Wednesday, October 14, 2020

RETORIK PEMIMPIN KALIS MASA HADAPAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dalam satu persidangan mesyuarat yang saya hadiri awal Oktober lalu, para perwakilan diberikan peluang untuk membuat pemilihan pucuk pimpinan. Lalu, saya dengan besar hati, bangun dan mencadangkan seorang rakan yang pada hemat saya, layak menerajui kepimpinan organisasi yang saya sertai. Beliau pada hemat saya lebih berpengalaman dan mempunyai aura sebagai pemimpin yang boleh melonjakkan kesatuan kami yang mempunyai lebih 200 orang ahli seluruh Perak. 

Ada juga calon lain dicadangkan, dan tiba-tiba perbincangan sebelum pengundian menjadi hangat. Rakan yang saya calonkan tadi akhirnya menarik diri, setelah mengambil kira kepentingan persefahaman dan mengendurkan keadaan yang tampak tegang.

Saya juga tidak menyangka sebuah organisasi yang profesional lagaknya, tidak melambangkan demokrasi yang sewajarnya. 

"Mengapa perlu buat pencalonan lain. Pemimpin sedia ada sudah mencukupi, kalau dia lepaskan jawatan, lantik sahaja timbalan menggantikannya. Tak perlu nak mengundi calon lain," kata seorang perwakilan wanita sambil mengerling ke arah saya.  

Setelah rakan tersebut menarik diri, saya tampil dan menjelaskan bahawa saya menerima penarikan dirinya daripada dicalonkan. Saya juga menjelaskan bahawa saya akur dengan keputusannya. Malangnya perbalahan yang berpunca daripada pemilihan jawatan tersebut tidak berakhir. Seorang rakan yang agak berusia telah bangun lalu menyindir dan memperlekehkan tindakan saya yang akur dengan situasi. Dengan nada perli dia menyatakan saya seorang yang tiada pendirian dan boleh mengubah keputusan dalam masa dua minit sahaja. 

Terkejut saya dengan sikapnya, yang sebelum ini saya hormati sebagai individu yang lebih tua daripada saya. Apa yang saya lakukan adalah memberi cadangan dalam mesyuarat, dan ia belum lagi diputuskan dalam pengundian. Malangnya, tindakan saya dianggap tidak sesuai dan menimbulkan polemik. 

Saya belajar sesuatu daripada apa yang berlaku. Pertama, dalam organisasi tersebut, tidak perlu beri pilihan kepada perwakilan memilih peneraju kepimpinan. Cukup sekadar menerima siapa sahaja yang sudah ditetapkan. Kedua, slogan yang memenuhi tema persidangan sebenarnya sekadar satu 'tagline' mempamerkan kehebatan luaran sahaja. Tidak lebih daripada itu. Ketiga, jangan cuba menunjuk-nunjuk keupayaan anda, sebab akhirnya memakan diri. 

Hakikatnya, kewibawaan pemimpin yang kalis masa hadapan, boleh dipersoalkan dengan tindakan tidak demokratik dan kurang wibawa dalam menguruskan organisasi. 

       

Monday, September 28, 2020

WABAK COVID-19 KEMBALI SEMULA?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Umum menyedari betapa negara kita dan dunia amnya, telah terkesan akibat penularan wabak Coronavirus atau lebih dikenali sebagai Covid-19.  Sejak Mac 2020, banyak sektor ekonomi yang terjejas teruk, termasuk pelancongan, perladangan dan pendidikan. Kerajaan di bawah pimpinan YAB Tan Seri Muhyidin Yassin telah berusaha mengekang penularan wabak ini dengan menggembleng agensi seperti tentera, polis, hospital dan seumpamanya ke tahap yang optimum, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

Namun begitu, usaha ini tidak berjaya sepenuhnya. Selepas berjaya mengekang wabak ini pada penghujung Jun 2020, kita masih berhempas pulas berusaha. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Dr Nor Hisyam Abdullah tampak kecewa dengan situasi yang berlaku. Wujudnya kluster di Kedah dan beberapa negeri lain memberi isyarat bahawa wabak ini masih berpotensi menjadi ancaman kepada negara. Terbaharu, di Sabah, dua bandar utama iaitu Tawau dan Lahad Datu dikhabarkan mencatatkan kes jangkitan tertinggi. Ini menyebabkan kerajaan mengambil langkah drastik menyaring penumpang penerbangan dari Sabah ke KLIA. (beritanya di sini https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/735911/kkm-tambah-kakitangan-di-klia-klia2-saring-individu-dari-sabah

