Thursday, January 29, 2009

Senapang

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Ayah pernah memiliki senapang pusaka daripada arwah atuk. Kata ayah, atuk membeli senapang patah itu pada tahun 1953.

Senapang laras satu, jenis Spanish 12 bore itu dijaga atuk dan diwariskan kepada ayah selaku anak lelaki sulung.

Pada 2003, ayah mula memohon sub lesen untuk memastikan senapang pusaka itu tidak terlepas tangan. Aku sebenarnya teruja untuk meneruskan legasi keturunan ayah untuk menjaga senapang tersebut. Maklumlah, sebagai anak lelaki sulung, aku sememangnya 'layak' menjaganya, sementelah adikku Sani dan Oun kurang menunjukkan minat ke arah itu.

Hari demi hari, tahun demi tahun, jawapan yang kami terima ialah '..masih dalam pertimbangan.' Ayah yang semakin uzur ketika itu telah menggunakan pelbagai saluran, termasuk meminta seorang bapa saudara yang bekerja di KDN membantu menyelesaikan masalah ini.

Begitulah juga dengan hubungan ayah dengan beberapa orang tokoh parti pemerintah, yang berpengaruh dan mempunyai kuasa untuk membantu urusan mendapatkan lesen berkenaan.

Malangnya, apa yang dihajati tidak dicapai. Ketika ayah menutup mata buat selama-lamanya, senapang pusaka itu tidak dapat diwariskan kepada aku, kerana aku tidak memperoleh lesen. Malah, seingat aku, kami membuat rayuan tidak kurang daripada 10 kali. Jawapannya tetap sama, "..masih dalam pertimbangan."

Sebulan selepas ayah meninggal dunia, aku menerima sepucuk surat daripada KDN, yang memaklumkan secara muktamad bahawa permohonan tersebut TIDAK DILULUSKAN. Senapang yang menjadi kebanggaan arwah atuk dan ayah, akhirnya bertukar tuan, kerana aku tidak layak memilikinya. Senapang itu kemudiannya diserahkan ke Balai Polis berhampiran, dan aku tidak lagi ambil peduli tentangnya.

Kecewa sebenarnya aku, kerana aku gagal meneruskan penjagaan pusaka yang banyak memori kepada ayah.

Aku juga kecewa, kerana bapa saudara yang kami harapkan itu, tidak berusaha sedaya upayanya, malah lebih banyak memberi alasan untuk mengelak membantu ayah. Dengan kedudukannya sebagai pegawai kanan di KDN, perkara itu boleh diuruskan.

Aku kecewa sebenarnya, apabila tokoh politik yang pernah ayah sanjung ketika dalam UMNO dahulu, tidak bersungguh-sungguh membantu kami.

Paling mengecewakan, apabila seorang polis pangkat rendah yang sering berurusan dengan kami, secara berbisik memberitahu aku dan ayah, bahawa kami 'tak beri makan' kepada pihak atasan.

Aku terkesima. Apa maksudnya?

Secara perlahan, dia memberitahu, tauke dan pekebun Cina sanggup berbelanja sehingga ribuan ringgit untuk membayar kepada pegawai kanan polis bagi memudahkan urusan mendapatkan lesen senjata api.

Patutlah kami gagal mendapat lesen.

Sunday, January 25, 2009

BELASUNGKAWA UNTUK APIS DAN TOYEN

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Bagi yang telah mempunyai anak yang sudah bekerja, bayangkanlah perasaan anda jika menerima panggilan daripada polis seperti yang dilalui Abang Dollah, bapa Hafirul Hafis.

Telefon bimbit Abang Dollah berbunyi ketika jarum jam menghampiri ke 3 pagi.
Abang Dollah : Hallo, siapa ni?
Polis : Maaf encik, ini Encik Abdullah bin Hashim?
Abang Dollah : Ya, saya bercakap. Mengapa?
Polis : Ini dari Balai Polis Teluk Intan. Sarjan xxxx bercakap. Encik ni, ayah kepada Hafirul Hafis?
Abang Dollah : Ya,..ya saya. Apa dah jadi dengan anak saya, tuan?
Polis : Banyakkan bersabar, Encik Abdullah. Anak encik terlibat dalam kemalangan jalan raya di sini jam 1 pagi tadi. Harap encik dapat ke sini atau ke Hospital Teluk Intan.

