Tuesday, September 30, 2008

Kesesakan Teruk Di Darul Iman.

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Terengganu Darul Iman, negeri cantik, budaya menarik. Memang tidak kunafikan, negeri ini mempunyai pantai yang panjang, mengahadap Laut China Selatan. Bersyukur kepada Allah kerana nikmat yang diberi.

Pengalaman menyambut hari raya di sini, membuktikan beberapa perkara:
1. Kuasa beli rakyatnya tinggi. Pergilah ke mana-mana menjelang hari lebaran, pasti sesak dengan orang ramai. Pekan Batu Enam, Pasar raya Mydin, Giant, malah di Bandar Raya Kuala Terengganu, penuh sesak dengan manusia dan kenderaan pelbagai rupa. Semuanya dengan tujuan yang sama; membuat persiapan menyambut hari kemenangan ini.

2. Sistem jalan raya di kawasan bandar, khususnya di laluan bulatan di Batu Enam, sering sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu. Entah dari mana datangnya, hampir semuanya tersengguk-sengguk melayan kesesakan yang memuncak. Begitulah juga dengan Jalan Sultan Ismail, Jalan Banggol, Jalan Sultan Zainal
Abidin, Jambatan Sultan Mahmud yang sesak teruk! Sistem jalan yang ada sudah tidak mampu menampung jumlah kenderaan pada perayaan. Lebih-lebih lagi sehari dua sebelum aidilfitri.

Itulah sebabnya aku dan isteri mengambil keputusan bermotosikal untuk membeli keperluan akhir sebelum aidilfitri.
Dapatlah juga aku mengelakkan kesesasakan yang bertali arus. Dengan kenderaan ini, kami lebih cepat tiba ke destinasi. Mudah memarkir kenderaan dan tidak perlu fikirt entang kompaun salah parkir.

Barangkali, hanya ruang letak barang yang terhad sahaja menyebabkan tidak banyak yang dapat kami beli. Bagaimanapun, aku bersyukur tidak terperangkap dalam kesesakan yang teruk seperti ini.


Monday, September 29, 2008

Salam Aidilfitri

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Saya menyusun 10 jari memohon maaf dan khilaf yang telah dilakukan. sama ada dalam hubungan maya atau hubungan fizikal sesama kita.

Hakikatnya, hari raya adalah hari kemenangan bagi umat islam yang telah berpuasa dan menahan nafsu sepanjang sebulan Ramadhan.

Orang yang paling seronok sebenarnya, ialah kanak-kanak. Selain dapat berbaju baru dan duit raya, sesetengah mereka pulang ke kampung untuk bertemu nenek dan datuk. Sebagai contoh, anak-anakku yang begitu teruja balik kampung dan berjumpa Tokki dan Tok Chek mereka.

Bagi aku, zaman gembira berhari raya sebenarnya sudah berlalu. Kenangan berhari raya dahulu hanya kenangan yang akan kubawa hingga mati.

Apabila menonton iklan raya, kisah tentang bapa dan anak yang berbual, hatiku tersentuh apabila dialog tersebut dibualkan. Antara petikan dialog yang membuat aku tersentuh ialah:

Anak: Siapa ada di kampung, ayah?
Ayah: Dulu ada nenek dan datuk..kini dah tiada.
Anak: Habis, mengapa kita balik?
Ayah:(sebak) Sebab ayah tak pernah balik semasa mereka masih ada.

Moral: Hargailah orang tua, tak kira sama ada ibu bapa kandung atau mertua selagi masih ada.



Sunday, September 28, 2008

Tunduk Kepada Lanun Somalia Akhirnya.

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Lanun bebas kapal MISC(Berita Minggu-28 Sept 2008)

Bunga Melati 5 dilepas selepas bayar RM6.8j

NAIROBI: Lanun di Somalia membebaskan kapal kargo Malaysia milik MISC Berhad (MISC) yang membawa bahan kimia, MT Bunga Melati 5, selepas wang tebusan AS$2 juta (RM6.8 juta) dibayar, lapor agensi berita, semalam.

Berita pembebasan kapal milik Malaysia itu disampaikan pegawai Program Bantuan Kelasi Afrika Timur berpejabat di Mombasa, Andrew Mwangura.

“Wang tebusan itu diberi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di perairan itu,” dakwanya selepas memaklumkan lanun Somalia turut menuntut wang tebusan AS$35 juta (RM119 juta) selepas menawan sebuah kapal Ukraine.


Aku termenung memikirkan situasi yang berlaku kini. Lanun di Somalia 'mengganas' dan menculik kapal kargo berserta anak kapalnya. Kebanyakan mereka yang diculik adalah rakyat negara ini. Simpati aku bertambah-tambah apabila membaca kisah keluarga mereka seperti yang dipaparkan di akhbar.

Membayar wang tebusan seperti yang dipersetujui oleh lanun-lanun keparat itu adalah langkah jangka pendek. Soalnya kini, apakah usaha mengelakkan kejadian serupa ini daripada berulang?

Aku bersetuju TLDM mengiringi kapal Malaysia yang melalui Teluk Aden dan sekitarnya, tapi ia akan menambahkan kos kerajaan. Kos tersebut ditanggung oleh rakyat. Sepatutnya syarikat yang terlibat atau pihak insurans membantu dari segi kos.

