam dari belakang. Ketika bergelut saya menumbuk bertalu-talu ke mukanya dan menjerit kuat. Harimau itu terkejut, mungkin juga kesakitan dan melarikan diri,” katanya di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini, semalam.


Menceritakan detik cemas itu, Yok Meneh, berkata ketika kejadian, dia berseorangan berjalan kaki memasuki hutan itu dan ketika asyik mendongak ke arah pokok petai, tiba-tiba harimau jantan dianggarkan berusia tiga hingga lima tahun itu menyerangnya menyebabkan dia tersungkur.

“Terkaman kuat harimau itu menyebabkan bahagian belakang badan saya terkoyak. Tangan dan kaki saya juga cedera digigit, selain kukunya yang tajam menusuk ke bahagian rusuk saya. Saya lihat darah banyak keluar dari badan.

“Entah macam mana, saya pula berani menumbuk mukanya sambil menjerit. Mungkin matanya juga terkena tumbukan itu.
“Selepas harimau itu melarikan diri ke hutan, saya tidak membuang masa dan berlari menyelamatkan diri dalam keadaan badan berdarah sebelum kemudian terserempak dengan seorang pemandu traktor yang mengutip buah sawit. Beliau membawa saya keluar menggunakan jentera berat itu," katanya.

Yok Meneh berkata, dia dibawa ke sebuah klinik di Sungkai untuk diberi pertolongan awal, sebelum dikejarkan ke Hospital Tapah (HT) dan kemudian ke HTI akibat kecederaannya yang serius, selain mengalami pendarahan yang banyak.

Biarpun berdepan kejadian yang hampir meragut nyawanya itu, Yok Meneh sebaliknya, menyifatkan kejadian itu tidak akan menakutkannya. Padanya, dia sudah lama mengetahui risiko diserang binatang buas setiap kali masuk ke hutan.

“Kejadian itu tidak akan mematahkan semangat saya. Saya akan tetap meneruskan kerja mencari petai selepas sembuh daripada kecederaan ini, kerana itulah satu-satunya kerja yang saya tahu buat,” katanya. BH

Yok Meneh tidak menyangka serangan itu, dan tindakannya adalah spontan selepas diserang harimau. Nampaknya harimau kenalah cari mangsa lain, jika tidak pasti ia ditumbuk lagi...

Wednesday, February 3, 2010

Malang Akibat Ponteng Sekolah

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah menjadi kebiasaan penduduk di sekitar Lekir, apabila ada pelajar ponteng, mereka akan memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak sekolah.
Hari ini, awal pagi lagi beberapa orang pelajar tingkatan 4 melompat pagar dan menunggang motor meninggalkan sekolah. Kelima-lima mereka adalah remaja Melayu. Setelah mendapat kebenaran pentadbir, saya bergegas meronda ke kawasan jalan utama. Ketika itulah saya nampak kelibat pelajar tersebut bermotosikal dengan laju, kemudian parkir di sebuah rumah tepi jalan, tanpa menyedari gelagat mereka sedang diperhatikan.

Saya terus mengekori dan memberhentikan kereta di tepi rumah tersebut. Menyedari kedatangan saya, seorang pelajar sempat memulas minyak motor meninggalkan kawasan itu, manakala empat orang lagi tidak sempat berbuat apa-apa, melainkan meredah hutan melarikan diri.

Seumpama nampak hantu, mereka cuba melarikan diri secepat yang boleh, tapi malang seorang daripadanya, terpijak kaca ketika lari berkaki ayam. 

Kakinya luka, dan mereka pula terkepung di kawasan rumah yang berpagar.

"Buat apa kamu lari, saya bukan nak makan kamu.." kata saya ketika mengepung pelajar berkenaan.

Mereka diam. Masing-masing senyap tak berkata apa. Semuanya tunduk. Saya kenal semuanya. Saya tahu rekod disiplin mereka.

"Dah. Mari saya bawa kamu balik ke sekolah." Saya memujuk empat orang pelajar tadi. Semuanya akur, termasuk yang cedera. Saya ingin membawanya ke klinik, kerana bimbang lukanya menjadi serius.

"Tak apa, cikgu. Nanti kalau mak saya tau, dia bising pula. Lagi pun luka sikit aja." katanya. 

Walaupun saya menawarkan diri membawanya ke klinik, dia berkeras untuk kembali ke sekolah. Luka di kakinya dibalut dan darah semkin kurang mengalir.

"Ini mungkin kaffarah dari Allah untuk kamu, sebab ponteng sekolah. jangan buat lagi." Pesan saya.

Keempat-empatnya dihukum rotan, mengikut peraturan sekolah.

