Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Pada Ahad 17 April 2022, saya ke Putrajaya menghantar anak sulung yang mendapat kerja di Jabatan Perangkaan. Perjalanan kami bermula pagi dengan menaiki kereta Perodua Axia, yang akan digunakannya sepanjang berulang alik dari rumah sewa ke lokasi pejabat. Kami menggunakan laluan Kuala Selangor hingga ke LATAR dan terus ke Putrajaya.
Sepanjang perjalanan kami, keadaan trafik tidak sibuk dan pemanduan lancar. Keadaan mungkin akan berubah pada dua minggu lagi, kerana pada andaian saya, rakyat Malaysia akan menggunakan kesempatan cuti hari raya untuk meraikannya bersama keluarga di kampung. Sementelah, sudah dua tahun pelaksanaan PKP menyebabkan hari raya disambut secara ala kadar kerana merentas negeri tidak dibenarkan. Pihak berkuasa juga menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan memenuhi jalan jalan utama pada musim perayaan kali ini.
Kami sampai di rumah adik saudara saya di Presint 16, kira kira 12 tengah hari. Ibu saudara yang saya panggil Anjang Hajar, tinggal di sana. Dia dan suaminya sudah bersara daripada sektor awam. Saya kemudiannya dihantar ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk menaiki bas pulang ke Manjung. Tiket bas Arwana, berharga RM 30 (Anjang belanja saya tiket ini) pada jam 2 petang dengan tempat duduk nombor 12 sudah berada di tangan. Terima kasih anjang, Suraya, dan anaknya Rizq Farihin menghantar saya ke TBS. Rizq Farihin, anak arwah adik saya turut mengiringi saya ke TBS. Kami jarang berjumpa, dan kini, Rizq semakin dewasa dan lebih matang. Ada iras wajah arwah adik saya, Abdullah Sani, dan abangnya, Ajmal Haziq.
Rizq Farihin |
Ajmal Haziq |
TBS hari ini sangat selesa, dan bersih jauh lebih baik daripada Puduraya dahulu. Alhamdulillah, ada surau, tandas, kedai, kawalan keselamatan dan kaunter bas yang kemas dan rapi. Bangunan ini dilengkapi pendingin hawa yang memberi keselesaan kepada pengunjung. Segala kemudahan disediakan oleh kerajaan ini perlu dihargai oleh rakyat.
Jam 2.15 petang, bas Arwana serba merah berhenti di pintu platform 12 dan saya pun naik bersama penumpang lain. Keadaan bas sangat selesa, luas dan bersih. Pemandunya juga bersopan, menyambut kami dengan senyuman. Saya rasa ini antara perkhidmatan bas ekspres yang boleh digunakan pada masa akan datang. Penumpang hanya sekitar 20 orang untuk trip ini, namun menurut pemandu, tiket bas untuk musim raya ke semua destinasi yang ditawarkan oleh Syarikat Arwana, sudah pun ditempah dan hanya ada beberapa tempat duduk kosong untuk tarikh sebelum 29 April.
Keadaan dalam bas Arwana |
Perjalanan saya hanya mengambil masa kira-kira tiga jam setengah. Saya pada mulanya menjangkakan akan berbuka dalam perjalanan sebab andaian awal saya akan tiba jam 8 malam. Anjang pun sudah menyediakan bekalan makanan dan minuman untuk berbuka sebagai persediaan. Syukurlah, perjalanan saya bernoktah jam 5.31 petang dan saya selamat tiba di rumah sebelum maghrib menjelang.