Saturday, November 29, 2008

Tahniah Kepada Tapa..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Sudah ramai anak muridku, yang berjaya mahupun kecundang dalam bidang masing-masing. Ada yang masih sudi menegur, ada juga yang menyombong diri. Ada yang baru habis SPM, jumpa aku di pasar malam pun tak memandang. Wah, benci sangat pada aku agaknya. Tapi masih ramai yang ingat akan diri yang semakin menginjak tua ini.

Bertalu-talu mesej mengucapkan selamat hari lahir kepadaku, yang dikirimkan bekas pelajar. Begitu juga dengan 16 Mei, yang sinonim dengan Hari Guru. Maknanya, masih ada bekas muridku yang masih sudi berhubungan dengan diri ini.

Dua minggu lalu, aku menerima mesej dari Nor Azfar Hanif bin Mazlan, atau mesra dengan panggilan Tapa.

"Tolong doakan saya, cikgu. Saya akan mewakili Malaysia dalam pertandingan kemahiran peringkat Asean" begitulah maksud tulisan dalam mesej tersebut.


Inilah Tapa. Anak Melayu yang memenangi pingat emas dan akan mewakili
Malaysia dalam pertandingan peringkat dunia di Kanada tahun depan.


Seperti yang aku percaya selama ini, setiap usaha yang diiringi doa dan tawakal, akan membuahkan hasil. Aku yakin Tapa boleh membuat yang terbaik, sebba aku kenal perwatakannya.

Tidak lama kemudian, aku menerima mesej daripada Tapa, menyatakan dia berjaya memenangi pingat emas dan menjadi johan pertandingan kemahiran tersebut. Berita kemenangannya disiarkan dalam akhbar perdana baru-baru ini.

Semalam, Tapa datang ke rumahku dan kami berbual panjang. Banyak juga kisah di sebalik pertandingan itu yang dapat kukongsi bersamanya.

Tapa, seorang daripada anak murid yang masih tidak lupa asal-usulnya, berbadan kurus dan menghormati guru. Aku sangat kagum dengan pencapaiannya yang berjaya mengharumkan nama Malaysia.

Dia berjaya mengalahkan peserta Singapura, Thailand dan Filipina. Tapa kini bekerja sebagai pegawai Teknikal Proton Edar di Glenmarie, Shah Alam.

"Sebenarnya, cikgu. Pihak Proton bukan kekurangan pekerja mahir, tapi ramai yang cabut.." kata Tapa sebelum mengakhiri perbualan kami.

"Ngapa pulak?" tanyaku kebingungan.

"Pihak pengurusan kurang menghargai pekerja. Saya nak tengok dulu respons Proton selepas pertandingan kemahiran ni. Dia orang ada janji untuk saya."

Sememangnya Tapa adalah aset Proton yang patut dihargai. Dengan kemenangannya dalam pertandingan kemahiran menewaskan wakil Toyota dan Honda baru-baru ini, ia patut membuka mata pihak berkenaan agar tidak memandang rendah akan keupayaan budak Melayu sepertinya.

"Dah dapat tawaran lain?"Aku menguji.

"Ada tawaran daripada pegawai di BMW, tapi saya sayangkan kerja di Proton. Tengoklah dulu, bagaimana keadaannya hujung tahun ni," kata Tapa yang seakan-akan masih berharap kekal di Proton.

Apa pun yang Tapa akan buat, terpulang kepadanya. Bagaimanapun, aku tetap bangga dengan pencapaiannya. TAHNIAH TAPA. Cikgu bangga dengan kamu..

"Bila nak jemput cikgu makan nasi minyak?" tanyaku pada akhir perbualan.

Tapa hanya tersengih, dan tersenyum memandangku. Penuh makna senyumannya.

Wednesday, November 26, 2008

Penjenayah Mengganas di Kejirananku..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Awal pagi ini, sekitar jam 4.30 pagi, aku menerima panggilan Abang Jakpo. Tentu ada hal penting dia menelefon pada waktu begini.

"Tadi polis ronda depan rumah saya, cikgu. Katanya, ada rumah dipecah masuk. Cikgu tau tak?" suara Abang Jakpo bertanyakan hal itu.

"Masuk lagi? Siapa pulak kali ni?" Aku bertanya pula. Wah, terkejut dibuatnya menerima berita ini.

Seingat aku, bulan Mac lalu, empat buah rumah termasuk rumahku cuba dipecah masuk. Ketika itu, rumah Abang Jakpo berjaya digeledah. Abang Jakpo diikat bersama seorang lagi anak lelakinya. Habis semua barang berharga dan wang tunai dilarikan penjenayah itu. Dari pertuturannya, sahlah orang seberang.

Rumahku pula tak sempat dimasuki penjenayah tersebut. Hanya pagar berjaya dibolosi, manakala kunci rumah dirosakkan. Niat mereka ingin masuk ke rumah tidak berjaya, kerana isteriku terjaga setelah mendengar bunyi pelik. Apabila lampu dipasang, mereka sudahpun 'lesap'.

Kami yang ketakutan tidak tidur hingga pagi. Rupanya selepas gagal di rumahku, syaitan-syaitan itu menjadikan Abang Jakpo sebagi mangsa.

Sejak itu, tidur malam kami sering diulit kebimbangan. Akhirnya aku nekad memasang sistem penggera (alarm). Selebihnya, doa kepada Yang Maha Pencipta, agar kami sentiasa dilindungi.

Inilah bahagian kunci pintu depan rumahku yang cuba dirosakkan pada Mac lalu.

Pagi ini, kisah yang hampir sama berlaku lagi.

"Tak tahu, cikgu.. Tapi macam saya hari tu, orang Indon juga. Dia ikat tuan rumah. Habis barang kemas dan duit." kata Abang Jakpo memaklumkan kisah terbaru ini.

Betullah telahanku. Nampaknya, modus operandinya sama macam dulu. Masuk ikut pagar, kemudian potong gril dan ikat mangsa. Adakah mereka penjenayah yang sama? Mungkin ya, mungkin tidak...


Pagar rumah En. Halyubi dipotong dan dibuat lubang bagi
memudahkan syaitan-syaitan itu masuk.

Pagi ini, kudapat tahu, rupanya jiran malangku yang dirompak itu ialah En. Halyubi, pegawai pertanian di Lekir. Dia dan isterinya Kak Ani, serta anak gadisnya Husna, diikat dengan dawai pagar, sementara 4 (ekor) penjenayah Indon sibuk menggeledah rumah untuk mencari rezeki haram yang boleh dibawa lari.

"Biarlah dia nak ambil, asal jangan apa-apakan keluarga kami," kata Kak Ani menceritakan kejadian itu kepada jiran tetangga yang datang.


Penjenayah bangsat itu masuk ikut tingkap dapur yang dipotong besi jeriji ini.

Lihat sahaja keadaan bilik yang digeledah oleh syaitan-syaitan ini.

Inilah dawai pagar yang mengikat kaki dan tangan mangsa di kejirananku pagi tadi.

"Kecil-kecil orangnya, cikgu. Tapi saya takut. Dia hunus parang di leher saya dan abang (En. Halyubi). Takut sungguh,"kata Kak Ani yang masih nampak gementar ketika kuziarahi pagi ini. Ketika itu, En. Halyubi ke balai polis untuk membuat laporan. Polis sudahpun menghantar pasukan CSI awal subuh untuk mencari bukti.

Ramai juga jiran yang baru tahu musibah itu, datang bertanya khabar. Tak kurang juga yang menyiasat kawasan sekitar.

Ketika polis tiba jam 4 pagi, penjenayah sudahpun melarikan diri.