Hakikatnya, kita tidak boleh berasa selesa dengan penurunan kadar jangkitan Covid-19. Kesedaran masyarakat juga seperti ayunan yoyo, sekejap naik dan adakalanya mengambil sikap tidak kisah dengan situasi persekitaran.  Pemakaian topeng muka hanya dbuat kerana bimbang disaman, bukannya kerana wabak Covid-19. 

Tindakan kerajaan melonggarkan  kebenaran kepulangan dan kemasukan rakyat Malaysia dari luar juga menyumbang kepada kebimbangan masyarakat.  Kempen PRN Sabah juga memberikan kesan langsung kepada penularan wabak ini di negeri di bawah bayu. 

Tuntasnya, semua pihak harus memainkan peranan bersama-sama berganding bahu memastikan wabak Covid-19 tidak menular. 
 

Wednesday, September 23, 2020

ANDAINYA...

Terima kasih kerana sudi mengunjungilog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu negara yang telah menerajui pentadbiran kerajaan. 

Dalam dunia politik yang serba mencabar, perubahan kepimpinan politik harus diterima oleh rakyat dengan berlapang dada. 

Ahli-ahli politik pula, haruslah bijak mencatur peluang dan gerak kerja agar kebajikan rakyat terbela, dan pembangunan negara berada di landasan yang tepat. 

Walaupun saya tidak ada kepentingan dalam mana mana parti politik, saya berharap, Perdana Menteri dan barisan kabinet yang baharu dilantik, dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan sebaiknya. 

Akhir kata, sekali lagi saya mohon kita kembali rapatkan hubungan dan tidak berantakan sesama sendiri, hanya kerana perbezaan pandangan politik. 

Pemimpin sudah dipilih, elakkan daripada terus berselisih, kembalikan yang keruh kepada jernih, pasti timbul cinta dan kasih. 
Terima kasih.



Ikhlas,
 *ALI BIN ABU* 
Ahli Komuniti
Taman Setia Maju


 _Ini adalah contoh mesej yang boleh digunakan sebagai memujuk ahli komuniti setempat kembali bersatu selepas selesai pilihanraya atau pemilihan pemimpin._
😊😊😊😊😊😊😊

Tuesday, September 15, 2020

SUMBANGAN TOPENG MUKA THIRD FORCE YAYASAN RAJA SHAMRI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Isnin, 14 September 2020, SMKBS menerima kehadiran wakil NGO Third Force Yayasan Raja Shamri, yang sudi memberi sumbangan berupa 1500 keping topeng muka (face mask). 

Wakil NGO yang hadir adalah Ustaz Syed Shahrin, Miss Li Na, Cikgu Zulkifli,Zaen Ramdhan dan beberapa orang lagi.  15 orang pelajar telah dipilih oleh penyelaras JK Kebajikan, cikgu Norhaizan Mohd Nasir,sebagai  penerima topeng muka tersebut. 

Dengan adanya topeng muka tersebut, diharapkan ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar SMKBS




Monday, September 7, 2020

KONVOI MERDEKA SMKBS KE KUALA MU, SUNGAI SIPUT


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 5-6 September 2020, kelab Rider Santai SMKBS dan komuniti setempat seramai 23 orang telah mengadakan program LADAP konvoi merdeka ke Kuala Mu Sungai Siput.

Pada jam 8.30 pagi, kami memulakan perjalanan bermotosikal dari Lekir, menuju ke Manong, menyusuri Sungai Perak hingga ke Karai. Di Karai, kami menikmati keindahan sejarah iaitu Jambatan Victoria. Jambatan ini adalah tinggalan kolonial British yang  menjadi bukti pengangkutan bijih timah menggunakan kereta api satu ketika dahulu. Ia siap dibina pada 1900 dan berkhidmat sehingga tahun 2002. Kini tinggal bahagian jambatan sahaja yang masih ada.

