Monday, July 30, 2018

SELIPAR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selipar ini banyak berjasa kepada saya di Mekah tahun lalu
Selipar saya yang asal hilang ketika Kursus Perdana Haji 2017 di Masjid Ridwaniah Kuala Kangsar. Saya membeli selipar baharu seperti dalam foto di atas, di sebuah gerai yang menjual kelengkapan haji semasa kursus tersebut. Di situlah bermulanya kisah 'jodoh' dia dan kaki saya.

Sejak hari itu, ia memulakan khidmatnya kepada saya. Selipar ini juga yang saya gunakan ketika mengerjakan ibadah haji di tanah suci Mekah Ogos- September 2017. Kami menaiki pesawat, turun di bumi Jeddah, menaiki bas ke Mekah, mengerjakan ibadah umrah wajib, umrah sunat dan ziarah ke sekitarnya. Kami juga bersama-sama ke Arafah, Mina dan ke tiga jamrah, selain ke Madinah dan kembali ke tanah air pada 14 September 2017.

Begitulah panjangnya sejarah khidmat selipar ini kepada saya. Ia hanya selipar biasa, tanpa jenama mewah atau hebat, tetapi hingga kini, selipar ini berbakti kepada saya dengan keselesaan yang boleh dibanggakan. 

Hidup kita kepada insan lain, boleh juga diibaratkan seperti selipar. Selagi mana kita, boleh berbakti, laksanakanlah sebaiknya. Selipar hanya terhenti khidmat kepada tuannya apabila putus dan tidak boleh lagi digunakan. Manakala, insan, tidak mampu lagi berkhidmat kepada orang lain sebaik putus nyawa daripada jasadnya. 

Friday, July 27, 2018

MUSIM DURIAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selesai mengutip durian gugur
Selama, daerah utara Perak yang bersempadan dengan negeri Kedah,  memang terkenal sebagai kawasan pengeluaran buah tempatan. Antaranya rambutan, manggis dan durian. Selepas hari raya tahun ini, musim buah nampaknya 'menjadi'. Kawasan lain berdekatan seperti Batu Kurau, Bukit Gantang dan Kuala Kangsar juga menghasilkan buah-buahan yang banyak kali ini. Harganya menjadi kompetitif, dan persaingan tersebut memberikan kelebihan kepada peminat buah. Harga manggis serendah RM2/kilo, manakala durian antara RM4-RM6/kilo, bergantung kepada saiz dan jenis. Khabarnya, durian Musang King pun jatuh harga hingga RM20-RM25/kilo.

Saya berkesempatan menikmati detik mengutip buah durian di dusun seorang sahabat di Kuala Kangsar, baru baru ini. Ia mengingatkan saya detik zaman kanak-kanak, ketika ayah membawa kami ke Teluk Kupiah (tapak kawasan Damai Laut, Swiss Garden, Segari sekarang). Mendengar bunyi buah durian jatuh, menyuluh di bawah pokok durian, mengutipnya, membersihkan daunnya, satu nostalgia yang cukup manis untuk saya kenang. Buah durian yang segar, dikopek dan ulas demi ulas dimasukkan ke mulut.  Alangkah nikmatnya detik ini, tak boleh disamakan dengan membeli durian di tepi jalan. 

Tuesday, July 17, 2018

JETI NELAYAN LEKIR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Foto hiasan
Pada era 80-an, sebelum wujudnya Jalan Sitiawan - Teluk Intan, jeti Lekir (berdekatan Masjid Rahmaniah) adalah kawasan pelabuhan yang cukup sibuk dan meriah. Di situ, ada penambang ke pekan Teluk Anson (Teluk Intan sekarang) yang berulang alik merentasi Sungai Perak. Jalan kecil di situ menghubungkan Pasir Pandak, Sungai Limau, Pasir Panjang Laut hingga ke Kampung Permatang, dan terus ke kampung saya, iaitu Kampung Datuk Seri Kamaruddin.

Hubungan masyarakat sekitar laluan itu pada era tersebut amat rapat, dan bolehlah dikatakan ada hubungan persaudaraan. Hari ini, jeti Lekir sudah menyimpan sejarah kegemilangannya. Tiada lagi hiruk-pikuk dan kebisingan penjual dan pembeli kerana jeti kawasan itu sudah semakin sunyi. 

