Sunday, August 21, 2011

RENUNGAN RAMADHAN 2

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mengeluh apabila ditimpa musibah atau ujian, sudah menjadi kebiasaan. Kerap kita mendengar atau membaca rintihan mereka yang diuji. Hakikatnya, ujian Allah itu sebenarnya pelbagai. Naik pangkat, naik gaji, dapat beli kereta baru, kesihatan dan kewangan yang stabil, juga adalah ujian.

Selalunya apabila ditimpa malang, kita akan bertanya,"Mengapa aku diuji?"

ALQURAN MENJAWAB: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan bahawa 'kami telah beriman', sedangkan mereka tidak diuji. Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan Dia mengetahui orang-orang yang dusta.(Al-Ankabut:2-3)

Sering kita bertanya, "mengapa aku tak dapat naik pangkat? Mengapa aku tak dapat anugerah cemerlang? Mengapa itu.. mengapa ini dan seumpamanya.

ALQURAN MENJAWAB: Barangkali kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui..(Al-Baqarah:216)

Kesimpulannya, jangan berputus asa dengan apa yang ditentukan. Usaha dan tawakal harus seiring. Saya sekadar ingin berkongsi dan mengingatkan diri saya, agar kita tidak hilang arah tuju dalam melayari hidup ini. Moga Kita bertemu lagi Ramadhan pada tahun-tahun akan datang. Moga Allah sentiasa memberi rahmatnya untuk kita. AMIN

Thursday, August 18, 2011

Moreh Dahulu dan Sekarang

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Amalan makan di masjid ketika bulan Ramadhan atau lebih mesra dengan istilah 'moreh' adalah budaya unik yang semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita. Moreh mendekatkan hubungan sesama ahli masyarakat. Di samping itu, moreh juga tidak membebankan kerana juadah yang dihidangkan adalah hasil sumbangan sesiapa yang berkemampuan. 

Semasa saya kecil dahulu, moreh biasanya dibuat selepas solat tarawih. Ketika itu, imam sekadar membaca ayat lazim sehingga ke rakaat 20 tarawih. Tiga rakaat seterusnya adalah solat witir. Kebiasaannya, kanak-kanak hanya bertahan 8 rakaat, manakala orang dewasa akan menamatkan sehingga 23 rakaat keseluruhan.

Paling kami suka apabila menyahut takbir daripada bilal. Bilal akan melaungkan takbir "Allahum Massalli 'ala saidinaaaa Muhammadddd", dan kami yang tak tau apa-apa, akan menyahut, "Salahdah, Pak Sallehhhhhh". 
Sebutan sebenarnya ialah 'Sallallah wasalam 'alaih..' Memang menyeronokkan. Ada juga rakan yang suka mengganggu kawan solat. Biasanya mereka ditegur oleh Tok Siak.

Tok Siak paling saya takut dahulu, namanya Pak Ketang. Saya tak tahu nama sebenarnya, tapi jika dia menegur kanak-kanak yang bermain-main di dalam masjid, biasanya terkedulah kanak-kanak tersebut. Lagaknya garang, sesuai dengan tugasnya menjaga masjid. 

Biasanya, imam yang mempimpin solat ialah Imam Mokhtar, atau Imam Taharim. Bilalnya silih berganti antara Pak Busu atau Pak Brahim Bas. 

Waktu moreh itulah masa untuk 'mengintai' remaja perempuan yang turut sama mengikut ibu mereka bertarawih. Maklumlah, duduk di kampung, peluang menyapa atau berbual dengan budak perempuan sangat terhad. Biasanya, bagi remaja lelaki yang agak berani, mereka akan menunjukkan sikap rajin dengan menghantar makanan moreh ke bahagian perempuan. Ketika itulah sempat menjeling atau menatap wajah gadis yang 'rajin solat tarawih'.

