Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Caca Marba Pendidikan Malaysia – Mohd Faiez Mohd Ali
(dipetik daripada https://www.facebook.com/abangrajaFANPAGE?hc_location=timeline
Published: 22 November 2014
Dalam laporan UN Education Index Malaysia berada di kedudukan 98
daripada 181 negara. Manakala kajian “Programme for International
Student Assessment” (PISA), Malaysia corot di tangga 55 daripada 74.
Bagi keputusan kajian “Trends in Mathematics and Science Study” (TIMSS)
2011 pula menunjukkan penurunan prestasi Matematik dan Sains mendadak
sepanjang empat kali penilaian daripada tahun 1999.”
Apakah
maksud semua laporan penilaian pendidikan antarabangsa ini? Maksudnya,
para pelajar Malaysia adalah antara yang paling lemah apabila
dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain di seluruh dunia.
Namun begitu.
Dilaporkan juga Gred Purata Nasional (GPN) untuk peperiksaan PMR
meningkat ketara untuk 5 tahun yang lalu iaitu 2.83 pada 2008, 2.78 pada
2009, 2.74 pada 2010 dan terbaru 2.71 pada 2011. Bilangan pelajar yang
mendapat A di dalam Matematik juga meningkat dari 26.7 peratus pada 2010
kepada 28.9 peratus pada 2011 manakala untuk subjek Sains pula
meningkat dari 18.5 peratus pada 2010 kepada 21.7 peratus pada 2011.
Untuk SPM pula, pencapaian 2011 dikatakan pencapaian terbaik dalam masa 5
tahun dengan peningkatan GPN dari 5.19 pada 2010 kepada 5.04 pada 2011.
(Rujukan Buku Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang)
Apa pula maksud laporan peningkatan GPN mengikut prestasi PMR dan SPM
ini? Maksudnya, selama berpuluh tahun kita menipu diri kita sendiri
sehinggalah datang indeks antarabangsa keluaran UN Education Index, PISA
dan TIMSS yang membongkar perihal budaya penipuan yang selama ini
berakar dalam konsep pendidikan kita. Bagaimana mungkin GPN PMR dan SPM
meningkat walhal para pelajar kita tercampak dalam kedudukan 2/3
tercorot di seluruh dunia?
Rakyat Malaysia terkujat, sekali lagi.
Jadi sekarang kita sudah tidak boleh menipu diri sendiri lagi kerana
seluruh dunia sudah mengetahui betapa terkebelakangnya para pelajar kita
dalam bidang Sains, Matematik, literasi pembacaan dan penyelesaian
masalah kritikal. Untungnya daripada kesedaran ini, kita dapat melihat
beberapa usaha ‘transformasi’ pendidikan yang dijalankan Kementerian
Pendidikan disamping cadangan tokoh negarawan seperti Tun Mahathir bagi
menambah baik pendidikan kita.
Kementerian Pendidikan berjaya
membuatkan masyarakat teruja dan bergantung harap dengan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang setebal 248 mukasurat
(yang entah siapa nak baca?) dan memuatkan 11 anjakan strategik sebagai
cadangan penyelesaian kepada masalah pendidikan kita.
Hasilnya,
tercetus Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menyeksa kehidupan
para guru selama empat tahun berturut-turut dengan server yang lembab
dan pertambahan kerja pengkeranian mengisi data dan ‘mencipta’ statistik
para pelajar. PBS ini dimansuhkan selepas empat tahun berjalan
menyebabkan para guru yang bersengkang-mata pukul empat pagi untuk
mengisi data online dan berjerih-payah membuat dokumentasi fail pelajar
berasa sakit hati dan usaha mereka seperti tersia-sia.
Selepas
PBS, lahir pula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) secara terburu-buru
yang sekali lagi menjadikan para pelajar tingkatan tiga pada tahun 2014
sebagai tikus makmal. Hampir dua tahun belajar mengikut format PMR
sebelum mendapat ‘kejutan budaya’ PMR dimansuhkan dan digantikan dengan
PBS yang ‘tak ada exam’. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan PT3 yang
perlu dihadapi dengan masa persiapan kurang daripada dua bulan.
Realitinya disaat para pelajar tingkatan tiga disuruh menghadap PT3,
sebahagian besar para guru masih terkial-kial cuba memahami konsep PT3.