Huh, memanglah. Bangsat sungguh penjenayah seperti ini. Mereka datang berkumpulan, masuk ke negara ini tanpa hormatkan undang-undang negara. Kemudian, mereka merompak dan 'mencuri' ketenteraman rakyat negara ini. Memang tidak tenang hidup dibuatnya.

Lihatlah keadaan pagar yang dipotong, memang mereka 'pakar' dan biasa melakukannya.

Aku rasa Malaysia makin tidak selamat. PDRM, tolonglah hapuskan penjenayah ini. Jangan biarkan mereka hidup!.. jerit hatiku..

Moral: Jangan bertindak bodoh melawan penjenayah ini. Biarlah mereka ambil wang dan benda berharga, asal jangan mengapa-apakan keluarga kita. Berdoalah moga Allah menutup pintu hati penjenayah daripada ingin melakukan kejahatan terhadap kita.

Tuesday, November 25, 2008

BERKAT REZEKI KERANA SEDEKAH

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.


Adik (ipar)ku Wan Murzulaika yang menuntut di UHTM, Batu Pahat Johor, sering menghantar beberapa emel berupa renungan yang menarik untuk kuhayati. Satu daripadanya ialah renungan berikut. Terima kasih Ika..

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu' . Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.

1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.

2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.

3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal

4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.

6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.

7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia – tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat Quran Ali Imran ayat 92

9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)

10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan) . Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi
rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.

11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'

Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.

Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.

p/s: Teringat kata pujangga: Orang yang murah hati sentiasa rasa besar hati menolong orang lain, manakala orang yang bakhil akan berasa berat hati membantu mereka yang memerlukan.

Aku dan anda, bagaimana ye?

Monday, November 24, 2008

Pintarkah Kita?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Manusia hari ini berlumba-lumba untuk menjadi pintar. Kita sering beranggapan hanya yang pintar sahaja dapat hidup selesa. Ibu bapa (termasuk aku?) sering berharap anak-anak mereka pintar dan cemerlang dalam kehidupan.

Apakah maknanya kepintaran? Menurut Richard G Pellegrino dan Michael J Politis (Pearson, 2003) kepintaran ialah sesuatu yang lebih daripada hanya membaca buku atau kebolehan mendapat markah yang baik dalam ujian. Ia sama sekali tidak berguna kecuali jika kita dapat memupuknya dalam mencapai matlamat-matlamat hidup yang sebenar.

Ringkasnya, Pandai atau tidak seseorang sering diukur dengan Darjah Kepintaran melalui ujian IQ. Ujian IQ asalnya dicipta oleh pakar psikologi Alfred Binet pada 1904, lalu digunakan oleh kerajaan Peranchis untuk membezakan kanak-kanak terencat akal dan normal supaya perhatian dapat diberi kepada mereka sejak awal lagi. Sejak itu, ujian kepintaran diperluaskan dan hari ini, terdapat pelbagai ujian IQ untuk menguji kemampuan otak manusia.

Analoginya mudah. Sebatang tukul hanyalah sebongkah besi dan kayu. Ia hanya berguna jika kita:
  1. ada tugas yang memerlukan penggunaannya
  2. tahu bagaimana dan bila hendak menggunakannya
  3. meenggunakannya tanpa merosakkannya
Jika kita tahu cara dan kesesuaian menggunakan tukul, bermakna kita pintarlah.

Adakah kepintaran ini diwarisi? Mungkin ya, mungkin tidak. Lee Kuan Yew, seorang tokoh politik tersohor Asia Tenggara, adalah seorang yang pintar. Beliau mampu mengubah Singapura daripada sebuah pulau kepada sebuah negara yang maju. (Ini pun atas kelemahan pemimpin Melayu yang tidak pintar?) Lee Kuan Yew mempunyai cucu yang terencat akal. Ini bermakna tidak semestinya keturunan pintar akan berkekalan.

Kita cuba fikirkan begini. Bro Jinggo, budak kampung yang mungkin tidak pintar pada zaman kecilnya. Begitu juga Azza, Miss Jaz, Razor, Iina, Bro Azlan, Tirana, Maksu dan blogger lain. Kita tidak dilahirkan untuk terus jadi pintar (Tapi, pintarkah kita?) Aku sendiri, semasa Penilaian Darjah 5 (Macam UPSRlah..) hanya mendapat 1A,3B,1C. Aku sendiri rasakan bahawa aku tidak tergolong dalam kumpulan manusia pintar.

Kita pernah mendengar nama Sufiah Yusof, seorang warga Britain yang emaknya adalah wanita kelahiran Johor. Sufiah dikatakan pintar kerana mampu membuat penyelesaian kalkulus yang sukar berbanding usianya. Natijahnya, Sufiah ditawarkan biasiswa oleh kerajaan Malaysia (kerana emaknya Melayu Johor?) lalu menyambung pengajiannya di Oxford, sebuah universiti terkemuka di dunia.

Lalu apakah yang terjadi kepadanya hari ini? Rasanya semua orang tahu. Jadi, adakah Sufiah pintar? Aku rasakan dia hebat dalam kalkulus sahaja, tapi gagal mengaplikasikannya dalam kehidupan. Akhirnya, dia gagal menjadi seperti apa yang diharapkan.

Kepintaran juga bermakna kita menguasai ilmu yang dimiliki. Seorang doktor memang pintar apabila mengetahui jenis ubat yang sesuai untuk pesakitnya, apabila melihat simptom di tubuh pesakit tersebut.

Seorang guru memang pintar apabila dapat menggunakan pelbagai kaedah P&P untuk mencapai objektif pengajaran terhadap pelajarnya.

Seorang ibu juga adalah pintar, apabila tahu selera dan cara menangani masalah pemakanan anak dan cara menggembirakan suaminya.

Seorang peguam pastilah pintar untuk menyelesaikan kes yang melibatkan anak guamnya agar tidak terhukum oleh mahkamah. (Kes Sirul Azhar dan Azilah Hadari, bergantung kepada kepintaran peguamnya, bukan kerana jenayahnya).

Hari ini, ibu bapa terlalu berharap anak-anaknya mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan. Tempoh hari, semasa berkursus di Pulau Pinang, seorang rakan kursus menangis kedukaan kerana anaknya (hanya..) mendapat 4A,1B dalam UPSR 2008.

Apa sebabnya? Ini kerana kita meletakkan kayu ukur kepintaran dari sudut banyak sedikitnya jumlah 'A'. Tahukah kita, sebenarnya 5A itu sekadar angka. Anak-anak kita mungkin lebih hebat daripada itu, tetapi potensi mereka belum terserlah. Ada kanak-kanak yang pintar, tapi dalam bidang kemahiran. Misalnya, seorang doktor tidak mahir mengendalikan kerosakan enjin keretanya berbanding mekanik yang hanya lulus darjah 6.

Seorang guru, mungkin tidak mengetahui jenis ikan dan kaedah yang sesuai untuk merawai berbanding nelayan tua yang separuh abad menghabiskan dunianya di laut.

Yang jelas adalah, kepintaran sesuatu yang abstrak, dan bukan semua orang dapat menggunakan semua jenis kepintaran dalam semua keadaan. Tetapi, Allah menganugerahkan kita sedikit kepintaran dalam bidang tertentu. Terpulanglah kepada kita cara untuk memperkembangkannya mengikut cara masing-masing.

p/s: "Kepandaian dan kebodohan anda bergantung kepada di mana anda berada.." kata Burt Reynolds dalam filem Smokey And The Bandit.


Friday, November 21, 2008

"Bertuahnya' Menjadi Razak Baginda

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Sesiapa yang mengikuti bicara kes pembunuhan seorang wanita Mongolia, pasti mengenali dengan jelas wajah yang dipaparkan ini.