Mudah-mudahan, perkara seperti ini tidak berlaku, tapi di sudut hati, aku harap Pasukan Khas Angkatan Laut (PASKAL) yang terbukti setanding dengan SEAL U.S akan membanteras lanun-lanun keparat tersebut.

Batu Rakit, 28 September 2008

Friday, September 26, 2008

Berbuka Puasa Di Rumah Pusaka

.
Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Pada petang ini, kami adik beradik yang tinggal sekitar Manjung, dapat bersama-sama bertahlil dan berbuka puasa di rumah pusaka ayah. Setelah membuat sedikit tinjauan di sekitar rumah, aku dapati rumah ini semakin uzur.

Pun begitu, masih ada tulisan-tulisan arwah ayah yang jelas kelihatan di sana sini:

"Sembahyang di masjid baru (DSK).." tercatat di dinding stor belakang rumah.

Tarikh Oun beli Waja dan kelahiran Nabil (anak Oun) juga tercatat di gelegar beranda. Lebih dari itu ialah catatan ayah tentang kematian Atuk Tukang pada 1984.

Selepas berbuka, kami sama-sama solat maghrib berjemaah. Rasanya inilah pertama kali kami berkumpul di Ramadhan ini. Itupun, tidak lengkap dengan Sani dan Oun.

Tak mengapalah, fikirku. Yang penting, kami di sini dapat menggunakan masa yang ada untuk merapatkan kembali ukhwah dan tali persaudaraan yang mula menjauh.
Aku cuba mengutip kenangan-kenangan lampau di rumah ini. Di rumah tengah rumah inilah aku, Sani dan Oun berhimpit-himpit tidur dalam kelambu.
Pernah satu ketika, aku tak dapat tidur kerana ketakutan terbayangkan 'hantu' dalam filem Melayu lama di TV malam tersebut. Tak salah aku, tajuk ceritanya ialah 'Puaka'. Ceritanya menyeramkan untuk budak seperti aku ketika itu. Ayahlah yang menemankan aku hingga aku tertidur di celah pelukannya.

Di ruang tengah itulah aku dan dua adik lelakiku itu bergilir-gilir mengemas tempat tidur. Asal pagi sahaja, sesiapa yang terlewat bangun akan didenda mengemas kelambu dan menyimpan bantal. Aku masih ingat betapa Sani sanggup tidur mengumpan nyamuk pada awal pagi, semata-mata ingin mengelakkan bangkit lewat dalam kelambu.

Aku senyum sendirian mengingatkan kisah lama. Kini, sukar untuk bertemu dengan keluarga yang masih menggunakan kelambu.

Apa yang lebih mengharukan aku petang ini, ialah kesudian Wa untuk memasak sambal tumis ala masakan mak. Dialah yang paling banyak menimba ilmu masakan daripada arwah mak. Hilang juga rindu aku terhadap sambal tumis arwah mak. Masakan Wa pun tak kurang hebatnya. Kalau tak 100%, mungkin 80% menyamai rasa sambal tumis mak dulu.

Sambal tumis mak jugalah yang menyebabkan aku menyorok makan di belakang blok asrama. Sebabnya, aku bimbang budak asrama yang lain 'cukai' sambal tumis tersebut. Punyalah bimbang, makan sendirian, tengah gelap pulak tu. (malam..)

Semasa di UPM, seorang rakan sekuliahku, Rashinawati (gadis Kuala Pilah yang kini pensyarah di Seremban) turut memuji sambal tumis arwah mak. Kalaulah tak kerana sebab-sebab tertentu, mungkin aku 'sangkut' juga dengan budak Nogori. Tapi soal jodoh, siapa yang dapat tentukan? Hanya Dia yang berhak menentukan ajal maut rezeki dan pertemuan dalam hidup makhlukNya.

Entah bila lagi aku akan ke DSK, tapi aku berharap agar kenangan di rumah ini takkan hilang daripada ingatan. Di rumah inilah, ayahku, seorang buruh bandaran, membesarkan kami anak-anaknya dengan tulang empat kerat, bertemankan wanita cekal yang bernama Aminah binti Md Husin.

Moralnya ialah, jangan lupa dari mana asal kita. Ingatlah, tanpa orang terdahulu, tidak wujud orang muda hari ini.

Tuesday, September 23, 2008

Menghargai Guru

Kebanyakan 'post' yang kutulis, merupakan kenangan dan memori lama, tetap amat bermakna dalam hidup ini.





Pengalaman bersekolah di Sekolah Menengah Ahmad Boestamam, Sitiawan selama lebih tujuh tahun meninggalkan nostalgia yang bercampur baur. Aku mula melangkah ke SMAB pada tahun 1984, ketika di tingkatan satu, hinggalah di tingkatan 6 atas, pada tahun 1990.





Selama itulah, aku menimba ilmu daripada individu bernama guru. Besarnya jasa mereka memberi ilmu kepadaku. Antaranya, cikgu Mas Hashim, cikgu Hamzah, cikgu Radhi Chia, cikgu Naemah, cikgu Mah Aun Tek (mendiang), cikgu Patrick Fernandez, cikgu Mano, cikgu Yassin, cikgu Khalijah Sirat, cikgu Shubari, cikgu Aminah, cikgu Mior, cikgu Soleha, cikgu Yahya, Mrs. Chan, cikgu Ng, cikgu Hajah Faridah, cikgu Mat (Akhir), cikgu Nawawi, cikgu Zaharah, cikgu Hajah Che Saliha, dan cikgu-cikgu lain yang pernah menabur budi di SMAB dalam tempoh tersebut.





