Sunday, April 29, 2012

RUSUHAN BERSIH 3.0 MENGAJAR PESERTA JADI BIADAB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Seluruh negara dikejutkan dengan berita rusuhan BERSIH 3.0 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Bagi majoriti rakyat yang cintakan keamanan dan ketenteraman, berita seperti ini adalah satu malapetaka yang wajar diambil iktibar. Tunjuk perasaan tersebut disertai lebih 30 ribu orang dengan alasan untuk menuntut ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengendalikan pilihanraya. Ironinya, mereka juga melakukan tindakan sama melalui BERSIH 2.0 yang diadakan tahun lalu dengan menuntut pelbagai perkara, termasuk penggunaan dakwat kekal semasa pengundian. Tuntutan berkenaan diperhalusi oleh Jawatankuasa Khas Penambahbaikan PRU. Wakil pembangkang turut dijemput menyertai jawatankuasa ini, tetapi malangnya ia tidak dipedulikan oleh gabungan Pakatan Rakyat. Kebanyakan tuntutan tersebut dipenuhi dan dipertimbangkan oleh SPR setelah mengambil kira keputusan jawatankuasa berkenaan. 

Sepanjang rusuhan dan tunjuk perasaan berlaku, Kuala Lumpur berada dalam suasana tegang dan tidak selesa untuk dikunjungi. Apabila rusuhan terjadi, tentulah penganjur BERSIH patut memikul tanggungjawab terhadap perilaku ‘hooligans’ BERSIH 3.0 yang tampak bagai tidak bertamadun dan beradab apabila merosakkan kenderaan polis dan mencederakan penjawat awam.
            Ironinya juga, Pengerusi penganjur, Datuk S. Ambiga meminta pihak polis melakukan siasatan dan sedia membantu penyiasatan terhadap pihak yang melanggar undang-undang negara. Bagaimana Ambiga ingin membantu, sedangkan dia sendiri berada dalam kelompok rakyat yang tidak menghormati undang-undang? Untuk mendengar permintaan maaf daripadanya jauh sekali. Umum menyedari, jumlah peserta BERSIH yang ramai, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikawal, baik oleh penganjur, mahupun pihak polis.  

            Sebelum ini, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permintaan penganjur untuk mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Dataran Merdeka, sebaliknya menawarkan beberapa lokasi yang lebih sesuai demi keselamatan orang ramai. Ini tidak dipatuhi oleh Ambiga dan konco-konconya, sehingga menyebabkan apa yang dibimbangi, telah berlaku pada siang Sabtu 28 April lalu. Bukankah ini jelas menunjukkan Ambiga dan pengajur BERSIH 3.0 sebenarnya obses dengan tindakan rusuhan ini? Sudah terang lagi bersuluh, niat mereka sebenarnya bukan ditujukan kepada SPR, sebaliknya cuba menyampaikan mesej kepada majoriti rakyat, bahawa mereka sanggup melanggar undang-undang dan memperjudikan imej negara di mata dunia luar semata-mata untuk mengambil alih pemerintahan negara melalui tindakan kekerasan.
           

1 comment:

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...