* Dialog di atas aku gubah melalui penceritaan semula oleh Abang Dollah sendiri semasa menerima berita kemalangan maut anaknya, Hafirul Hafis dan rakan sekampungnya, Mohd Shahrin Nizar (Toyen).

Kedua-duanya, Apis dan Toyen, adalah bekas pelajarku dahulu. Aku tak pasti usia mereka, tapi sekitar 24 dan 25 tahun.

Tapi yang agak rapat denganku, pastilah Apis, yang telah berjaya kubentuk dan kugilap menjadi Pengakap Diraja semasa di SMKBS. Dia baru menerima anugerah pengakap Diraja daripada Raja Nazrin Shah, pada Jun 2008 yang lalu. Betapa bangganya dia ketika itu. Aku juga rasa terharu sebab amat jarang pelajarku menerima anugerah tersebut. Sanggup dia bercuti dan pulang semata-mata untuk menerima anugerah itu.

Apis yang aku kenali, bukanlah pelajar yang cemerlang dalam akademik, tapi sangat berdisiplin dalam kerja-kerja kepengakapan.

Tragedi mereka bermula apabila bertolak selepas Toyen tamat kerja di Pos Malaysia Klang, jam 10 malam. Khabarnya mereka pulang ke Lekir sempena cuti TBC yang baru bermula. Menurut cerita Abang Dollah, Apis menunggang sementara Toyen membonceng. Ketika perjalanan hampir ke penghujung, mereka mengelak anjing yang menyeberang, lalu bertembung dengan lori AYAMAS. Apis parah di kepala, manakala Toyen remuk dada, menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia di situ juga.

Ketika aku menziarahi Toyen, jenazahnya sedang dimandikan. Aku bergegas ke Tg Kepah untuk menjenguk jasad Apis buat kali terakhir. Ketika membacakan Yassin di sisi jenazah, aku terasa sebak, mengenangkan kenangan dia berlatih menari dabus, membuat ikatan bunga keti, buku sila dan genggam monyet, mengajar aku membuat gajet pengakap, dan memori itu bermain-main di kepala ketika aku menziarahi jenazahnya. Tidak sanggup rasanya melihat keadaan jenazahnya yang terbujur kaku.

Aku hanya mampu memujuk hati, bahawa Apis dan Toyen disayangi oleh Allah Maha Pencipta. Biarlah mereka pergi dengan tenang. Jika hidup pun, pasti cacat, sebab lukanya amat parah.

Sayunya melihat foto Apis menerima anugerah Pengakap Diraja di dinding rumahnya tadi. Aku takkan menerima lagi mesej daripada Apis, tetapi kenangan bersama bekas pelajar sepertinya terpahat kekal di dalam hati.

Al-Fatihah untuk Apis dan Toyen..Berita di Metro

Thursday, January 22, 2009

Sukan Merentas Desa

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Pada minggu lalu, SMKBS mengadakan sukan merentas desa sebagai program pemanas badan sebelum sukan pada Februari nanti.

Seperti sebelumnya, aku dan beberapa orang rakan ditugaskan dalam skuad ronda. Dengan motor kapcai arwah ayah, aku mengemudi motor Honda keluaran 1977 itu di sekeliling trek sepanjang 6.7 km.

Kawasan laluan merentas desa termasuklahlah di ladang sawit, kawasan kampung dan taman perumahan.

Penyertaan pelajar menggalakkan. Begitu juga dengan kerjasama guru-guru praktikum dari UPSI yang turut bertindak sebagai petugas kecemasan dan penjaga 'check point'.

Terima kasih semua.

Saturday, January 17, 2009

Akhirnya Kuala Terengganu Milik PAS!


Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Sekeping foto boleh memberi seribu cerita. Ia juga menjelaskan bahawa akhirnya teka teki siapa akan menguasai parlimen Kuala Terengganu terjawab juga pada hari ini.

PAS menang dengan majoriti yang lebih besar berbanding kemenangan BN pada 2008.

Sebenarnya, aku hairan, mengapa PAS boleh menang? Bukan tidak yakin, tapi selama kempen dijalankan, seolah-olahnya berita di akhbar dan TV memberi gambaran pengundi KT telah sepakat akan mengundi BN. Apakah pemberita dan wartawan sudah terlalu buta untuk melihat situasi yang berlaku di sana, lalu memberi kredit kepada berita tentang BN? Tidakkah aspek pemberitaan yang dibuat secara melampau ini akhirnya 'makan tuan'?

