Thursday, December 26, 2019

DAMAILAH ADINDAKU SANI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 7 Disember 2019, panggilan telefon jam 1 pagi mengejutkan saya daripada tidur. Rupanya, isteri adik saya, Sani, memaklumkan suaminya diserang angin ahmar dan dibawa ke unit kecemasan Hospital Tawau.
Saya, Oun dan Sani (ikut arah jam)
 Sani, atau nama sebenarnya, Abdullah Sani bin Ali Hassan, adalah adik kandung saya, anak ketiga selepas Yong Azaliah dan saya. Di bawahnya ada lagi dua orang adik beradik kami iaitu Khairul Anuar (Oun) dan Noor Aishah  (Wa). Panggilan manjanya ialah 'Yang'. Selain kami berlima, ada lagi seorang abang sama ayah iaitu Azwadi Noor tetapi beliau meninggal dunia pada usia muda pada tahun 1997. 

Perasaan kami adik beradik tentunya bimbang apabila mendapat khabar berita yang menimpa Sani. Akhirnya setelah berbincang, Yong ditemani Yop Kamil dan anak anak mereka Ikmal dan Fahmi, terbang ke Sabah dengan membawa seorang daripada anak Sani yang berada di Semenanjung, iaitu Ajmal Haziq untuk menziarahi ayahnya pada Rabu 12 Disember. 

Saya dan Oun bercadang ke sana lewat sedikit, kerana perlu menyelesaikan beberapa urusan lain. Kami membeli tiket penerbangan ke Tawau pada 20 Disember, manakala Wa dan suaminya Nazmi masih berada di Mekah mengerjakan ibadah umrah. Kami berdoa dan harap Sani dapat sembuh seperti asal. Namun berdasarkan maklumat doktor pakar, pendarahan di kepalanya sukar dibedah kerana kedudukan darah beku jauh ke dalam bahagian otak. Ia sangat berisiko, dan keadaannya lumpuh sepanjang hayat jika mampu bertahan.  Ketika Yong sekeluarga tiba, Sani kelihatan lemah tidak bermaya, dan memerlukan bantuan sepenuhnya. 

Jika diimbau kembali, hubungan saya, Sani dan Oun semasa kecil sangat rapat. Kami tidur satu kelambu, dan melalui pengalaman membesar  bersama sama kerana jarak usia kami tidak jauh bezanya. 

Kami mandi parit sama-sama, pernah jatuh motor ayah semasa ingin ke masjid. Sani suka bermain di bawah pokok kekabu belakang rumah di Kampung Dato Seri Kamaruddin (DSK). Oun pula di bawah rumah, dan saya merayau keliling kampung dengan lastik di tangan. Kalau musim guli, tuju getah, gasing dan layang layang, kami main bersama budak kampung DSK yang lain. Indah sungguh kenangan semasa kecil. 

Apabila masing masing sudah berkeluarga, kami jarang sangat berpeluang menikmati masa masa seperti dahulu. Masa berlalu, hanya media sosial menjadi medan kami bertemu dan bersembang. Oun sudah berkeluarga dan menetap di Batu Pahat, manakala saya di Lekir. Sani pula membawa diri ke negeri di bawah bayu selepas berkahwin kali ketiga dengan gadis Sabah, Jamaliah Haji Basri. Dia mengubat hatinya di Tawau selepas dua  perkahwinan sebelum ini tidak bertahan lama.  

Pada jam 2.30 petang, 18 Disember, saya menerima panggilan Jamaliah, dengan esak dan tangisnya memaklumkan Sani sudah tiada buat selama-lamanya. Hampir gugur jantung rasanya apabila mendapat berita ini. Perasaan sedih dan hiba saya tidak dapat digambarkan dengan kata kata. Rupanya hanya Yong yang sempat menatap wajah Sani buat kali terakhir. Niat hati saya dan Oun tidur disebelahnya, bersembang seperti kami kecil dahulu, tidak kesampaian. 

Kami berserah kepada Allah, dan memutuskan agar jenazahnya disempurnakan di bumi Tawau. Apatah lagi keluarga isterinya mengambil berat dan sayang kepadanya. Sani pandai membawa diri di rantau orang, dan ramai handai taulan menziarahinya buat kali terakhir. 

Apabila kami tiba di Kampung Inderasabah, Tawau, pada 20 Disember, saya hiba melihat tanah kubur milik adik saya yang masih baharu. Damailah Sani, semoga Allah merahmati roh adikku. Buat semua yang mengenali Sani, maafkanlah jika adik saya ada melakukan kesilapan dan menyinggung hati serta perasaan.   

