Wednesday, July 12, 2023

MENGINGATI KEMATIAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

INTIPATI KULIAH SUBUH PAGI AHAD 9/7/2023 SURAU NUR AL-HIDAYAH, BATU 10 LEKIR
(USTAZ AZMIL)

KITAB SAKARATUL MAUT ( halaman 164)

Kupasan ayat 'Sesungguhnya kamu tetap datang kepada Allah secara sendirian, sama seperti semasa kamu lahir ke dunia.'

1. Setiap insan pasti mati dan bersendirian berdepan dengan Allah di alam kubur.

2. Kisah seorang abid yang fakir, bernama Said bin Amir, dilantik sebagai Gabenor di wilayah Hims, di Syam. 4 perkara yang dilakukannya menyebabkan Khalifah Umar al-Khattab mengaguminya:
a. Keluar dari rumah selepas tengahari, kerana sebelah pagi beliau menguruskan hal keluarganya.
b. Dalam seminggu, satu hari diperuntukkan untuk menguruskan hal berkaitan keperluan keluarga, manakala hari lain untuk tugasan gabenor.
c. Tidak keluar rumah selepas solat Isyak, kerana ingin peruntukkan masa kepada Allah.
d. Kerap pengsan apabila mengingati kematian

3. Abu Al-Ittahiah seorang penyair yang berani mengingatkan khalifah Harun al-Rashid tentang kematian yang pasti ditempuhi.

4. Seorang sahabat, Rabi'ah bin Ka'ab apabila ditanya kehendaknya, lalu dia memberitahu kepada Nabi, dia ingin bersama Rasulullah seperti mana ketika di dunia. Nabi menyuruhnya banyak bersujud (beribadah) kepada Allah.

5. Abdullah bin Amru Al Ansari, menyertai perang Uhud dan syahid, Nabi s.a w. memaklumkan kepada anaknya Jabir bin Abdullah, roh ayahnya dinaungi sayap malaikat ketika diangkat ke langit.

KESIMPULAN:

Kehidupan kita umpama musafir yang singgah sementara di dunia. Banyakkan mengingati kematian dan ikhlaskan hati beribadah, bukannya mencari dunia semata-mata.

Untuk lebih mendapat penjelasan, datanglah  ke majlis ilmu di surau kita.

Insyaallah, tidak rugi mendapat ilmu daripada para asatizah yang menyampaikan kuliah.

Terima kasih

Sunday, May 21, 2023

BOLING SANTAI SIPARTNERS PERAK 2023

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

PERTANDINGAN BOLING SANTAI MENGERATKAN UKHUWAH PEGAWAI SIPARTNERS NEGERI PERAK

IPOH-Seramai lebih 30 orang pegawai SIPartners seluruh negeri Perak telah menyertai pertandingan boling santai di AEON Kinta City, dekat sini pada Sabtu 20 Mei 2023. 

Menurut YDP Persatuan Pegawai SIPartners Malaysia (PRISMA) Perak, encik Redzuan Mohamed, program yang julung kali diadakan, bertujuan merapatkan hubungan antara pegawai SIPartners daripada daerah di negeri Perak di samping mengasah bakat ahli-ahli PRISMA Perak. 

"Kita juga berhasrat mengangkat program ini sebagai acara tahunan dan digilirkan di daerah daerah di negeri Perak," ujarnya. 

En Redzuan turut menjuarai kategori  lelaki individu dalam pertandingan tersebut, manakala johan diungguli oleh daerah Larut Matang dan Selama.

Sunday, April 23, 2023

Blok BRICS Mengancam Dollar Amerika

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sejak dahulu lagi, Dollar AS atau US Dollar (USD) adalah mata wang yang paling kuat dan paling banyak digunakan di dunia. USD digunakan sebagai alat pembayaran jual beli antarabangsa selain menjadi mata wang utama bank pusat di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Penggunaan USD sebagai mata wang antarabangsa menjadikannya sangat berpengaruh dalam ekonomi dunia. USD menjadi alat pembayaran utama dalam perdagangan dunia. Selain itu, USD juga menjadi instrumen dalam perdagangan komoditi seperti minyak dan emas.

USD yang stabil dan kuat telah mengakibatkan nilai tukaran mata wang negara-negara membangun seperti Malaysia menjadi lemah, menyebabkan harga barang dan perkhidmatan dari negara-negara tersebut menjadi lebih mahal. Hal ini mempengaruhi daya saing negara tersebut di pasar antarabangsa. 

