Thursday, March 25, 2021

SUKAN GUSTI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Perlawanan gusti Hulk Hogan vs Undertaker 1991

Gusti adalah sukan tempur tanpa senjata yang popular. Semasa zaman awal remaja pada awal 80-an, saya kerap menonton siri gusti di televisyen. Ia adalah rancangan TV kesukaan masyarakat dan sangat terkenal waktu itu.  Ketika itu, pita video siri gusti boleh disewa dari kedai sewa video. Kedai kedai makan kerap menayangkan siri gusti bertujuan menarik kehadiran pelanggan. Ketika itu, RTM turut menayangkan rancangan gusti World Wrestling Federation (WWF) yang menampilkan penggusti kegemaran ramai.  Antara bintang gusti yang saya ingat adalah Hulk Hogan, Randy 'Macho Man', Undertaker dan Shawn Michael.

Bintang bintang gusti ini mempunyai karektor jahat, baik, sombong, ego dan seumpamanya. Kebanyakannya berbadan sasa, ada juga yang bertopeng dan bertatu. Apa yang menarik, mereka mempunyai teknik yang tersendiri untuk memastikan populariti mereka berterusan. Contohnya, Hulk Hogan, awalnya akan dibelasah teruk oleh lawannya, sehinggalah dia mengangkat tangannya ketika dalam keadaan lemah. Waktu itu, peminat sudah tahu, Hulk Hogan akan melawan kembali lawannya tanpa belas kasihan. Pada akhirnya, Hulk Hogan menang dan ia memberi kepuasan kepada penonton dan peminatnya. 

Shawn Michael, penggusti yang bertubuh kecil tetapi mempunyai teknik menjatuhkan lawan yang hebat. Begitu juga Randy Macho Man Savage, yang ditemani pengurusnya yang jelita, Miss Elizabeth. Sesuai dengan gelarannya, Randy kelihatan gagah, egois dan sedikit angkuh. Miss Elizabeth pula hanya menguntum senyuman dan kurang bercakap ketika Randy beraksi di pentas gusti. Randy mempunyai teknik kunci kaki yang menyebabkan lawannya kalah. 

Kebanyakan penggusti yang saya kenali dahulu, adalah 'pelakon hebat' yang mengikut skrip yang diarahkan. Walaupun pukulan dan cara mereka melanyak lawan nampak realistik, hakikatnya mereka berlakon dan teknik yang digunakan adalah profesional. Melompat dan menghenyak lawan, menampar, memukul serta mengunci yang digayakan sebenarnya sudah dirancang dan dilakukan mengikut cara yang profesional. 

Namun ada juga kes penggusti yang mengalami kecederaan parah semasa perlawanan. Ia membuktikan gusti adalah sukan berbahaya dan berisiko. Lebih malang lagi apabila teknik dan gaya penggusti dicontohi oleh anak-anak kecil dan remaja. Ia boleh mengakibatkan kecederaan dan membawa maut. 

Minat kepada rancangan gusti hari ini sudah saya tinggalkan. Kebanyakan penggusti yang saya kenali, semakin dimamah usia, ada juga yang meninggal dunia dek penyakit jantung, dadah, bunuh diri, dibunuh dan pelbagai sebab lain.  Antaranya adalah Miss Elizabeth, pengurus Randy Macho Man yang mati akibat dadah berlebihan pada tahun 2003. Malah Randy Macho Man juga mati pada 2011 akibat serangan jantung. Selain itu, beberapa nama penggusti kegemaran saya dahulu yang telah meningal dunia adalah Rick Rude, Roddy Piper, Umaga, Andre The Giant, Bam Bam Bigelow, Chris Benoit, Ultimate Warrior dan Owen Hart. 

Saya pun sudah menginjak usia 50 tahun ini. Kenangan menonton gusti dahulu kadangkala dirindui. Hakikatnya, penonton diperbodohkan dengan aksi dan drama yang dilakonkan oleh para penggusti profesional tersebut. Sekarang, kedai kedai makan juga sudah banyak pilihan untuk menarik kedatangan pelanggan. Hari ini, mungkin hanya kedai di kampung kampung saja yang masih menayangkan siri gusti kepada pelanggan-pelanggan usia emas. 