Ada dua peristiwa yang paling kuingati ketika di SMAB yang melibatkan guru-guruku.





Pertama, peristiwa aku 'makan pelempang' cikgu Hussin semasa di tingkatan 3(1986) kekal dalam ingatan. Kelas kami (3A2) terletak tingkat atas berhadapan dengan pejabat sekolah. Hari itu, sudah tertulis agaknya hari malang untukku. Kelas kami tidak terkawal, dan bunyi bisingnya sampai ke pejabat. Ketika itu, tiada guru yang masuk, maka bertambah kacau bilaulah dibuatnya. Kebetulan tempat dudukku berhampiran dengan pintu belakang. Aku sedang merayau melihat rakan ketika cikgu Hussin menghampiri.





Tanpa banyak soal jawab, cikgu Hussin ketika itu Penolong Kanan, telah mencempung leherku lalu mengelek di celah ketiaknya. Dalam tempoh yang pantas, aku pun 'kenyang' makan pelempangnya sebanyak dua kali.





"Pang! Pang..."





Mataku berpinar. Rakan yang lain senyap. Semuanya kembali duduk di tempat masing-masing. Ya Allah, malunya kena tampar.





"Siapa lagi yang nak buat bising?..Ha? begitulah ayat cikgu Hussin kepada kelas kami. Semuanya menikus. Maklum saja, cikgu Hussin memang dikenali dengan 'garang'nya.





Sudah lebih 22 tahun peristiwa itu berlaku. Aku tidak pun berdendam dengan cikgu Hussin. Ketika membeli juadah di bazar Ramadhan di Sitiawan baru-baru ini, aku terserempak dengannya. Tapi kali ini, cikgu Hussin yang kutemui sudah dipanjat usia.





Hari ini, cikgu Hussin adalah Pengarah Pelajaran Negeri Perak. Walaupun ada sedikit bimbang bertemu dengannya, aku gagahkan juga untuk menyapanya. Setelah memberi salam dan berjabat dengannya, aku perkenalkan diri.





"Maafkan saya, cikgu. Hari ini, saya tak panggil 'tuan', sebab cikgu pernah mengajar saya," kataku menyusun ayat.





Dia memandangku dengan senyuman,"Di mana? Ahmad Boestamam ke?"





"Ya, cikgu. Saya pernah makan pelempang cikgu kerana buat bising, " kataku sambil tersengih. Bimbang juga kalau-kalau dia masih garang macam dulu.





"Saya ucap terima kasih, cikgu. Mungkin dengan pelempang itu yang menyebabkan saya berjaya juga jadi manusia pada hari ini." Aku menyambung ayat.





"Oh, ya ke?," dia lalu ketawa kecil. Entah dia ingat atau tidak peristiwa itu, aku tak pasti. Tapi, sepanjang dia berkhidmat di SMAB, bukan setakat aku, ramai lagi yang pernah makan pelempang Pengarah Pelajaran Perak itu.





Walaupun tidak berbual lama dengannya, terasa puas di hatiku, kerana insan ini pernah menjadi guruku di SMAB.





Peristiwa kedua, ketika aku di tingkatan 5 (1988). Puan Hajah Faridah, antara guru yang bersuara nyaring dan kuat suaranya, tidak padan dengan tubuhnya yang kecil.





Satu pagi pada bulan Ramadhan, beberapa rakanku menyusup masuk ke blok asrama puteri. Kami istilahkan ia sebagai aktiviti 'meninja' sebab mereka berpakaian serba hitam dan bertutup kepala, kecuali mata.





Empat rakanku ini masuk ke dormitori perempuan melalui cucur atap dari blok lelaki terus ke dewan makan dan melompat ikut tangga.





Perbuatan menceroboh itu akhirnya diketahui oleh warden, dan semua pelajar lelaki tingkatan 5 dipanggil ke bilik pengetua pada pagi itu.





Walaupun tahu perbuatan itu salah, kami berusaha menyembunyikan identiti 4 orang rakan yang meninja. Kononnya "biar pecah diperut, jangan pecah di mulut".





"Baiklah. Kalau kamu semua tak mahu mengaku, tak mahu beritahu siapa yang masuk ke blok perempuan subuh tadi, saya akan singkirkan kamu dari asrama." kata cikgu Faridah dengan nada tegas, dengan wajahnya yang serius.





Alamak, nak kena buang asrama? Matilah kami. Orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getahnya. Aduhai. SPM dah dekat.Kalau kena buang asrama, malulah. Bukan aku yang punya angkara.





Kami telah buat keputusan yang sukar ketika itu. Antara rakan, dengan maruah diri.





Akhirnya, 4 orang pelajar berkenaan, dibuang asrama setelah maklumat tersebut kami bocorkan secara rahsia. Selamatlah aku dan rakan lain yang tak terlibat.





Mungkin orang lain, ada pengalaman sendiri dengan guru mereka. Banyak lagi coretan tentang guru yang ingin kutulis, tapi cukuplah setakat ini.





