Sunday, October 28, 2018

CORETAN FINAL PIALA MALAYSIA 2018

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Perak berjaya melangkah ke final Piala Malaysia selepas mengalahkan Sabah dengan agregat 7 - 2, manakala Terengganu menumpaskan juara bertahan JDT  dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Pada jam 9 malam 27 Oktober, saya memilih untuk menonton bersama komuniti Lekir di Pasar Tani Kekal FAMA Lekir, kerana ia menyediakan kemudahan dan skrin yang besar. Saya bawa juga pelajar lelaki asrama untuk merasai detik detik 'ala stadium'  di sana.

Tentunya di hati ada perasaan bercampur baur, kerana saya anak jati Perak, manakala Terengganu adalah negeri kedua saya. Setiap kali cuti, saya sekeluarga pasti balik ke Batu Rakit menziarahi mertua dan ipar duai.

Namun dalam final kali ini, saya memilih Perak sebagai juara dengan ramalan 2 - 0. Ramalan dan ilmu nujum saya, bagaimanapun tak kesampaian, apabila baru 46 saat perlawanan bermula, Terengganu sudah mendapat gol pertama hasil kesilapan pertahanan Perak.

Tamat babak pertama, Terengganu selesa dengan dua gol tanpa balas. Tidak cukup dengan itu, Perak bermain 10 orang kerana pemain import Perak Gilmar telah dibuang padang. Dalam hati saya berkata, sukar untuk Perak bangkit semula. Tapi tak mengapalah, sekadar tengok bola, ia tak menjadikan saya sakit hati melihat keputusannya nanti.

Babak kedua bermula, dengan gol pantas Perak memberi harapan untuk kembali bersaing. Pada penghujung masa kedua, memasuki masa kecederaan, tendangan dramatik Brendan Gan telah menceriakan Stadium Shah Alam dan penyokong Perak. Kedudukan terikat 2-2 dan mengheret permainan ke masa tambahan.

Dalam masa tambahan, Terengganu sekali lagi mendahului dengan tendangan lencong pemainnya yang menggamatkan kem penyokong Terengganu. Saat itu, saya kira Perak cukup sekadar berpuas hati sebagai Naib Johan. Namun pada minit ke 120, memasuki masa kecederaan, tampanan pemain Terengganu ke gawang sendiri telah menghadiahkan gol penyamaan 3 - 3 untuk Perak mengheret permainan ke tendangan penalti.

Ia sangat dramatik, dan menghiburkan. Seperti yang kita maklum, Perak  memenangi Piala Malaysia kali ini setelah pengakhiran penalti berakhir dengan 4 - 1.

Perlawanan akhir kali ini benar benar satu ulangan pertarungan  klasik yang dramatik, seperti Perak mengalahkan Selangor pada perlawanan final Piala FA dahulu. Namun begitu ada juga kekasaran pemain kedua dua pasukan, dan sikap pengadil yang membuat beberapa keputusan yang kurang bijak juga menambahkan rencah perlawanan akhir ini, diingati sebagai antara yang terkesan di hati peminat bola sepak Bos Gaurus.

KEJOR YOP, KEJOR! 


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...