Monday, February 1, 2010

Kecuaian Hospital

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

  
$Gambar Zhang semasa dibawa dari Rumah Mayat. -Foto ihsan www.weirdasianews.com
 
SAUDARA-MARA seorang buruh binaan yang telah disahkan meninggal dunia, Zhang Houming, 46, terkejut apabila mendapati jantung si mati masih berdegup semasa berada di rumah mayat.
Pegawai-pegawai perubatan dari Hospital Neijiang, China yang bertanggungjawab telah dimarahi dengan teruk kerana kesalahan serius ini.
Mangsa diisytiharkan telah meninggal dunia untuk kali pertama selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah bas semasa pulang dari kerja.
Anaknya, Haibo pulang bersamanya kerana mereka berdua bekerja di tempat yang sama. Semasa kejadian, beliau pengsan akibat impak kemalangan tersebut.
Sehubungan itu, ambulans dilaporkan tiba lambat di tempat kejadian dan pemandunya memberi alasan kesesakan lalu lintas sebagai punca kelewatan.
Tetapi menurut rakan sekerja mereka, You, yang tinggal berhampiran dan bekerja di tempat kerja di tengah-tengah bandar itu, perjalanan hanya mengambil masa kurang daripada sejam.
“Saya tidak boleh percaya yang pemandu ambulans tersebut memandu lebih lambat daripada motosikal saya,” jelas You.
Sementara itu, seorang doktor yang memeriksa Zhang menulis dalam laporannya beliau telah menghembuskan nafas akhir.
“Beliau telah berhenti bernafas serta jantungnya telah berhenti berdegup semasa saya merawat Zhang,” tambahnya.
Selepas itu, beberapa orang pembantu perubatan memasukan Zhang ke dalam bag mayat berisi ais manakala anaknya pula dibawa ke hospital dengan ambulans.
Apabila ambulans itu tiba di hospital, saudara-mara Zhang dimaklumkan mengenai berita itu dan yang mayat Zhang ditempatkan di rumah mayat.
Mereka bergegas ke sana dan salah seorang daripada saudara lelaki Zhang dibawa ke dalam untuk mengenal pasti mangsa.
Saudara Zhang menepatkan telinganya ke atas dada dan terkejut apabila jantungnya masih berdegup.
Keluarganya menelefon talian kecemasan dan sebuah lagi ambulans tiba untuk membawa Zhang ke hospital. Para doktor mendapati jantung Zhang berdegup sebanyak 74 kali seminit dan bernafas 18 kali seminit.
Walaupun mereka telah cuba sedaya upaya selama sejam, Zhang gagal diselamatkan.
Pihak hospital akur dengan kecuaian kakitangannya namun Timbalan Pengarah Biro Kesihatan bandar tersebut, Luo Renfu masih mempertahankan tindakan doktor itu.
“Mangsa mungkin mengalami kejutan dan jantungnya mungkin mula berdegup kembali kerana hentakan van mini yang membawanya ke hospital,” katanya.
Keluarga Zhang meminta hospital itu membayar 1.5 juta yuan sebagai pampasan, namun pihak hospital hanya bersetuju untuk memberi 200,000 yuan sebagai ganti rugi.

Daripada Mstaronline.

Sunday, January 31, 2010

Motor Besar

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Petang semalam, ketika membersihkan halaman rumah, saya terdengar dentuman kemalangan di jalan utama, berdekatan rumah. Pasti kemalangan berlaku, fikir hati saya. Saya bergegas berlari menuju ke tempat kemalangan. Kelihatan beberapa buah motor besar dan penunggangnya memberhentikan kenderaan.
 
Foto hiasan Kawasaki ER6
Sebuah motosikal berkuasa 600 cc, Kawasaki ER-6 terbaring di tengah jalan, manakala penunggangnya sempat menyelamatkan diri. Syukurlah kemalangan tersebut tidak serius. Hanya motosikal yang agak teruk, tetapi penunggangnya, seorang Melayu berusia dalam 30-an, cedera ringan di lutut dan bahu. Khabarnya mereka dalam perjalanan dari Teluk Batik, Lumut. Kumpulan 30-40 buah motosikal jenis yang sama ini, berkonvoi sejak pagi tadi dalam perjalanan pulang ke ibu kota.

Konvoi motosikal besar ini bukan calang-calang lagaknya. Lengkap dengan "full face", jaket dan aksesori keselamatan di lutut, saya jangkakan mereka sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk memenuhi impian berkonvoi saban minggu. Fork motor yang bengkok khabarnya RM1300. Tayar sebiji RM650.

Jika saya berhasrat memiliki sebuah daripada jenis ini, saya mesti ada kesanggupan untuk berbelanja besar untuk memuaskan kehendak hati. Rasanya, tak sampai ke tahap itu, sebab banyak lagi komitmen untuk perkara lain, yang lebih memerlukan.