Pada Ogos lalu, SMAB mengadakan 'reunion', dan aku berkesempatan bertemu cikgu Hajah Faridah. Dia masih ingat
aku. Apabila bercerita tentang kisah 'meninja', dia ketawa mengingatkan kenangan lalu di SMAB. Moga cikgu Faridah dan suami bahagia ke akhir hayat.

Rakan-rakanku yang pernah 'meninja', ada yang jadi Kastam, polis dan seumpamanya. Begitulah nakalnya pelajar.

Moralnya adalah, berhati-hatilah apabila bertindak. Gunalah akal yang diberi Allah. Ilmu yang diberi oleh guru-guruku amat kuhargai. Terima kasih kepada semua cikgu yang pernah mengajarku.

Monday, September 22, 2008

Teringat Puasa Dulu-dulu


Ramadhan semakin hampir ke penghujung. Entahkan berjumpa lagi dengannya tahun depan, tak siapa tahu. Aku berdoa ini bukan Ramadhan terakhir untukku nikmati.

Insya-Allah, aku, Yong dan Wa berpakat untuk berbuka puasa dan bertarawih bersama di rumah pusaka ayah di DSK 26 September, Jumaat nanti. Sani pun mungkin akan turut serta. Oun sahaja yang tak dapat sertai. Jarak yang jauh membataskannya untuk berkumpul bersama.

Agak jarang aku ke DSK, setelah ketiadaan mak dan ayah. Aku banyak tumpukan masa terhadap rumah sendiri dan melayan ragam anak-anak.

Kali terakhir kujengah rumah ayah adalah pada petang 22 Julai 2008 yang lalu. Begitulah keadaannya, sejak mak dan ayah tiada, memang nak jengah rumah DSK suatu yang sukar dilakukan.

Syukurlah Wa masih di sana. Dia dan Nazmilah yang menjaga rumah itu. Moga Wa dan keluarga di dalam peliharaan Allah hendaknya.

Teringat aku semasa bertemu abang Bok di rumah Kak Shimah semasa kenduri kahwin anak saudaranya. Rumah pusaka arwah Pakya juga sudah ditinggalkan kosong.

"Dah tak ada siapa duduk di rumah tu, Ein,.." kata Abang Bok sambil memangku anak bongsunya yang tertidur di bahu.

"Ngapa pulak? Makcik (mak tiri) abang, kan ada?" tanyaku semula.

"Makcik dah duduk di rumah mak saudara dia. Dia takut tinggal sendirian. Jadi rumah tu, kosonglah." Abang Bok menambah.

Di wajahnya kulihat bagai ada kekesalan. Tapi itulah keadaannya. Abang Bok dah duduk di Ipoh, Asri di Johor, Sukor di Lekir dan abang Yunus di Putrajaya. Semuanya rakan sepermainan semasa kecil dahulu.

Keadaan di DSK pun sudah berubah. Sekolah agama rakyat sekarang adalah tapak asal
surau lama tempat aku mengaji dengan Mak Anjang 'Rolija' (mengikut ejaan Sampoi). Di situ jugalah aku belajar tajwid dan mengenal Quran.

Alhamdulillah, aku dapat mengajar anak-anakku mengaji dengan baik, biarpun mungkin kurang sempurna. Tapi aku yakin ilmu yang kudapat dulu, berjaya membentuk aku jadi manusia yang wujud hari ini.

Syukur padaMu yang memberi nikmat ini.

Di bawah surau lama itu, ada kolah berukuran 3' x 7', yang ada kepala paip di tepinya. Semasa Ramadhan, aku berjalan kaki ke surau,dan memang aku buat 'pit stop' di kolah itu untuk membasuh muka, kononnya. Apa yang sebenarnya berlaku, ketika membasuh muka, aku akan basahkan tekak sama.

Kadang kala aku senyum mengenangkan zaman puasa dahulu. Sekarang aku dapati anak-anakku terutama Afif, Atif dan Aqil suka sangat ke dapur pada bulan Ramadhan ini. Selepas mandi, nampak mereka segar bugar. Di hati aku, terfikir juga, adakah mereka menggunakan 'taktik' aku dahulu?

Arwah ayah suka sungguh beli air tebu semasa berbuka. Mak pula akan masak gulai kari udang, yang memang menjadi kesukaan kami dahulu. Seingat aku, tiada siapa dapat menandingi masakan mak. Kadang kala mak masak sambal tumis ikan bilis. Biasanya ayah bawa balik dari Pangkor. Dengan sambal tumis itu dan nasi tanpa kuah, sudah cukup untuk menyebabkan aku menambah nasi sewaktu berbuka. Syahdunya kenangan bersama mak dan ayah dulu.

Kawasan estet perumahan banglo berdekatan tapak dewan lama merupakan kawasan ladang ubi kayu yang menjadi tempat kami bermain meriam.

Aku teringat arwah Md Amin Bos yang cukup marah dengan geng Daud, Halim, Keri, Kono dan Fendi yang membuat markas meriam tanah di 'hutan' ubi kayu sebelah tapak dewan itu.

"Cilaka punya budak-budak! Bastard!" jerit arwah Md Amin ketika budak-budak kampung yang main meriam semasa malam Ramadhan. Orang sibuk Tarawikh, depa pun sibuk juga.

Kalau pergi bertarawih, kami suka menyahut salawat Nabi dengan suara yang kuat.

