Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Rasullulah
saw pernah berpesan kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra bahawa
'akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan
lahir di zaman kamu. (zaman selepas kewafatan Rasullulah saw)'
Tujuan
Rasullulah saw menyuruh Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra mencari
Uwais al-Qarni tidak lain ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada
Allah supaya mengampunkan dosa-dosa sahabat (Saidina Umar ra dan Saidina
Ali ra). Rasulullah s.a.w juga menjelaskan Uwais boleh dikenali melalui tanda penyakit kulit pada tubuhnya.
Mengapa begitu istimewanya Uwais al-Qarni sehingga Rasullulah saw meminta sahabat mencari dan meminta doa daripadanya?
Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di
zaman Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra. Kedua-dua mereka yang memang
menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah,
akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar
mereka, tidak mungkin dia adalah orang yang Rasulullah saw
sebut-sebutkan ini kerana, Uwais Al-Qarni dianggap sebagai seorang yang
kurang waras di kalangan orang awam atau penduduk setempat.
Uwais
Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak di seluruh tubuh
badannya, yakni sejenis penyakit kulit yang tidak digemari ramai.
Walaupun begitu, beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil
berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Beliau begitu tekun untuk
mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau
masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya
menjaganya sampai beliau dewasa.
Suatu
hari ibunya memberitahu kepada Uwais Al-Qarni bahawa dia ingin sekali
untuk mengerjakan ibadat haji. di Mekah. Ibunya menyuruh Uwais Al-Darni
supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan
haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais Al-Qarni tidak berdaya untuk
mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang
pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa
ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah
kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi diri daripada cuaca
panas matahari dan hujan.
Uwais tidak mampu menyediakan perbelanjaan untuk ibunya pergi mengerjakan haji apatah lagi untuk memiliki unta.
Namun atas permintaan ibunya yang sangat Uwais kasihi. Uwais
Al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau membeli seekor anak lembu yang
baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau membuat sebuah rumah di atas
‘Tilal’ (tanah tinggi). Rumah untuk lembu itu dibina di atas bukit, apa
yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau akan mendukung anak
lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu
itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang
dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu
mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang
dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.
Memang
pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari
mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit.
Namun
sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni seorang yang
bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas 6 bulan lembu itu sudah
menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais Al-Qarni pula menjadi
kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan
naik bukit setiap hari.
Selepas
8 bulan, apabila sampai musim haji. Rupa-rupanya perbuatannya selama
ini adalah satu persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji.
Beliau telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua
tangannya. Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan
seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh
didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Beliau
membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari
Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan
senang sahaja. Uwais juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang
semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya:
“Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”
Uwais Al-Qarni menjawab:
“Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi:
“Bagaimana pula dengan dosa kamu?”
Uwais Al-Qarni menjawab:
“Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.”
Ibunya berkata lagi:
“Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”
Uwais Al-Qarni berkata:
“Saya
keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha
dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”
Ibunya menambah:
“Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.”
Akhirnya
Uwais Al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan
berdoa. Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah
menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu.
Allah
SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh
badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya.
Tanda tompok putih kekal pada Uwais Al-Qarni kerana permintaannya,
kerana sopak ini adalah satu anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang
disebut Rasulullah saw kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra:
“Tandanya
kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau
berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”
Tidak
lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Beliau telah menunaikan kesemua
permintaan ibunya. Selepas itu beliau telah menjadi orang yang paling
tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra
dapat berjumpa dengan Uwais Al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh
Rasulullah S.A.W, mereka meminta supaya beliau berdoa agar Allah SWT
berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.
Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata:
“Aku
ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat
Rasulullah S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan
aku.”
Maka Uwais Al-Qarni pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah
itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, saidina
umar mahu membuat surat kepada Gabenor Kufah supaya melayan Uwais
Al-Qarni dengan layanan yang istimewa. Namun begitu ditolak dengan baik
oleh Uwais Al-Qarni.
Lalu Uwais Al-Qarni menjawab dengan lembut :
“Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”
Diriwayatkan
semasa kewafatan beliau, terlalu ramai “orang” yang menyempurnakan
jenazah beliau. Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang
lahad. Agak menghairankan kerana pada masa hidup beliau tiada orang yang
memperdulikan beliau yang miskin. Malah ada yang menganggap beliau
seorang yang gila. Siapakah “orang-orang” tersebut. Mereka itu adalah
penduduk-penduduk langit yang terdiri daripada malaikat-malaikat.
Demikianlah
kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang
Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit, kerana jasa dan pengorban terhadap ibunya.