Thursday, June 21, 2018

KENANGAN PIALA DUNIA (WC)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Seingat saya, WC86 yang diadakan di Mexico benar-benar menjadi titik tolak demam bola sepak dalam diri saya. Pada waktu itu, saya berusia 15 tahun. Ketika itu juga, ayah sudah membeli sebuah TV  kecil 14 inci untuk keluarga kami. Sebelum itu, pada WC82, saya tak ambil tahu tentang Piala Dunia. Ini kerana usia yang masih kecil, dan kami tiada TV, manakala ayah pula menumpang rumah jiran untuk menonton kejohanan tersebut.

Dalam WC86, Argentina menjadi johan, dan hero kebanggaan negara itu pastinya Maradona. Perlawanan akhir diadakan pada awal pagi, dan saya tertidur sepanjang perlawanan itu. 

Pada WC90, saya sudah meniti usia remaja. Ketika itu, saya 'berperang' menghadapi STPM. WC90 diadakan di Itali, dan Jerman Barat menjuarai kejohanan tersebut. 

Empat tahun selepas itu, WC94, Amerika Syarikat menjadi tuan rumah. Ketika itu saya di tahun 3 UPM, Serdang. Pasukan Brazil menjadi juara. Ironinya, saya mengharapkan Belanda memenanginya, tapi ia tak jadi kenyataan.

Dalam edisi WC98, Peranchis menjadi tuan rumah, sekaligus memenanginya. Ketika itu, saya sudah berumahtangga dan puteri sulung saya dilahirkan dua bulan sebelum kejohanan bermula. Waktu itu juga gerakan Reformasi di tanah air bersemarak dalam kalangan jiwa anak muda ekoran konflik politik melibatkan Anwar Ibrahim. 

Pada edisi berikutnya, WC02 mencipta sejarah apabila diadakan buat kali pertama di benua Asia, dengan Jepun dan Korea menjadi tuan rumah bersama. Brazil memenanginya buat kali ke-4. Waktu itu, saya sibuk dengan tugas sebagai warden asrama, dan kami mendiami rumah warden. Masih saya ingat lagi TV di bilik tayangan asrama jadi tumpuan pelajar asrama pada malam hujung minggu, penuh sorakan dan kebisingan mereka (walaupun Malaysia tak masuk pun..) 

Pada WC06, Jerman menjadi tuan rumah, tapi pemilik trofi Piala Dunia adalah Itali. Waktu itu, keluarga kami sudah memiliki 5 cahaya mata, iaitu Kakyong, Abangah, Yang, Ude dan Adil (Nuha lahir pada September tahun yang sama). Ketika itu, kami sudah pun menduduki rumah sendiri.

Pada edisi WC10, bumi Afrika Selatan menjadi tuan rumah, menyaksikan Sepanyol menjuarainya buat kali pertama, setelah mengalahkan Belanda. (Saya masih mengharapkan Belanda yang menang, tapi itu tak menjadi kenyataan)

Semasa Brazil menjadi tuan rumah WC14, saya mengharapkan Brazil dapat menjuarainya, tapi sebaliknya, Jerman yang merangkul kejuaraan edisi tersebut. Waktu itu, saya sudah agak tua untuk berjaga malam dan bersengkang mata menonton 22 pemain berebut bola.   

Untuk kejohanan edisi 2018, yang diadakan di bumi Rusia, saya sekadar menonton dalam Youtube, kerana kekangan masa dan beban tugas yang makin besar. Saya juga sudah tidak lagi obses dengan kejohanan ini, cukup sekadar mengambil tahu keputusan selepas perlawanan. 

Kejohanan bola sepak Piala Dunia sebenarnya, ada tarikan dan sejarah bagi setiap individu, seperti saya. 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...