Friday, October 31, 2025

LASTIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya membesar dalam suasana kampung yang ala ala FELDA. Kampung Dato' Seri Kamaruddin (KDSK) , merupakan penempatan semula penduduk yang dipindahkan dari kampung asal kami di Batu Gajah Lumut pada pertengahan 70-an. 

Kampung asal saya tepi laut, menghadap pulau Pangkor. Nama Batu Gajah diambil daripada bentuk batu seperti gajah. Kononnya, gajah tersebut disumpah Sang Kelembai menjadi batu. Itu cerita orang tua tua dahulu. Kebenarannya jauh daripada yang diceritakan. 

Seingat saya, pada usia sekitar 4-5 tahun, kami sekeluarga dipindahkan secara beramai-ramai oleh kerajaan negeri Perak ketika itu ke KDSK. Sejak iu, bermulalah kehidupan saya membesar di KDSK. Setiap penduduk diberikan suku ekar tanah, dengan sebuah rumah papan dua bilik, lengkap dengan bekalan air dan elektrik dan jalan. Ia rahmat yang besar untuk kami sekeluarga, kerana rumah asal di Batu Gajah agak uzur dan kurang selesa. 

Semasa usia saya masuk 9-10 tahun, saya sudah mahir menggunakan lastik. Balik dari sekolah , atau cuti sekolah hujung minggu, saya akan merayau di belakang rumah, atau melepasi sempadan rumah jiran tetangga, mencari sasaran seperti burung kecil. 

Pernah satu ketika saya melastik ular sedang menyusur di pokok rambutan belakang rumah. Bidikan saya tepat sehingga mengenai ular tersebut. 

Thursday, October 30, 2025

Sekolah Kebangsaan Teluk Muroh

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya bersekolah rendah di SK Teluk Muroh, bermula dari darjah 1 pada 1978 hingga ke darjah 6 pada 1983. Sekolah ini terletak di jalan ke pangkalan TLDM Lumut. Semasa belajar di sana, bangunan apartmen pangkalan Lumut sedang rancak disiapkan. 

Pagi pagi mak akan siapkan bekal, biasanya roti disapu kaya. Belanja harian ayah berikan 20 sen pada waktu itu, sudah mencukupi untuk beli makanan di kantin. 

Awal pagi saya dan yong bangun untuk ke sekolah. Kami naik bas Sitiawan Transport dari kampung Dato Seri Kamaruddin (KDSK), kira kira 12 km jaraknya dengan sekolah. Jadual bas setiap 6 pagi, dan kami akan sampai kira kira 6.30 pagi. Kebanyakan murid dari kampung kami sama seperti kami, anak- anak penduduk asal kampung Batu Gajah, Lumut. Kampung tersebut diambil oleh pihak kerajaan untuk dijadikan pangkalan tenteta laut menggantikan pangkalan Woodlands di Singapura. 

Penduduk yang terlibat ditempatkan semula di KDSK. Beruntunglah kami sebab rumah ala ala FELDA dua bilik tersebut lengkap dengan bekalan air dan elektrik. 

SK Teluk Muroh yang asal hanyalah bangunan kayu menempatkan bilik guru dan pejabat,  kelas darjah 1,2, 5 dan 6. Manakala darjah 3 dan 4 berada di bangunan berasingan yang jaraknya 100 meter daripada bangunan induk. 

Tandas murid berdinding zink terletak di tengah tengah laluan dua bangunan berkenaan. Ada pokok tembusu yang besar berdekatan tandas tempat kami bermain-main pada waktu rehat.  

Hari ini, SK Teluk Muroh ditukar namanya kepada SK Dato' Ishak, manakala KDSK sudah menjadi sebahagian daripada kawasan membangun yang semakin tinggi nilai hartanahnya di daerah Manjung.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...