Monday, August 2, 2021

AHMED HAFNAOUI: MIMPI INDAH PERENANG TUNISIA DI OLIMPIK TOKYO

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ahmed Hafnaoui, atlet pertama Tunisa mendapat emas

Kisah sensasi perenang remaja benua Afrika, iaitu Ahmed Hafnaoui, menjadi satu kejayaan terbesar Sukan Olimpik Tokyo, kerana mengutip pingat emas dalam acara gaya bebas 400m dengan cara yang menakjubkan.

Hafnaoui, berusia 18 tahun, rakyat Tunisa, telah bersaing dengan perenang bertaraf dunia seperti Jack McLoughlin dari Australia, yang meraih perak, dan atlet renang Amerika Syarikat, Kieran Smith, yang memenangi gangsa. Dia mencatat masa terpantas dalam 3 minit 43.36 saat untuk memahat namanya sebagai juara di sukan Olimpik Tokyo tersebut. 

Hafnaoui sendiri terkejut dengan pencapaiannya. Dialah rakyat Tunisia pertama mengutip emas dalam temasya sukan Olimpik. Malah, tidak pernah ada atlet renang Afrika yang memenangi emas di sukan Olimpik sebelum ini. 

"Ia sukar dipercayai. Saya tidak mempercayainya sehingga saya menyentuh dinding dan melihat nama di papan markah. Saya melihat perenang Australia dari lorong enam, saya kira dalam jarak 200m . Ia adalah pertarungan hebat. Saya berasa hebat. Saya berasa bangga." katanya ketika diwawancara sebaik menang acara tersebut. 

Peningkatan dramatik Hafnaoui seolah-olah keajaiban. Sukan renang biasanya didominasi oleh perenang Eropah dan Amerika.  Ada wartawan yang bertanya bagaimana dia bertambah baik setelah menduduki tangga kelapan di Olimpik Remaja 2018. 

"Pada mulanya saya terkejut bahawa saya adalah finalis," katanya. "Dan sekarang saya terkejut saya memenangi pingat emas. Saya hanya bekerja keras dan ikut arahan jurulatih saya, itu saja." katanya lagi. 

Hafnaoui menitiskan air mata, ketika melihat bendera negaranya berkibar dan lagu kebangsaan negaranya dimainkan saat tegak berdiri di podium. Sebaik pulang ke negaranya, Hafnaoui disambut meriah oleh keluarga dan warga Tunisia. 

Sudah pasti Hafnaoui menjadi legenda di negaranya. Atlet Malaysia ketika ini, sedang mencari peluang mengutip emas pertama negara dalam sukan Olimpik. Sandaran pastinya diletakkan di bahu Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus, dalam acara basikal pecut dan keirin, selepas Lee Zi Jia terkandas dalam sukan badminton, sama seperti Khairul Anuar dalam sukan memanah. 

Semoga ada sinar untuk atlet Malaysia di Olimpik Tokyo. 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...