Tuesday, May 28, 2019

ALFATIHAH BUAT MAHAGURU ZUBAIDULLAH (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Foto terakhir kami berbual mesra

Haji Zubaidullah, atau nama fb beliau 'Jujur Baik', bukanlah asing dengan saya. Selain isterinya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan saya, kami juga pernah berkhidmat di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) sebelum kembali ke Manjung. Cikgu Zubaidullah bertugas sebagai pengetua di SMK Darul Ridzwan Taiping, manakala saya pula memikul amanah yang sama di SMK Sungai Bayor, Selama. 


Sebelum kembali ke sekolah, Cikgu Zubai bertugas sebagai pensyarah di Perlis. Beliau terlibat secara aktif dengan seni silat warisan tradisi masyarakat Melayu. Barangkali, itulah sebabnya rakan rakan yang mengenalinya memberikan gelaran 'mahaguru' kepadanya. Awal tahun 2019, beliau dapat pindah ke Manjung dan menabur budi di SMK Cangkat, Beruas.

Pada 13 Mei 2019, saya menziarahinya di wad 8 Hospital Seri Manjung (HSM) kerana beliau menjalani pembedahan kecil membuang bisul di pinggulnya. Ketika itu, dia sangat ceria, dan teruja menceritakan kepada saya tentang penganjuran kejohanan silat peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Beruas November nanti. Saya optimis bahawa program tersebut dapat dilaksanakan sebab Cikgu Zubai mempunyai semangat kental dan tidak mengalah.

Namun begitu, dua hari selepas itu, saya mendapat perkhabaran Cikgu Zubai koma selepas terjatuh di HSM, dan dimasukkan ke ICU. Semasa di wad ICU, HSM, beliau alami serangan jantung. Ginjalnya terjejas, manakala fungsi pernafasannya memerlukan alat bantuan. Ia tentunya mengejutkan saya, sebab sebelum itu beliau tampak bersedia keluar hospital. Kehendak Allah, tidak siapa boleh menghalangnya. Ujian sakit datang kepadanya pada bulan Ramadhan yang mulia.

Petang Isnin 27 Mei, saya berkesempatan ke HSM, melawatnya di wad 4. Cikgu Zubai terlantar koma dengan wayar berselirat di tubuhnya. Dia tidak memberikan tindakbalas, sejak pagi kelmarin. Anak dan isterinya setia menanti dengan penuh harapan. Sebak hati saya melihat keadaannya. Ia benar-benar meruntun jiwa, dan kami berdoa agar berkat bulan Ramadhan yang belum berakhir, Cikgu Zubai dapat menikmati ibadah dan meraikan Syawal tidak berapa lama lagi. 


Allah jua yang kekal. 
Cikgu Zubai kembali kepada Allah pada Rabu 29/5/2019 jam 7.15 malam ketika di wad 4, HSM

Tuesday, May 21, 2019

ALIF YANG CEKAL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Alif Aiman bin Amzah, 18 tahun merupakan seorang bekas pelajar saya yang cekal melalui kehidupan penuh sederhana. Dia adalah pemegang kad Orang Kelainan Upaya, kerana tulang belakangnya membengkok, menyebabkan aktivitinya agak terhad.

Keluarganya juga bukan orang berada. Ayahnya juga menghadapi masalah tulang belakang (slip disc). Syukurlah adiknya Nasir mampu menggalas tugas membantunya mencari rumput untuk diberikan kepada beberapa ekor kambing peliharaan Alif. 



Namun begitu, keadaan ini memaksa Nasir ponteng sekolah. Dia juga tidak bermotivasi untuk belajar aliran biasa kerana minatnya lebih kepada kemahiran vokasional. Saya menemui keluarganya, dan mereka bersetuju Nasir masuk ke Pusat GIATMARA Lekir, pada Julai nanti. Buat menampung yuran masuk ke situ, Nasir akan mencari kerang dan menjualnya.

"Kambing saya, keguguran, cikgu.." Kata Alif Aiman. Matanya berkaca kaca. Sebak nadanya memberitahu saya.


Alif juga memaklumkan kepada saya, hasratnya untuk menambahkan jumlah kambing, di samping mendapatkan dana membesarkan rebannya. Niatnya dimudahkan Allah. Saya hubungi pengerusi JKKP Zon Lekir, puan Nik Azizah, dan beliau bersetuju melihat sendiri situasi Alif sebelum menyusun langkah membantunya.

Tidak sampai dua hari selepas saya berbual dengan Alif, puan Nik Azizah memaklumkan hal itu sudah dipanjangkan kepada pihak berwajib.

Alhamdulillah, moga Alif dapat menjadi penternak kambing yang berjaya.  

Wednesday, May 8, 2019

SELAMAT DATANG, RAMADHAN 1440 H


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Ahlan Wa Sahlan, Ya Ramadhan, Inilah bulan yang dijanjikan penuh keberkatan dan ganjaran pahala yang sangat dinanti-nantikan oleh hamba yang beriman kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksud, “apabila tiba bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup semua pintu neraka dan dibelenggu semua syaitan” (Riwayat Sahih Muslim).
perkataan Ramadhan bermaksud panas terik. Tempoh bulan Ramadhan sememangnya lebih panas daripada biasa. Ramadhan adalah bulan selepas Syaaban, iaitu bulan kesembilan dalam kalendar Hijrah. Dalam bulan inilah Allah s.w.t. mewajibkan umat Islam yang mukalaf berpuasa di siang hari sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran yang bermaksud, “Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barang siapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu….” (surah Al-Baqarah, ayat 185)
Umat Islam harus merebut peluang yang ada dengan melaksanakan ibadah puasa dan lain-lain amalan soleh dengan bersungguh-sungguh di samping memohon keampunan dan keredaan Allah, kerana kita belum tentu bertemu dengan Ramadhan tahun berikutnya, kecuali dengan izin Allah. Jika Ramadhan kali ini adalah yang terakhir untuk kita, wajarlah kita berusaha melakukan yang terbaik sebagai bekalan akhirat.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”

Seharusnya, pada bulan Ramadhan kita semakin cergas dan bertenaga untuk melaksanakan tugas menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan, bukannya lemah dan lesu. Berpuasa tidak seharusnya menjadi penghalang tetapi seharusnya menjadikan kita lebih kuat dan bersemangat untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih bermutu.
Oleh itu, rebutlah peluang dan gunakan masa yang ada dalam bulan Ramadhan untuk melakukan amal ibadah seolah-olah inilah Ramadhan yang terbaik dan terakhir untuk kita. Semoga Allah menjadikan kita insan yang bertakwa dan sentiasa berkasih sayang dalam rahmat Allah.
“Sekiranya umatku mengetahui kebaikan di dalam bulan Ramadhan nescaya mereka menginginkan agar sepanjang setahun semuanya menjadi Ramadhan.” (Al-Hadis)
Selamat Beribadah Di Bulan Ramadhan.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...