Friday, March 4, 2016

Cik Embun dan SPM 2015

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Program  Sekolah Penandaarasan yang perlu diikuti bagi melengkapkan kursus NPQEL saya lalui selama dua minggu bermula 22 hb Februari hingga 4 hb Mac 2016. Dalam tempoh tersebut, saya perlu berada di SMK Batu Sepuluh, Lekir dan menyiapkan laporan yang berkaitan. Pada minggu terakhir, saya berasa tekanan yang tinggi, terutama apabila laporan penandaarasan perlu disiapkan ikut jadual. 
Pada Khamis 3 hb Mac, ia bukan sahaja hari kelahiran ke 48 kekanda saya, Nor Azaliah bt Ali Hassan, malah ia hari mendebarkan terutama kepada puteri sulung, saya, Qatrunnada atau panggilan manjanya Kakyong. Qatrunnada bermaksud 'titisan embun', lahir 18 tahun lalu. Kini, dia sudah semakin dewasa, dan keputusan SPM 2015 yang bakal diumumkan, tentulah menyebabkan dia berasa resah, bimbang dan penuh debaran. Kakyong seorang daripada 488,000 orang calon SPM yang akan mengambil keputusannya di SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Selama dua tahun menimba ilmu di sana, sebagai anak sulung tentulah harapan ibu bapa amat tinggi kepadanya. 
Kami bertolak dari rumah kira-kira 8.45 pagi dan melalui jalan Seberang Perak-Kg. Gajah-Gopeng-Ipoh untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Jika melalui Sitiawan- Air Tawar-Seri Iskandar, saya bakal menempuh 38 buah lampu isyarat. Saya juga yakin perjalanan ikut laluan Kg. Gajah lebih lengang dan tidak sibuk. Alhamdulillah, perjalanan kami lancar dan tiba kira-kira pukul 10.15 pagi. Keputusan SPM pun belum diumumkan sementara para guru sibuk membuat persiapan untuk majlis penyerahan slip SPM. Dia bertemu dab berbual mesra dengan rakan sekolahnya, sementara saya duduk termangu di kerusi yang disediakan.
Dalam keadaan yang masih belum ramai tetamu, saya ternampak susuk tubuh ustaz Rusmizi, seorang rakan peserta NPQEL daripada kumpulan saya. Rupanya ustaz Rusmizi membuat penandaarasan di SMKRPB. Dia mengajak saya sarapan dahulu sementara menunggu keputusan diedarkan. Kami juga banyak berbincang hal berkaitan laporan penandaarasan. Secara umumnya, ustaz Rusmizi sudah hampir menyiapkan tugasan, manakala saya masih terkial-kial mencari momentum untuk menyiapkannya. 
Selepas makan, saya kembali ke dewan, dan kakyong mengajak saya menemaninya mengambil keputusan SPM daripada guru kelas 5MIU. Alhamdulillah, akhirnya dia telah menerima keputusan yang dinantikannya. Keputusan tersebut juga lebih baik daripada keputusan Percubaan SPM 2015. Mendapat 7A2B, satu keputusan yang amat baik untuk Kakyong meneruskan peluang belajar ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang yang dia inginkan. 
Alhamdulillah, syukur padaMu, yang memberikan keputusan ini. Saya hubungi isteri dan biarkan kakyong berbual dengan ibunya sebentar. Keadaan agak emosi tetapi jelas dia gembira dengan apa yang dia dapat.Ada juga rakannya yang tidak mendapat keputusan yang lebih baik daripada percubaan SPM. Inilah ketentuan Allah, dan saya percaya ayat Allah yang bermaksud, 'kamu (kita) merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang..'

Semoga keputusan ini memberi inspirasi kepada adik beradik lain untuk berjaya seperti kakaknya.



MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...