Tuesday, April 17, 2012

Teluk Rubiah: Antara Realiti Dan Sejarah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Teluk Rubiah, terletak di Manjung, Perak merupakan sebuah kawasan yang amat 'dekat' di hati saya, sebagaimana dekatnya jarak kampung saya dengannya. Kawasan pantai bersih dan kaya dengan nilai sejarah dan dongeng yang unik serta penuh dengan tarikan tersendiri. 

Semasa kecil, kami berbasikal untuk mandi-manda di pantainya. Ada bukit yang agak tinggi dengan kesan tinggalan lombong yang pernah diteroka pada zaman penjajah, tetapi kini hanya tinggal puing-puing yang bersemadi di sebalik lipatan sejarah. Di bukit itu, saya pernah jatuh basikal, kerana lerengnya agak curam dan lutut saya berdarah. Hingga kini, parutnya masih ada. 

Pantainya kaya dengan 'remis', sejenis hidupan seperti kerang berkulit licin dan hampir sama bentuknya dengan 'gayam'. Bagaimanapun remis lebih kecil dan hidup di gigi air. Apabila musim cuti, kami anak-anak kampung dari sekitar Kg. DSK, Permatang dan pasir Panjang Laut akan ke sini mencari remis. 

Teluk Rubiah juga, kaya dengan mitos dan dongeng masyarakat setempat. Kononnya, seorang anak pembesar dari Pulau Sumatera, membawa diri ke sini setelah ditunangkan dengan seorang jejaka keturunan bangsawan juga. Malang bagi si gadis, yang namanya Rubiah, dia mengalami kecacatan sejak kecil iaitu hanya mempunyai satu payu dara. Rasa malu dan rendah diri, takut kecacatannya menjejaskan kebahagiaan suami isteri, Rubiah nekad membawa diri ke sebuah teluk. Setibanya di teluk tersebut, Rubiah mengikat sampannya di rumpun buluh, dan menjejakkan kaki buat pertama kalinya di tempat yang asing dari keluarganya. Rubiah membina periginya, berdekatan batu dan tinggal di gua dekat dengan tanjung.

Hingga kini, tapak kaki Rubiah, masih boleh dilihat di batu berdekatan tanjung. Sebelah tapak kakinya ada di sekitar perigi, manakal sebelah lagi di sebalik tanjung. Guanya masih ada. Begitu juga dengan rumpun buluh tempat perahunya diikat. Malah, periginya juga kelihatan jelas terutama ketika air surut. 

Teluk Rubiah pernah menjadi kawasan perkelahan eksklusif dengan padang golf 36 lubang, dikenali sebagai Teluk Rubiah Country Club. Kelab Guru SMK Batu Sepuluh, Lekir pernah mengadakan majlis Hari Keluarga pada tahun 2008. 

Hari ini, Teluk Rubiah tidak lagi dikenali sebagai pantai peranginan, sebaliknya ia menjadi pusat pengedaran bijih besi syarikat Vale, dari Brazil. Dengan komitmen padu syarikat tersebut terhadap alam sekitar, saya percaya Teluk Rubiah akan kekal sebagai kawasan unik dan bersejarah.

Foto semasa majlis dialog wakil Majlis Belia Daerah Manjung dan pengurusan Vale
Kawalan dibuat untuk memastikan keselamatan kawasan terjamin

Secara peribadi, saya berasakan satu 'kehilangan' apabila Teluk Rubiah dijadikan Pusat Pengedaran Bijih Besi syarikat Vale. Bagaimanapun, melalui majlis dialog wakil Majlis Belia Daerah Manjung dan pengurusan Vale yang diterajui oleh En. Williams, dan eksekutif seperti Rafidah Mansor, mereka meyakinkan kami bahawa pihak Vale komited menjaga persekitaran Teluk Rubiah dan mengekalkan nilai sejarah yang ada padanya.

Saya berharap, selepas kilang ini beroperasi nanti, ia masih mengekalkan keindahan pantai dan tempat-tempat sejarahnya, seperti yang dijanjikan kepada masyarakat Manjung. 

9 comments:

  1. berkenaan dengan teluk rubiah ni adeakah org awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan teluk rubiah utk aktiviti berkelah dan mandi manda...

    ReplyDelete
  2. berkenaan dengan teluk rubiah ni adeakah org awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan teluk rubiah utk aktiviti berkelah dan mandi manda...

    ReplyDelete
  3. janji akan tinggal janji.... sume org dah tahu yob.....

    ReplyDelete
  4. Bila bg kepercayaan sepenuhnya pd Pemerintah. Belajar lah dr kesilapan.

    ReplyDelete
  5. Pandai pandai la nk wat cam ne.ini smua sorang je untung.

    ReplyDelete
  6. kg teman tu saya ni cucu hj jawajad

    ReplyDelete
  7. Apa perkembangan teluk rubiah skrg ye?

    ReplyDelete
  8. Apa perkembangan teluk rubiah skrg ye?

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan