Monday, November 30, 2020

KEM TENTERA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah lebih seminggu sejak saya mula bertugas di sekolah baharu di SMK Pangkalan TLDM Lumut, pastilah ia berbeza dengan suasana di tempat lain. Lain padang, lain belalang, begitulah juga resam di kem TLDM. Ada tiga buah sekolah dalam kem TLDM ini dua sekolah rendah dan satu sekolah menengah. Berikut saya senaraikan 5 perkara menarik berkaitan suasana di kem TLDM.   

1. Pas Masuk Pangkalan

Pas masuk pangkalan bagi orang awam yang bekerja di sini boleh dimohon melalui PROTELA melalui permohonan dan tapisan keselamatan. Tanpa pas ini, orang awam perlu masuk menggunakan pas sementara, dan KP akan disimpan di pos kawalan sehinggalah pas sementara dipulangkan. 

2. Komander Pangkalan (KomPal)

Komander Pangkalan, Laksamana Pertama Dato' Anuar bin haji Alias, adalah individu yang mempunyai kuasa dan pengaruh besar terutama berkaitan pendidikan dan keperluan lain. Pertama kali saya bertemu dengan beliau di pejabatnya di KD Malaya, orangnya tegas tetapi mudah mesra. 

3. Parkir Mengundur

Dalam kem tentera, parkir mengundur adalah wajib bagi setipa kenderaan yang masuk. Anda boleh disaman jika didapati tidak mematuhi parkir seperti ini. Parkir di rumput juga adalah satu kesalahan. 

4. PROTELA menjaga keselamatan. 

Unit Provos Angkatan Laut (PROTELA) adalah pasukan yang menjaga keselamatan lalu lintas, dan bertanggungjawab terhadap keselamatan dan disiplin dalam kem. Jika ada anak tentera yang melakukan kes jenayah, PROTELA boleh mengambil tindakan dan memberi kesan kepada si bapa/ tentera laut.

5. Guru dihormati

Pihak tentera menghormati guru sekolah yang bertugas di kem, asal sahaja kita mematuhi dan akur dengan peraturan yang ditetapkan. Maniskan wajah, bercakap sopan dan beradab adalah tips yang penting jika kita bekerja di sini.  

Monday, November 23, 2020

BERTUKAR TEMPAT BERTUGAS DI SMKPTLDM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Agak lama juga bertebaran khabar kononnya saya bakal digerakkan ke sekolah lain di Manjung. Ada rakan yang memaklumkan saya akan ke SMK Pangkor. Ada juga yang memberitahu saya perlu bersedia ke SMK Pantai Remis. Sebagai penjawat awam, saya tentunya akur dengan apa jua arahan yang ditetapkan oleh pihak atasan.

Akhirnya khabar angin tersebut terjawab selepas pertemuan bersama tuan PPD Manjung diadakan pada petang Rabu 11/11/20. Ketika sedang mempengerusikan mesyuarat pengurusan, saya menerima panggilan daripada En. Rosman, pegawai di PPD Manjung.
"Datang petang ini, jam 2.30 petang. Ada pertemuan dengan tuan," katanya ringkas.
Usai menerima surat arahan pertukaran, muktamadlah saya ditempatkan di SMK Pangkalan TLDM Lumut mulai 9 November 2020. Patah tumbuh hilang berganti, saya redha dengan ketentuan Allah. Di tempat baharu, tentu cabarannya juga baharu.

Lebih 20 tahun saya memikul amanah sebagai warga pendidik di sini. Daripada bujang, sehinggalah mempunyai 6 orang cahaya mata. Daripada guru biasa, merangkak ke Guru Kanan Bahasa, kemudian sebagai Penolong Kanan Kokurikulum, dan memikul amanah sebagai Penolong Kanan HEM, di sekolah inilah saya menimba pengalaman.
Banyak kisah suka duka di sini. Ia menjadi satu kenangan tersimpan kukuh di hati. Terima kasih kepada warga SMKBS Lekir yang menerima kehadiran saya selama dua tahun dua bulan, menerajui SMKBS sehingga hari terakhir. Saya senang sekali dengan suasana di sini. Saya mendoakan agar urusan tuan puan dipermudahkan. Insyaallah ukhuwah yang terbina daripada keikhlasan hati akan terpelihara.
Apa diuji dalamnya paya,
Landai tidak tohor pun bukan.
Apa dipuji kepada saya
Pandai tidak masyhur pun bukan.
Bukan senang melerai selasih,
Selasih sudah bercampur arang,
Bukan senang bercerai kasih
Kasih di SMKBS bercampur sayang.
Tinggi bukit gilang- gemilang,
Air laut tenang- tenangan,
Budi semua manakan hilang,
Itu menjadi kenang- kenangan.
Puas saya menanam ubi,
Janganlah halia diminta orang,
Puas saya menanam budi,
Janganlah hina di mata orang. SMKPTLDM, suasana baharu, cabaran baharu

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...