Sunday, October 18, 2015

TEMUDUGA NPQEL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah lama saya tidak menghadiri temuduga. Seingat saya, saya pernah ditemuduga semasa pelantikan sebagai guru siswazah, kemudian beberapa kali dalam perkhidmatan, itupun tidaklah memerlukan saya berada dalam keadaan tidak selesa, kerana telah bersedia.

Kali ini, saya mendapat khabar temuduga tersebut dalam jangka waktu yang singkat. Temuduga tersebut dijadualkan pukul 8 pagi 15 Oktober 2015. Beberapa dokumen yang sepatutnya dibawa bersama perlu disediakan lebih awal. Antaranya adalah laporan buku perkhidmatan dan markah LNPT untuk tiga tahun terkini. Mujurlah staf pejabat baik di sekolah mahupun PPD Manjung ringan tulang membantu persediaan kami. 

Kami berenam dalam satu kumpulan, iaitu saya, Cikgu Kamarul Baharin, dari SMK Batu Sepuluh, Lekir, Cikgu Nasri Senik(SMK Cangkat Beruas), Cikgu Roslina Othman, (SMK Seri Manjung), Cikgu Noriha Yaacob (SMK Methodist ACS) dan Cikgu Husaini dari SMKTLDM Lumut.

Kami dikumpulkan bersama 249 orang calon seluruh negeri Perak di Kolej Latihan Sains Jururawat Tanjung Rambutan. Saya sampai  lewat sedikit ke tempat temuduga kerana kesesakan jalan raya. Sebaik tiba di sana, rakan lain sudah menunggu giliran. Selepas melapor diri kepada urus setia, kami menunggu giliran sesi temuduga.

Ada dua sesi penilaian, iaitu bahagian kumpulan dan individu. Untuk bahagian kumpulan, kami mendapat cabutan tajuk PISA dan usaha meningkatkan pencapaian pelajar. Dalam masa 30 minit, kami diberi peluang menyampaikan pandangan dan idea dalam bentuk forum. Cikgu Husaini bertindak sebagai pengerusi manakala kami menjadi ahli. Pihak panel penemuduga seramai 3 orang terdiri daripada seorang pengetua DG52, Ketua Sektor JPN dan Pegawai SIP+ PPD Kinta Utara. 

Tamat sesi berkumpulan, kami dibenarkan rehat dan masuk semula untuk penilaian individu oleh panel yang sama. Bahagian ini, pada hemat saya, lebih mencabar kerana beberapa soalan ditanyakan oleh tiga orang penilai secara bergilir. Giliran pertama oleh Cikgu Kamarul Baharin, diikuti oleh Cikgu Nasri dan saya sendiri. Selepas itu Cikgu Roslina, Cikgu Noriha dan diakhiri oleh Cikgu Husaini. 

Pelbagai soalan ditanya oleh panel kepada saya, termasuklah usaha meningkatkan pencapaian pelajar, pengalaman mengajar, latar belakang diri dan diakhiri soalan 'wajib' jawab iaitu, "sekiranya anda menjadi pengetua, apakah perubahan yang anda lakukan untuk sekolah anda?"

Kesimpulannya, saya telah berusaha sebaik mungkin. Begitu juga dengan rakan lain. Saya pasti calon kursus NPQEL  yang lain juga telah memberikan komitmen yang tinggi dalam temuduga masing-masing. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah. Jika ada rezeki, dapatlah tempat untuk menimba ilmu pengurusan dan pentadbiran bagi tahun 2016. 


6 comments:

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...