Tuesday, October 26, 2021

KECERDASAN LUAR BIASA WILLIAM JAMES SIDIS PUNCA TRAGEDI HIDUPNYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

William James Sidis

Kita mungkin mengenali nama Albert Einstein, Leonardo da Vinci, atau seseorang seperti Stephen Hawking sebagai manusia pintar dunia. Namun, kita tidak boleh menafikan lelaki bernama William James Sidis, yang ukuran kecerdasan otaknya melebihi nama-nama yang disebutkan tadi. 

William James Sidis, lahir di Manhattan, New York pada 1898, adalah anak kepada pendatang Yahudi di Amerika bernama  Boris dan Sarah Sidis. Ibu bapa William sama-sama pintar dan bercita-cita tinggi. Bapanya memperoleh ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari Harvard dalam masa tiga tahun sahaja. Dia kemudiannya menjadi pakar psikiatri, pakar dalam psikologi abnormal.

Ibunya juga mengagumkan. Dia adalah salah seorang wanita pertama yang menghadiri sekolah perubatan di Universiti Boston, di mana dia lulus sebagai doktor perubatan.

Ibu bapanya ingin membuktikan bahawa jika ibu bapa cukup pintar dan menggunakan kaedah yang betul, anak-anak akan menjadi super genius. Dari sudut lain, William adalah bahan uji kaji mereka bagi membuktikan bahawa kepintaran diwarisi melalui keturunan.

Dengan IQ 250 hingga 300, Kanak kanak ini disifatkan oleh akhbar Washington Post sebagai 'budak genius hebat'. Beliau membaca New York Times pada usia 18 bulan, menulis puisi Perancis pada usia 5 tahun, dan bercakap 8 bahasa pada usia 6 tahun. Hebat, bukan?

Pada usia 9 tahun, dia lulus peperiksaan kemasukan di Universiti Harvard. Ketika berusia 11 tahun, beliau memberi kuliah di Harvard di Kelab Matematik. Dia lulus dengan jumlah Laude 5 tahun kemudian. Kecerdasannya menjadikan dia dikenali, tetapi William kehilangan keseronokan membesar pada zaman kanak kanak. Dia kerap kemurungan dan menyendiri, menyebabkan personalitinya terasing daripada kehidupan biasa.

Kehidupan William penuh tekanan dan harapan daripada ibu bapanya. William tidak pernah berjaya dengan inteleknya yang luar biasa. Dia meninggal dunia, pada usia 46 tahun, sebagai seorang yang miskin dan tidak berharta.

Apa yang berlaku kepadanya, dan mengapa dia tidak menggunakan IQnya yang luar biasa tinggi untuk mencipta kekayaan?

Semoga ini menjadi pengajaran kepada kita. Tidak salah menjadi pandai, tetapi menindas emosi anak untuk memenuhi impian peribadi, akan menjadikan ibu bapa gagal membesarkan anak anak secara normal. 

Friday, October 22, 2021

KAKITANGAN AWAM YANG TIDAK MAHU DIVAKSIN BAKAL BERDEPAN TINDAKAN TATATERTIB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali meminta semua penjawat awam agar patuh kepada pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 1 November ini.

Katanya, tindakan tatatertib boleh diambil kepada penjawat awam yang enggan memberi kerjasama menerima vaksin.

"Kalau mengikut pekeliling dan dari segi peraturan, penjawat awam harus patuh dengan apa yang telah diputuskan oleh pihak ketua jabatan masing-masing.

 "Dalam konteks ini, memang akan ada tindakan mungkin diambil sekiranya mereka masih enggan untuk divaksin.

 "Jadi, pada kesempatan ini, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk memberikan kerjasama memastikan diri mereka lengkap divaksinasi sebelum tarikh yang ditetapkan oleh JPA," katanya selepas menerima dos penggalak di pusat pemberian vaksin Klinik Kesihatan Membedai, hari ini.

Mohd Zuki berkata selepas semua negeri beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), operasi di semua pejabat kerajaan akan dibuka semula.

 "Untuk mengelakkan ketidakselesaan, apabila tidak divaksin dan datang ke pejabat, ia akan memberikan kesan atau anggapan negatif dalam kalangan mereka yang telah divaksin. Penjawat awam di Labuan yang telah menerima vaksin melebihi 90 peratus, iaitu sama dengan peratusan seluruh negara," katanya.

Ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang.

JPA menerusi kenyataan akhbar pada 30 Oktober lalu memaklumkan, keputusan mewajibkan suntikan vaksin kepada penjawat awam itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menurutnya, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa PPN. – BERNAMA

Ulasan saya: Ada penjawat awam yang terlalu percaya dengan dakyah dan dakwaan membuta tuli oleh golongan anti-vaksin, sehingga boleh menjejaskan kerjaya mereka. Hakikatnya, kerajaan mengambil kira pandangan pakar perubatan dan saranan mereka dijadikan panduan dalam membuat keputusan berkaitan vaksinasi. Sebagai penjawat awam, kita tretikat dengan etika perkhidmatan awam. Jika tidak setuju, lepaskan jawatan secara terhormat. Masih ramai anak muda yang boleh mengisi kekosongan tersebut. 


