Wednesday, September 2, 2015

SESAT DI ISTANA TERPENCIL.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Aku tak ingat tarikh dan haribulan kejadian ini. Ia berlaku cukup pantas. Ketika itu hampir senja, dan aku serta 4 orang anak lelaki masuk ke hutan dalam satu ekspedisi kembara. Kami mengembara jauh ke dalam hutan yang semakin gelap. Anehnya kakiku terus melangkah ke hadapan. Biarpun ada keinginan untuk berpatah balik, kami seolah-olah terpukau dengan keindahan hutan malar hijau yang mengasyikkan. 

Kami kaget apabila menyedari laluan semakin tebal dengan belukar dan banir pokok yang berceranggah sana sini.  Dengan suasana yang semakin dihimpit gelap, pasti kami berdepan masalah. Hendak berpatah balik, bimbang tersesat di tengah jalan. Hakikatnya, kami memang sudah sesat. 
Daripada kejauhan, nampak sebuah bangunan usang berbalam-balam di hadapan. Tanpa berfikir panjang, kuajak anak-anak ke sana. Sekurang-kurang ada tempat berteduh untuk kami malam nanti. 
Bangunan usang itu sekana istana lama, dengan senibina Moor diadun dengan ukiran seakan Eropah, tersergam di tanah datar yang lapang. Pelik sungguh, ada bangunan seperti ini di tengah hutan belantara? Ada menara tinggi bangunan empat tingkat, yang mungkin membolehkan kami tahu kedudukan kami jika melihat dari arah puncak menara.
Tanpa berfikir panjang, kubawa anak-anak lelaki masuk ke bangunan seakan istana purba itu. Persekitarannya agak bersih, tetapi menyeramkan. Suasana semakin gelap, menyebabkan kami lebih berhati-hati memasuki bangunan itu. 

Ada tangga besar di tengah ruang. Tangga itu luas di bawah tetapi semakin menyempit apabila tiba di penghujung. Kami berpegangan tangan sesama sendiri, supaya masing-masing tidak terpisah. 
Entah mengapa tiba-tiba perasaan tidak enak mula menyelinap dalan hati. Seakan-akan ada mata yang memerhati pergerakan kami. Terasa bulu romaku meremang dan perasan takut mula mencengkam. Kami terus meneroka sekitar tingkat dua istana lama ini tetapi hampa. Tiada laluan ke menara. 

Menuju ke arah barat, ada tangga kecil ke  tingkat atas. Di situ, kami berharap ada jalan ke menara sebelum hari bertambah gelap. Rupanya, tingkat atas adalah kawasan dapur. Peralatannya usang, dengan pinggan mangkuk bersepah di lantai, manakala persekitarannya berbau hanyir. 

Aku menjenguk ke tingkap, mencari arah menuju menara, tetapi tidak kutemui. Puas berpusing tetapi kami seolah-olah bergerak di kawasan yang sama! Tiba-tiba kami dikejutkan dengan penemuan beberapa mayat manusia di dalam stor, terbaring ditutupi kain putih. Aku cuba menjerit tetapi jeritanku seakan tersekat. Anak-anak yang bersamaku sejak tadi tiba-tiba hilang entah ke mana.

Memang ngeri kisah kualami menjelang Zohor cuti hari Kemerdekaan negara ke-58. Mujurlah ia hanya mimpi...  

(Kisah mimpi ini memang benar saya lalui sewaktu Qailullah sebelum Zohor)

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...