Thursday, April 26, 2018

MISTERI HARGA MINYAK DI NEGARAKU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pelik kan? Sudah beberapa minggu apabila harga minyak ditentukan mengikut tempoh mingguan, harganya turun naik, sama ada 2 sen, 4 sen dan seumpamanya. 

Namun begitu, harga minyak sepanjang 4 minggu sejak 4 April lalu 'dikunci' pada harga 2.20 sen/1 liter bagi RON95. Begitu juga dengan RON97 dan diesel yang kekal dengan harga yang sama.

Keadaan ini sangat misteri. Mengapa harga tersebut boleh dikunci pada waktu waktu begini?
Ada yang kata ia berpunca daripada pembubaran parlimen, menyebabkan kerajaan sedaya upaya mengekalkan harga tersebut, dan akan menaikkannya selepas mendapat mandat baharu pada PRU14. Jika harganya naik dalam tempoh kempen, pasti ada kesan terhadap sokongan rakyat, dan akhirnya menjejaskan jumlah undi.

Ada sahabat bergurau memberitahu saya, sekarang tiada menteri kabinet menjaga naik turun harga minyak, Itu sebabnya harga minyak stabil. 

Tapi, mungkinkah realitinya harga minyak sudah stabil.
(harap-harapnya tiada kenaikan melambung harga minyak selepas PRU14) 


Tuesday, April 17, 2018

SETAHUN BERLALU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Setahun berlalu, tarikh 17 April mengingatkan saya peristiwa  lalu. (coretannya di sini)

Pada tarikh 17 April 2017,  ketika balik dari kelas, saya dimaklumkan oleh PO, bahawa Unit Naik Pangkat JPN telefon, pengarah nak jumpa esok (18/4). 
Berdebar rasa hati, kerana saya yakin itu bukan panggilan biasa. Saya hubungi cikgu Roslina, Penolong Kanan di SMK Seri Manjung. Dia juga  dimaklumkan perkara yang  sama. Katanya cikgu Sanafiza, Penolong Kanan di SMK Ambrose turut mendapat undangan sama. Menjelang tengah hari, faksimili surat rasmi daripada JPN mengesahkan saya perlu hadir ke perjumpaan khas bersama pengarah di Bilik Seri Budi. 
Hanya Allah yang tahu gementarnya ketika itu. Saya memaklumkan kepada pengetua, dan respons beliau adalah ucapan tahniah, kerana samai masanya saya akan meninggalkan sekolah sekarang. Keesokannya, saya ke Ipoh dengan hati yang berdebar-debar. Sarat di kepala, tentulah ke mana saya akan ditempat dengan jawatan baharu? 

Perjumpaan dengan pengarah keesokannya, mengubah rutin hidup saya, dan kini saya redha dengan ketenteraan Allah. Kini, sudah setahun saya menjadi pengetua di SMK Sungai Bayor, daerah Larut Matang dan Selama. 


😁😁

Wednesday, April 4, 2018

BAHAYA BERITA PALSU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

      Orang-orang yang mencipta Facebook dan Google mesti pintar. Mereka jutawan, dan syarikat mereka bernilai berbilion dolar, malahan program mereka digunakan oleh berbilion-bilion manusia di seluruh dunia.

     Tetapi semua media sosial ciptaan ledakan teknologi maklumat ini tidak mampu membezakan sumber berita mana yang paling boleh dipercayai, atau sebaliknya. Mungkinkah kita, sebagai individu boleh berperanan sedemikian?

     Pihak Facebook sebelum ini berusaha meminta penggunanya untuk menentukan ketepatan berita, sebelum dimuatnaik. Tahun lalu, Facebook melancarkan satu ciri yang membolehkan pengguna melabelkan berita berita yang mereka rasa tidak tepat. Eksperimen itu ditutup selepas sembilan bulan, kerana hasilnya tidak meyakinkan.

     Berita palsu, bagaimanapun bukan sahaja ditemui dalam media sosial. Berita di media arus perdana juga adakalanya palsu; iaitu, pembohongan sebenar yang dibuat daripada sumber yang sah. Hal ini adalah amalan biasa CIA semasa Perang Dingin era 80-an. Agensi itu menulis editorial dan berita berita yang perlu disiarkan oleh media Amerika tanpa sebarang penunjuk CIA atau pembayaran CIA kepada media tertentu. Ia kemudiannya dipetik dan disisarkan oelh media tempatan dan ditokok tambah sehingga menjadi berita seakan benar. 

   Cerita di Hollywood juga tidak kurang hebat dalam pembohongannya. Contohnya, John Rambo, kisah veteran perang Vietnam yang serba hebat. Begitu juga filem 'True Lies' menggambarkan watak perisik yang memerangi pengganas Islam. 

       Pembohongan paling tragik tentulah "Senjata pemusnah besar-besaran" Iraq pada tahun 2003, yang kini disahkan "berita palsu", tetapi nasi sudah menjadi bubur, Saddam Hussein sudah pun menjadi mangsa kepada berita palsu tersebut, dan Iraq kini masih lagi tidak aman sepenuhnya.

    Masalah utama dengan media hari ini, adalah olahan berita palsu sehingga mengundang kontroversi. 

     Lihat sahaja kes Muammar Gaddafi. Pada kaca mata media Barat beliau selalu disebut sebagai "diktator Libya". Namun begitu, Gaddafi juga melakukan banyak perkara yang mengagumkan untuk rakyat Libya (seperti taraf tertinggi di Afrika) dan untuk benua Afrika (seperti mewujudkan Kesatuan Afrika).

    Dalam kes Vladimir Putin, media Barat tidak mengingatkan para pembaca bahawa Putin pernah menjadi Kolonel KTT KGB. Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg kini berkata, "Kami memutuskan bahawa mempunyai masyarakat menentukan sumber mana yang dipercayai secara luas akan menjadi paling objektif"; 

     Apabila kerajaan Malaysia mengubal undang undang Anti Berita Palsu, tentulah saya juga bersetuju, kerana kesan daripada tularnya berita palsu ini boleh menjejaskan kedaulatan dan keamanan negara. Namun begitu, perlu ada definisi jelas apa yang dimaksudkan dengan berita palsu, kerana saya bimbang ia menjadi satu alasan menutup kelemahan pihak tertentu yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.   

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...