"Salah dah, Pak Salehhh!!" kami menyahut seruan bilal semasa tarawih. Rupa-rupanya, salah sebutan itu. Aku, Sani, Oun, Li Katun,Puat (arwah), Man Codin, Fendi dan yang lain-lain 'main bantai' saja.

Kami pernah ketawa sampai nak pecah perut melihat Katik beraya dengan bulu kening yang hangus terbakar sebab disambar wap panas meriam.

Muka Siron pernah mengelembung akibat kena meriam. Tapi tak pernah ada kes hilang jari macam sekarang.

Kalau nak menyambut raya, tempat tumpuan keluarga ayah hanyalah Pekan Khamis di Kg Koh. Itulah masanya kami dapat baju baru. Dengan pendapatan ayah sebagai buruh Majlis Bandaran, apalah sangat yang boleh kami harapkan. Baju pun banyak yang orang beri.

Pernah aku menjual nangka untuk bantu mak cari wang lebih. Mak ternak ayam kampung dan dijual kepada pemborong Cina untuk dapatkan wang dapur. Kuih raya mak buat sendiri, sebab kam tak mampu beli. Lagi pun kuih raya mak lebih sedap.

Bila aku kenangkan semuanya, tak dapat aku bandingkan dengan generasi hari ini. Anak-anak hari ini lebih senang. Jauh bezanya dengan hidup zaman kami semasa kecil.

Di bawah rumah, masih terbayang keletah Oun ketika main korek tanah di situ. Ada beberapa lubang yang masih jelas di bawah rumah, mungkin itu 'bekas' tangan Oun agaknya. Masa itu kami tak tahu rasa geli, kotor dan seumpamanya. Aku pun pernah main kapal korek di situ.

Pelik, kan? Kalau anak-anakku buat begitu, mesti aku larang, walhal kami dulu cukup 'pengotor' sehinggakan main tepi parit, jatuh basikal, main guli, galah panjang, polisentri, aci kejar dan seumpamanya. Semuanya hanya tinggal kenangan dalam hidup ini.

Semasa musim Ramadhan, kami bertiga menyusup ikut belakang rumah, tembus ke depan rumah Opah Leha. Aku dengan gaya 'Rambo' membawa mercun lidi yang digunakan sebagai senjata bazooka, dihala ke arah rumah apek Cina depan rumah Opah Leha. Sani tukang cucuh, Oun tukang bawa mercun dan aku, tukang tembak.

"Zusssssssssshhh..." mercun yang dibidik menggunakan paip besi meluncur masuk ke rumah Cina,menyebabkan mencarut-carut dia anak beranak. Rumah Cina itu pun dah kosong, mungkin anak-anaknya dah bawa diri ke tempat lain.

Sebenarnya, apabila melewati kawasan DSK, aku sendiri rasa bagai orang asing. Entah mengapa, aku rasa DSK bukan kawasan aku.

Aku tiba-tiba diulit rasa sebak, mengenangkan susah senang kami di rumah ini. Aku tak salahkan sesiapa, kerana kini kami masing-masing ada kehidupan sendiri. Memang rumah ini banyak meninggalkan kenangan, dan rasanya tak sanggup aku biarkan ia berlalu begitu saja.

Rumah ini sudah 'melepasi zaman gemilangnya'. Arwah mak dan ayah, pemilik asal rumah ini sudah kembali menghadap Pencipta Yang Kekal Abadi. Tinggallah aku dan adik beradik lain, mewarisi darah mereka di dunia ini untuk meneruskan kehidupan yang entah bila penamatnya.

Kalau pun DSK tak berubah, kitalah yang berubah sebenarnya.

Sunday, September 21, 2008

Kenangan Masa Sekolah


"Shhhh..depa dah balik", kata cikgu Mat menjuehkan bibirnya ke satu arah.

Kami yang tadi asyik terhendap-hendap di belakang bengkel, cepat-cepat mengambil tempat. Senyap. Semuanya menunggu arahan cikgu Mat.

Dari jauh, kelibat rakan-rakanku yang baru balik dari menonton wayang nampak kelam sahaja. Aku tabik cikgu Mat sebab tekaannya tepat. Kelibat Lan dan Sudin dengan pakaian yang agak gelap sambil berjalan di tepi jalan menuju ke arah bengkel semakin jelas. Dengan langkah yang berhati-hati, mereka memanjat pagar dan ketika itulah kami menyergah.

Malam itu, menjadi satu kenangan juga pada aku, Pak Nan, Kamal, Musa, dan beberapa orang lagi yang turut sama dalam operasi menangkap kawan sendiri. Apakan daya, tugas tetap tugas. Kedua-dua rakan kami yang terlibat dalam peristiwa keluar asrama (istilah popularnya, 'fly') diambil tindakan. Cikgu Mat mengarahkan kedua-duanya dibawa ke bilik warden.

Apa yang paling menyusahkan aku, adalah cikgu Mat mengarahkan kami untuk 'membancuh' Lan dan Sudin di bilik warden. Aku sendiri tak suka nak marah Lan atau Sudin, tapi nampaknya, amanah yang dipikul sebagai Pengawas Asrama ketika itu menyebabkan kami 'terperangkap'.

Secara peribadi, aku anggap tindakan mereka 'fly' adalah satu kesilapan, tapi apabila kena tangkap, dah jadi perkara bodohlah pula.