Aku katakan Abdul Razak Baginda amat bertuah, kerana:

  1. Bebas dari dakwaan bersubahat membunuh Altantuya Shaaribu
  2. Pihak pendakwa TIDAK MEMBUAT RAYUAN untuk mensabitkan kesalahannya.
  3. Akuan bersumpah Sirul Azhar dan Azilah Hadari yang membabitkan Abdul Razak dalam kes tersebut tidak diterima.
  4. Abdul Razak dapat menyambung kembali pengajiannya dalam Ph.D di Universiti Oxford.
"Bersyukurlah semuanya selesai," kata Abdul Razak dalam sesi "press conference" bersama wartawan dalam dan luar negara semalam.

Abdul Razak Baginda, sangat misteri hubungannya dengan Altantuya. Pastilah dia curang dengan isterinya kerana berhubungan secara intim dengan wanita itu satu ketika dahulu. Bagaimanapun, Abdul Razak hari ini sudah kembali dari pertapaannya setelah ditahan selama 22 bulan.

Kini, yang pasti akan dihukum hanyalah dua ekor kambing hitam yang tak pernah mengenali wanita Mongolia itu.

Pelik, apa motif Azilah dan Sirul Azhar hendak menghapuskan wanita yang tiada kaitan dengan mereka?

Banyak persoalan yang masih tidak terjawab dalam sesi perbicaraan melibatkan mangsa peletup C4 ini.

Yang pasti, keputusan ini mengecewakan banyak pihak, terutama bapa Altantuya, dan sanak saudara mereka di Mongolia.

Moga-moga Abdul Razak berjaya mencapai cita-citanya. Jadikanlah semua ini iktibar, dan anggaplah Allah memberi anda peluang kedua untuk muhasabah diri.

p/s: Teringat pantun dulu-dulu; Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-ama mencuri.

Thursday, November 20, 2008

Anda Marah Tak Kenyataan Ini?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Ketika aku singgah di sebuah kedai fotostat milik seorang Cina, aku tertarik untuk memaparkan perbualan bersamanya. Aku senang memanggilnya 'Uncle', kerana usianya yang lanjut. Sambil menyuruhnya membuat salinan beberapa dokumen penting, aku berbual dengannya. Anak-anaknya tidak bekerja di Malaysia. Dua di Singapura, seorang lagi jurutera di Australia.

Memang orang Cina hari ini, tak banyak anak macam orang Melayu. Orang Cina sebenarnya lebih praktikal, kerana jika anak sikit, lebih mudah diberi perhatian. Itu sebabnya, sekarang ini jumlah anak Cina semakin rendah berbanding Melayu dan India.

"Mengapa anak uncle tak mau balik, kerja di Malaysia?" tanyaku menguji Cina tua itu.

"Susahla, ini Malaysia mana mau terima orang Cina kerja,"katanya, menyebabkan aku tersentak.

"Saya berani cakap, Malaysia tak mau bayar anak saya."katanya dengan nada yakin.

"Anak uncle yang memilih, dia tak mau kerja di Malaysia." kataku.

"Lu tengok saya, sudah tua pun, masih kerja," kata Cina tua itu.

"Orang Melayu, mana kerja macam saya. Sudah tua, boleh goyang kaki."

Aku tak bersetuju dengan kata-katanya. Lalu aku katakan, bahawa orang Cina sukar hendak bekerja dengan syarikat Melayu. Biasanya, Melayu yang akan kerja di syarikat Cina,kataku. Lagipun, Cina lebih suka kerja dengan bangsanya sendiri.

"Tapi, saya respect orang Cina, rajin,"kataku.

"Cina bukan rajin, tapi usaha kuat. Lu tau ka, Malaysia aaa, ini macam pokok daun emas, daun sudah jatuh (gugur), tapi orang Melayu tak mau kutip saja. Kita orang Cina talak(bukan) itu macam.." Kata Cina tua itu.

Selesai urusan, aku tinggalkan 'uncle' dengan prinsipnya.

Aku terfikir sendirian, agaknya beginilah tanggapan orang Cina terhadap bangsa kita. Aku tak marah, sebab ada pandangannya yang betul. Ringkasnya, aku rasa orang Cina pandang rendah bangsa Melayu sebab sikap bangsa kita asyik mengharap 'tongkat' atau bantuan kerajaan.

Ada kala, aku rasa tercabar juga, sebab seolah-olah ia memperlecehkan orang Melayu. Tapi orang Cina selalu tolong bangsanya, jika dah berjaya. Orang Melayu, bila dah berjaya, selalu lupa pada bangsa. Berapa ramai Melayu yang dah berjaya, tapi tak semua ingat nak tolong bangsa. Sebaliknya, kerajaan yang sediakan pelbagai bantuan atau istilahnya tongkat.

Kekadang, ahli politik pun begitu. Cakap tentang jati diri bangsa, agama, bla..bla..bla... Tapi bila dapat tender, dialibabakan kepada tauke Cina. Kalau dapat untung sikit, tukar kereta mewah, tambah isteri dan seumpamanya.

Agaknya, bila mentaliti bangsa kita nak berubah?

p/s: Agak sibuk kebelakangan ini, menyiapkan laporan dan tugasan hujung tahun. Kalau blog tak dikemaskini, harap maaflah..

Monday, November 17, 2008

Hidup Ini Lakonan atau Realiti?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Manusia ini sebaik-baik kejadian
. Itulah yang dinyatakan dalam Quran. Bagaimanapun, aku tersentak apabila membaca kisah penkid, gay, bunuh membunuh, haruan makan anak dan seumpamanya. Inilah lakonan hidup manusia.

Gambar hiasan

Penkid atau perwatakan wanita yang 'berlagak lelaki', semakin menjadi virus yang merebak dalam masyarakat hari ini. Lakonan sahajakah mereka?

Tamadun barat semakin hancur, Budaya Kaum Lut menjadi cara hidup

Lelaki yang mengamalkan cara hidup 'gay' atau berhubungan seks sesama jenis, semakin dominan di bandar-bandar besar dan kecil. Mereka berlakonkah?

Semalam, hatiku terusik lagi dengan kematian seorang lelaki yang lehernya ditusuk ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Dia bapa kepada beberapa orang anak, dan suami kepada seorang wanita. Sebelum itu, berita seorang petugas stesen minyak dibunuh oleh perompak di Kuala Kangsar juga merentap jantungku.


Manusia hari ini tidak menghargai nyawa,
mudah sangat membunuh dan dibunuh.

Kisah bapa merogol anak, abang perkosa adik dan datuk menodai cucu, semakin memenuhi dada akhbar. Lakonan atau realitikah ini?

Ketika pulang dari Penang, keretaku terbabas di laluan Taiping-Trong. Laluan kawasan itu memang banyak selekoh. Kealpaan sebentar menyebabkan ia hampir-hampir meragut nyawa dua ibu yang menumpang keretaku. Kami selamat kerana tiada kenderaan dari arah depan, atau belakang yang menabrak keretaku. Syukur kerana Allah masih panjangkan umurku. Inilah babak dalam lakonan hidupku. Andai aku bertembung kenderaan lain ketika itu, mungkin blog ini hanya tinggal sejarah. Lakonankah ini?

Baru-baru ini, media Singapura menganggap bumi Johor semakin tidak selamat, kerana warganya sering dijadikan sasaran penjenayah.

Aku rasakan Malaysia semakin tidak selamat. Atau rakyat Malaysia sudah hilang nilai moral? Adakah polis kita semakin tidak cekap?

Saturday, November 15, 2008

Selamat Menduduki Peperiksaan, Aku...

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Hari ini, hari terakhir kursus di Copthorne yang serba indah ini. Tapi ia hari yang lebih mengganggu, kerana hari ini juga aku dan rakan lain dari seluruh zon Utara (Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang) akan menduduki peperiksaan yang disebut Ujian Akhir Kursus (UAK).