Banyak cerita menarik yang terjadi di pilihan raya kecil KT. Antaranya, Pengerusi SPR untuk pilihan raya kecil ini, yang juga Datuk Bandar Kuala Terengganu, telah melepaskan jawatannya setelah ada suara-suara mendakwa (masakan pokok bergoyang kalau tiada angin..) beliau memberi arahan langsung kepada kaki tangan kerajaan negeri agar menyokong BN. Ini juga sebenarnya tidak membantu kempen BN, sebab masyarakat hari ini tidak boleh ditakut-takutkan sebegitu rupa.

Tentulah PakDin (Mountdweller) tersenyum sokmo dengan berita kemenangan ini.

Aku berpendapat, bedah siasat yang lebih menyeluruh akan dibuat oleh penganalisis politik yang lebih terampil. Hendaknya, janganlah menyembunyikan fakta, mengapa BN gagal di KT. Paklah dan Najib harus diberitahu secara jujur tentang kelemahan BN atau tokoh-tokoh pilihan mereka.

Dr. Agus Yusof (UKM) pada aku, adalah antara penganalisis yang jujur dalam memberi pendapat tentang politik Malaysia masa kini. Yang lainnya, lebih kepada menjaga kepentingan pihak tertentu dan periuk nasi sendiri.

Tahniah kepada semua petugas pilihan raya, seperti penampal poster, tukang rayu undi, tukang tebang buluh, tukang jerit, tukang pacak bendera dan semua yang terlibat dalam pilihan raya ini, khususnya pengundi di KT, anda telah menyuarakan hak anda. Alhamdulillah, demokrasi kekal subur di Malaysia, biarpun ada kalanya aku kecewa dengan liputan berita di TV3 dan RTM...


Thursday, January 15, 2009

Pilihan raya Kuala Terengganu

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Aku bukanlah ahli politik, tapi bukanlah 'buta' tentang politik. Tugas mengajar subjek Sejarah membantu aku memahami perjalanan politik, khususnya pilihan raya. Lewat tahun lalu, kematian ahli parlimen yang merupakan Timbalan Menteri Pelajaran, mengundang pilihan raya kecil diadakan di kawasan tersebut.

Menariknya, saban malam aku dan penonton lain disajikan dengan perkembangan di Kuala Terengganu. Berita tentang Palestin diganyang Israel tidak lagi menjadi keutamaan.

Seronoknya orang Kula Terengganu, dalam seminggu dua ini, pelbagai kemudahan dan prasarana diperolehi melalui pelbagai agensi kerajaan yang 'berkampung' di sana.

Kata TPM, semuanya sudah dirancang lama. Bukan untuk 'membeli undi'. Apabila membaca pandangan Kadir Jasin, bekas orang kuat Berita Harian, aku simpulkan bahawa pertarungan BN dan PAS di dalam pilihan raya kecil ini memang sengit.

Siapa yang aku sokong? Entahlah, tapi sebagai generasi yang lahir selepeas merdeka, aku harap Malaysia diperintah oleh mereka yang mampu memerintah dengan amanah dan telus. Tidak kiralah siapa juga, yang pasti rakyat perlu ingat bahawa undi dalam pilihan raya bukan hanya untuk menerima RM20 atau RM30 serta kain pelikat yang diberi menjelang pengundian. Lagipun, calon mestilah mereka yang rapat dan sentiasa dekat dengan masyarakat. Dalam hal ini, pembangkang perlu diberi ruang untuk menjadi kuasa 'check and balance'. Jika tidak, kerajaan tidak nampak kelemahan dalam mentadbir.

Itulah sebabnya, aku berpendapat, rakyat Kuala Terengganu yang untung. Tapi jangan tinggal janji sahaja. Orang sekarang semakin bijak, kalau pemimpin menipu, lain kali susahlah nak dapat kepercayaan rakyat.

Siapakah yang akan menang dalam pilihan raya kecil ini? Kuasa Allah menentukan. BN dan PAS, masing-masing ada peluang. Undi penentu mungkin daripada kaum Cina dan pengundi muda.

