Monday, January 25, 2016

PEMIMPIN SEKOLAH YANG BERJAYA (NOTA IAB GENTING)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pemimpin sekolah amat besar pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah sekolah. Rekod membuktikan sekolah-sekolah dalam Band 5 adalah sekolah-sekolah dalam kumpulan yang mudah turun ke Band 6 atau 7 jika tidak dilaksanakan intervensi kepada kepemimpinan sekolah.

Intervensi yang dimaksudkan adalah usaha untuk membolehkan pemimpin sekolah itu belajar memperbaiki kepimpinannya ke arah memperbaiki pencapaian murid dalam pembelajaran. Jika pengalaman lampau menunjukkan pengetua atau guru besar memperolehi prestasi yang rendah dalam aspek kepimpinan sekolah, maka adalah sukar baginya untuk memperolehi kejayaan tinggi sama ada secara nasib baik atau kejayaan sebenar kecuali beliau mencuba bersungguh-sungguh mempelajari mengapa beliau tidak berjaya dan bagaimana cara untuk berjaya. 

Pemimpin sekolah yang tidak memahami atau pemahaman tentang bagaimana mencipta kejayaan, ditambah pula dengan faktor tidak pernah merasai kejayaan sepanjang karier kepimpinannya, maka sukar juga untuknya mencipta kejayaan kecuali diberi peluang untuk belajar dan membangun (learning and development) melalui pembelajaran kendiri atau kursus kepimpinan dan pengurusan pendidikan.

Pemimpin sekolah, terutamanya yang baru dipindahkan ke sekolah yang rendah pencapaiannya sebagai trouble shooter, berkemungkinan besar berjaya mengubah pencapaian murid jika pemimpin itu mempunyai kesedaran dan pemahaman tinggi tentang bagaimana cara mencipta kejayaan dan tahu mengapa sekolah itu tidak berjaya mencipta kejayaan. Pemimpin dari sekolah yang sama juga berkemungkinan berjaya mencipta kejayaan jika diberi peluang membina upaya melalui pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap atau nilai etika secara formal  daripada institusi latihan seperti Institut Aminudin Baki (IAB).

Pemimpin yang tinggi pemahamannya tentang kejayaan dan usahanya menghasilkan keputusan pencapaian yang tinggi, berkemungkinan adalah pemimpin yang sentiasa belajar, rajin berusaha, mempunyai azam yang tinggi, kukuh keyakinannya, tahu matlamat yang hendak dicapai dan disenangi pihak di bawahnya. 

Kesimpulannya, kepimpinan untuk pembelajaran adalah usaha memperbaiki kelemahan diri, menambah baik kekuatan yang ada dan mengekalkan (sustain) kecemerlangan melalui proses pembelajaran pemimpin serta dicontohi pengikut-pengikutnya. 

Sunday, January 10, 2016

KEMBALI KE IAB GENTING MENIMBA ILMU PENGURUSAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya telah disenaraiikan sebagai peserta NPQEL, anjuran IAB Genting Highlands mulai 10 Januari 2016 hingga 10 Jun 2016 bersama 259 orang lagi melibatkan zon Tengah Tengah termasuk dari Kelantan dan Terengganu.. Dalam tempoh 6 bulan, saya perlu menghadiri sesi kuliah selama tiga minggu mulai hari ini hingga 2 Februari nanti di samping menyiapkan tugasan dan menduduki peperiksaan bagi melayakkan saya lulus kursus ini. 

Sebenarnya, NPQEL adalah kursus untuk melengkapkan ilmu pengurusan kepada para peserta. Dengan kata lain, melalui NPQEL, Kementerian Pendidikan Malaysia meletakkan sasaran yang tinggi agar pentadbir sekolah mampu menggalas tugas pentadbiran dengan lebih berkesan. 

Esok, taklimat dan ucaptama oleh Pengarah Institut Aminuddin Baki bakal disampaikan. 

Saya berharap dan berdoa agar dapat menghabiskan kursus ini dengan jayanya. Amin

Wednesday, January 6, 2016

NASIB BAPA MUDA YANG STROK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pengalaman sebagai guru, ingin saya kongsikan di sini hari ini. Pagi tadi, ketika memantau kedatangan pelajar di pintu pagar, saya tertarik melihat seorang pelajar lelaki tingkatan 4, yang baharu menampakkan dirinya selepas hari ketiga persekolahan 2016. Dengan baju lusuh dan seluar yang pudar warnanya, dia termangu-mangu bagai rusa masuk kampung. 