Saturday, January 30, 2010

Pengalaman Berdepan 'Bomoh Teran'

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketika ayah sakit dahulu, saya berusaha membawanya berubat secara tradisional, selain perubatan moden. Satu hari, kami mendapat khabar seorang bomoh yang boleh mengubat pesakit lumpuh akibat strok. Tempatnya di Changlun, Kedah. 

Saya mengambil cuti demi memenuhi hajat ayah. Awal pagi lagi kami berdua bertolak ke destinasi. Perjalanan hampir lima jam dipenuhi dengan sembang-sembang ayah dan saya. Sekurang-kurangnya, inilah masa untuk kami berbual berdua. Ayah kelihatan ceria, sebab dia menaruh harapan untuk sembuh seperti asal.

Kami tiba hampir jam 11 pagi. Ketika itu, rumah berkenaan dipenuhi beberapa orang lelaki dan wanita. Semuanya Melayu, dan pastilah tujuannya sama dengan kami. Bomohnya berselempang kain kuning dan rumah teres satu tingkat itu kelihatan menyimpan misteri. Semua tingkap rumah ditutup rapat, hanya pintu utama yang dibuka. Manakala jiran pula tidak menunjuk muka. Tak mengapalah, mungkin semua jirannya bekerja pagi itu, fikir saya.

Sementara menunggu giliran kami, saya melihat cara rawatan dibuat. Pesakit wanita akan dilayan lebih mesra oleh bomoh lelaki pertengahan umur itu. Kadangkala, gelak tawanya mengundang rasa jengkel di hati. Ayah yang berkerusi roda, memandang saya dengan penuh makna. Saya hanya mendiamkan diri. Setiap pesakit wanita dirawat dalam tempoh antara 20-30 minit. Bahagian anggota wanita yang sakit akan diurut menggunakan krim sapuan yang dibuat sendiri oleh bomoh itu. Ada yang diurut di kaki, ada juga yang diurut di perut.

Disebabkan ruang menunggu dan rawatan berdekatan, dapatlah saya mendengar butiran perbincangan 'pengeras' dengan jelas. Ada pesakit yang diminta menyediakan kain kuning berisi pulut dan diikat di tiang seri rumah. Ada juga pesakit wanita  yang diminta datang ke rumah bomoh untuk mandi tolak bala setiap malam Jumaat selama tiga kali. Peliknya, semua permintaan itu dipenuhi dan dipersetujui oleh pesakit berkenaan.

Apabila tiba giliran kami, bomoh itu melihat kaki ayah. Pegang pun tak seberapa. Setelah diurut lebih kurang 10 minit, dia menyatakan ayah perlu datang sekurang-kurangnya tiga kali untuk membuang saka.

Saka? 

Terkejut kami, kerana selama ini ayah tak pernah tahu dia mempunyai saka. Sudahlah didakwa ada saka, ayah diminta datang tiga kali untuk rawatan susulan. Bukannya mudah, dan tidak pula dekat jaraknya. Kami juga diminta membeli krim sapuan berharga RM30 di samping pengeras wang tunai. Krim itu kononnya boleh membuang saka jika diurut dengan betul.

Sepanjang perjalanan pulang, saya dan ayah membuat keputusan untuk tidak lagi ke sana. Apatah lagi, cara rawatan yang mencurigakan, menyebabkan kami sependapat bahawa bomoh itu tidak lain adalah 'Bomoh Teran' atau lebih tepat lagi, bomoh penipu.

Monday, January 25, 2010

Apa Yang Anda Takut Semasa Kecil Dahulu?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Tangan si kecil saya berdepan ayam belanda

Saya sering kali membawa anak bongsu menaiki motosikal meronda di sekitar kawasan kejiranan.  Motor pusaka arwah ayah yang masih boleh berbakti sering saya tunggang bersama anak-anak. Si bongsu saya, amat takut melihat seekor ayam belanda  yang ada di laluan ke surau. Ayam belanda itu pula manja tetapi mukanya agak hodoh. Barangkali, itu yang menyebabkan anak kecil saya sedikit takut. Tetapi setelah melepasi ayam tersebut, dia merengek untuk melihat semula ayam belanda itu.Itulah yang selalu dimintanya saban petang. Adakala sempat saya membawanya melihat ayam tersebut, adakala sebaliknya.