Aku masih ingat malam itu, ketika aku 'torture' dan marahkan sahabat-sahabatku itu, cikgu Mat hanya memerhati.

Menggigil aku, menahan sebak, dan hampir ingin kukatakan, aku tak mahu semua ini berlaku. Tapi aku kira perlu untuk sahabat-sahabatku itu tahu tentang susah payahnya kami menunggu mereka hingga jam 1 pagi, menahan nyamuk-nyamuk lapar yang bagai singa menyerang kami semasa menunggu 'kepulangan' mereka.

Hanya tuhan sahajalah yang memberi kekuatan untuk aku bercakap pada malam itu.

Lan yang kukenal, hanya mendiamkan diri. Begitu juga Sudin. Hanya tegak bagai batang kayu. Agaknya mereka tahu kesilapan yang dilakukan sangat berat.

Lan yang kutahu, sebenarnya sangat rajin belajar, dan dialah sumber motivasi aku semasa di asrama. Jam 2 pagi, aku tengok bilik bacaan cerah, orang yang pasti memetik suisnya ialah Lan.

Aku jadi sangat cemburu dengan sikapnya ketika itu. Timbul satu perasaan yang cukup kuat untuk bersaing dengannya.

"Kalau Lan boleh bangun jam dua, tiga pagi untuk buat ulang kaji, apa kurangnya aku?" bisik hatiku bertanya diri sendiri.

Rasanya cukup setakat itu imbasan kenangan bersama rakan persekolahan ketika itu. Demam Fenomena dan lagu Isabella yang dinyanyikan kumpulan Search menjadi siulan kami pada masa itu.

Kasut Warrior 'highcut' dengan seluar jeans yang dikecilkan semuat betis, adalah trend pakaian ketika itu. Rambut panjang paras bahu, sesuatu yang diidamkan.

Zaman dah berubah, dunia dah maju. Begitulah kami semua. Pak Nan membuka gerai jualan 'souvenir' di Pekan Lumut, Kamal kini bermastautin di Australia, Lan, dah jadi orang Johor. Sudin pula menjadi tentera udara. Aku dan Salim selesa dengan kehidupan di Lekir dan Beruas. Musa sudah menjadi tauke nelayan laut dalam. Pa'ie, Basha dan yang lain-lain, tak dapat ku ketahui dan putus hubungan.

Moralnya ialah, zaman sekolah adalah zaman yang sungguh menyeronokkan.

Friday, September 19, 2008

Berbuka Bersama MB Perak



Aku dapat berbuka bersama Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaludin di Masjid Batu Sepuluh, Lekir petang semalam.

Kedatangan beliau disambut oleh Penghulu mukim Lekir, En. Safian bin Abdul Shukor, AJK Masjid dan penghulu Kg Batu Sepuluh, ustaz Husin.

Aku turut serta dalam lawatan MB ke bazar Ramadhan yang terletak di kjalan masuk ke Sungai Tiram. Daripada pemerhatian aku, MB Perak ini bergaya orangnya. Beliau berjaya menampilkan personaliti yang sesuai sebagai pemimpin.

Aku diberitahu, penduduk mukim Lekir menyediakan 3 ekor lembu untuk dikendurikan dalam majlis berbuka puasa bersama MB petang itu. Sambutan masyarakat sangat menggalakkan.

Selepas berbuka puasa dengan bubur lambuk dan tamar, kami solat maghrib berjemaah dengan diimamkan oleh MB sendiri.

Terharu rasanya, mendengar alunan bacaan pemimpin ini, sebab sudah lama aku mengimpikan pemimpin yang benar-benar menghayati sunnah Rasul.

Buah tamat Nasem disumbangkan oleh MB, manakala yang lain-lain seperti lauk pauk dan nasi adalah hasil sumbangan masyarakat setempat.

Kesimpulan daripada majlis pada hari ini, aku berharap ia menjadi satu budaya dan ikutan kepada bakal pemimpin masa hadapan.

Setiap Insan Ada Kelebihan

Tugas sebagai seorang guru, atau disebut juga pendidik, dan lebih mesra dipanggil 'cikgu' adalah amanah mulia. Sebelum terlibat dalam perguruan, rasanya malu sangat untuk bercakap di depan orang. Entah mengapa aku minat menjadi cikgu, tapi arwah mak pernah berkata, dia bersyukur anak-anaknya ramai jadi guru. Ayah pun bangga anak-anaknya jad guru. Cuma sekarang, aku dapati tak ramai yang menghayati tugas guru.

Tugas mendidik anak bangsa selama ini banyak mempertemukan aku dengan pelbagai ragam manusia yang disebut murid. Sementelah mengajar di sekolah luar bandar, aku banyak berdepan dengan kumpulan manusia yang sesetengahnya agak 'liat' menimba ilmu.

Tugas tetap tugas. Murid yang datang dan pergi, sentiasa membawa ragam masing-masing. Seorang pelajarku Salleh Husin namanya. Tidak terlalu bijak dalam akademik, kerana semasa kecil, dia pernah mengalami demam panas. Kesan daripada itu, pertuturannya agak terganggu terutama kalau berbicara dengan guru. Mungkin ditambah perasaan gementar dalam hati, menyebabkan cakapnya berulang-ulang. Dia tidak pandai, tapi rajin berbual denganku. Aku juga selesa berbual dengannya.