Rutin di masjid ketika itu ringkas tetapi menyeronokkan. Usai menikmati juadah moreh, masing-masing akan terus pulang ke rumah. esok, rutin yang sama berulang lagi, sehinggalah Ramadhan menghampiri penghujungnya. Ketika itu, bilangan saf solat sudah menyusut. Para ibu dan anak gadis sudah mula mempersiapkan diri membuat kuih raya dan seumpamanya. Bunyi mercun dan meriam tanah semakin kerapm kedengaran. 

Kanak-kanak paling gembira ketika malam 7 likur

Menjelang malam 7 likur, kawasan kampung kami disinari lampu pelita panjut buatan sendiri. Ada yang dibuat daripada buluh dan tin susu pekat manis. Detik itu, kanak-kanaklah yang paling seronok menikmati suasana tersebut. Jika dibandingkan dengan sekarang, nyatalah kegembiraan menyambut Ramadhan dahulu lebih memberi erti dan kepuasan.


Wednesday, August 10, 2011

TRAGEDI SUNGAI RUI LAMBANG KEGAGALAN MELESTARIKAN ALAM SEKITAR


Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya tulis kembali hasil kerja pelajar berkaitan tragedi Sungai Rui, semoga menjadi pengajaran kepada kita.

Alam merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya kepada umat manusia. Alam sekitar merangkumi segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di muka bumi. Namun kini anugerah tersebut dipersia-siakan oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab.  Kemusnahan alam sekitar sering dikaitkan dengan pembangunan secara rakus, khususnya di negara yang mengejar kemajuan.
Terdapat beberapa punca yang mendorong berlakunya kemusnahan alam sekitar. Antaranya adalah kurang kesedaran kita tentang kepentingan melestarikan alam sekitar demi kelangsungan hidup makhluk bumi. Hal ini berlaku kerana kurang pendedahan diberikan oleh ibu bapa, guru dan masyarakat terhadap generasi  muda. Pembuangan sampah di merata-rata tempat misalnya, menunjukkan kurangnya kesedaran kita terhadap alam sekitar.
Selain itu, penerokaan hutan secara giat oleh segelintir manusia yang rakus mengejar keuntungan turut menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar. Penerokaan hutan telah menjejaskan fungsi pokok-pokok besar dalam keseimbangan ekosistem hutan hujan. Selain itu, hutan juga diteroka untuk penanaman sayur dan buah-buahan seperti yang berlaku di Cameron Highlands. Tanpa kawalan dan penguatkuasaan yang tegas, ia telah mengakibatkan tragedi di Pos Dipang dan yang terbaru di Perkampungan Orang Asli Sungai Rui, telah meragut tujuh nyawa tidak berdosa.
Selain itu, faktor pembalakan haram juga tidak boleh diketepikan.  Pembalakan secara tidak terkawal memusnahkan tanaman tutup bumi dan menyebabkan hakisan di lereng bukit, banjir kilat dan memudahkan proses tanah runtuh berlaku. Pokok-pokok di lereng bukit menjadi benteng mengelakkan gelongsoran tanah telah ditebang sewenang-wenangnya. Ia juga memusnahkan spesis tumbuhan bernilai tinggi seperti cengal batu, meranti dan menyumbang kepada kepupusan pokok yang dilindungi. Ini diburukkan lagi oleh penebusgunaan hutan paya bakau menjadi kolam udang dan penempatan. Hutan paya bakau berperanan menghalang ombak  tsunami seperti yang berlaku pada 26 Disember 2004. Selain kedudukan negara ini yang jauh daripada pusat gempa, kesan tsunami tidak seteruk di Aceh, Indonesia kerana hutan paya bakau menjadi benteng kepada hentaman ombak besar tersebut.
Kemusnahan alam sekitar mengakibatkan sektor pelancongan negara terjejas. Hal ini disebabkan keindahan semula jadi negara kitalah yang menjadi aset menarik minat pelancong luar ke negara kita.  Ini akan turut menjejaskan ekonomi kerana pelancongan turut menyumbang sejumlah besar KDNK negara. Malah, kemusnahan alam sekitar turut mengakibatkan gangguan binatang buas dan liar seperti harimau, ular dan kera kerana haiwan-haiwan ini kehilangan habitat asal mereka. Kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan memaksa ia menceroboh ke kawasan kediaman manusia. Kemusnahan alam sekitar turut menyebabkan kepupusan flora dan fauna yang estetik yang merugikan generasi akan datang.
Kesimpulannya, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat harus memainkan peranan masing-masing agar alam sekitar dapat dilestarikan keindahannya. Kita harus sedar bahawa kita bukan mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada anak cucu kita. Jika alam sekitar dimusnahkan, generasi akan datang tidak dapat lagi mempelajari habitat hutan tertua di dunia.

