Tuesday, September 2, 2014

MALAYSIAKU; Di sini Bermula Sebuah Cinta

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

       Kemerdekaan, bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh. Masyarakat Palestin hari ini begitu dambakan kemerdekaan daripada penjarah Zionis Israel yang entah bila akan selesai. 
         Di bumi bertuah Malaysia, kita mencapainya melalui perjuangan orang terdahulu. Tidak dapat dinafikan, mereka yang berjuang membebaskan negara ini telah menabur jasa yang bukan sedikit. 
         Tahun ini, kami sekeluarga berpeluang menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan Ke-57 di Ipoh. Itupun bukan satu kebetulan, kerana dua orang anak saya terlibat dalam perbarisan unit masing-masing. Qatrunnada terlibat dengan pancaragam SMK Raja Permaisuri Bainun manakal Atif Faizi bersama kawat kaki KRS SBPI Gopeng. 
       Awal pagi lagi kami sekeluarga bertolak ke Ipoh dan tiba di Medan Kidd, sejurus sebelum perarakan bermula. Kelihatan unit kawat kaki badan kerajaan, berkanun, sekolah dan swasta telah bersedia untuk berarak melalui Jalan utama Panglima Bukit Gantang dan melintasi dif kehormat di pentas utama berdepan stesen kereta api Ipoh. Memang ramai pengunjung hadir menyaksikan perarakan ini. Pelbagai kaum daripada etnik yang berbeza termasuk pelancong asing membanjiri bandar raya Ipoh turut menyaksikan detik bermakna ini. Sudah tentulah para peserta perbarisan berasa teruja melintasi pentas diraja, kerana Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, serta Raja Muda, Raja Dihilir dan Menteri Besar dan kepimpinan negeri bakal memberi tabik hormat kepada mereka. 
Kawalan keselamatan oleh tentera bagi melancarkan pergerakan

Peserta kawat perbarisan Politeknbik Ungku Omar
 
Kakyong dan pancaragam SMK Bainun melangkah penuh gaya

Segaknya wira negara melangkah dengan senjata

Skuad motor Bomba dan penyelamat

Aset tentera yang dipertontonkan dalam perbarisan kali ini

Rejimen Tentera Udara Ipoh berpakaian segak penuh tertib

Antara pengunjung yang tidak melepaskan peluang menyaksikan perarakan

Keberangkatan pulang Sultan Perak (foto terlindung..)
 Kemerdekaan ini harus dipertahankan. Semua kaum sepatutnya tidak perlu mencetuskan konflik sesama kita. Malaysia yang aman ini perlukan rakyat yang matang dan saling membantu tidak kira kaum, bahasa dan agama. 

Sayangi Malaysia, bumi tempat kita dilahirkan. 

Di sini, bermula sebuah cinta!

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...