Thursday, December 11, 2014

AKHIRNYA SAYA MELANGKAH KELUAR DARI SINI (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lewat tengah hari Rabu 10 Disember, satu panggilan telefon diterima meminta saya ke Pejabat Pendidikan Daerah Manjung untuk satu taklimat. Seperti biasa, ini adalah rutin bagi saya kerana sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, urusan seperti ini tidak dapat dielakkan.
Saya akan rindukan rutin perhimpunan seperti ini

Taklimat yang dimaksudkan adalah pemberitahuan pertukaran setara sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Seri Samudera, Sitiawan. Ia agak mengejutkan kerana saya memang tidak mendengar sebarang khabar angin sebelum ini. Bagaimanapun, saya menerimanya dengan berlapang dada, kerana yakin perancangan Allah lebih baik untuk hamba-Nya. 

Sudah sah saya akan menoktahkan khidmat di SMK Batu Sepuluh, Lekir, sebuah sebuah sekolah yang istimewa dalam perjalanan kerjaya saya. Di sinilah saya mula-mula bertugas sebagai seorang pendidik, sejak belum berkahwin hinggalah kepada mempunyai 6 orang cahaya mata. Saya melihat jatuh bangun sekolah ini sejak 3 Julai 1995. Ketika itu saya kuat, energetik,  bujang dan baharu menamatkan pengajian di Universiti Pertanian (Putra) Malaysia.
Pintu masuk yang menjadi lokasi menunggu pelajar ini tidak lagi menjadi teman saya

Saya berkhidmat kepada 9 orang pengetua, daripada guru penolong, kemudiannya dilantik sebagai Guru Kanan Bahasa pada 2006, Penolong Kanan Kokurikulum (2010), Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (2013) dan Penolong Kanan Pentadbiran pada 2014. 

Sejarah perkhidmatan saya di sini amat panjang, hampir 20 tahun. Selama itu, ramai anak murid yang telah berjaya dan  ada juga yang kecundang dalam perjalanan hidup. Ramai antara mereka yang sudah berkahwin, termasuk dengan pasangan daripada sekolah yang sama. Jika dikirakan mereka sebagai anak, bermakna saya sudah layak dipanggil datuk.

Pengalaman pahit dan manis biarlah saya simpan sebagai kenangan dan azimat meneruskan kelangsungan hidup. Pasukan di sekolah ini daripada staf sokongan hinggalah kepada barisan pentadbir amat baik dan mampu melakar kejayaan sekolah pada masa hadapan.

Sebagai penjawat awam, saya harus akur dengan perintah pihak atasan. Perpindahan tempat bekerja ini baik untuk saya. Ia juga dapat memantapkan pengalaman saya mendepani cabaran baharu. Patah tumbuh, hilang pasti berganti. Saya inginkan inspirasi baharu, jadi saya perlu ubah dan berhijrah. 

Kepada rakan sejawat di SMKBS, semoga perpisahan ini menjadi sebab kita bertemu lagi pada masa yang lain. Saya doakan SMKBS berjaya dalam apa jua bidang. Maafkan segala kesilapan dan kelemahan sepanjang saya bertugas di sini. 

Kalau kentang menjadi gulai, ubi tidak berguna lagi
Kalau wang menjadi nilai, budi tidak berguna lagi.



9 comments:

  1. Didoakan semoga penghijrahan ini mwmbawa seribu kebaikan dan kerahmatan, buat cgu, keluarga juga pihak yang terlibat. Jasa yang pernah ditabur telah membuahkan hasil, in sya Allah di tempat baru juga hasilnya tetap sama malah terus gemilang dan cemerlang.

    Cahaya takkan pernah hilang, malah akan terus semangat menyuluh ilmu di mana sahaja berada..

    Gud luck cgu :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Azza, sahabat maya yang sentiasa berfikiran positif. Saya doakan Azza dan suami juga beroleh rahmat yang dinanti-nantikan. Amin

      Delete
    2. sentiasa mendoakan..
      terima kasih utk doa cgu.
      sangat hargai persahabatan ini.
      moga ukhwah tetap kekal utuh..in sya Allah..

      Delete
  2. Ilmu yang cikgu berikan dan pengalaman belajar dengan cikgu tak pernah saya lupakan. Terima kasih cikgu!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Sob! Nanti ko kena belanja KFC lagi.. Hahahaa

      Delete
  3. Tahniah Cikgu. Semoga dengan kenaikan pangkat ini Cikgu akan lebih bersemangat untuk menjalankan tugas. Jadikan ia sebagai perangsang untuk lebih berjaya dan cemerlang sama ada dalam Pengurusan dan Pengajaran dan Pembelajaran. :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Nurul Huda. Mendepani cabaran harus kuat dan cepat menguasai keadaan.

      Delete
  4. Assalam...
    Tahniah cikgu. Walau di mana juga berkhidmat... pengalamn dan ilmu adalh senjata buat pedoman.
    Semoga terus cemerlang....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Cikgu Hazlin Nazri. Moga Allah juga merahmati cikgu

      Delete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...