SITI KHADIJAH BINTI OTHMAN
SMK BATU SEPULUH, LEKIR
32020 SITIAWAN PERAK

Saturday, August 6, 2011

Gerakan Missionary Semakin Melampau!

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Antara tokoh ilmuwan yang saya hormati adalah Dr. Ridzuan Tee, seorang Cina kelahiran Kota Setia, Teluk Intan yang kemudian mmeeluk agama Islam. Berikut adalah pandangan tegasnya tentang isu serbuan JAIS di sebuah gereja kelmarin. Jika anda seorang Islam, ketepikan perbezaan pandangan politik, sebaliknya fikirkan 10 atau 20 tahun lagi. Apa jadi pada agama islam di bumi bertuah ini.

Chinese Name: Tee Chuan Seng
Race: Chinese
Religion: Islam
Artikel ini adalah respon terkini mengenai dakwah Kristian.
Segelintir pihak Kristian hari ini menjadi semakin berani. Desakan, tuntutan dan ugutan dikemukakan kepada kerajaan, walaupun bilangannya kurang daripada 10 peratus. Peluang keemasan ini dimanipulasikan sepenuhnya dalam keadaan umat Islam negara ini begitu tersepit dengan perpecahan yang melanda. Sebelum ini, mereka mendesak kerajaan menubuhkan kementerian hal ehwal bukan Islam. Tindakan ini begitu mencabar kesucian Islam dan mengundang bahaya kepada kedudukan agama Islam selaku agama majoriti dan agama persekutuan jika dibenarkan.
Kebetulan pula, seorang kawan baik saya berketurunan India, beragama Kristian, bersimpati dengan Islam, menelefon saya baru-baru ini. Beliau yang mengajar di salah sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur, mengadukan kepada saya mengenai seorang murid Melayu darjah satu yang diajar oleh guru tuisyen Kristian berbangsa Cina mengenai Kristian dan menghafal lagu-lagu Kristian. Saya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh murid tersebut dengan teliti melalui telefon bimbit guru tersebut yang diserahkan kepadanya. Ternyata, anak kecil yang masih mentah dan tidak berdosa ini telah dicorakkan oleh guru Kristian tersebut melalui kelas tuisyen.
Tindakan guru tuisyen benar-benar keterlaluan dan amat kurang ajar. Saya amat mengharapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas sebelum nasi menjadi bubur. Cukuplah dengan beberapa orang yang telah dimurtadkan secara berani seperti Aishah Bukhari, Azlina Jailani dan sebagainya. Ramai lagi sebenarnya yang menjadi mangsa, ini tidak termasuk yang masih belum dibuktikan. Hakikatnya, perancangan Kristian untuk menjadikan Malaysia sebagai syurga gerakan dakwah mereka memang tidak dapat dinafikan. Ianya bermula sejak mereka di bangku sekolah. Berhati-hatilah dengan guru-guru dan paderi-paderi musang berbulu ayam ini. Mereka akan menggunakan segala platform yang ada, atas nama pertubuhan, kelas tuisyen dan apa jua ruang dan peluang. Tindakan mereka begitu jelas bercanggah dengan perlembagaan persekutuan. Apakah kita masih mahu terus berdiam diri dan bersangka baik?
Berita terbaru mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, di Petaling Jaya kerana terdapat bukti wujudnya percubaan memurtadkan umat Islam di negeri ini langsung tidak mengejutkan saya. Saya amat yakin perancangan jahat ini memang telah lama berlaku. Jika tidak percaya tanya exco Kristian dalam kerajaan negeri Selangor. Cuma dia pura-pura tidak tahu apabila ditanya. Begitu juga paderi-paderi yang terlibat. Ibarat lontar batu sembunyi tangan. Mereka akan cari seribu satu alasan untuk menunjukkan bahawa mereka tidak bersalah. Malangnya kita terlalu berlembut kerana takut undi lari dan kalah dalam pilihan raya. Sedangkan mereka begitu bersatu tanpa berbelah bahagi mempertahankan tindakan mereka.
Kita selalu bertindak menjaga kepentingan jangka pendek, melupakan kepentingan jangka panjang. Jika beginilah cara kita berpolitik, saya amat bimbang semakin ramai orang Melayu akan menjadi Kristian suatu masa nanti. Jangan perjudikan masa depan Islam, buruk padahnya. Gunakan peruntukan perlembagaan sedia ada. Lindungilah Islam sebelum terlambat.
Saya amat mengharapkan kita tidak akan tunduk kepada penafian mereka, seolah-olah mereka tidak bersalah. Mereka mesti disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995. Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan. Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Ikut saya, peruntukan ini terlalu ringan, undang-undang ini perlu dihalusi lagi untuk diberatkan lagi hukumannya.