Saturday, December 7, 2019

KHABAR DARI TAWAU YANG MEMBIMBANGKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Dinihari, kira kira jam 1 pagi tadi, deringan telefon tidak berhenti, mengejutkan lena saya daripada tidur.
Pastinya ada tujuan penting panggilan pada waktu begini. 

Di hujung talian, suara adik ipar saya, Jamaliah, tersekat sekat. Ada nada bimbang pada suaranya.

Dia membuat panggilan jauh dari negeri di bawah bayu, Sabah. 

"Abang Sani masuk wad kecemasan di hospital Tawau," katanya.

Kata-katanya menyentap perasaan risau. Saya masih terpinga-pinga. Mimpikah ini? Atau benar benar berlaku?

Terkejut saya mendapat berita ini. . Adik saya, Abdullah Sani, rupanya diserang angin ahmar ketika tidur. Sebelum itu dia mengadu pening.
 
Selepas subuh, Sani semakin stabil walaupun belum sedar sepenuhnya.
Rawan hati saya. Tolong doakan dia.

Friday, December 6, 2019

PERTUKARAN KERJAYA, BUKAN SESUATU YANG ANEH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Acapkali kita bertemu dengan rakan lama, yang dahulunya mungkin bekerja di dalam sektor kerajaan, kemudian telah bekerja di sektor swasta, atau bekerja sendiri.

Pertukaran dalam kerjaya, bukanlah sesuatu yang aneh, terutama apabila melibatkan kebarangkalian kos hidup yang meningkat, minat individu atau peluang di hadapan mata.

Saya pernah bertemu dengan seorang pemuda, yang menamatkan 'housemanship' sebagai seorang doktor sebelum masanya. Dia tidak mampu berdepan dengan situasi dunia perubatan yang memerlukan komitmen tinggi. Mungkin juga kerana tiada minat, akhirnya masa belajar dan kos belajar perubatan, hangus begitu sahaja. Namun begitu, dia selesa dengan dunia baharunya.

Seorang bekas pelajar saya, tidak meneruskan kerjaya sebagai juruteknik komputer, sebaliknya memilih bidang jualan insurans takaful sebagai punca pendapatan. Hari ini dia boleh berbangga dengan usahanya.

Rakan saya, seorang guru dan menyambung pengajian di universiti, akhirnya memilih bidang penyiaran sebagai kerjaya selepas hampir 20 tahun menjadi pendidik.

Dalam hidup ini, setiap insan mempunyai sasaran dalam hidup. Adakala kepuasan kerja dan laba yang diterima, tidak seiring, menyebabkan mereka melakukan dua atau tiga kerja. Dalam masa yang sama, minat kepada pekerjaan asal semakin menurun. Pada penghujungnya, mereka memutuskan tidak lagi meneruskan kerjaya awal, dan memilih kerjaya baharu yang lebih sesuai dengan jiwa.

Banyak faktor yang mendorong manusia mengubah kerjaya. Antaranya desakan hidup. tanggungjawab terhadap keluarga dan pelbagai lagi sebab lain.

Apa pun alasannya, pertukaran kerjaya tidak boleh dielakkan. Manusia mempunyai daya pemikiran, kreativiti dan kemampuan untuk berubah. Perubahan mendorong manusia memikul cabaran lebih besar dalam hidup. Ada kala perubahan kerjaya membawa kepada kebaikan. Ada juga sebaliknya.

Usah bimbang dengan perubahan dalam kerjaya. Sebaliknya, percayalah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Yang penting, setiap pekerjaan yang kita lakukan, harapkan redha Allah dalam kehidupan.  

Tuesday, December 3, 2019

'JASA' KOMUNIS HANYALAH MENGHURUHARAKAN NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Abu mayat Chin Peng, khabarnya dibawa masuk ke negara ini oleh penyokongnya secara sulit, dan ditaburkan di banjaran Himalaya serta perairan Lumut pada September lalu. 

Tidak cukup dengan itu, pada 1 Disember 2019, bertempat di sebuah premis di Kajang, lebih 300 orang penyokong komunis yang majoritinya bangsa Tionghua, telah berkumpul meraikan perjuangan komunis di Tanah Melayu. 

Apa jasa komunis kepada negara? Jika komunis diangkat sebagai pejuang kemerdekaan, apa pula status tentera yang terbunuh serta rakyat Tanah Melayu yang menjadi mangsa mereka? Pemberontak? 

Kenyataan beberapa pemimpin kerajaan yang tidak tegas, lembab dan tiada tindakan kepada penyokong komunis, amat menghiris hati rakyat terutama mereka yang terlibat secara langsung dengan kekejaman komunis. 

Mudahnya pemimpin politik kita melupakan sejarah, hanya semata mata untuk memenuhi kehendak segolongan manusia pro komunis.

Saya kecewa dengan pendirian kerajaan tentang hal ini.. 

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...