Selain itu, penggunaan USD juga menguntungkan AS, terutama dalam hal pengurusan pinjaman dan kewangan. USD memungkinkan AS mencetak Dollar bagi membiayai defisit anggaran dengan mudah, sementara negara-negara lain harus menstabilkan mata wang masing masing untuk mengurangkan risiko inflasi.

Sejak tercetusnya perang Ukraine pada Februari 2021 hingga kini, tidak nampak tanda tanda gencatan senjata berlaku. Sebaliknya, Rusia dan China mewujudkan pakatan ekonomi bersama negara Brazil, Arab Saudi, dan beberapa buah negara yang dikenali sebagai BRICS, bagi memecahkan monopoli perdagangan antarabangsa oleh USD. 

Sehingga kini, pakatan ekonomi baharu ini semakin mendapat sokongan negara negara lain. Ia tentunya memberi impak kepada kuasa USD dalam perdagangan antarabangsa. 



Friday, April 7, 2023

KEMBALI SEBENTAR KE SMK PANGKALAN TLDM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Rabu 5 April 2023, saya bersiap awal pagi untuk masuk ke Pangkalan TLDM Lumut. Dua minggu sebelum itu,  saya menerima undangan daripada Cikgu Ainun Zuraiha, guru koperasi SMKPTLDM menjemput saya ke mesyuarat agung koperasi kerana masih dikira ahli lembaga (ALK) dan perlu pengerusikan mesyuarat berkenaan. 

Peluang ini tidak saya lepaskan sebab rasa rindu bertamu di hati ingin berjumpa warga sekolah yang pernah bersama sama saya dahulu. Saya masuk pangkalan Lumut melalui pintu Harimau 1 dan solat subuh berjemaah di masjid Annur. Rupanya, ada bekas murid tingkatan 5 yang baru habis SPM, Alif Syafiq mengenali saya dan kami bersembang mengimbau kenangan di SMKPTLDM. 

Saa kemudiannya masuk ke kawasan sekolah, serta merta ingatan menanti kehadiran guru dan murid setiap hari menerpa masuk ke fikiran. Di pintu pagar utama, saya dapat melihat kasih sayang ibu bapa yang menghantar anaka anak ke sekolah. Murid murid PPKI menerima taklimat daripada cikgu Hisham sebelum kelas bermula. 

Saya dibawa ke pentas mesyuarat di medan perhimpunan dan mempengerusikan mesyuarat agung koperasi kali ke 27 sehingga selesai. Kebetulan tuan pengetua cikgu Abdullah Bakri tidak hadir hari ini kerana mengalami komplikasi gout. 

Terima kasih kepada warga sekolah yang sudi menerima kedatangan saya.  

Monday, April 3, 2023

WARGA MANJUNG PANIK BEKALAN AIR TERPUTUS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Jumaat 31 Mac 2023 tersebar mesej di media sosial tentang kebocoran paip loji air di Teluk Kepayang, Bota. Loji ini membekalkan air bersih kepada hampir semua kawasan di Manjung. Menurut Lembaga Air Perak (LAP), kerosakan ini bakal menjejaskan pengguna di Ayer Tawar, Sitiawan, Seri Manjung, Lekir, Kayan, Pangkor dan Lumut. Pengguna dinasihatkan berjimat dan bersedia berdepan gangguan air yang berlaku.  

Pada awalnya masyarakat hanya beranggapan kerosakan loji bersifat sementara dan selesai dalam masa beberapa jam. Sebelum ini pun gangguan air pernah berlaku dan ia dapat diselesaikan oleh staf LAP dengan cepat. Keadaan tenang dan berjalan seperti biasa.  Malah ada dalam kalangan netizen menganggap ia gurauan April Fool's yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

Namun rupa-rupanya kali ini kebocoran paip utama di loji Teluk Kepayang serius dan mengambil masa yang lama untuk dibaiki. LAP kemudiannya mengeluarkan notis memaklumkan baikpulih paip bocor mengambil masa sehingga lebih daripada 3 hari. LAP juga meminta bantuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan negeri lain membantu menangani bekalan air terputus melibatkan hampir 100 ribu pengguna di Manjung.
 