Lalu bagaimana para guru yang masih belum benar-benar mahir dengan PT3
akan mempersediakan para pelajar untuk PT3 dalam tempoh masa kurang
daripada dua bulan?
Tapi, ini kan Malaysia. Malaysia amat
sinonim dengan perkataan ‘boleh’. Perkara ini sudah pernah pun berlaku
dahulu sebagai contoh PPSMI dimana para pelajar dijadikan tikus makmal
dan para guru menjadi bidan terjun yang mengendalikan tikus-tikus ini
sebelum ‘eksperimen’ itu dihentikan kerana tekanan masyarakat.
Selain daripada itu, kita tidak lupa untuk mengidolakan polisi
pendidikan negara lain. Negara seperti Finland, Korea Selatan dan Jepun
sering kali menjadi bahan bicara ahli akademik terutamanya tatkala
roadshow PPPM hangat dijalankan diseluruh negara dahulu. Kita sibuk
melihat kepada teori pendidikan yang digunapakai negara-negara ini
sehinggakan kita lupa masalah paling utama dalam pendidikan kita
bukannya terletak dalam perbahasan teori sebaliknya di peringkat
implementasi.
Masalah implementasi yang tidak pernah selesai
Saya pernah menulis tentang tiga perkara yang banyak mempengaruhi
implementasi polisi pendidikan. Saya ingin berkongsi tentang dua perkara
tersebut disini iaitu:
1. Mengajar mengikut kepakaran
2. Beban kerja pengkeranian yang terlampau banyak dan tidak
mendatangkan faedah sebaliknya menjejaskan kualiti pengajaran dan
pembelajaran
Dua perkara ini bukanlah perkara baru. Ianya
pernah disebut dan diketengahkan semenjak tahun 80an, sepanjang tahun
90an sehinggalah sekarang dengan sasaran Wawasan 2020 hanya tinggal 6
tahun saja lagi. Namun, perkara ini masih tidak selesai-selesai. Bekas
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Siva
Subramaniam pernah menyebut pada tahun 1995 tentang masalah para guru
yang ditempatkan tanpa mengikut opsyen. Sedihnya, perkara ini masih lagi
berterusan.
Tak perlu saya lambakkan statistik yang banyak
dalam laporan-laporan dan kajian-kajian pendidikan. Sebaliknya saya ajak
anda berborak dengan antara 400,000 orang guru yang anda kenal untuk
mengetahui tentang realiti ‘penempatan guru’ di sekolah. Berapa ramai
guru yang belajar Matematik tapi disuruh mengajar Bahasa Inggeris?
Berapa ramai guru yang langsung tak pernah belajar teori pedagogi dan
ilmu Sains tapi apabila masuk sekolah dipaksarelakan pentadbir untuk
mengajar Sains? Dan berapa banyak sekolah yang masih kekurangan guru
Kemahiran Hidup walaupun sudah bertahun-tahun matapelajaran itu
dimasukkan dalam kurikulum?
Perkara kedua, beban kerja
pengkeranian. Ini adalah masalah implementasi paling utama yang dihadapi
pasukan pelaksana polisi pendidikan iaitu para guru. Dengan begitu
banyak jenis fail yang perlu disediakan di sekolah, data-data yang perlu
dimasukkan sama ada secara offline atau online secara berulang-ulang.
Disamping perlu bertungkus-lumus membuat kerja seperti mengambil dan
menghantar pelajar ke pertandingan, menghias dewan untuk sambutan hari
kemerdekaan sehinggalah ke perkara-perkara seperti membina dan mengecat
bangunan sekolah dan tandas. Sebenarnya, apa sahaja yang para guru tidak
lakukan di sekolah selain mengajar?
Iya, tolong jangan
buat-buat pelik seolah-olah anda sedang membaca berita hairan. Kerja
guru bukan lagi mengajar. Kerja mengajar dalam kelas sekarang ini bukan
lagi kerja paling utama. Sebaliknya banyak lagi benda-benda lain yang
tiada langsung kaitan dengan pengajaran dan pembelajaran yang terpaksa
para guru lakukan di sekolah dan diluar sekolah.
Walaupun sejak
tahun 90an lagi kesatuan guru dan para guru sudah mengeluh meminta
lebih ramai pembantu guru gred N17 untuk membuat kerja-kerja yang tak
memerlukan kemahiran pendidikan, tapi nampaknya perkara ini seperti
masih jauh untuk kita capai walaupun pada hakikatnya sasaran Wawasan
2020 itu semakin mendekat.