Thursday, October 14, 2021

KISAH BENAR KUCING JALANAN BERNAMA BOB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kisah James Bowen dan Bob ditulis dalam sebuah buku

James Bowen adalah seorang pemuzik jalanan dan bekas penagih dadah yang bergelandangan di jalan-jalan di kota London pada 2007. Lahir daripada keluarga yang berantarakan menyebabkannya hilang arah dalam kehidupan. 

Dia berusaha keluar daripada penagihan dadah dengan mengambil ubat metadon yang dibekalkan oleh kerajaan kepada para penagih yang ingin membuang ketagihan terhadap heroin. 

Hidup Bowen berubah dengan kehadiran Bob

Pada satu malam, James menemui seekor kucing yang masuk ke apartmennya mencari makanan. Dengan andaian kucing itu melarikan diri dari suatu tempat, James cuba mengembalikan kucing itu dan mencari pemilik asalnya.

Setelah melepaskannya, beberapa hari kemudian kucing itu kembali ke rumah sewa James, kali ini dengan luka bernanah di kaki belakangnya. James berasa kasihan dan bimbang dengan situasi tersebut. Jirannya Betty membantu merawatnya  dan menamakan kucing tersebut sebagai Bob.

Selepas dirawat, Bob pulih tetapi masih mengikuti James ke mana-mana. James bermain muzik dan kelibat Bob di sisinya menarik lebih banyak orang menyaksikan persembahannya. Kemudiannya, ia menjadikan James mendapat lebih banyak wang. Akhirnya dia memutuskan untuk menjaga Bob. Bob pula semakin dikenali di kawasan tempat tumpuan pelancong.

Populariti Bob di media sosial menyebabkan James semakin dikenali di internet. Kehidupan James juga semakin terurus, dan dia dapat bebas daripada ketagihan dadah.

James kemudian memperbaiki hubungannya dengan ayahnya, Jack dan hidupnya berubah menjadi lebih baik. James berasakan kucing jalanannya Bob, seekor rakan hebat yang dapat mengubah nasib dirinya. 

James Bowen menulis sebuah buku mengenai hubungannya dan Bob, dengan judul Street Cat Named Bob yang menjadikannya kaya. Inspirasi daripada buku tersebut menjadi filem, yang menampilkan Bob sebagai watak kucing sebenar, pada tahun 2016.

Buku yang diterbitkan pada 2012 itu telah dialih bahasa kepada lebih 40 bahasa yang berbeza.

James Bowen memberi penghargaan kepada rakannya, Bob  kerana menyelamatkan nyawanya dan membantu pemulihannya daripada najis dadah. Kucing tersebut mati pada Jun 2020 dalam kemalangan dilanggar kereta. 

"Semudah itu. Dia memberi saya lebih banyak daripada persahabatan. Dengan dia di sisi saya, saya menemui arah dan tujuan yang saya hilang."

"Dia bertemu ribuan orang, menyentuh berjuta-juta nyawa." Tidak pernah ada kucing seperti dia. Dan tidak akan lagi.

"Saya rasa cahaya telah padam dalam hidup saya. Dan saya tidak akan pernah melupakannya." katanya James Bowen semasa majlis memperingati kucing hebat bernama Bob. 

Apa pengajarannya kepada kita? 


Monday, October 4, 2021

PERSEKOLAHAN BERSEMUKA MURID PPKI MULAI 4 OKTOBER 2021

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pembukaan sekolah secara berperingkat bermula hari Isnin 4 Oktober 2021, di beberapa negeri di Malaysia termasuk Perak. Sudah tentu peristiwa ini sangat penting untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi di sekolah, ramai murid sudah mendapatkan vaksinasi COVID-19. Ini adalah antara langkah yang dibuat oleh kerajaan dalam meyakinkan rakyat bagi pembukaan semula institusi pendidikan.

SMK Pangkalan TLDM dibuka semula untuk murid pendidikan khas (PPKI) pada hari ini berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

Pembukaan itu sesuai seperti arahan KPM yang melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Pembukaan juga membabitkan pelajar semester 2 Tingkatan Enam, program prauniversiti, semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia dan murid kelas peperiksaan antarabangsa.

Daripada 21 orang pelajar PPKI, 12 orang hadir manakala selebihnya tidak dibenarkan oleh ibu bapa, atau mempunyai masalah kesihatan. 

Persediaan guru PPKI juga amat baik dan tiada masalah besar pada hari pertama persekolahan. Pelajar dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu kefungsian rendah dan kefungsian sederhana. 

PDRM turut memantau melalui kedatangan Inspektor Siti Nur Athira Ramlan, dari IPD Manjung. 

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...