Selepas Karai, kami menuju ke Kuala Mu. Ia adalah penempatan orang asli suku Temiar kedua terbesar di Malaysia selepas Gua Musang. Masyarakat orang asli suku Temiar tidak jauh bezanya dengan orang asli lain. Bahasanya sahaja yang agak berbeza. Namun peredaran masa mengubah kehidupan mereka daripada berpindah randah di hutan, kepada tinggal menetap.

Kami memunggah barang dan kelengkapan di chalet Dusun, sebelum memulakan program pertama. Pada jam 3.30 petang, kami mengadakan program kolaborasi bersama anak anak orang asli suku Temiar. Mereka diasingkan mengikut umur dan jantina. Cikgu Tajul Azmir mengendalikan ceramah kemerdekaan diselang-selikan dengan lagu patriotik, dan kuiz kemerdekaan.

Program ini mendapat sambutan hangat anak anak Kuala Mu, apatah lagi setiap kali berjaya menjawab soalan kuiz, mereka seronok  diberikan hadiah. Antara hadiah yang kami sediakan adalah biskut, alat tulis dan gula gula.  

Selepas solat maghrib, ustaz Junaidi menyampaikan kuliah. Pada sebelah malam, hujan mengiringi malam kami yang sejuk dan dingin malam berterusan hingga ke pagi esoknya. 

Pada Ahad, 6 September, kami mulakan ekspedisi meneroka Bukit Kapit pada jam 7.30 pagi. Asalnya, kami hanya dimaklumkan menuju air terjun yang cantik di hutan Kuala Mu. Sungguh... Tak terfikir langsung kami akan mendaki puncak bukit. Daripada 16 orang, akhirnya hanya 12 orang teruskan perjalanan mendaki bukit Kapit hingga ke puncak. Kami dipandu oleh Pandak dan Rasi, dua orang anak muda Temiar yang tahu selok-belok hutan sekitar kawasan Kuala Mu.
Pendaki paling senior, ustaz
Yasir Selamat
antara yang terawal tiba bersama cikgu Hazlisham dan Cikgu Zalani. Cikgu
Hazlisham Bin Haron
sentiasa beri semangat kepada rakan lain yang nampak seakan putus asa.
Satu ketika, kami kepenatan lalu mencadangkan satu kumpulan teruskan mendaki, manakala sebahagian lagi tunggu di kawasan jeram.
Namun begitu, perancangan Allah lebih baik. Akhirnya kami berjaya juga mendaki.Tahniah kepada semua yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak bukit Kapit, 909 meter.

Perjalanan pulang kami bermula jam 12.45 tengah hari. Kami solat zohor di Masjid Bawong, hadapan SMK Bawong yang menjadi asrama penuh pertama anak anak orang asli di Malaysia. Kami melalui pekan Kuala Kangsar, Manong terus menaiki lebuh raya menuju rumah masing masing. Syukurlah trip penanda aras kali ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.















 
.

Wednesday, July 22, 2020

KEHEBATAN ORANG PANJANG UMUR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

PANJANG UMUR DAN MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH

1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan bahawa beruntunglah orang yang diberikan anugerah dengan usia yang panjang sedang dia mengabdikan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah:

طُوبَى لِمَنْ طَالَ عُمْرُهُ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ

“Beruntunglah bagi mereka yang dipanjangkan usianya dan (semakin) baik amalannya. (Sunan al-Baihaqi, dinilai Sahih oleh al-Albani)

2. Bahkan Rasulullah membezakan dua lelaki yang panjang umur tetapi tidak digunakan kelebihan usianya dengan amalan yang baik. Perkara ini direkodkan ketika Rasulullah ditanya oleh seorang lelaki. Kata lelaki itu:

يَا رَسُولَ اللَّهِ! أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ؟ قَالَ: "مَنْ طَالَ عُمُرُهُ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ" قَالَ: "فَأَيُّ النَّاسِ شَرٌّ؟" قَالَ: "مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ"

“Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Rasulullah lalu menjawab: Lelaki yang dipanjangkan umur dan (semakin) baik amal (soleh)nya. Lalu lelaki itu bertanya lagi: Siapa pula manusia yang teruk? Rasulullah menjawab: Lelaki yang dipanjangkan usianya, (tetapi semakin) buruk amalan mereka. (Sunan al-Tirmizi, dinilai Hasan Sahih)

3. Atas dasar itu Saidina Ali lebih menyukai lelaki yang mati setelah usia yang panjang yang digunakan untuk mengenali Allah berbanding kanak-kanak yang meninggal kecil walaupun akan masuk ke syurga tanpa hisab. Kata Saidina Ali:

مَوْتُ الإِنْسَانِ بَعْدَ أَنْ كَبِرَ وَعَرَفَ رَبَّهُ خَيْرٌ مِنْ مَوْتِهِ طِفْلا بِلا حِسَابٍ فِي الآخِرَةِ

“Kematian manusia setelah panjang usianya dalam keadaan dia mengenal Allah adalah lebih baik daripada kematian kanak-kanak kecil walaupun (akan ke syurga) tanpa hisab di akhirat kelak.” (disebutkan oleh al-Imam al-Tayyibi)

4. Ini menunjukkan, usia yang panjang mestilah digunakan sebaiknya untuk mengenal Allah dan mengabdikan diri kepadanya. Janganlah sia-siakan masa yang diberikan dengan perkara yang tidak disukai Allah.

5. Kita bimbang akan tergolong dalam golongan yang disebutkan dalam hadis di atas, iaitu mereka yang dikurniakan usia yang panjang tetapi semakin rosak amalan kita.

Allah sayang kita. Semoga Allah membimbing kita.

Copy paste FB Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi

Monday, July 20, 2020

KONVOI SANTAI SMKBS KE BUMI SELAMA DAN BATU KURAU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Sabtu 18 Julai 2020, Kelab Guru dan Staf Sekolah (KGSS) SMKBS telah mengadakan program konvoi Kapcai LEKIR-SELAMA- BATU KURAU-TAIPING. Ia disertai oleh guru dan staf lelaki seramai 12 orang dengan motorsikal masing-masing.
Objektif program adalah mengukuhkan ukhuwah dan mensyukuri nikmat Allah, di samping melepaskan tekanan kerja seharian.
Perjalanan kami bermula di Caltex Lekir, dengan taklimat disampaikan oleh penyelaras, cikgu Tajul Azmir. Marshall konvoi adalah cikgu Kamarul Bahrin yang menunggang Yamaha XMAX250. Doa dipimpin oleh pengetua dan kami melalui lebuhraya WCE sehingga ke Beruas.


Perjalanan kami diuji dengan tayar jentera cikgu Ravi yang pancit di Batu Hampar. Namun begitu dengan kecekapan cikgu Nazem yang membantu menukarkan tiub yang bocor, kami dapat teruskan perjalanan ke destinasi.
Setibanya di Taiping, hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan. Namun begitu, syukurlah perjalanan konvoi kami lancar dan selamat tiba di Petronas Selama pada jam 12.15 tgh.
Laluan ke Selama melalui Pondok Tanjung
Wajah ceria sebaik sampai di Lata Rambung
Kami bergambar di hadapan SMK Sungai Bayor 
Konvoi melalui pekan B sebelum   atu Kurau dalam perjalanan pulang
Kami disambut oleh wakil Selama, cikgu Fadzizul yang meraikan kedatangan kami di Lata Rambung. Buah durian kahwin dengan isi yang tebal disajikan kepadan kami. Hanya cikgu Kamarul yang tidak menjamahnya, kerana alah dengan bau durian. Selepas makan durian, kami mandi di lata tersebut. Kami singgah solat jamak zohor dan asar di masjid Rusydiah, Selama, sebelum meneruskan perjalanan pulang melalui trek Batu Kurau yang banyak selekoh.

Banyak peristiwa yang berlaku dalam perjalanan, tetapi semuanya seronok untuk dikenang. Terima kasih kepada semua peserta yang menjayakan program ini.

Semut adalah musuh anai-anai

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Semut dan anai anai adalah serangga ...