Sunday, January 11, 2009

Mati Adalah Pasti, Hidup Insya Allah..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Minggu lalu, aku menghadiri dan menziarahi kematian adik saudara pupu, di Kg Batu 3, Segari. Umurnya baru 20-an, tetapi sudah dijemput ke barzakh dalam nahas ditabrak lori ikan di jalan Kg Acheh. Aku tidak rapat dengannya, lantaran perbezaan umur kami. Tambahan pula, sejak kematian emaknya, Mak Andak Buang, aku jarang sekali bertemu dengannya.

Kematiannya agak tragis, kerana meninggal dunia pada usia muda, dalam keadaan hilang kasih sayang (ayahnya berkahwin semula selepas kematian emaknya). Tinggallah dia 'terkonteng-konteng' menempuh hidup penuh cabaran.

Barangkali, mati adalah lebih baik untuknya.

Sabtu, 10 Januari 2009, Pakcik Pawi bekas tukang kebun sekolah tempat aku bertugas, telah dijemput ke alam baqa'. Kali terakhir aku bertemu dengannya ketika beliau menunggang motor untuk membeli makanan dua minggu lalu.

Itulah penyudah hidup, dua insan yang kuziarahi buat kali terakhir. Mati memang sudah pasti Allah janjikan. Setiap yang hidup pasti merasai mati.. Tiada seorang pun daripada kita boleh mengelakkan jadual kematiannya.

Cuma, aku berdoa, biarlah aku sempat menunaikan fardhu haji, dan sempat aku membesarkan anak-anak yang masih kecil ini sehingga dewasa dan berjaya. Moga-moga Allah maqbulkan doaku, moga-moga...

Wednesday, January 7, 2009

Hancurkan Yahudi, Ya Tuhanku..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

"Ya Allah, Engkaulah tempat kami memohon petunjuk dan perlindungan.
Wahai tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang, Engkau campaklah rasa takut dalam jiwa tentera kufar Yahudi di Gaza, lemahkanlah semangat mereka, matikanlah keberanian mereka.

Ya Allah, tuhan Yang Maha Berkuasa, Engkau Kuatkanlah semangat para mujahid yang berjuang mempertahankan agama dan tanah air mereka, Palestin, cekalkanlah jiwa dan sanubari mereka. Semarakkanlah janji syahidMu untuk mereka.

Ya Rahman, Engkaulah Tuhan yang empunya alam, isi langit dan bumi. Engkaulah tempat kami meminta dan memohon.

Amin, Ya rabbal 'alamin.."

Monday, January 5, 2009

Masya-Allah, Zaman Jahiliahkah Ini?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Membaca Harian Metro, bertarikh 4 Januari semakin menakutkan aku. Apakah ini bakal generasi masa hadapan yang ingin kita lihat?

Benarlah kita semakin dihanyutkan dengan budaya hedonisme. Apakah hedonisme? Hedonisme adalah satu bentuk budaya yang dipelopori pada era 70-an, ketika ganja dan mariajuana menjadi kebiasaan dalam masyarakat di Amerika. Ia berteraskan seks bebas, hiburan dan keseronokan semata-mata. Budaya ini cepat menular ke negara kita, termasuk di IPT awam ketika itu. Lantaran itu, ia mewujudkan ruang untuk gerakan Islam seperti ABIM, JIM mengisi ruang alternatif.

Sebenarnya ini bukanlah perkara baru dalam masyarakat. Budaya zina (disebut secara bersopan-mengadakan hubungan seks tanpa nikah) sudah wujud pada zaman Jahiliah lagi. Kini, sama ada suka atau tidak suka, kita harus menerima hakikat zina di peringkat remaja semakin menjadi-jadi di negara kita. Remaja yang baru mengenal dunia, pada usia muda seawal 10-15 tahun, sudah menyerahkan tubuh mereka untuk dinikmati jantan sundal yang bukan bergelar suami. Mereka seronok melakukannya. Bacalah dan terimalah kenyataan ini. GENERASI MALAYSIA SUDAH SEMAKIN ROSAK, DAN IA PERLU DIPULIHKAN SEBELUM MENJADI LEBIH PARAH.

Apakah kita wajar berpeluk tubuh dan membiarkan ini dipikul oleh uru dan kerajaan?

Sudahlah, berpolemik dalam politik tidak menyelesaikan masalah. Kita ada masalah yang perlu kita selesaikan. Meletakkan penyelesaian pada satu pihak, bukan penyudahnya.




MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...