Inilah tugasan terakhir sebelum kami melengkapkan kursus PTK DG44. Sebelumnya, kami mesti menyiapkan tugasan individu antara 15-20 halaman. Kami wajib mengikuti enam siri ceramah sepanjang berada di sini.

Kami mesti memberikan public speaking dan pembentangan bahan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu secara individu. Semalam, kami membuat pembentangan kumpulan dan hari ini, UAK membawa kepada 40% markah keseluruhan.


Grup Ismadi, Hj Khairudin, Cikgu Zainab sedang buat pementasan kisah gejala sosial di Cafe Siber. Kami ketawa berdekah-dekah dengan lawak selamba Ismadi. Somchit di hujung sana jadi pembaca berita.Haaiyon jadi wartawan. Cikgu Azahar(berkaca mata) jadi Inspektor Sahab...

Sebelah kiri ialah juri (Juri pertandingan?). Yang lain sebagai penonton yang menyaksikan persembahan kumpulan lain. Kumpulan aku ketika ini dah lega. Kami yang pertama buat persembahan dalam bentuk mesyuarat.

Persediaan? Entahlah. Semalam aku menyertai perbincangan kumpulan bersama guru-guru yang lebih senior. Antaranya, Haji Ibrahim (aku hormati dia sebagai seorang yang berpengalaman dalam hidup, ada gaya seorang guru), Cikgu Maizatul, Cikgu Halim, Cikgu Zuhida, Cikgu Chang dan ustazah Zaliha.
Sesi sumbang saran dan perbincangan kumpulan. Semua nampak serius dan beri perhatian. Aku saja yang snap sana, snap sini...

Malam, tadi, bersama room mate dan Cikgu Hassan dari bilik sebelah. Nak kata sedia, mungkinlah, tapi tidak mantap.

Semuanya dalam bentuk aplikasi terhadap tugas Pengajaran dan Pembelajaran. Ada rezeki anak-anak, luluslah. Tahun depan, PTK DG44 hanya melalui peperiksaan. KPM tiada duit untuk buat kursus seperti ini lagi.Aku dan Hj Ibrahim, antara senior yang boleh menjadi panduan dalam melayari hidup penuh mencabar. Banyak tips kehidupan yang diberi, untuk membantu aku menjadi manusia yang brtanggungjawab kepada tugas sebagai pendidik dan suami, ayah.

Yang penting, aku selesai menjalani kursus yang memeritkan ini. Memanglah perit, sebab terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak tersayang selama seminggu. Insya-Allah, hari ini aku akan pulang, dan aku harap perjalanan itu tidak bermasalah. Doakan, ya...

P/s: Teringat tentang nasihat Azza, rakan blogger aku, agar tak terlalu 'open' di blog ini. Bahaya, pesannya.. Patutlah Tirana tak tampilkan diri sebenar, fikirku. Apa pun, semuanya bergantung kepada niat. Aku harap tak ada orang yang berniat jahat melayari blog ini. Tapi rambut sama hitam, berhati-hati macam Azza dan Tirana, lebih baik.

Friday, November 14, 2008

Beza Bersekolah Dahulu, Dan Sekarang.

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Keputusan UPSR yang baru-baru ini diumumkan, mencetuskan kenangan terhadap zaman persekolahanku dahulu.

Pada tahun 70-an, kampungku tiada tadika. Benar. Tak ada. Ketika itu, tak boleh membaca ketika darjah satu, adalah perkara biasa. Sekarang, budak yang daftar darjah 1, jika tak tahu membaca, sudah ketinggalanlah mereka.

Aku menumpang Pakcik Endan ke Kg, Bharu, kerana di situlah ada tadika KEMAS, dekat dengan klinik desa. Setiap pagi, aku jalan beriringan dengan Abang Joey, Salleh dan dua tiga orang kawan sekampung. Aku hanya pulang ke rumah pada hujung minggu dengan menumpang motor Honda lampu bulat, ehsan Pakcik Endan yang masih bujang ketika itu.

Sebenarnya, idea maklah ni. Arwah mak memang ambil berat pendidikan anak-anak. Mak mahu aku pandai membaca sebelum masuk darjah 1. (Ya Allah, Kau Masukkanlah roh mak dan ayahku ke dalam kumpulan orang yang beriman.)

Apabila masuk Darjah 1, aku dan Yong dihantar ke Sekolah Kebangsaan Teluk Muroh, jaraknya 15 km dari rumah. Kami pergi naik bas seawal jam 6 pagi. Maknanya, kena bangun awal, sekurang-kurang 5.30 pagi. Setiap hari, begitulah. Tapi jumlah pelajar lain seperti kami ramai. Taklah bimbang keluar awal pagi.

"Ein,....Ein,... bangun Ein," Itulah cara ayah membangunkan aku setiap awal pagi. Rumah kami taklah terlalu besar, tapi selesalah untuk kami sekeluarga. Rumah 'pemberian' kerajaan, kerana kami menyerahkan kampung asal kepada Tentera Laut Diraja Malaysia untuk dibuat pangkalan tentera. (Hanya selepas 80-an, barulah aku tau pangkalan TLDM Lumut adalah yang terbesar di Malaysia)

Dahulu, pelajar lelaki berseluar pendek, perkara biasa. Pelajar perempuan berskirt paras lutut. Kini, pelajar lelaki berseluar panjang. Kalau ada yang berseluar pendek, mungkin pelajar di SJK Cina atau SJK Tamil. Pelajar perempuan hari ini pun berbaju kurung dan bertudung. Zaman aku bersekolah dahulu, cikgu pun tak bertudung, apatah lagi murid.

Arwah mak akan bekalkan nasi, dan lauk sebagai tambahan kepada belanja yang tak seberapa. Duit belanja aku dahulu 30 sen, cukup untuk beli nasi, sebiji kuih dan air sirap segelas. Cuba perhatikan hari ini, berapa ramai pelajar yang bawa bekal? Anak aku pun tak nak bawa. Tau tak sebabnya? Mereka malu. (Malu? Aku tak rasa pun malu dulu, tapi bangga...) Rupanya, mentaliti pelajar menganggap bawa bekal ke sekolah untuk orang tak ada duit.

Dulu, makan nasi bertelur goreng dan kicap, sudah cukup membuka selera. Aku, arwah Fuad, Man Chodin, Azam dan Safarin akan makan di bawah pokok. Makan ramai-ramai memang seronok. Ada masa, kami akan bermain getah, konda kondi dan polisentri.

Aku cukup takut dengan cikgu Halimah. Garang, tapi selalunya dia mencubit. Itupun dah cukup memberi kesan.

"Izzuddin, kamu ni, adik Azaliah ke?" tanyanya ketika mendenda aku berdiri di atas bangku. Waktu itu, seingat aku, kami didenda kerana tak buat kerja sekolah. Aku mengangguk.

"Kamu, boleh duduk, yang lain, berdiri sampai waktu rehat." Kata cikgu Halimah.

Aku tersengih-sengih melihat kawan-kawan lain yang masih berdiri. Khabarnya cikgu Halimah pun dah pencen sekarang.

Berkasut getah tahun 70-an, adalah perkara biasa. Kasut itu biasanya digunakan pekerja ladang. Warnanya putih, dan mudah dicuci. Sekarang mungkin tiada lagi dijual. Kalau balik sekolah pada waktu tengah hari, kaki boleh jadi kecut, sebab peluh tak dapat keluar. Bau? Huh, jangan dikenanglah. memang melantung bau kaki. Bau cekam...

