Tuesday, June 30, 2020

MOGA DIJAUHKAN SIFAT SOMBONG DARIPADA HATI KITA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

TANDA-TANDA SIFAT SOMBONG

Sebenarnya tanda kesombongan dapat dikesan melalui pergaulan sesama manusia iaitu sama ada sombong keterlaluan, sederhana atau ringan. 

Antara tanda–tanda kesombongan adalah : 

1. Sukar menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang lain itu lebih baik daripadanya. 

2. Memilih kawan – Suka berkawan dengan sama taraf sahaja. Bahkan dengan orang sama taraf dengannya masih di pilih-pilih lagi, yakni dia suka orang yang mahu dengar katanya sahaja.

3. Memandang hina kepada golongan bawahan, jijik melihat kemiskinan. 

4. Dalam perbincangan, suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan, bersikap mendominasi perbincangan, suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan diikuti. Sebaliknya dia sendiri susah hendak dengar cakap orang lain. 


5. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikutnya dan orang bawahannya. 

6. Susah memberikan kemaafan kepada orang lain yang tersilap dengannya. Kalau dia yang bersalah, susah untuknya meminta maaf. 

7. Dia suka dihormati, namun sukar menghormati orang lain

8. Suka menzalimi orang samada secara halus atau kasar. 

9. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana ada kepentingan orang tersebut. 

10. Suka mencerita kelebihan diri, dan kerap menjatuhkan air muka orang di hadapan pihak lain. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan kesalahan diri sendiri didiamkan. 

11. Kurang menikmati nikmat Allah s.w.t. Kalau ada, dibazirkan tanpa rasa syukur.


12. Tidak suka menyebut kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya. Malahan, sangat tidak senang dengan kejayaan orang lain. Dia juga tersinggung kalau disebut kelebihan orang lain di depannya. Tetapi kalau dia dipuji , dia berasa bangga dan senang hati.

Sifat sombong sangat bahaya kerana sifat ini boleh menghalangi seseorang masuk ke syurga, sebagaimana dalam sebuah hadis Rasulullah ﷺ

لا يدخلُ الجنَّةَ من كان في قلبِه مثقالُ ذرَّةٍ من كِبرٍ

"Tak akan masuk syurga sesiapa sahaja didalam hatinya mempunyai sifat kesombongan, walaupun sebesar biji sawi." (HR Muslim- Hadis daripada Abdullah Bin Mas’ud)

Oleh yang demikian, berhati hatilah. Bahaya sombong itu, walaupun sebesar biji sawi, tidak akan masuk syurga.

Wednesday, June 24, 2020

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN SELEPAS PKP

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pada 23 Jun 2020, asrama SMKBS menerima kehadiran semula pelajar tingkatan 5 seramai 52 orang yang akan meneruskan sesi persekolahan. 

Sejak sekolah ditutup pada 18 Mac 2020, asrama dan sekolah menjadi sunyi. Semua aktiviti yang dirancang ditangguhkan buat sementara waktu. Selepas kes wabak Covid-19 kelihatan terkawal, KPM memutuskan pelajar tingkatan  dibenarkan meneruskan pembelajaran di sekolah dengan pematuhan SOP yang ditetapkan. 

Friday, June 12, 2020

SEKOLAH BAKAL DIBUKA SEMULA PADA 24 JUN INI


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara diarahkan tutup, bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal.

Selepas lebih 3 bulan ditutup. arahan pembukaan semula sekolah diumumkan oleh menteri pendidikan selaras dengan penurunan kes wabak tersebut di seluruh negara.

Namun begitu, pembukaan semula sekolah tertakluk kepada peraturan normal baharu yang diperkenalkan oleh KPM. Setakat ini, hanya pelajar tingkatan 5 dan 6 Atas, yang diberikan kebenaran hadir ke sekolah untuk meneruskan sesi pembelajaran mulai 24 Jun nanti. Ini kerana mereka bakal menduduki SPM dan STPM.

KPM menetapkan ibu bapa hanya menhantar anak anak yang sihat sahaja ke sekolah. Jika ada gejala tidak sihat, suhu badan melebihi 37C.  batuk, selsema dan sakit tekak, ibu bapa disarankan membawa anak anak ke hospital atau klinik berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Pergerakan murid ke kelas, jarak meja antara pelajar juga disusun agar memenuhi SOP penjarakan sosial. Malah,  PIBG disarankan bekerjasama dengan pihak sekolah bagi menyediakan persiapan sebelum pembukaan semula.