Anda boleh tonton video penuh Hulk Hogan dan Under Taker di sini 

Monday, March 15, 2021

E-Rockit: Basikal ciptaan pereka Jerman yang selaju motosikal

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Motosikal elektrik eROCKIT boleh dikira sebagai basikal, walaupun seakan-akan kelihatan seperti jentera bermotor. Ia sebenarnya motosikal elektrik dengan tunggangan unik yang membolehkan kenderaan dipacu sebagai basikal dan juga motosikal.

Menurut Andy Zurwehme, ketua pegawai eksekutif eRockit Systems, ia adalah motosikal elektrik berkuasa pedal pertama di dunia.


Syarikat itu mendakwa motosikal itu digerakkan oleh teknologi hibrid manusia dengan penunggang sebagai kuasa paksi keseluruhan teknologi motor eROCKIT. 

Dari segi reka bentuk, roda dua elektrik dibina dari aluminium berkekuatan tinggi dan kelihatan klasik dengan ciri seperti lampu depan LED, kluster instrumen digital, dan tempat duduk penunggang tunggal. Baterinya diletakkan dengan cara yang menjadikan motosikal kelihatan nipis. Roda aloi dengan brek cakera hadir dengan pendekatan minimum yang dapat dilihat di seluruh kerangka badan.

Syarikat itu turut mendakwa bahawa ia mengeluarkan komponen berkualiti tinggi dari seluruh dunia untuk membuat motosikal itu.

“Kami memperoleh bahagian kelas tinggi dari pelbagai negara. Bateri dikembangkan bersama oleh kami dan syarikat yang berpangkalan di Switzerland, "kata Zurwehme.

Bahagian yang paling menarik dari motosikal elektrik ini ialah pedal kaki yang menghidupkan generator yang mengukur output kuasa yang masuk ke dalamnya. Tidak ada pendikit pada hendal. Ini bermaksud jika penunggang mengayuh dengan pantas, motosikal akan memecut. Ia juga menggunakan teknologi pemulihan tenaga brek. Berhenti mengayuh bermaksud basikal akan berhenti.

Terdapat motor elektrik 16 kW di rangka yang menghasilkan tenaga yang diperlukan untuk roda dua dengan berat hanya 120 kg. Syarikat Jerman itu  mendakwa, pedal boleh membawa kelajuan motosikal hingga lebih dari 80 kmj!

Pek bateri 6.6 kWh didakwa mampu bertahan sehingga jarak 120 km dengan sekali cas.

Motosikal elektrik mempunyai tiga mod pemanduan yang berbeza - Eco, Normal, dan Sport. Setiap mod menghasilkan output kuasa yang berubah-ubah. Pek bateri boleh dicas dengan bantuan soket 110 - 230 V biasa.

Anda berminat?
Tunggu dulu. H
arga di pasaran Jerman adalah 11850 euro. Jika dikira dengan nilai matawang ringgit, harganya RM58,000. Bior betoi....

Boleh dapat maklumat lanjut di Youtube 

Tuesday, March 2, 2021

KEMBARA BASIKAL SUAMI ISTERI KE MEKAH TAHUN 2016-2017

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Travelog Ustazah Basikal

Saya pernah mendengar kisah kembara pasangan suami isteri Ahmad dan Adilah sebelum ini, namun saya tidak ambil pusing sangat. Tetapi setelah membeli dan membaca Travelog Ustazah Basikal, saya tabik dengan usaha dan semangat mereka yang berkayuh merentasi 14 negara selama lebih 15 bulan dan berjaya sampai di kota suci Mekah pada Jun 2017. 

Pada Ogos 2017, saya dan isteri dapat jemputan menunaikan ibadah haji di Mekah. Pada tahun yang sama, iaitu sekitar bulan Jun 2017 Ahmad dan Adilah berjaya menamatkan pengembaraan mereka dengan basikal penuh dengan pelbagai dugaan pahit manis yang dirakamkan dalam buku tersebut. 

Harganya mungkin mahal bagi sesetengah orang namun pengalaman mereka sangat berharga untuk kita hayati dan jadikan sebagai inspirasi. Selain buku tersebut, mereka juga mengabadikan pengalaman mengembara berbasikal selama lebih 15 bulan tersebut dalam media sosial YouTube. Anda boleh cari nama Ahmad Isa. Jangan lupa subscribe dan tinggalkan komen selepas tonton. Sangat seronok membaca dan menonton pengembaraan mereka. Banyak pengajaran yang boleh dikutip daripada pengalaman mereka.

Tahniah kepada pasangan ini semoga anda terus diberkati dan dirahmati. 


MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...