Biasanya yang berkasut kain jenama BATA, adalah anak-anak orang kaya. Ayah pun ada kalanya beli juga untuk kami, sebab dia mahu anak-anaknya dapat seperti anak orang lain. (Ya Allah, besarnya pengorbanan mak dan ayahku). Kebiasaannya, kami tak kisah sangat, sebab rata-rata kawan sekolah aku dulu, semuanya taraf sama macam kami.

Sekarang, budak-budak sekolah rendah pun tahu pasal jenama. Nak beli baju berjenama, kasut pun hebat. Semuanya nak hebat. Kekadang, perbelanjaan hujung tahun untuk membeli pakaian seragam sekolah anak-anak hari ini mencecah ratusan, atau mungkin seribu ringgit.

Zaman aku, beli baju sekolah pun di Pekan Khamis (taraf Pasar Malam jer..), atau kedai Union dekat simpang empat Sitiawan. Kalau boleh guna baju tahun lepas, lagi baik. Boleh menjimatkan.

Iyalah, aku anak buruh majlis bandaran, mak suri rumah sepenuh masa. Keadaan ekonomi ayah tidaklah kukuh. Itu sebabnya mak akan cuba mengelakkan perbelanjaan keluarga kami meningkat.

Mak tanam serai dan ulam-ulaman di tepi rumah. Nangka madu yang dah masak, akan dijual. Biasanya dicucuk dengan lidi, macam sate. Siapa lagi yang akan jual, kalau bukan aku. Aku akan naik basikal dan bawa raga di belakang. Mula-mula dulu, memang malu, tapi sebab aku anak lelaki sulung, aku mesti tolong mak dan ayah. Mak pun selalu nasihat, supaya aku tak pentingkan diri sendiri.

Mak ternak itik serati dan ayam kampung. Kami akan tolong jaga. Pernah satu hari, Oun adikku, terpukul kepala ibu itik serati yang mematuk anak ayam mak. Mati ibu itik tu. Mak sedih sebab ibu itik tu ada anak yang masih kecil.

Bahagian yang paling menyeronokkan ialah apabila ada pemborong ayam (biasanya nyonya tua kampung kami) datang dengan basikalnya. Mak akan jual ayam yang sudah matang. Siapa lagi tukang kejar ayam, kalau bukan aku, Sani dan Oun.

Bukan senang nak tangkap ayam kampung, kena bijak buat perangkap. Tapi, biasanya aku, Sani dan Oun lebih suka kejar ayam hingga letih, lebih mudah menangkapnya. (Tapi penatlah sikit)

Pada akhir sesi jual beli, kami akan dapat upah sekupang dua kerana menolong mak menangkap ayam, hasil jualan ayam kepada pemborong. Seronoknya dapat upah.

Dengan duit upah itulah aku beli ais kepal, atau beli gula-gula. Kebiasaannya, mak akan suruh masukkan di tabung tembikar yang ayah beli. Seingat aku, tabung aku bentuk ayam, Sani ada tabung gajah, Oun pun, bentuk binatang, tapi aku tak ingat.

Bila aku fikirkan semula zaman dulu, aku rasa anak-anak hari ini sangat bertuah.

Thursday, November 13, 2008

Pastilah Sudah, Bahasaku Merempat Di Bumi Sendiri..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Kupetik berita daripada BERNAMA tentang pandangan (atau keputusan?) Menteri Pelajaran tentang nasib bahasaku di bumi bertuah ini.

Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak gagal

KOTA BAHARU: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sejak 2003 tidak gagal dan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini, membuktikannya, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, beliau bangga dengan keputusan itu kerana jumlah calon yang lulus dalam semua subjek adalah tinggi walaupun jumlah calon yang mendapat 5A berkurangan sedikit.

"Ini bukti PPSMI ini tidak gagal tetapi saya tidak katakan dasar ini sudah lengkap atau tepat dan ia boleh diperbaiki," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Paloh Pintu Gang di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian mengulas desakan termasuk daripada tokoh akademik yang mahukan subjek Sains dan Matematik kembali diajar dalam Bahasa Malaysia bagi mengelakkan bahasa itu terpinggir.

Pada pengumuman keputusan UPSR hari ini, seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd Dom ketika mengumumkannya berkata keputusan itu adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus yang mencapai keputusan yang sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya.

Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata pada UPSR lalu, 57 peratus calon telah menjawab soalan menggunakan Bahasa Inggeris dan ia membuktikan calon juga selesa untuk menggunakan bahasa tersebut dan ia merupakan satu kebanggaan kementerian.

"Jauh sekali untuk kita meminggirkan Bahasa Malaysia ini tetapi pada masa yang sama apa yang Kementerian lakukan adalah mahukan pelajar turut mempraktikkan Bahasa Inggeris demi masa depan mereka," katanya.

Hishammuddin berkata rumusan terhadap keputusan UPSR itu akan dibawa ke persidangan meja bulat yang akan diadakan nanti dan dibentangkan kepada anggota persidangan itu sebelum dibawa ke Kabinet.

BERNAMA

Khabar angin sebelum ini kuat bertiup bahawa bahasa Melayu akan kembali digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Tapi, berdasarkan senario terbaru, harapan untuk melihat bahasaku kembali perkasa, nampaknya, semakin malap. Bahasaku dihina di buminya sendiri..

Emosikah aku? Sedangkan menteri kata, jangan beremosi. Entahlah. Berbagai-bagai perasaan bersarang dalam hati.

Keputusan UPSR bukanlah boleh dijadikan ukuran. Aku masih berpendapat, bahasa Inggeris penting dan boleh dipanjangkan masa pengajarannya. Tetapi, jangan korbankan subjek sains dan matematik.

Anak orang bandar, yang ibu bapanya mempunyai pendedahan luas tentang bahasa ini, akan dapat banyak manfaat, berbanding anak Wak Sabran di Ulu Kayan, anak Munisamy di Estet Arcadia, anak Ah Chai di pedalaman Tg. Tualang.

Bahasaku sedang ditalkinkan...

Guru? Apalah sangat nak dibandingkan elaun PPSMI dengan remuknya perasaan melihat anak bangsa terkulat-kulat nak memahami isi pelajaran..
(Datuk Menteri Pelajaran dan Datuk Ketua Pengarah Pelajaran, sudi baca blog saya ke?...)

Gabra Membuat "Public Speaking"

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Seingat aku, ini kali kedua aku ber'syarah' dalam bahasa Inggeris. Kali pertama, semasa kertas BI 202 di UPM, 14 tahun lalu.

Semua kumpulan PV3, terdiri daripada pelbagai kelompok guru. Ada yang mengajar BM, BI, Pendidikan Islam, Akaun, Ekonomi, dan Sains. Bagi rakan-rakan yang biasa dengan pembentangan dalam bahasa Inggeris, tak mengapalah. Bercakap pun macam bertih goreng. Haji Khairuddin, guru PPSMI, selamba bercakap sehingga kami semua melopong. Begitu juga Mohayadi dan beberapa orang lagi.

Aku teringat kisah Wilda, seorang blogger yang sedang bertapa. Wilda buat pembentangan sambil panelnya tertidur. Aku harap, panel penilai aku tak tidur ketika aku berucap.

Dua orang penilai kami yang merupakan pensyarah Bahasa Inggeris di Institut Perguruan. Serius je madam tu..

Aku? Entahlah. Dua orang pensyarah menjadi penilai kami seramai 22 orang. Masing-masing kecut dan senyap apabila kedua-duanya masuk ke bilik yang sejuk itu.
Aku sedang berucap dalam bahasa Inggeris, alhamdulillah....

Aku orang ke-11, dan orang terakhir dalam sesi pertama. Sesi kedua bersambung selepas minum pagi. Ketika minum, aku dah lega sebab giliran aku dah lepas. Tapi, kasihan pada rakan yang akan berucap selepas itu. Minum pun, muka tak ceria.