Semasa kecil dahulu, saya mempunyai rasa takut terhadap seorang lelaki tua yang tinggi lampai. tinggal di sebelah rumah kami. Mungkin kerana susuknya yang tinggi itu, dia dipanggil "Pak Mat Hantu Raya". Dia tinggal bersendirian ditemani anak saudara. Kononnya dia pernah menikah tetapi selepas bercerai muda, dia langsung tidak kahwin-kahwin. Perasaan takut saya terhadapnya semakin hilang apabila saya meningkat remaja. Ada juga orang kata, dia memang membela hantu raya. Tapi kami yang berjiran dengannya tak pernah mengalami peristiwa pelik atau terserempak hantu belaannya.

Kesimpulannya, setiap orang pasti ada ketakutan terhadap sesuatu semasa kecilnya.. Anda bagaimana?

Elakkan Penghinaan Dalam Penulisan Di Blog

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya tak mahu mengulas mengenai kemelut penulisan Adukateruna terhadap institusi raja, khususnya Sultan Johor. Pasti ramai yang telah mengulasnya. Pihak polis pun, khabarnya memantau blog peribadi yang menghina institusi sultan.

Apa yang ingin saya tegaskan, penulisan di blog tidak sepatutnya menjadi arena untuk menghina mana-mana sultan, khususnya yang telah mangkat. Penulis blog tersebut khabarnya sudah pun memohon maaf dalam blognya. Hal ini menyentuh sensitiviti institusi kesultanan. Saya pasti jika Adukateruna berada di Thailand, dia sudah pasti dihukum lebih berat sebab rakyat Thailand sangat menyanjung rajanya.

Sebagai rakyat di negara berdaulat yang menyokong isntitusi raja, saya berharap apa yang berlaku ini dapat dijadikan iktibar.

Salam untuk semua blogger. Teruskan penulisan berkualiti dan berhemah.

Saturday, January 23, 2010

Menyauk Ikan Di Parit Jiran

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lama sebelum saya masuk ke sekolah menengah, kegemaran saya ialah memancing, atau lebih tepat lagi, menyauk ikan semilai. Di sesetengah tempat, ia disebut ikan laga. Di tempat saya, ia sinonim dengan nama ikan lawan. Warnanya cantik, terutama ikan jantan. Kelibatnya mengembangkan sirip apabila berdepan ikan jantan lain sangat menghiburkan. Dietnya hanya nyamuk kecil. Ikan ini mudah dibela. Biasanya saya bela dalam botol air badak, atau botol Horlick yang ditemui di tepi kedai runcit. 

Saya selalu mencari ikan lawan di parit jiran, iaitu rumah Pak Ngah Tamin belakang rumah.  Parit itu selari dengan jalan raya utama yang menjadi penghubung masyarakat kampung ke pekan  terdekat. Di parit yang lebarnya 2 meter itulah tempat saya menyauk ikan. Kekadang jika bernasib baik, saya boleh dapat ikan puyu atau sepat. Anak haruan yang kemerah-merahan sepanjang satu inci juga boleh ditangkap dengan penyauk  yang asalnya penapis plastik.

Saya jarang mengajak adik-adik lelaki menyertai aktiviti menyauk. Pertama, menyauk ikan tak boleh ramai-ramai. Ikan 'akan lari' jika suasana bising. Kedua, leceh  jika adik beradik ikut sama. Terpaksa jaga dan pantau mereka. Jadi, untuk mengelakkan situasi ini, saya selalunya pergi secara rahsia supaya tak diketahui kedua-dua orang adik lelaki yang hampir sebaya.

Satu hari, saya leka menyauk sehingga tak menyedari ayah balik melalui jalan raya depan rumah Pak Ngah Tamin. Ketika ayah balik dengan motosikalnya, dia ternampak kelibat saya sedang terbongkok-bongkok di tebing parit menyauk ikan. Ketika dia menongkat motor pun, saya tak sedar. Saya leka dengan dunia saya. Saya leka menyauk ikan lawan.

Memang sudah menjadi tabiat ayah, dia merenung perbuatan anak tanpa menegur. terlebih dahulu Tapi tenungan itu sudah cukup memberi maksud kepada saya. Melompat saya  memanjat tebing tinggalkan penyauk apabila menyedari ayah berada di tepi parit memerhatikan perbuatan saya.

Apa lagi, ca alif but, cabutlah. Saya tak tunggu, terus lari balik ke rumah menunggu saat-saat dihukum. Sebagai hukumannya, ayah ambil rotan dan bahagian punggung menjadi sasaran. Selepas itu, mak pun menasihati saya supaya tak buat perkara itu lagi.

"Entah ada ular, tebuan tanah ke, dekat-dekat situ... Bahaya, kamu tau?" kata mak.

Bila dikenangkan kembali, syukurlah tak terjadi perkara buruk ketika zaman nakal dahulu. Apabila sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak lelaki, saya dapat rasakan kebimbangan mak dan ayah terhadap perbuatan saya dahulu.