Bulan Ramadhan ini, dia rupanya bertekad hendak berhenti merokok.

"Saya,.. saya,..nak berhenti merokoklah cikgu." katanya ketika bertemu aku pada hari pertama Ramadhan.

"Eloklah Salleh, cikgu sokong." Kataku sambil merenung matanya.

"Tapi,..tapi cikgu,.." Salleh tergagap-gagap menyusun kata.

"Kamu berhenti sajalah Salleh. Tak ada manfaat kamu teruskan merokok." aku memotong cakapnya yang belum habis. Aku memberi beberapa tips dan panduan untuknya berhenti merokok. Memang gejala merokok hari ini semakin menular. Susah nak bertemu remaja lelaki Melayu yang tidak merokok. Jika dibariskan 10 orang remaja lelaki Melayu, aku kira 6 orang pasti tergolong dalam kumpulan penagih tembakau bergulung ini. Entah apa yang sedap tentang tembakau beracun ini, tapi aku sentiasa menyokong muridku yang mahu berhenti merokok.

Salleh, seorang daripada muridku yang bakal berdepan SPM, tidak begitu pantas menulis. Mengeja pun lambat, tapi aku terima ragamnya sebagai asam garam tugas mendidik.

Semalam, aku berjumpa lagi dengannya semasa masuk mengajar di kelas 5EG.

"Dapat berhenti?" aku perlahan bertanya Salleh selepas memberi kerja pada pelajar.

"Hmm, entahlah cikgu... Susah.."

"Memanglah susah, tapi tak mustahil, kan?" Aku mengujinya.

"Puasa hari ini?" Aku bertanya semula.

Sengih. Salleh hanya sengih pada aku. Aku faham, dengan keadaan keluarga yang sederhana, ditambah pula kurang didikan agama, tiada orang kisah dia puasa atau tidak. Mak dan ayahnya tidak tinggal serumah.

Mudah ceritanya, Salleh lahir daripada keluarga yang serba serbinya kurang. Mana mungkin aku berharap sesuatu yang lebih daripadanya.

"Puasa,... saya puasa cikgu." kata Salleh yang masih tersengih.

"Iya ke?.. Boleh percaya ke ni?"

"Hari ni,.. hari ni saya puasa, tapi semalam tak, cikgu."

"Mengapa tak puasa? Kamu dah baligh, wajib puasa." Aku menasihatinya.

"Saya marah dekat tauke ikan.. cikgu. Dia,..dia bagi saya dua puluh ringgit saja. Saya tolak ikan banyak kat dia... Saya.. saya makilah dia..." Salleh melepaskan perasaannya.

"Habis tu?"

"Dah saya maki, batallah puasa,..cikgu."

"Eh, mudahnya kamu buat hukum. Tak batal, tapi kurang pahala puasa." kataku membetulkan tanggapannya.

"Banyak ke dapat ikan?" Aku mengorek cerita. Yang aku tahu, Salleh memang kerap ikut ayahnya menangkap ikan bawal tambak. Mahal bawal tambak. Di sini, sekilo ikan jenis itu mencecah RM45.

"Cikgu nak?" dia bertanya semula.

"Cikgu nak udang, anak-anak cikgu suka udang. Ada?" tanyaku semula. Memang anak-anakku suka udang, terutama kalau udang celup tepung.

"Udang tohe, cikgu nak?" Tanya Salleh.

"Udang besar ke?" Aku meminta kepastian. Setahu aku, udang tohe memang besar, sebesar ibu jari orang dewasa.

Salleh mengangguk.

"Kalau ada, kamu hantar ke rumah cikgu, boleh? Nanti cikgu bayarlah."

"Ok, cikgu. Saya hantar.. saya hantar kalau ada." kata Salleh sambil tersengih lagi.

Itulah Salleh, muridku.

Ramai lagi seperti dia, agak culas belajar tetapi rajin mencari rezeki, membantu keluarga yang rata-rata hidup di bawah paras kemiskinan. Ada bekas muridku yang tak pandai belajar di sekolah, tapi kini jadi penjual ikan, mekanik kereta dan sebagainya. Itu lebih baik dan mulia daripada jadi penjenayah, penagih dadah dan hidup mewah kerana rasuah.

Mengambil contoh Salleh, aku terfikir akan baik buruknya Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Bagi aku, faedah terbanyak hanya diperoleh anak orang bandar, anak orang senang yang memang terdedah dengan bahasa itu.

Budak macam Salleh ramai di luar bandar. Mereka tak dapat faedah daripada PPSMI. Bahasa Melayu pada aku, masih relevan untuk mengajar anak bangsa seperti Salleh. Aku harap kerajaan akan membuat keputusan yang tepat.

Aku tak menolak penggunaan bahasa Inggeris, tapi simpati aku pada golongan yang di luar bandar, menyebabkan aku sendiri beranggapan kita sebenarnya salah membuat keputusan dan dasar. Masih banyak cara meningkatkan kesedaran terhadap bahasa Inggeris. Yang penting, kita jangan hilang jati diri.

Thursday, September 18, 2008

Hargai Hubungan Darah Daging


Aidilfitri sebenarnya adalah sambutan kemenangan umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan. Konsep hari raya ini sudah diterima sebagai perayaan yang disambut oleh golongan majoriti Muslim di Malaysia.