Sejak malam tadi, aku dan Najmi, (room mate) asyik berbual dalam bahasa Inggeris, di samping bercakap depan cermin (sambil pegang teks). Semuanya untuk meyakinkan diri agar dapat tenang, tabah dan bersemangat ketika menyampaikan ucapan selama 10 minit itu.

Ini situasi sebelum bermula. Seolah-olah, semua tak kena. jantung pun macam nak tercabut.

Sebenarnya, bercakap dalam bahasa Inggeris depan audiens seperti pelajar, tidaklah menjadi masalah sangat. Tetapi, apabila berdepan dengan rakan sejawat yang lebih hebat, ditambah pula ada penilai (evaluaters), tentulah peluh jantan boleh menitik di liang-liang roma.

Cikgu Yaman, guru Kimia sedang berucap.

Syukurlah, kami dapat menyampaikannya. Berapa markah yang nak diberi oleh penilai, tidak kuambil pusing, sebab yang penting, ialah aku sudah pun melaksanakan sebahagian daripada syarat untuk lulus PTK DG44.

Hari ini, kami membentang tugasan mengikut soalan yang dijawab dalam kerja kursus. Tekanan tidak sehebat semalam, sebab ia dibuat dalam bahasaku sendiri. Kali ini, lebih yakin kerana kami boleh menggunakan skrin powerpoint untuk bantuan tambahan.

Copthorne, Penang

Tuesday, November 11, 2008

Sesaknya Penang

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini..

"Nak ke mana petang ni?" tanyaku kepada Cikgu Haris.

"Cadang nak beli jeruk buah di Chowrasta,..jom." katanya mengajakku.

Aku setuju. Sejak dua hari lalu, asyik mendengar sesi ceramah yang padat. Rasanya perlu juga kurehatkan minda. Bersiar di Penang tentu melegakan.
Selepas sesi bergambar bersama kumpulan kursus (kena bayar RM15, mahal juga..) petang tadi, aku, Haris, Hassan dan Najmi menaiki teksi ke Chowrasta, lokasi popular dekat KOMTAR yang banyak menjual jeruk buah pala, pelam dan seumpamanya.

Penang banyak bangunan lama peninggalan penjajah Inggeris. Sana sini, banyak bangunan dengan seni bina kolonial tersergam kukuh. Ada juga yang dihias cantik dan dicat baru, tetapi tak kurang juga yang terbiar tanpa jagaan yang sempurna.

Patutlah Penang diberi gelaran "Bandar Raya Warisan Dunia" oleh UNESCO baru-baru ini.

Kami tiba di Chowrasta. Maghrib yang hampir menjengah, menyebabkan kami tidak lama di sana. Cukuplah beli jeruk pala dan salak, sebagai ole-ole untuk isteri tercinta. Kemudian kami sekadar merayau di laluan ke stesen bas. Stesen bas yang sesak dengan orang ramai, bertambah melemaskan, apabila asap dari enjin bas menusuk masuk ke tenggorokku.Perjalanan pulang ke hotel dengan Rapidpenang agak murah. Tambangnya RM1.50 sen, lebih murah berbanding teksi. Basnya agak selesa, dan yang penting, ada aircond. Bila ada aircond, tak adalah perokok. Selamatlah tekak aku daripada menyedut asap beracun tu!

Tapi, perjalanan yang kusangka pendek rupa-rupanya memakan masa hampir satu jam. Laluannya yang terhenti-henti oleh lampu isyarat menyebabkan kami rasa tidak selesa. Andai diberi skala kepuasan 1-10, aku hanya berikan 4 sahaja.

Kami tiba juga di hotel ketika maghrib hampir ke penghujung. Syukurlah kami selamat. Rasanya itulah sekali aku mencuba Rapidpenang,kerana biarpun ia selesa bagi orang di sini, tapi aku tetap rasakan perkhidmatan bas di Pulau Mutiara ini masih tak meuaskan.

Penang, sesak sangat...Mungkin LRT boleh mengatasi masalah di sini.

Selamat Menghadapi SPM, Pelajarku.

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Bertalu-talu mesej yang masuk ke skrin sejak dua tiga hari yang lalu.
"Maafkan saya cikgu,"
"Saya mohon restu, cikgu"
"Doakan kejayaan saya dalam SPM"
Dan bermacam-macam lagi mesej yang dihantar, dengan maksud yang lebih kurang sama. Pelajar-pelajar yang agak rapat hubungannya dengan aku, memohon maaf, restu dan dihalalkan ilmu yang telah dicurahkan kepada mereka.

Sebenarnya, aku telah pun halalkan segala ilmu yang kuberi. Aku juga ampunkan dosa mereka, biar sebesar mana dosanya, sebab aku bukannya sempurna. Aku pun ada salah juga dengan bebudak ini. Iyalah, nobody's perfect... Kekadang, aku mungkin ada mengeluarkan kata-kata yang menyinggung hati mereka. Budak-budak ini pun manusia, ada hati dan perasaan.

Hari ini, bermulalah cabaran untuk pelajar tingkatan 5, seluruh negara yang bakal menjawab soalan Bahasa Melayu dan Sejarah, diikuti Bahasa Inggeris pada esoknya. Tentulah aku pun ada juga rasa bimbang, kalau-kalau anak murid tak dapat menjawab dengan baik. Semua ibu bapa inginkan kejayaan anak-anaknya. Guru pun begitu juga. Tiada guru yang doakan pelajarnya gagal. Kami buat majlis solat hajat di sekolah tempoh hari, dan ramai bapa yang hadir memberi sokongan. Syukurlah, ibu bapa seperti ini ada rasa tanggungjawab berkongsi dengan sekolah.

Aku doakan semuanya berjaya. Aku doakan semuanya tenang menjawab soalan SPM. Selalu aku berpesan, doa saja, tak cukup. Kena ada usaha, baru boleh berjaya. Kekadang budak Melayu mudah percaya pada air penerang hati. Aku katakan, minumlah air yassin dua tiga balang, tapi kalau tak berusaha, tak terang juga hati. Sebab aku yakin, Allah hanya tolong mereka yang berusaha untuk berjaya.

Dan aku berharap, semasa keputusan diambil Mac 2009 nanti, anak-anak ini akan menitiskan air mata gembira, bukannya duka. Itulah harapan aku. Mungkin....

Monday, November 10, 2008

Alfatihah Untuk Pak Andak..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Aku berpuasa hari ini. Memang kuamalkan berpuasa pada Isnin dan Khamis. Sudah jadi kebiasaan sebenarnya. Biarpun kursus PTK ini agak lama, ia tidak membebankan fizikal. Cuma, dari segi mental, ia sedikit berat. Pun begitu, aku masih mampu melaluinya.

Selepas subuh, ketika sedang bersiap untuk turun ke dewan, aku mendapat panggilan dari Kiah.

"Nyah (panggilan hormat adik sepupu kepadaku) dah tau?" tanya Kiah sayup-sayup suaranya di hujung talian.

"Tau apa?.."

"Pak Andak, dah tak ada," suara Kiah sayu memberitahuku.

Aduh, Pak Andak dah tiada. Aku pula di Penang, menghadap kursus yang menentukan kenaikan pangkat. Terbayang wajah Pak Andak terlantar sakit...

"Bila?"

"Baru kejap ni."

"Innalillahiwainna ilaihi roji'un.., Nyah di Penang, Kiah... Tak dapat balik."

"Tak apalah, Nyah. Tolong bagi tau adik beradik yang lain." Kata Kiah, sebelum mengakhiri perbualan kami.

Aku termenung, dan bungkam sekejap. Apakah aku perlu balik, atau terus sahaja di sini? Akhirnya, aku pasrah dengan takdir Allah.