Walaupun pihak Kristian menafikan tindakan mereka dengan mengatakan bahawa majlis makan malam diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti (NGO Kristian), bertujuan menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan. Semua itu adalah alasan sahaja. Mereka mahu berselindung di sebalik kerja-kerja amal. Dua puluh tujuh tahun dahulu, ketika saya menganut agama Kristian, helah ini juga digunakan untuk mengKristian pelajar-pelajar di asrama. Saya tahu perancangan licik mereka.
Saya memohon kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya campurtangan dan menjaga kesucian agama Islam daripada perancangan licik segelintir paderi-paderi Kristian ultra kiasu ini sebelum nasi menjadi bubur.
Jika kita mahu pastikan negara-negara Melayu Islam tidak tercemar lagi, seperti pencemaran yang telah mereka lakukan di Singapura dan Indonesia, tidak ada cara lain, selain bertindak tegas menggunakan peruntukan perlembagaan sedia ada. Jangan berlengah lagi. Tindakan perlu diambil terhadap golongan lempar batu sembunyi tangan.
Saya yakin ibu bapa murid tersebut tidak tahu menahu akan perkara tersebut. Jika ibu bapa murid tersebut tahupun, mereka tidak akan mensensasikan isu tersebut. Inilah sifat orang Melayu yang kadangkala meresahkan saya. Kepala sudah dipijak-pijak tetapi masih terus berlembut.
Berbeza sekali dengan sikap agresif ultra kiasu menangani iklan Ramadan TV8 yang dikatakan rasis. Bila hak mereka tercuit sedikit, heboh satu dunia seolah-olah negara bertuah ini begitu zalim terhadap mereka.Saya berulang kali menonton iklan tersebut melalui sebuah laman web. Saya tidak nampak di mana rasis sebagaimana yang didakwa. Tema sekadar menghormati agama sensitiviti umat Islam. Ia tidak ada kaitan sama ada iman kita lemah atau kuat. Takkan sekian lama hidup di negara bertuah ini masih tidak tahu atau tidak faham sensitiviti umat Islam? Apa erti agama Islam sebagai agama persekutuan jika tidak difahami dan dihormati.
Niat iklan tersebut adalah baik. Tetapi telah dimanupulasikan dan disensasikan. Beradab dan bersopan, adalah tuntutan semua agama. Menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara, adalah wajar terutama di bulan Ramadan. Adalah kurang adab jika kita makan di khalayak ketika umat Islam sedang berpuasa, atau sengaja memakai pakaian yang tidak senonoh, yang ditentang oleh semua agama.
Sama seperti mengunjungi majlis kematian orang bukan Islam. Adalah tidak manis jika umat Islam datang dengan pakaian berwarna merah. Saya yakin jika ada umat Islam datang dengan berbaju merah ketika majlis kematian, sudah tentu akan heboh 1Malaysia. Ini yang dikatakan bila kita lakukan sesuatu dikatakan rasis, tidak sensitif, tidak menghormati hak orang Islam.
Bila mereka yang melakukannya itu dikatakan sebagai hak. Ini bukan bermakna agama lain tidak perlu dihormati. Namun, oleh kerana agama Islam adalah agama majoriti dan agama rasmi pula, saya fikir tidak salah jika bukan Islam memberikan sedikit penghormatan. Memang secara peribadi tidak teruja langsung orang makan di depan saya atau mahu telanjang sekalipun ketika berpuasa, nak muntah ada, tetapi kita bercakap soal adab sopan dan sensitiviti.
Siapa yang akan mempertahankan kesucian agama Islam jika bukan kita. Janganlah menggantung harapan bahawa orang lain akan mempertahankan kita. Bila hak ita diambil itu dikatakan hak, bila hak mereka diambil, itu dikatakan rasis dan tidak adil. Licik sungguh politik dan strategi mereka. Apakah ini bukan ultra kiasu namanya? Apabila kerajaan melarang menggunakan nama Allah, menahan Al-Kitab (bible) dalam bahasa Melayu untuk diedarkan, maka berkokoklah mereka dengan mengatakan itu hak mereka. Namun, apabila kita melarang mereka menyebarkan agama Islam kepada orang Melayu kerana bertentangan dengan perlembagaan, maka mereka mencari seribu satu alasan untuk menjustifikasikan tindakan biadab ini.
Bila kita kemukakan bukti nanti, mereka akan canangkan kepada dunia, Malaysia tidak ada kebebasan beragama. Maka gagasan 1Malaysia akan dijadikan hujah untuk mempertahankan tindakan mereka. Malangnya sungguh gagasan ini, sengaja dimanipulasi untuk menghalalkan tindakan mereka. Akhirnya, kita salah, mereka yang betul.
Tidak kurang juga banyak iklan-iklan mengenai perlakuan negatif realiti orang melayu seperti merempit, menagih dadah dan pelbagai lagi, tetapi orang Melayu tidak pernah melompat seperti ultra kiasu ini. Bila kena pada mereka semuanya sensitif, namun bila kena pada kita sebagai umat Islam, mereka senyap sahaja dan kalangan mereka bertepuk tangan.