Dengan pembukaan semula sekolah, diharapkan ia akan beransur ansur mengembalikan peluang pelajar lain untuk belajar semula.

 

Thursday, June 4, 2020

SUDAH 23 TAHUN RUPANYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Berdua pada 1997, Alhamdulillah kini berlapan

Terbayang kali pertama kami bertemu di kursus kaunseling di sebuah hotel di Lumut Oktober 1995. Akhirnya termeterai ijabkabul saya dan isteri pada tanggal 4 Jun 1997, iaitu 23 tahun lalu.

Kami lalui kehidupan suami isteri yang adakalanya susah, senang. suka dan duka silih berganti. Pada 1998, lahirnya permata kami yang pertama, dinamakan Qatrunnada (Titisan Embun) dengan harapan ia menyejukkan pandangan, dan beroleh keberkatan hidup yang berpanjangan.

Pada 1999, lahir seorang putera yang kami namakan Afif Wajdiy (Yang Menjaga Maruah), diikuti Atif Faizi pada 2001 (Yang Pemberi Simpati), Aqil Najmi (Bintang Yang Berakal) pada 2002, Adil Hilmi (Yang Adil dan Sopan) pada 2004 dan diakhiri oleh Qasrinnuha (Mahligai Orang Berilmu) pada 2006.

Alhamdulillah kami bersyukur dengan nikmat Allah. Sesungguhnya jika Allah menguji dengan kebaikan, terima dengan rasa syukur. Namun jika Allah uji dengan musibah, ia harus diterima dengan tabah dan sabar.

Kami memiliki rumah sendiri pada 2005, menunaikan umrah pada 2014, dan haji pada 2017. Kami diberikan banyak kesempatan dan nikmat yang tidak terkira banyaknya.

Namun ada juga peristiwa dalam hidup kami yang perit untuk ditelan. Lapan tahun selepas kami dijabkabulkan, mak pergi buat selama-lamanya. Dua tahun selepas itu, ayah menyusuli mak kembali kepada-Nya.  Abang sulung saya Azwadi Noor, lebih awal kembali pada Oktober 1997, kira-kira 4 bulan selepas kami berumahtangga.

Abang ipar yang saya sayangi, Wan Long meninggal dunia pada Mei 2015, diikuti oleh adik tersayang, Abdullah Sani pada Disember 2019 yang lalu.

Begitulah rencah hidup yang kadangkala selesa, adakala sebaliknya. Apa juga yang Allah tentukan, saya redha dan terima ia sebagai ujian daripada Allah. Kami bertekad untuk terus mengekalkan nikmat kebahagiaan sehingga dipisahkan oleh ajal. Doakan..  

Monday, June 1, 2020

BERKUNJUNG KE DUSUN TAMU, KG LENGKUAS PARIT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pelawaan seorang rakan untuk mengikutnya berkunjung ke Dusun Tamu, Kampung Lengkuas Parit, tidak saya sia-siakan. Hamdan Ahmad Sapli, atau lebih mesra saya panggil Chor Medan, mengajak saya ke dusun milik abangnya di Parit pada pagi Ahad 31 Mei 2020.
Ajim melayani kami dengan Musang King

Cempedak baka CH28

Durian menunggu masa untuk gugur

Isi Musang King

Perjalanan kami melalui lebuh raya WCE hingga ke Changkat Cermin menjadikan jarak ke sana dapat dijimatkan. Kira-kira jam 8.45 pagi, kami tiba di lokasi yang dipenuhi rimbunan pohon hijau dan dilengkapkan dengan rumah tamu, dewan dan persekitaran yang damai.

Dusun Tamu berkeluasan lebih 3 ekar, ditanam dengan cempedak, rambutan, pulasan, manggis, durian dan seumpamanya. Cempedak menunggu masa untuk masak, dan setiap pokok mempunyai tidak kurang 200 biji buah yang akan matang dalam tempoh seminggu dua lagi.

Buah durian baka Musang King, IOI dan baka kampung terbaik juga dapat kami nikmati di sini. Saya bersyukur dapat datang ke sini, menikmati hasil budi insan kepada tanah. la membuktikan pertanian mampu menjana pendapatan secara berterusan kepada anak muda seperti Ajim. Dia yang menjaga dusun ayahnya merancang untuk menternak kambing kibas di dusun tersebut.

Terima kasih kepada Chor Medan yang mengajak saya datang ke sini, menjadi kenangan manis  yang sukar saya lupakan.  

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...