Wednesday, May 13, 2015

AKHIRNYA ABANGLONG PERGI JUA.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Wan Long bin Wan Mohammad, nama yang saya kenali sejak bertunang dengan isteri pada tahun 1996. Dia lebih mesra dipanggil Abanglong, kerana dia merupakan anak sulung, dan isteri saya pula anak yang kedua daripada 10 orang adik beradik.  

Abanglong gemar memancing. Dia pernah mendapat hadiah dalam GP Joran anjuran sebuah akhbar tempatan. Pernah kami merancang untuk mencandat sotong tapi hasrat tersebut tidak kesampaian
kerana banyak kekangan. Saya juga mudah mabuk laut. Dia bersungguh-sungguh untuk menjayakannya walaupun kekadang dihimpit waktu kerja.
 

Abanglong suka makan tapai pulut buatan ibu mertua saya. Pernah pada satu pagi raya, saya makan tapai pulut dibungkus daun getah bersamanya. Memang sedap tapi perut saya tak biasa makan tapai awal pagi. Akibatnya sepanjang hari raya tersebut saya asyik berulang alik ke tandas, tapi abanglong mampu menikmati tapai tanpa sebarang masalah.  Itu sebabnya kami gelarkan dia Hantu Tapai.


Abanglong memang mesra dengan anak-anak saya
Pada pagi 7 hb Mei 2015, kami dikejutkan dengan mesej dalam wassaps keluarga, daripada isterinya Kaklong Anati. Abanglong diberitakan tidak sedarkan diri setelah dimasukkan ke hospital Kemaman pada jam 1 pagi. Puncanya kesan daripada tiroid yang dihidapi sekian lama, tapi tidak disedari oleh sesiapapun termasuk isterinya. Abanglong memang seorang yang perahsia tentang soal penyakitnya.

Foto raya abanglong sekeluarga 2010
Kami menanti dengan penuh harapan agar abanglong kembali sembuh. Pada Jumaat 8 hb Mei, keadaan abanglong masih tidak berubah. Dia masih koma dan ditahan di wad ICU hospital tersebut. Petang itu juga saya sekeluarga (kecuali dua orang anak yang tinggal di asrama) serta adik ipar yang turut tinggal di Manjung, bergerak menuju ke Kemaman.

Perjalanan yang memenatkan melalui Gombak-Karak-Kemaman sejauh lebih 350 km/sehala akhirnya selesai pada jam 2 pagi. Esoknya kami ke hospital Kemaman yang jaraknya lebih kurang 2 km daripada rumah abanglong. Harapan menggunung untuk melihat abanglong sedar, tidak menjadi kenyataan.

Ramai saudara mara dan kenalan yang datang menziarahinya. Keadaan Abanglong bertambah tenat kerana hormon tiroid yang tinggi menyebabkan jantungnya lemah, itulah yang menjadi punca berat badan dan selera makannya turun. Keadaannya masih tidak stabil dan berisiko jika dipindahkan ke Kuala Terengganu atau ke Kuantan.

Anak sulung yang rapat dengan ayahnya (Bak)
Pada petang Ahad, 10 hb Mei, saya sekeluarga bertolak kembali ke Perak kerana keesokannya kami perlu bekerja dan anak-anak perlu ke sekolah. Keadaan abanglong yang koma tetapi tenang memberi sedikit kelegaan.

Bagaimanapun ketika di RR Genting Sempah, kami mendapat berita abanglong tenat, dan doktor meminta ahli keluarga bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Tanpa berfikir panjang kami kembali semula ke Kemaman dan tiba di rumah abanglong jam 10.30 malam.

Saya dan isteri yang keletihan mula berasa kurang sihat, dengan mata berair, batuk-batuk dan selsema.Perjalanan jauh dan kurang rehat menyebabkan batuk saya adakalanya amat teruk hingga saya kerap lelah. Saya dan isteri diberi cuti sakit oleh doktor. Keadaan abanglong pula tidak banyak berubah. Hatinya dijangkiti kuman menyebabkan warna mata mula berubah kekuningan.  Seorang jururawat yang saya tanya tidak berani memberi sebarang harapan. Doktor hanya berbisik 'prepare for the  worst', menyebabkan isteri saya sebak ketika mengunjungi abangnya sebelum pulang ke Perak petang itu. Kaklong isterinya sudah kehabisan air mata, memikirkan keadaan suami yang terlantar tidak sedarkan diri.  Beberapa hari sebelumnya, Kaklong bermimpi abanglong membawa 'seorang isteri baharu' dan akan meninggalkannya.

Kami hanya mampu berdoa agar abanglong sembuh dan pulih seperti biasa, biarpun mungkin mengambil masa yang lama. Hanya keajaiban kuasa Allah sahaja yang mampu mengubah nasib abanglong.Jauh di sudut hati, saya berasakan abanglong akan meninggalkan kami, apatah lagi melihat keadaannya semakin nazak dan kencingnya sudah bercampur darah. Berat sungguh derita ditanggungnya, hingga kami sebak dan pilu melihat jasadnya terlantar dengan wayar mesin bantuan hayat yang berselirat dikelilingnya.

Tuntutan kerja menyebabkan kami balik semula ke Perak pada petang Selasa 12 hb Mei dan selamat tiba di rumah kira-kira pukul 11 malam selepas melalui perjalanan jauh yang memenatkan.  Keesokannya saya ke sekolah mengajar seperti biasa. Badan memang terasa letih tetapi tugas dan tanggungjawab yang ada perlu dilaksanakan sebaiknya.


Duit raya untuk anak-anak buah tidak dilupakan
Pada awal pagi Khamis 14 hb Mei, saya dan isteri dikejutkan berita daripada Kaklong yang memaklumkan suaminya sudah 'tiada'. Apa yang kami bimbangkan akhirnya terjadi juga. Abanglong dijemput kembali kepada Penciptanya selepas genap seminggu dimasukkan ke wad ICU Hospital Kemaman. Abanglong pergi meninggalkan isteri, dan tiga orang anak ( dua orang perempuan), yang masih memerlukan belaian kasih sayang seorang ayah.

Saat bahagia kenangan raya tahun 2009
Berehat selepas majlis pengebumian abanglong
Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Mentok Kemaman, pada pukul 10 pagi. Ketika itu kami masih dalam perjalanan menuju ke Kemaman. Kami tiba sebaik sahaja urusan talkin selesai. Nampaknya kami tidak sempat juga bertemu abanglong buat kali terakhir tetapi saya tidak terkilan kerana sudahpun menziarahinya ketika di wad ICU tempoh hari.

Damailah abanglong di barzakh. Sesungguhnya setiap yang hidup PASTI akan mati. Tiada siapa pun yang terkecuali. Abanglong kembali ke rahmatullah pada usia 48 tahun.Giliran kita  hanya dipisahkan oleh masa.
Allahummaghfirlahu warhamhu, waafihi wa'fu anhu..

2 comments:

  1. Damailah ia di sana... InsyaAllah, yakinilah.

    ReplyDelete
  2. Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...