Friday, August 5, 2011

Kenangan Ramadhan

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Di antara kawasan perumahan dan masjid, ada ladang ubi kayu. Pokok ubinya agak tinggi, sekitar 1.5 meter hingga 2 meter. Ia merupakan tempat strategik untuk budak remaja kampung seperti saya menyusup dan membuat 'pangkalan' meriam. Beberapa orang yang mahir dalam menyediakan meriam tanah termasuklah Daud dan abangnya Halim, Kina, Mat Ali, Din Ketang dan beberapa orang lagi.

Biasanya, saluran konkrit sepanjang 2 meter ditanam di dalam tanah. Kedudukan muncungnya dinaikkan tinggi sedikit daripada pangkalnya. Ada lubang kecil di pangkalnya untuk memudahkan api dicucuh. Karbaid menjadi elemen paling penting kerana tanpanya, meriam tidak akan berbunyi. Karbaid dicampurkan dengan sedikit air bagi menghasilkan tindakbalas wap. Wap tersebut akan memenuhi saluran konkrit yang ditutup hujungnya dengan kain buruk.
Karbaid biasanya dibeli menggunakan wang yang dikutip daripada ahli kumpulan. Harganya kalau tak salah saya, RM1.20/kilo. Wap karbaid akan bertindakbalas apabila api dicucuh pada lubang kecil pada silinder konkrit. Keseronokannya apabila meriam berdentum. Kebiasaannya pesta meriam bermula selepas maghrib dan melarat hingga ke lewat malam, bergantung kepada bekalan karbaid yang ada. 