Perahu dan bot nelayan tempatan masih berlabuh tetapi jumlahnya juga semakin berkurangan. Kebanyakannya nelayan pantai yang mencari rezeki di kawasan perairan sekitar Sungai Perak hingga ke Pulau Sembilan. Kebanyakan mereka sudah dimamah usia, kerana kerjaya nelayan bukan pilihan majoriti anak anak muda yang banyak bekerja di pelabuhan Lumut atau di kilang sekitar Manjung, juga di luar daerah ini.  

Baru-baru ini, saya berpeluang membeli ikan kembung segar di jeti Lekir, dengan harga RM7/kilo. Harganya jauh lebih murah berbanding di pasar Senawi atau pekan Kampung Koh. Ikannya pula segar. Bagi masyarakat sekitar Lekir, jeti ini masih menjadi tumpuan mereka mendapatkan ikan pada harga yang mampu dibayar.

Selagi ada sampan nelayan berlabuh di sini, nyawa jeti Lekir ini tampak masih hidup, biarpun sedikit lesu. Beberapa buah rumah penduduk keturunan Tionghua, kedai kopi dan sepohon pokok jejawi yang besar, menjadi saksi betapa kawasan ini dahulunya sangat sibuk dan menjadi nadi utama masyarakat awal 80-an. Pastinya, sejarah tidak berulang.


Wednesday, July 11, 2018

Alfatihah: Bersemadilah Dengan Aman, Mejar Rahman.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mejar Rahman duduk dua dari kiri, ketika persidangan MPSM Perak Julai 2017

Mesej masuk bertalu talu ketika saya masih di pejabat, memaklumkan bahawa pengetua tempat saya bertugas di Lekir satu ketika dahulu, meninggal dunia. Ia berita yang menyedihkan, kerana saya pernah bertugas di bawah pimpinannya empat bulan sebelum berpindah ke sekolah lain.

Abd Rahman bin Mamat, atau lebih mesra dikenali sebagai Mejar Rahman, akan bersara bulan Oktober ini. Namun begitu, Allah lebih menyayanginya. Lewat petang Ahad, 8 Julai, saya mendapat perkhabaran Mejar Rahman jatuh pengsan ketika menghadiri satu majlis aidilfitri di Teluk Batik. Beliau terus dibawa ke Hospital Seri Manjung dengan ambulans, dan menjelang maghrib, dibawa ke Ipoh untuk rawatan susulan. Sumber keluarganya memaklumkan ada darah beku pada bahagian kepalanya. Mejar Rahman ditempatkan di wad 6B, katil 20, dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Sejak dimasukkan ke hospital, beliau tidak sedar dan koma. Ramai rakan taulan mengunjunginya, memberikan semangat dan harapan untuknya.

Petang ini, jam 3 petang, mesej daripada anaknya memaklumkan ayahnya sudah tiada. Jenazahnya akan dibawa balik ke Seri Manjung untuk disemadikan malam ni.

Moga Allah mengampunimu, merahmati roh dan menjauhkan siksaan kubur buat Mejar Rahman.

Alfatihah.

Allah jua yang kekal.
Allah sebaik baik perancang.  

Thursday, July 5, 2018

LAWATAN KE PUSAT CCSC KEMAHANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 29, 30 Jun dan 1 Julai 2018, Unit HEM SEBAYU mengadakan lawatan ke Kelantan. tujuan utamanya adalah mengunjungi Pusat Pemulihan dan Perkhidmatan Pencegahan Dadah (CCSC) di Felda Kemahang. 

Lawatan disertai oleh 11 orang pelajar NBOS, yang semuanya adalah lelaki. Selain itu, guru dan keluarga seramai 19 orang turut menyertai lawatan tersebut. 

  






Objektif lawatan adalah mendedahkan pelajar dan guru tentang risiko bahaya dadah serta pencegahan yang dilaksanakan oleh CCSC. 

Dalam lawatan tersebut, peserta lawatan diberikan taklimat oleh en. Mahadhir, pegawai AADK bertugas. Kami juga dapat bertemu dan berkongsi pandangan bersama residen CCSC yang rata-rata berusia antara 14 hingga 21 tahun, kesemuanya berbangsa Melayu.

Sesungguhnya lawatan ini memberi makna yang besar kepada kami. Moga ia juga memberi manfaat kepada peserta lawatan dan mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah penagihan dadah.  

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...