Pak Andak sudah terlalu sakitnya. Sejak sebelum puasa, Pak Andak yang menghidap kanser prostat sudah dibawa balik dari HKL. Mak Andak pun dah pasrah. Ketika raya lalu, kami sudah pasti, penyakit Pak Andak semakin berat.


Jasad Pak Andak akan dikebumikan selepas Asar, tetapi aku nekad tidak meninggalkan kursus. Kepada Mak Andak pun sudah kumaklumkan. Perjalanan balik ke Manjung mengambil masa 4 jam, dan aku hanya dibenarkan meninggalkan tempat kursus 3 jam sahaja. Nak kembali ke Copthorne, ambil masa 4 jam lagi, dan kerja kumpulan perlu disiapkan ikut jadual. Sudah pasti tugasan kumpulan terjejas jika aku tiada bersama.

Yang dah pergi, tetap pergi. Hidup perlu diteruskan.

Kutitipkan doa untuk Pak Andak. Moga roh Pak Andak dimasukkan dalam kumpulan orang yang beriman.

"Setiap yang hidup, pasti merasai mati..." (petikan ayat Quran)

Mak, ayah dan yang terbaru, Pak Andak. Semuanya kembali kepada Al-Khaliq. Kematian pasti tiba, cuma masa yang membezakan giliran aku, anda dan yang lainnya.


Saturday, November 8, 2008

Otak Berkarat Di Pulau Mutiara



Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Ini kali kedua aku ke Pulau Mutiara tahun ini. Kali pertama pada Mac lalu untuk satu mesyuarat anjuran JPN Perak. Kali ini pula, untuk menghadapi kursus yang menentukan tahap kerjayaku sebagai guru.

Perjalanan tidaklah membosankan, kerana aku ditemani dua orang dua wanita, iaitu Kak Ani dan Kak Yati. Kami tiba pada jam 4 petang, di Hotel Copthorne, Tanjung Bungah setelah melewati perjalanan sejauh 207 km. Jambatan Pulau Pinang semakin tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.

Seingat aku, jambatan ini mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai jambatan terpanjang di Asia Tenggara ketika itu.

Aku bertemu semula dengan rakan lama di UPM dulu, antaranya Cikgu Falid. Room mateku bernama Ku Muhammad Najmi, dari Kedah. Banyak persamaan antara aku dengannya. Kami sebaya, punya isteri yang juga cikgu, tetapi jumlah anakku lebih ramai daripadanya.

Kursus ini memberi peluang untuk aku mengenal rakan baru. Di sini, kami berkampung 7 hari di samping melakukan beberapa tugasan, sama ada bentuk individu mahupun kumpulan. Alahai, otak dah berkarat, lama dah tinggalkan kuliah dan nota.

Bersama Hajah Zainab, bekas atase pendidikan di Indonesia, kami memecahkan tembok diri yang menghalang interaksi. Hakikatnya, ramai manusia yang kutemui di sini mempunyai kehebatan dalam bidang masing-masing. Ada pensyarah maktab, pentadbir dan guru matrikulasi yang turut sama menjalani kursus yang dianjurkan Yayasan Guru dan KPM ini.

Mujur aku sempat siapkan tugasan individu sebelum tiba di sini.

"Itulah, suka sangat kerja last minute,.." kata sang isteri yang menegur kelewatanku menyiapkan kerja.

Dan seperti biasa, aku hanya diam dan tersengih.....

Thursday, November 6, 2008

Kura-kura Yang Perlahan..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Suatu petang, ketika sedang pulang dari tugas tambahan di sekolah, aku ternampak seekor kura-kura sedang melintas jalan. Entah mengapa, terdetik hatiku untuk menyelamatkannya lantas membawanya pulang ke rumah.Sikap ingin tahu dalam diri kanak-kanak begitu tinggi. Sebenarnya, anak-anakku bukan biasa melihat kura-kura yang sebenar, melainkan di TV, buku dan zoo sahaja.
"Baba, dia makan apa?"
"Mana kepala dia?"
"Mak dia tak marah ke kita ambil kura-kura ni?"
"Boleh tak kita bela dia, baba?"
Itulah antara pertanyaan mereka yang begitu bersemangat melihat kura-kura yang kemalu-maluan dan asyik menyorokkan kepalanya dalam cengkerang.
Semua pertanyaan mereka kujawab dengan baik, biarpun ada soalan yang kekadang tidak perlu kujawab.
Kura-kura tergolong dalam spesis haiwan liar, hidup dua alam dan makan hidupan air serta tumbuhan seperti kangkung.

"Kami boleh bela dia, baba?"

Tak upaya kubela kura-kura itu anak-anakku, sebab dunia kita dan haiwan ini berbeza.

"Biarlah kura-kura itu hidup dalam dunianya." kataku.

Beberapa alasanku seolah-olah tak mahu diterima mereka. Nampak sedikit kekecewaan pada wajah mereka...



Tapi akhirnya, anak-anakku boleh juga menerima hakikat bahawa kura-kura perlu dilepaskan kembali ke habitat asalnya.

Petang itu juga, kami ke anak sungai di depan rumah yang jaraknya tidak sampai 100 meter, lalu kura-kura itu dilepaskan kembali.

Satu cerita menarik tentang kura-kura ialah kisahnya berlumba dengan sang arnab. Akhirnya, kura-kura yang dianggap lemah dan lembab berjaya mengalahkan arnab yang terlalu yakin. Banyak pengajaran yang dapat diambil dari kisah itu.

Tuesday, November 4, 2008

Sejenak Di Restoran Nasi Kandar

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Dua minggu lalu.
Antara ramai pembekal buku yang sering berurusan denganku, ada seorang pengedar buku yang agak rapat dan pandai mengambil hati guru-guru di sekolah. Rafi namanya. Keturunan India Muslim.
"Salamuleykum,.." tegurnya dengan pelat Tamil ketika aku melangkah keluar dari bilik guru kanan.

"Oh, Rafi, my big brother, .." Aku membalas ucapan klise yang selalu kusebut apabila bertemunya. Kami pun berbual-bual. Seperti India Muslim yang lain, Rafi tidaklah fasih berbahasa Melayu, tetapi dia tidaklah memarahiku yang selalu mengajuk pelat Tamilnya yang tidak begitu lancar.

"Adda baik ka, Rafi?" tanyaku sambil menepuk bahunya.

"Baik, cikgu. Ada senang ka ini minggu?" tanya Rafi kembali.

"Ada apa?"

"Cikgu, senang kalu, ambil ini resit, pigi Restoran DJ, Sitiawan.." kata Rafi, sambil mengunjukkan resit merah jambu yang tertera jumlah RM20.

"Eh, apa ni, Rafi?" Tanyaku, buat-buat tak faham. Mindaku cepat menangkap maksud Rafi.

Rupa-rupanya, Rafi memberiku baucar makan percuma di sebuah restoran nasi kandar milik rakannya. Menurutnya, aku boleh makan sehingga jumlah amaunnya RM20.

"Banyaknya,.."kataku sambil mengucapkan terima kasih.
Dia berlalu untuk urusan lain selepas itu.
Memang begitulah Rafi, tak banyak bercakap tapi kalau urusan perniagaan, jarang dia membuang masa.
Selain aku, Cikgu Hakim, Dollah Busu, Ustaz Amin dan Azmi turut diberi baucar percuma tersebut. Maknanya, bukan semua yang dapat. Hanya orang tertentu yang rapat dengannya. Macam kronilah juga.
(Hehehe.. Macam kroni? Aku,.. kroni Rafi?) ----------------------------------------------------------------------------------------------- Petang tadi, barulah dapat aku ke Restoran Nasi Kandar DJ, bersebelahan Arked MARA Sitiawan. Memang aku diberi makan percuma setelah kuhulurkan resit tersebut.
"Incik, kasi oder, apa mau makan, bole ambik. Tara bayar, tarapa," Kata petugas kaunter di situ. India Muslim juga. Entah datang dari India, atau memang rakyat Malaysia, tidak kupasti.