Hari suai kenal dan agihan kelas tingkatan 4 sudah pun selesai, tapi dia tercangak-cangak mencari kelasnya. Disebabkan itu, pihak sekolah ingin penjelasan daripadanya mengapa tidak hadir pada Isnin dan Selasa lalu.

"Ayah saya kena strok (angin ahmar), cikgu.." katanya dengan riak sedih. 

Biasalah, pelajar kadang kala memberi alasan yang pelbagai untuk escapisme. Begitulah juga dengan dia, fikir saya. Saya sudah lali dengan alasan demi alasan yang diberikan oleh pelajar untuk melepaskan diri daripada kesalahan. 

"Kalau begitu, saya nak tengok ayah kamu," Kata saya mengugutnya. 

"Tunjukkan jalan ke rumah kamu, saya nak jumpa ayah kamu dan dapatkan salinan keputusan PT3 kamu." 

Dia akur dengan arahan saya. Sepanjang perjalanan ke rumahnya, dia menjawab dengan baik apa yang saya tanya. Kebetulan ada kuih pau seketul yang tak sempat saya makan pagi tadi, saya berikan kepadanya. Dia makan dengan begitu berselera. 

Dalam hati kecil saya, terasa simpati pula kepada pelajar ini. Sebaik tiba di rumahnya, hanya emaknya yang menyambut kami. Emaknya begitu sopan terhadap saya.

Saya dibawa ke bilik bertemu ayahnya. Kelihatan susuk tubuh lelaki berusia awal 40-an, sedang duduk di katil tanpa berbaju. Wajahnya yang dirundung duka lara, tetap melimpahkan senyuman menyambut saya.

"Masuklah, cikgu." Katanya lemah. 

Kami bersalam dan hati saya terus dipaut sebak melihat keadaannya. Dia mendapat serangan angin ahmar minggu lalu, kerana tekanan memikirkan sikap anak-anaknya, seramai 3 orang. Dua orang anaknya 'lari'dari rumah, manakala yang bongsu pula tidak bermotivasi untuk ke sekolah. Dia terlalu memikirkan masalah anak-anaknya sehingga tekanan darahnya naik. 

"Maaflah, cikgu, bilik saya bersepah." Katanya tersekat-sekat. Serangan angin ahmar membataskan pergerakannya. Kepalanya sering sakit bagai ditoreh paku tajam, manakala anggota sebelah kiri badannya lemah. Dia tak boleh berdiri, malah perlu dibantu jika ingin keluar dari bilik. Dia juga memerlukan bantuan isteri dan anak jika mahu ke tandas. Pada usia semuda  42 tahun, dia diuji begitu. Dia pasrah dengan apa yang berlaku, cuma dia perlukan sokongan moral yang berterusan.

Melihatkan keadaannya, boleh katakan dia tergolong dalam kategori kemiskinan bandar. Mujurlah dia ada rumah sendiri yang tak perlu disewa. Pekerjaannya sebagai kakitangan rendah dalam sektor awam memberikan pendapatan tetap kepadanya, cukup untuk hidup bersederhana. Isterinya pula berniaga nasi lemak bagi meringankan beban kewangan suaminya. Kereta dan rumah batu bukan ukuran kekayaan, sebaliknya ia adalah satu keperluan pada masa sekarang.

Banyak yang kami bualkan, dan saya berikan semangat kepadanya. Nasibnya lebih baik daripada seorang rakan saya yang diserang strok sehingga hilang daya ingatan. Ada juga kenalan saya yang mendapat serangan strok hingga membawa kepada kematian. 

Saya memahami kesukaran pesakit angin ahmar, kerana pengalaman menjaga ayah pada tahun 2007 lalu, mengajar saya banyak perkara tentang sukarnya berdepan dengan penyakit ini.  

Hari ini, mendidik anak remaja tidak sama seperti 30 tahun lalu. Saya hairan melihat ada anak-anak remaja sanggup membiarkan ibu bapa susah hati kerana sikap mereka. Ingatlah, apa yang dilakukan kepada ibu bapa, tidak mustahil akan terjadi kepada kita pula satu hari nanti. 



MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...