Thursday, May 27, 2021

SIKAP SAMBALEWA PENJAWAT AWAM: TEGURAN KPPA WAJAR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman menegur sikap sambil lewa penjawat awam ketika menjalankan tugas yang diberikan.

Katanya, kebanyakan penjawat awam dilihat tidak membantu kerajaan untuk menjana serta merancakkan ekonomi negara, sebaliknya hanya mengharapkan kenaikan pangkat yang lebih tinggi.

Beliau menegaskan, penjawat awam seharusnya menurunkan ego masing-masing dan bersama dengan rakyat bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Penjawat awam sepatutnya perlu ada semangat berkhidmat untuk negara dan rakyat, kita perlu turunkan ego untuk bersama dengan rakyat.
(Berita selanjutnya di sini)

Sebenarnya jumlah dan saiz penjawat awam di Malaysia memang besar. Pembayaran emolumen penjawat awam bukan sedikit dan ia perlu dizahirkan melalui perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti. 

Kita tidak menafikan adanya penjawat awam yang bertugas seperti melepaskan batok di tangga. Selain itu ada juga penjawat awam yang terdedah kepada gejala rasuah yang boleh menggugat kestabilan negara.

Kita harus menyedari bahawa amanah yang dimiliki sebagai penjawat awam amat besar dan memerlukan komitmen yang tinggi. 

Tahniah kepada penjawat awam yang sentiasa amanah dan komited dengan tugas yang diberikan. Teruskan berbakti kepada negara dengan sebaiknya.   

Tuesday, May 18, 2021

PALESTIN, NEGARA MALANG YANG TERJAJAH SEJAK 1948

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada malam akhir Ramadhan pada 12 Mei 2021, askar askar Zionis dengan biadabnya telah melakukan provokasi melampau terhadap jemaah yang sedang solat di Masjidil Aqsa, di Palestin. Mereka menembak dan membaling bom asap kepada jemaah yang beribadah pada malam malam terakhir Ramadhan. Ramai kalangan mangsa yang terdiri daripada wanita dan kanak kanak telah cedera parah ditembak, dipukul dan dipijak. Walaupun dikecam, tentera Zionis tetap melakukan kekejaman tersebut. 

Pihak berkuasa HAMAS berpusat di Gaza, melalui cabang ketenteraan Briged Al-Qassam bertindak balas dengan melancarkan roket ke Tel Aviv dan beberapa bandar di Israel. Roket roket tersebut telah mengenai beberapa kawasan penempatan Israel. Walaupun tidak mengakibatkan kematian jiwa, tindakan HAMAS sudah cukup untuk merobek ego negara haram tersebut.  

Akibatnya, Israel yang sudah menanti peluang telah membalasnya dengan menggunakan kemampuan ketenteraan yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat. Iron Dome penangkis roket berjaya menghalang roket Al-Qassam menghujani bumi haram Israel. 

Benjamin Netanyahu Perdana Menteri Israel berkata mereka tidak akan menghentikan perang tersebut. Dia juga berikrar menghapuskan tentera HAMAS yang sudah dicop sebagai pengganas.  

Sumber berita Aljazeera menyebut bumi Gaza dibedil misil Yahudi Zionis selepas peristiwa di masjidil Aqsa, menyebabkan lebih 200 nyawa terkorban, manakala kerosakan bangunan dan kemusnahan rumah dalam jumlah yang besar di Gaza. 

Masyarakat dunia terkejut dengan pembunuhan demi pembunuhan wanita serta kanak kanak oleh tentera Zionis yang tidak berperikemanusiaan. Seolah-olah tiada harga langsung nyawa rakyat Palestin terkorban. Masih ramai yang masih terperangkap di bawah timbunan bangunan yang diranapkan oleh misil Zionis.

Sebagai tanda solidariti kepada Palestin, warganet Malaysia, Indonesia dan negara lain melakukan kecaman terhadap portal dan saluran proYahudi Zionis. Tindakan mengecam dan mengutuk kekejaman Zionis menjadi tular sehingga mempopularkan frasa ISRAEL KOYAK.   

