Monday, April 29, 2019

SEMOGA TERUS MELAKAR KEJAYAAN,LOKMAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lokman Omar, bekas pelajar saya dahulu, kini mengusahakan kelong untuk aktiviti pelancongan perikanan di Batu 3, Segari, Lumut.

Selepas tamat SPM 2005, dia mengikut ayahnya ke laut sebagai punca rezeki. Pada usia 21 tahun, Lokman mendirikan rumah tangga. Tanggungjawab dan komitmennya semakin besar. Pendapatan ke laut pula tidak menentu. Adakala lumayan, tapi kerap juga dia pulang hampa. Lokman tahu, dia tidak boleh bergantung kepada pendapatan sebagai nelayan semata mata.

Ketika itulah, Lokman berjinak jinak dengan menyewa ''banana boat" untuk pelancong di pantai Teluk Senangin.  Hasil pendapatan tersebut dilaburkan membeli sampan untuk disewakan kepada pemancing yang datang untuk memancing di sungai sekitar Batu 3, yang kaya dengan hidupan akuatik. Pemancing dari luar suka melayan ikan siakap, kerapu, jenahak yang ada di perairan Teluk Senangin hingga ke Pangkor, malah jika tahan mabuk laut, Lokman boleh bawa hingga ke Pulau Sembilan.

Lokman terus memandang ke hadapan, dengan menyewa bot membawa pelancong dalam dan luar negara untuk aktiviti snorkeling atau menyelam di Pulau Giam, berhampiran Pulau Pangkor.

Hari ini, selain mempunyai kepakaran membaik pulih enjin bot, Lokman memiliki jeti khas menyimpan 11 buah sampan dan bot miliknya.

Sabtu 27 April,  saya dan beberapa orang guru lelaki SMKBS membuat trip memancing di kelong milik Lokman, kami dibawa dengan bot baharu miliknya berharga hampir 100k.

Pada sebelah malam, saya, ustaz Ahmad Junaidi, ustaz Mohd Imran dan cikgu Kamarul dibawa memukat ikan di sekitar perairan Teluk Senangin. Pengalaman ini tentunya sukar untuk dilupakan. Apatah lagi, sambil menunggu pukat untuk ditarik semula, kami mendengar kisah jatuh bangun Lokman sebelum dia berjaya ke tahap ini.

Lokman, pernah saya rotan semasa kenakannya dahulu, hari ini membuktikan dia boleh berjaya.

Tahniah Lokman. Kejayaan tidak datang bergolek, dan Lokman adalah lambang anak Batu 3 yang bersemangat cekal.



Lokman berbaju hitam sebelah saya










No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...