Implementasi sistem pengurusan pendidikan dan pengurusan hospital.
Cuba bayangkan jika cara kerja Kementerian Pendidikan kita diaplikasikan Kementerian Kesihatan.
Di hospital-hospital tidak terdapat ramai jururawat sebaliknya para
doktor yang perlu melaksanakan tugas-tugas selain bidang kepakaran
mereka. Apabila pesakit sampai, para doktor perlu mendaftarkan mereka
dikaunter pendaftaran seperti mana guru kelas mendaftarkan para pelajar
di awal tahun serta mengambil dan memasukkan data kedatangan setiap
hari.
Setelah pendaftaran, para doktor perlu terlebih dahulu
memasukkan data pesakit ke dalam fail pendaftaran mengikut kategori dan
jenis penyakit. Sama seperti para guru yang perlu menyediakan fail untuk
setiap pelajar mengikut bidang ko-kurikulum, kurikulum, disiplin dan
peribadi. Belum masuk fail panitia, subjek, peperiksaan dan
beratus-ratus lagi fa
Dalam kekalutan para doktor yang mahu
bersiap-sedia memeriksa pesakit mereka yang sakit, mereka akan kerap
kali dilanda ombak-ombak pemeriksaan pegawai atasan yang datang untuk
memeriksa kekemasan fail, data dan statistik. Bagaimana doktor-doktor
ini boleh memeriksa dan merawat pesakit mereka dengan tenang jika asyik
dikacau untuk dilihat pengurusan data dan fail mereka?
Belum
kita kira jika para doktor sendiri yang perlu memandu ambulans untuk
mengambil pesakit yang kemalangan jalanraya atau hampir meninggal kerana
sakit jantung seperti mana para guru yang selalu-selalu disuruh
menghantar para pelajar sama ada untuk menghadiri pertandingan, sakit ke
klinik ataupun mengikuti rombongan.
Jika sistem sebegini
diimplementasikan Kementerian Kesihatan di hospital-hospital maka
semakin ramailah pesakit yang akan mati seperti mana ramainya pelajar
kita yang seperti sudah ‘mati otak’ kerana walaupun 11 tahun belajar di
sekolah tetapi masih berfikir dan menulis seperti budak tidak
bersekolah. Untuk ini, siapa yang nak dipersalahkan? Guru? Eh, bukan
kita sibuk-sibuk nak tengok para guru siapkan fail dan uruskan sekolah
daripada bertungkus-lumus mengajar dan mendidik pelajar?
Memasukkan data dan statistik sama ada online ataupun offline, mengukur
ketinggian dan berat badan murid, mengemaskini fail pengurusan yang
beratus-ratus jenis, menghantar para murid ke sana ke sini dan pelbagai
lagi benda remeh-temeh yang langsung tiada kesan signifikan kepada
pengajaran dan pembelajaran dalam kelas serta sepatutnya boleh dilakukan
pembantu pengurusan sekolah dengan kelulusan SPM.
Jadi,
mengapa kita bersusah-payah melatih para guru dalam pedagogi dan teori
pendidikan terkini jika di sekolah kita hanya perlu mereka untuk
melakukan benda-benda yang remeh-temeh? Benda yang menghabiskan
beratus-ratus rim kertas setiap hari hanya untuk ‘orang atas tengok’
sebelum diletakkan diatas rak sehingga berhabuk. Tambahan pula, kenapa
pula orang atas sibuk nak tengok benda-benda ni? Sudah terang lagi
bersuluh perkara-perkara yang remeh-temeh dan menyesakkan otak seperti
pengurusan fail, data dan statistik ini semua tetap gagal membawa
Malaysia gah dipersada pengukuran indeks antarabangsa seperti PISA dan
TIMSS.
Transformasi pendidikan yang bakal gagal, sekali lagi.
Ambillah Fulbright Teaching Assistant daripada Amerika Syarikat ataupun
guru pakar Bahasa Inggeris daripada India. Laksanakanlah subjek baru
bagi menerapkan nilai moral dan sahsiah seperti yang dicadangkan Tun
Mahathir baru-baru ini. Tirulah pelaksanaan pentaksiran berasaskan
sekolah mirip kaedah Finland ataupun mengadaptasi keghairahan menjawab
soalan peperiksaan dalam sistem Korea Selatan dan China.