Itulah uniknya negara ini, dengan kepelbagaian kaum, adat resam dan bahasa, kita hidup di negara yang aman dan harmoni.

Pada aku, antara Ramadhan dan Syawal, Ramadhan paling banyak kenangan, terutama dengan adik beradik. Betullah kata arwah ayah, "semasa kecillah nak bersama tidur sebantal, bila dah besar, masing-masing bawa diri". Maksudnya ialah ketika kecil, kita mempunyai hubungan yang rapat dengan adik beradik kerana itulah keluarga kita. Apabila dewasa, kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk menjaga dan mengendalikan keluarga sendiri: isteri dan anak-anak.

Masa menjadi pemisah, tetapi hubungan tetap wujud, cuma kemesraan tidak seperti dulu, kerana zaman dah berubah, dunia dah maju!

Lihat sahaja foto arwah mak dan adik beradiknya, anak-anak Hj Md Husin. Sengaja aku paparkan foto mak dan adik beradiknya: Makco, Makngah dan Mak Andak masih di Kg. Bharu, Lumut, manakala Pak Ode sudah menjadi sebahagian daripada rakyat Bumi Kenyalang. Pak Anjang memenuhkan masa pencen di Seri Manjung, manakala Pakcik Endan jarang sangat di Changkat Cermin, sibuk dengan urusan POS Malaysia yang dikendalikannya.

Mak Andak sibuk dengan cucu, dan yang terbaru, beliau terpaksa menumpukan perhatian kepada Pak Andak Rojis yang semakin uzur. Mak Ngah juga sibuk dengan menjaga cucu-cucunya di Seri Samudera.

Ketika menziarahi Pak Andak di Kg. Bharu, Mak Ngah kebetulan balik ke sana. Abang Hashim dan Kak Mon sekeluarga pun balik dari Shah Alam. Aku dapati Mak Ngah masih ramah macam dulu, cuma agak kurus sedikit.

"Mak Ngah sibuk, jaga anak-anak Nor," kata Mak Ngah dengan raut wajah yang seakan sama dengan arwah mak. Kadang-kadang, hilang rindu aku pada mak bila tengok Mak Ngah. Tapi hakikat tetap hakikat. Mak sudah tiada. Yang ada ialah kenangan bersamanya yang tak akan hilang daripada ingatan.

Memang kedua-duanya rapat, pernah lemas di parit di Bagan Datoh, ketika menginjak usia 5-6 tahun. Mak pernah bercerita kisahnya hampir lemas dan diselamatkan oleh Mak Ngah.

Begitu juga aku, Oun dan Sani, yang satu ketika dulu tidur sebantal, sekelambu. Mandi parit bersama, melastik burung, main polisentri dan sama-sama kena'balun' bila buat salah. Tapi kini, semuanya terikat dengan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul. Sani di Putrajaya, manakala Oun sudah pun bermastautin di bumi Johor. Hanya aku, Yong dan Wa yang masih di Manjung.

Moralnya ialah, hargailah detik-detik bersama adik beradik semasa kecil dahulu. Kata orang tua-tua, air dicincang takkan putus, dan aku harap hubungan Yong, aku, Sani, Oun dan Wa kekal sampai bila-bila, walaupun mak dan ayah sudah tiada di sisi kami.

Mengenang je...

Hari ini aku di Pejabat Pelajaran Daerah Manjung, menghadiri mesyuarat dan taklimat daripada PPD berkaitan arahan mengemaskinikan fail panitia.

Ramadhan kali ini agak berbeza jika dibandingkan dengan tahun lalu. Pada tahun 2007, sepanjang Ramadhan aku menemani ayah di wad 7, hospital Seri Manjung. Ayah masuk ke wad 7 sejak seminggu sebelum puasa, setelah diabetesnya tidak dapat dikawal.

Pengalaman berpuasa, dan menemani ayah di wad, menyebabkan aku sangat menghargai Ramadhan kali ini. Puasa yang lalu, aku tak sempat mendirikan solat terawih, lantaran keperluan berada di sisi ayah.

Kali ini, Ramadhan sepenuhnya dapat dilaksanakan dengan baik, kerana insan tersayang itu telah kembali menghadap pencipta pada November 2007.

Pada 2005, mak terlebih dahulu pergi meninggalkan kami, semasa dalam bulan Ramadhan juga. Buat Sani dan Oun, banyak kenangan kita bersama dalam bulan Ramadhan. Kita pernah jatuh motor Honda ayah ketika 'lap' di selekoh dekat rumah Ngah Seman. Dalam keadaan luka-luka, kita teruskan subuh.
Kini Ramadhan datang lagi. Moga kita dapat berjumpa lagi dengan Ramadhan-ramadhan yang berikutnya.

Kenangan bersama arwah ayah

Raya pada tahun 2006, setahun selepas pemergian mak tercinta, adalah kenangan yang terakhir berhari raya di 23B bersama ayah. Kedatangan Ramadhan mengimbau semula kenangan bersama arwah insan tersayang, yang begitu banyak berjasa kepadaku dan adik beradik yang lain.

"Siapa tak dapat lagi duit raya?" begitulah suara lunak ayah yang mahukan semua cucunya menerima duit raya daripadanya.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...