Dalam satu kejadian, seorang kawan kami, panggilan nama kampungnya Katik, telah membuat kesilapan apabila membuat pemeriksaan di muncung meriam setelah ia tidak meletup. Dia cuba memeriksa tanpa mengetahui rupanya meriam tersebut hanya menunggu masa untuk meletup.
"Dboooooooooommmm!" Tiba- tiba hawa panas keluar dari arah muncung meriam tanah bersama bunyi yang kuat. 
Katik terduduk tetapi bingkas bangun semula. Tak silap saya, kejadian itu hanya dua atau tiga hari sebelum raya. Kami yang melihatnya bimbang kejadian tak diingini.

Pagi raya, Katik beraya dengan muka bagai udang dibakar. Lebih melucukan lagi, rambut dan keningnya terbakar. Mukanya bagaikan makhluk asing pada kami. Sangat kelakar. Mujurlah nyawanya masih panjang.

Apabila dikenang kembali kisah itu, kami pasti ingat dan ketawa bersama.

Monday, August 1, 2011

Renungan Ramadhan 1

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dari Zuhri, Sai dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda; Masa (kiamat) akan semakin dekat , ilmu akan semakin berkurang, akan tinggal orang-orang yang bakhil (kedekut) fitnah akan muncul, kerosakan (alam) semakin banyak. Lalu ditanya oleh sahabat, apakah kerosakan itu? Lalu dijawab oleh baginda, peperangan, peperangan.

Berdasarkan intipati hadis di atas, kita harus menerima hakikat bahawa dunia kita semakin menghampiri akhir zaman. dan kiamat pasti berlaku. Cuma masanya bukanlah esok lusa. Nabi menjelaskan bahawa orang yang berilmu semakin sedikit. Jika ada pun, ilmuwan tersebut tidak dapat menggunakan ilmunya untuk kesejahteraan masyarakat. Lebih buruk lagi, ilmu dijadikan barang dagangan dan simbol status kedudukan semata-mata.Hari ini, masyarakat lebih pantas melihat siapa yang bercakap, bukan inti percakapannya yang diutamakan. Justeru, pandangan golongan marhaen kurang ditonjolkan berbanding ahli politik dan golongan berkepentingan. 

Selain itu, dinyatakan juga golongan kedekut semakin bercambah. Hari ini, kedekut bukan ditafsir untuk harta kekayaan sahaja, sebaliknya ia lebih menyeluruh. Semakin ramai ahli masyarakat hilang sifat untuk menderma darah, atau menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong dan seumpamanya. Itu juga sebenarnya adalah sifat kedekut yang harus diketepikan.

Seterusnya, nabi juga menegaskan tentang fitnah akan tersebar pada akhir zaman. Hakikatnya fitnah sudah jadi mainan pada bibir manusia yang tidak mengira dosa dan pahala. Walaupun fitnah lebih buruk daripada membunuh, ia semakin menjadi amalan dalam masyarakat.

Kerosakan alam yang berlaku kini semakin menakutkan. Pemanasan global, kesan rumah hijau, pencairan kutub, semuanya gara-gara hasil tindakan manusia atas nama kemajuan. Buruk akibatnya, apabila alam diteroka secara ganas. 

Akhirnya, kita wajar menilai kembali tindakan kita. Adakah apa yang dinyatakan oleh Nabi itu realiti masa kini? Jika ya, kitalah umat yang rugi sebenarnya.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...