Aku makan nasi biriyani, berlaukkan ayam dan sotong, daging serta teh ais. Memang sedap. Apatah lagi, percuma...
(Huh, kalau selalu begini, alamatnya cepatlah dapat tiga serangkai..)
Masih berbaki jumlah baucar, aku ditawarkan hidangan istimewa restoran itu.

"
Uncle, apa yang best di sini?" tanyaku kepada seorang lelaki India Muslim yang agak senior di situ. Dari lagak dan caranya melayan pelanggan, dia mungkin pemilik restoran ini.
"Incik, bole cuba roti DJ, roti Taiwan ada, roti Hong Kong ada!" katanya memberi cadangan.

Wah, apa lagi, pucuk dicita, ulam mendatang, aku tak pernah pergi ke Taiwan dan Hong Kong, dapat roti pun, jadilah.

"Ok, saya nak cuba roti tu, bungkus ya!" kataku.

Dia kemudiannya mengarahkan pekerja restoran menyediakan roti tersebut.
Tiga jenis roti itu kubungkus dan kubawa balik sebagai rezeki anak-anak pula.

Semasa kecil, ayah sering bawa kami makan di restoran India Muslim, terutama pada awal bulan. Ketika itu, suasananya tidak seperti sekarang. Sebuah restoran di pekan Sitiawan tempat ayah belanja kami makan ialah Restoran Kenchana.

Sudah berkubur pun restoran itu. Tinggal tapak kedainya saja, di sebelah KFC Sitiawan. Kedai itu kotor, berdebu dan servisnya, lebih teruk dari gerai Melayu waktu itu. Tapi, mi goreng mamak memang menjadi kesukaan ayah. Kami makan sambil mendengar alunan lagu Tamil yang tak difahami maksudnya.
Itu dulu, ketika tahun 80-an.

Apabila kubandingkan dengan Restoran DJ hari ini, aku dapati keadaan sudah berubah.

Aku pasti, restoran India Muslim di tempat lain juga sudah berubah. Lantai marmar beraneka warna, dengan dekorasi dinding yang menarik, menu makanan yang pelbagai dan suasana ceria serta bersih, menggamit kedatangan pelanggan pelbagai kaum. Tidak cukup dengan itu, saluran TV Astro menayangkan filem menarik HBO, dan aksi sukan ESPN. Meja dan kerusinya selesa, dan servisnya cukup pantas. Cubalah pergi, dan anda akan dilayan sebaik sahaja meletak punggung di kerusi. Suasana selesa ditambah dengan kipas besar dan pancutan wap air menyejukkan badan.

Restoran India Muslim hari ini, jauh bezanya dengan yang pernah kusinggah semasa kecil dulu.
Zaman sudah berubah, dunia dah maju. begitulah juga restoran India Muslim yang lebih sinonim dengan nama Restoran Nasi Kandar. Mereka mengubah cara dan gaya, demi survival perniagaan yang telah bertapak lama dahulu.

Sunday, November 2, 2008

Pengajaran Kisah Abby-Norman

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Siapa yang mengikuti perkembangan artis tanah air, pasti tahu kisah pasangan suami isteri, Abby Abadi dan Norman Hakim.

Sebelum ini, mereka pernah 'bercerai' seketika gara-gara Norman Hakim berbalas mesej dengan seorang artis baru.Dua hari lalu, dunia artis tanah air gempar lagi apabila Norman ditangkap basah dengan pasangannya Memey, seorang lagi artis baru di premis yang menjadi pejabatnya jam 3 pagi. Aku tak mahu mengulas kisah ini, kerana ia sudahpun diulas panjang lebar oleh Gayah Gebu dalam Metro Ahad, dan Zubir Yunus dalam Berita Minggu yang kubeli kejap tadi.

Arwah ayah pernah mengingatkan aku, agar menjaga hubungan suami isteri sebaik mungkin.
"Jangan mudah mendengar berita pihak ketiga," kata ayah menasihatiku selepas berkahwin dulu.

"Sebagai suami, jalankan tanggungjawab kamu. Jangan ingat kahwin ni mudah,.. Tolak ansur kena ada." Antara pesan ayah yang masih kuingat.

Sebenarnya, ikatan perkahwinan yang sah umpama tali yang terikat kukuh. Ia harus disuburkan dengan kasih sayang dan kejujuran.

Kini, sudah lebih 11 tahun usia perkahwinan kami, nasihat dan panduan arwah ayah banyak membantu mematangkan hubungan aku dan isteri.

Bohonglah, kalau dikatakan tiada sengketa antara aku dan isteri, tapi ia dapat diatasi melalui tolak ansur dan musyawarah. Lagipun, kelahiran enam cahaya mata menambahkan lagi kasih sayang antara kami.

Analogi hubungan suami isteri, bak lirik lagu P Ramlee dalam kisah Tiga Abdul:
'..sedangkan lidah, lagi tergigit, apa pula suami isteri,
buang yang keruh, ambil yang jernih, baru teguh peribadi.'

Pasangan pelakon yang ayah amat hormati ialah arwah Roseyatimah dan suaminya, aktor Datuk Mustapa Maarof kerana berpisah hanya kerana bercerai mati.

Artis hari ini terdedah kepada perbuatan curang dan mainan pihak ketiga, kerana dunia mereka begitu. Apa kurangnya Abby Abadi, cantik dan tak pernah kudengar cerita kurang enak tentangnya. Tapi kalau dah namanya manusia, kekadang kita tak bersyukur dengan apa yang ada.

Teringat aku kata-kata seorang sufi, yang dijadikan lirik dalam lagu nasyid:
"..Apa yang ada, jarang disyukuri, apa yang tiada, sering dirisaukan, nikmat yang dikecapi, akan terasa apabila hilang. Apa yang diburu, timbul rasa jemu, apabila sudah di dalam genggaman."

Mungkin Norman Hakim akan menghargai isterinya selepas kehilangan Abby. Moga itu tidak berlaku.

Jumpa Lagi, Langkawi...

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Kami meninggalkan jeti Kuah dengan pelbagai kenangan. Aku mengenali hati budi Abang Idris Sulaiman, yang lebih senior dan berpengalaman sebagai wartawan sambilan. Aku bertemu semula dengan Dyamim, rakan lamaku yang rupa-rupanya sudah mengembangkan bakat dalam penulisan novel. (Aku, bila lagi?)

Perjalanan feri bermula 3.10 petang, dan kumpulan kami duduk di bahagian depan. Kak Zainon, dari SMK Teja, Ipoh berbual-bual denganku, sambil kuperhatikan sekumpulan pelajar sekolah rendah dari Dungun, Terengganu yang turut seferi dengan kami.


Feri semakin laju membelah ombak.
Ramai penumpang lebih selesa mendiamkan diri. Ada juga yang berbual-bual perlahan. Kebanyakannya tidur. Aku pula tak betah di kerusi, lalu keluar ke dok belakang, untuk menikmati angin Selat Melaka.
Beg dan bagasi penumpang bersusun-susun di dok feri. Daripada coklat, pinggan mangkuk, hinggalah kepada beg Polo beroda, semuanya dianggap cendera hati dari pulau lagenda ini.

Enjin feri mengaum dengan kuat, ditambah bau minyak enjin tak menghalangku menghayati keindahan bumi ciptaan tuhan. Alangkah indahnya alam. Langit membiru, camar terbang mencari makan,.. semuanya mendamaikan.

Aku pula, semakin kuat rasa rindu pada Ma dan anak-anak, yang setia menunggu kupulang.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...