Tuesday, September 6, 2016

DUTERTE, PRESIDEN FILIPINA YANG KUAT MENCARUT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Istilah mencarut, merujuk kepada perbuatan mengeluarkan kata-kata nista dan cacian kepada pihak lain. Dalam budaya masyarakat Melayu, mencarut bukanlah perbuatan yang baik. Ia bertentangan dengan nilai budaya adab sopan dan sering dianggap perlakuan yang boleh menjatuhkan maruah pelakunya, menjejaskan imej dan peribadi serta merosakkan hubungan dengan orang yang dicarutnya.   
Rodrigo Duterte, Presiden Filipina

       Hal ini mungkin tidak disedari oleh Rodrigo Duterte, Presiden Filipina yang baharu dilantik dalam pilihanraya baru-baru ini. Duterte, seorang peguam yang kemudiannya menjadi Datuk Bandar Davao City, telah dipilih oleh rakyat Filipina sebagai presiden dalam pilihanraya pada Mei 2016 lalu, 

     Tidak dinafikan Duterte seorang yang tegas dan berani. Sebaik menjadi Presiden Filipina, beliau mengarahkan tenteranya menggempur kubu Abu Sayyaf, militan yang berpangkalan di selatan Filipina. Beliau juga tegas mengatasi masalah dadah di Filipina menyebabkan pengedar dadah kecut perut dengan tindakannya. Malah, beliau dengan berani menyatakan pertikaian pemilikan Sabah dalam Malaysia adalah tidak sah, dan akan  berusaha 'mendapatkan semula wilayah Kesultanan Sulu' itu.   

Tindakan beraninya mengundang padah apabila dalam satu majlis Sidang Kemuncak ASEAN di Vientiane, Laos, Duterte bercakap 'berani' yang tidak bertempat, dengan mencarut dan menggelar Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebagai 'anak haram'. Ini berikutan kenyataan Jabatan Negara AS yang tidak bersetuju dengan tindakan keras Duterte dalam beberapa siri tindak balas terhadap sarang pengedar dadah di Filipina.  

Tindakan Duterte mengundang rasa tidak senang AS dan Obama memutuskan untuk tidak bertemu dengannya semasa sidang kemuncak tersebut. Ini tentu memberi tamparan kepada Filipina yang mempunyai sejarah yang panjang dengan AS. Negara 'Uncle Sam' itu mempunyai pangkalan tentera di Filipina dan jumlah urusan dagangan kedua-dua negara amat besar.

Saya tertarik membincangkan isu presiden mencarut ini kerana ia amat jarang berlaku, apatah lagi di sebuah negara Asia Tenggara yang dikenali sebagai rantau yang penuh adab sopan. Apabila seorang presiden mengeluarkan kata nista terhadap presiden lain, ia seakan-akan serangan peribadi. Ibarat pepatah 'nasi sudah menjadi bubur', perbuatan Duterte telah jelas merosakkan reputasinya sebagai seorang ketua negara. 

Tindakan kurang ajar dan tidak bijak oleh Duterte tidak melambangkan jiwa rakyat Filipina seluruhnya, kerana sebagai rakyat Asia Tenggara, mereka masih memiliki adab sopan yang tinggi menghormati orang lain.    


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan