Wednesday, March 22, 2023

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Ramadhan kembali lagi tahun 2023. Pada bulan inilah, berlaku Perang Badar pada tahun ke-2 Hijrah. Ia juga adalah permulaan umat Islam diwajibkan berpuasa pada tahun tersebut. Ramadhan adalah penghulu segala bulan dan penuh dengan kemuliaan.  Banyak kelebihan bulan Ramadhan yang boleh kita manfaatkan. 

Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi Muhammad SAW, bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan ihtisab, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (Hadis riwayat Bukhari 4/99, Muslim 759)

Pada bulan ini, terdapat banyak keistimewaan dan kita  perlu mengambil tahu cara-cara yang dapat mencari manfaat pada bulan Ramadan.

Bulan yang mendidik ummah mencapai ketaqwaan

Dari puasa tersebut, kita secara tidak langsung belajar untuk menahan lapar, dahaga, marah dan semua perkara yang boleh membatalkan puasa. Sehingga dari itu kita belajar untuk bersabar berdasarkan ketakwaan kepada Allah SWT. Inilah yang menjadikan benteng mengapa berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan boleh mendidik hati kita untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT. Hal yang demikian juga berdasarkan ayat al-Quran;

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. (Al-Baqarah;183)

Bulan yang beri peluang untuk ke pintu syurga

Hal demikian sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Di dalam hadis tersebut menjelaskan bahawa ketika bulan Ramadan, maka dibukakanlah pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan kemudian syaitan akan dibelenggu. Hal demikian boleh dijelaskan bahawa peluang umat Islam untuk menuju jalan yang lurus sudah terbuka luas. Ini bermaksud bahawa di bulan Ramadan, umat Islam memiliki peluang yang penuh untuk menuju ke syurga Allah SWT.

Bulan yang terdapat lailatul qadar

Lailatul qadar merupakan malam yang lebih baik dan mulia daripada seribu bulan. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul qadar ialah pada sepuluh malam yang terakhir. Barangsiapa yang dapat berjumpa dengan lailatul qadar maka dia adalah seorang yang beruntung kerana pahala amal ibadatnya ibarat beramal dan beriabdat seribu bulan.

Bulan Ramadhan penuh dengan pengampunan dosa

Sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menjelaskan bahawa barangsiapa yang menjalankan ibadah puasa dengan iman dan ihtisab (niat yang baik), nescaya akan diampuni dosa-dosa yang telah lampau. Ini bermakna sekiranya anda bersungguh-sungguh dan berlumba-lumba melaksanakan ibadah di bulan suci Ramadan, maka dosa-dosa yang telah berlalu akan diampuni oleh Allah SWT sekalipun dosa itu adalah dosa kecil atau besar.

Ramadan bulan yang penuh dengan keberkatan

Sebagaimana yang kita tahu, umat Islam memiliki kesempatan untuk berada di dalam bulan yang suci ini untuk mendapatkan keberkatan hidup sepanjang masa yang bernilai sama dengan seribu bulan. Biasanya umat Islam akan berlumba-lumba melakukan amalan untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup mereka. Ramadan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan kerana umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan amal kebaikan untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT dan mereka akan takut untuk melakukan perkara yang mungkar dan maksiat.

Bulan yang memberi pahala berlipat ganda

Ibadah yang telah dikerjakan di bulan suci Ramadhan, Allah SWT akan berlipat ganda balasan dari apa yang umat Islam kerjakan dan balasan itu adalah sebanyak 70 kali ganda. Hal ini sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang telah diriwayatkan oleh Muttafaqun alaih (Bukhari, Muslim). Maka umat Islam diseru supaya melakukan amal kebaikan dan amal jariah seperti bersedekah, solat sunat dan membaca al-Quran kerana yang paling baik adalah pada bulan Ramadhan.

Bulan diturunkan al-Quran

Pada tarikh 17 Ramadan merupakan hari Nuzul Quran iaitu telah diturunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman dan menjadi petunjuk bagi seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Hendaklah anda memperbanyakkan doa dan amalan di hari turunnya al-Quran agar kita akan mendapat keberkatan yang lebih di bulan suci Ramadan. Sebagaimana hadis riwayat meriwayatkan bahawasanya barangsiapa beribadah (menghidupkan) bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap pahala, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga dengan ilmu yang serba sedikit ini dapat kita fahami dan janganlah sia-siakan kesempatan terbaik ini kerana kita tidak akan tahu bila kita akan dipanggil untuk menghadap Allah SWT. Bulan Ramadhan merupakan hadiah terbesar diberikan oleh Allah. Bagi umat Islam disyaratkan supaya berpuasa dengan baik dan betul. Kejarlah ilmu akhirat dengan bersungguh-sungguh kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan datang menjemput dan dengan amalan inilah yang akan menentukan kita adalah seorang hamba-Nya yang soleh.

Kesimpulannya,  marilah kita manfaatkan peluang menikmati Ramadhan ini kerana belum pasti lagi kita dapat peluang seperti ini pada tahun berikutnya. 


Tuesday, March 7, 2023

Bak Pergi Buat Selama-Lamanya

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bermula cuti sekolah pada 18 Februari 2023, kami balik kampung untuk menjenguk keluarga mentua saya di Batu Rakit Terengganu. Kami pulang melalui Beruas- Gerik- Jeli- terus ke Batu Rakit dalam jarak perjalanan 486km. 

Sebenarnya kesihatan ayah mentua saya, Wan Mohammad bin Wan Ngah atau lebih mesra kami panggil, Bak semakin tidak menentu akhir akhir ini. Peluang cuti yang ada dimanfaatkan untuk isteri saya yang merupakan anak keduanya berbakti sementara peluang masih tersisa. 

Bak beritahu rambutnya agak panjang. Saya ambil peluang mencukur rambut dan misai Bak sebelum kembali ke Perak untuk bekerja. Rabu 22 Februari, saa pulang ke Manjung menaiki bas. Manakala anak dan isteri tinggal di sana untuk tempoh seminggu dua lagi dengan harapan mereka dapat berbakti kepada Bak.

Pada petang Selasa 28 Februari 2023 isteri menelefon dan minta saya pulang ke Terengganu. Katanya Bak kelihatan lemah tak bermaya, lain daripada biasa. Malam itu saya menaiki bas jam 8 malam dari Stesen Bas Seri Manjung menuju ke Terengganu. Perjalanan dirasakan panjang. Saya berharap ayah mentua saya sihat kembali walaupun harapan itu kelihatannya jauh daripada realiti. 

Pukul 12.35 mlm ketika melepasi pekan Gerik, saya mendapat perkhabaran dalam grup keluarga KAW, Bak sudah tiada buat selama lamanya. Perjalanan diteruskan hingga saya turun di bulatan Batu 6, dan sampai di rumah mentua selepas solat subuh di Masjid Pantai Batu Rakit. 

Kami memandikan dan mengkafankan Bak dengan dipimpin oleh Imam Meri. Selepas solat Zohor, jenazah bak di solatkan di surau Wakaf Chagak dan dibawa ke perkuburan bersebelahan Balai Polis Batu Rakit disemadikan berdekatan pusara Tokki dan Tok Minah. 

Semoga Allah merahmati roh ayahanda mentua yang dikasihi Wan Mohammad bin Wan Ngah
 

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...