Sehingga berita ini saya tulis PBB masih berdiam diri membiarkan pembantaian Yahudi Zionis terhadap rakyat Palestin. Manakala OIC baru bersidang dan mengecam tindakan ketenteraan Israel yang dibuat terhadap negara malang tersebut. Turki, Malaysia Indonesia, Rusia sudah menyuarakan kebimbangan dan mahukan gencatan senjata dilaksanakan. 

Pihak HAMAS masih bertahan dan membuat serangan balas walaupun dengan sumber yang terhad. Semangat juang rakyat Palestin dikongsi dengan rakyat Jordan dan Lubnan sehingga mereka berusaha melepasi sempadan Israel. 

Demonstrasi dan tunjuk perasaan membantah  serta mengecam tindakan Yahudi Zionis diadakan di banyak negara sebagai tanda simpati dan kemanusiaan. Ini membuktikan isu Palestin sebenarnya bukan sekadar melibatkan orang Islam, tetapi ia adalah isu kemanusiaan sejagat. 

Kepada Allah kita memohon agar diberikan bantuan dan semangat kepada warga Palestin. Semoga Allah mencampakkan rasa takut dan gementar kepada tentera Yahudi laknatullah, dan dapat diselesaikan sebaiknya. 

Allahuakbar!  

Monday, May 3, 2021

TAN SERI ABDUL HAMID BADOR: IGP YANG BERANI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador, dalam ucapan terakhirnya sebagai KPN, mencadangkan supaya Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) tidak lagi dipengerusikan menteri, sebaliknya harus diterajui oleh individu tidak berpihak seperti bekas ketua hakim atau hakim dilantik menduduki jawatan itu.

Abdul Hamid yang bersara pada Isnin 3 Mei 2021, menegaskan menteri sebagai Pengerusi SPP, juga tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Menteri sepatutnya menumpukan perkara berkaitan dasar, bukan terbabit dalam urusan pertukaran pegawai.

"SPP amat penting dan tidak boleh bermesyuarat selama satu dua jam sahaja kerana berpuluh-puluh kes tatatertib masih tergantung," katanya dalam sidang media terakhirnya dengan media di Bukit Aman, semalam.

Abdul Hamid berkata, ia bukan semata-mata soal kuasa, sebaliknya perkara itu perlu untuk KPN menentukan siapa yang boleh dilantik kerana berada bersama-sama pasukan polis setiap hari, berbanding menteri yang bertanggungjawab kepada banyak agensi dan jabatan.

Katanya, SPP hanya bermesyuarat empat kali setahun dan tidak memiliki sebarang pejabat, sekali gus menunjukkan kedudukannya.

"SPP amat penting kepada PDRM kerana sekurang-kurangnya sekali sebulan mesti bermesyuarat. Ia menentukan kepentingan dan kebajikan 129,000 anggota," katanya.

"Sebelum ini, cadangan supaya SPP tidak dipengerusikan menteri turut diusahakan oleh (Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional) Tan Sri Abu Kassim Mohamed," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat amalan melompat parti yang berlaku secara berleluasa.

"Saya lihat dalam politik, rasuah berlaku merata-rata dan perbuatan mengugut itu rasuah namanya. Saya minta SPRM masuk, ambil tindakan dan jangan takut. Sudah lama rakyat tengok perbuatan itu, muak terhadap sekejap katak lompat sana-sini.

"Ia memberikan gambaran tidak baik seolah-olah negara ini tidak ada undang-undang dan sesiapa pun boleh melakukan (apa sahaja) untuk membeli (ahli politik).

"SPRM jangan siasat PDRM sahaja, sebaliknya perlu menyiasat ahli politik. Kembalikan budaya politik yang sihat untuk negara kita," katanya.

Satu rakaman audio yang tular memperdengarkan perbualan telefon Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkaitan pelantikan pegawai kanan polis,  yang menunjukkan betapa angguhnya menteri tersebut cuba mencaturkan kedudukan pegawai kanan polis demi kepentingan politik.

Pendedahan mantan KPN tersebut secara jelas membuktikan kerajaan harus melakukan sesuatu demi memastikan institusi polis tidak dipergunakan. Jika tiada tindakan yang sepatutnya, polis akan menjadi seperti alat kepada ahli politik yang rakus dan tamak kuasa.  

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...