Apa
sahaja teori, polisi dan cadangan penambahbaikan yang datang daripada
Kementerian Pendidikan Malaysia setakat ini, saya percaya semuanya bakal
gagal. Dalam masa 10 tahun daripada sekarang kita akan mengulangi
semula senario kegagalan (baca: corot di PISA dan TIMSS) dan percubaan
transformasi (baca: rombakan pelan pembangunan pendidikan) yang
kemudiannya bakal gagal sekali lagi. Kenapa? Kerana kita tidak
menyelesaikan masalah akar iaitu ‘implementasi’.
Ini bukannya
sekadar teori saya semata-mata. Lihat sahaja sejarah perkembangan
pendidikan kita. Perkembangan kurikulum daripada General Syllabuses, ke
Pendidikan Komprehensif, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR),
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) sehingga sekarang kita sudah
memasuki fasa Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) serta Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang memakan masa puluhan tahun untuk
dibangunkan.
Begitu juga dengan pelbagai laporan dan pelan
pendidikan daripada Laporan Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960),
Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan (1996),
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006 – 2010) dan kini Pelan
Pambangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025).
Mengapa setelah
berjalannya kesemua laporan dan pelan pendidikan ini, kita masih bakal
gagal menghasilkan pelajar yang cemerlang diperingkat dunia? Saya
percaya kerana jurang pendidikan kita semakin melebar terutamanya di
antara pelajar dari keluarga kelas atasan dan keluarga golongan pekerja.
Pelajar dari keluarga kelas atasan mempunyai kelebihan dari segi
pengaruh dan kewangan untuk menempah pendidikan terbaik di
sekolah-sekolah ternama di Malaysia disamping menghadiri kelas tusyen
berbayar. Sebaliknya para pelajar golongan pekerja yang mendapatkan
pendidikan di sekolah-sekolah harian biasa, terpaksa bergantung harap
kepada sekolah dan para guru mereka.
Namun, guru mereka tidak
mungkin dapat menyediakan perkhidmatan pendidikan terbaik. Kerana apa?
Kerana guru mereka sibuk dikerah untuk menyediakan fail, menilik data,
menyimpan statistik dan lain-lain pekerjaan remeh. Guru yang sebenarnya
memegang jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kini lebih layak
digelar sebagai Pegawai Pengurusan Pendidikan.
Apabila kita
terlalu taksub dengan hal-hal pengurusan maka perkhidmatan pendidikan
kita merudum jatuh. Kesannya, pelajar kita pergi sekolah dan tak sabar
nak balik. Para guru pergi bekerja dan tak sabar nak bercuti. Para
pentadbir bagi kerja dengan alasan ‘orang atas suruh buat’ sebab ‘nanti
dia nak datang tengok’. Tak hairanlah kenapa kualiti pendidikan kita
terus-menerus berenang di dalam longkang.
Kesimpulannya, saya
lihat perkara paling utama yang perlu dilakukan untuk memulihara
keberkesanan pendidikan kita adalah dengan cara mengembalikan peranan,
tanggungjawab serta kedudukan guru di tempat yang sepatutnya iaitu di
dalam kelas, berhadapan dengan klien utama mereka iaitu para pelajar.
Walaubagaimanapun, perkara ini masih gagal disedari mereka yang
sekarang ini sedang sibuk menyuruh guru menyiapkan lima jenis laporan
berasingan untuk PT3, masukkan statistik markah pelajar di dua portal
yang berbeza, masukkan data kedatangan setiap hari, data disiplin setiap
minggu dan pelbagai lagi kerja pengurusan lain. Semua ini atas nama
‘transformasi’ pendidikan.
Kepada pegawai kanan KPM, adakah anda mendengar rintihan kami para guru yang berterusan dibebani tugas perkeranian?
Blog ini adalah pandangan peribadi saya, dan jika pendapat kita berbeza, tidak sepatutnya menyebabkan kita bermusuh. Kita boleh berkongsi cerita dan pandangan, asalkan menjaga adab sopan berbicara. Terima kasih kerana singgah di sini. Saya amat menghargai kunjungan anda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
TUN DAIM YANG DERMAWAN
Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...
-
Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Hari ini, Rabu 23 Mac 2011, keputusa...
-
Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Kisah pembunuhan seorang pensy...
-
Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sudah lama saya tidak menghadiri ...
No comments:
Post a Comment
Jejak yang ditinggalkan