Suasana panik tercetus di Manjung apabila rakyat menyedari bekalan air ang terputus ini mungkin berlanjutan berhari hari. Pada pagi Sabtu 1 April 2023, ramai pengguna sudah berpusu-pusu mencari air mineral sebagai stok minuman di kedai runcit dan pasar raya. Ada juga yang mengambil kesempatan pulang ke kampung atau ke luar daerah untuk cuti hujung minggu. 

Menjelang pagi Ahad 2 April 2023, keadaan sudah semakin parah. LAP telah menghantar lori tangki bagi mengagihkan air kepada penduduk yang terkesan. Tersebar di media sosial rakyat pelbagai kaum di Manjung berbaris panjang membawa bekas untuk menadah air. Suasana ini sebenarnya sangat asing dan luar biasa di Manjung. Pada petang Ahad, lori tangki yang disewa oleh LAP parkir di Dataran FAMA Lekir. Ramai penduduk termasuk saya menadah air dengan bekas masing masing. Ia satu pengalaman yang tidak saya lupakan. Dalam keadaan berpuasa pada bulan Ramadhan keputusan bekalan air adalah tempoh menguji kesabaran.      

Wednesday, March 22, 2023

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Ramadhan kembali lagi tahun 2023. Pada bulan inilah, berlaku Perang Badar pada tahun ke-2 Hijrah. Ia juga adalah permulaan umat Islam diwajibkan berpuasa pada tahun tersebut. Ramadhan adalah penghulu segala bulan dan penuh dengan kemuliaan.  Banyak kelebihan bulan Ramadhan yang boleh kita manfaatkan. 

Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi Muhammad SAW, bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan ihtisab, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (Hadis riwayat Bukhari 4/99, Muslim 759)

Pada bulan ini, terdapat banyak keistimewaan dan kita  perlu mengambil tahu cara-cara yang dapat mencari manfaat pada bulan Ramadan.

Bulan yang mendidik ummah mencapai ketaqwaan

Dari puasa tersebut, kita secara tidak langsung belajar untuk menahan lapar, dahaga, marah dan semua perkara yang boleh membatalkan puasa. Sehingga dari itu kita belajar untuk bersabar berdasarkan ketakwaan kepada Allah SWT. Inilah yang menjadikan benteng mengapa berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan boleh mendidik hati kita untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT. Hal yang demikian juga berdasarkan ayat al-Quran;

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. (Al-Baqarah;183)

Bulan yang beri peluang untuk ke pintu syurga

Hal demikian sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Di dalam hadis tersebut menjelaskan bahawa ketika bulan Ramadan, maka dibukakanlah pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan kemudian syaitan akan dibelenggu. Hal demikian boleh dijelaskan bahawa peluang umat Islam untuk menuju jalan yang lurus sudah terbuka luas. Ini bermaksud bahawa di bulan Ramadan, umat Islam memiliki peluang yang penuh untuk menuju ke syurga Allah SWT.

Bulan yang terdapat lailatul qadar

Lailatul qadar merupakan malam yang lebih baik dan mulia daripada seribu bulan. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul qadar ialah pada sepuluh malam yang terakhir. Barangsiapa yang dapat berjumpa dengan lailatul qadar maka dia adalah seorang yang beruntung kerana pahala amal ibadatnya ibarat beramal dan beriabdat seribu bulan.

Bulan Ramadhan penuh dengan pengampunan dosa

Sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menjelaskan bahawa barangsiapa yang menjalankan ibadah puasa dengan iman dan ihtisab (niat yang baik), nescaya akan diampuni dosa-dosa yang telah lampau. Ini bermakna sekiranya anda bersungguh-sungguh dan berlumba-lumba melaksanakan ibadah di bulan suci Ramadan, maka dosa-dosa yang telah berlalu akan diampuni oleh Allah SWT sekalipun dosa itu adalah dosa kecil atau besar.

Ramadan bulan yang penuh dengan keberkatan

Sebagaimana yang kita tahu, umat Islam memiliki kesempatan untuk berada di dalam bulan yang suci ini untuk mendapatkan keberkatan hidup sepanjang masa yang bernilai sama dengan seribu bulan. Biasanya umat Islam akan berlumba-lumba melakukan amalan untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup mereka. Ramadan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan kerana umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan amal kebaikan untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT dan mereka akan takut untuk melakukan perkara yang mungkar dan maksiat.

Bulan yang memberi pahala berlipat ganda

Ibadah yang telah dikerjakan di bulan suci Ramadhan, Allah SWT akan berlipat ganda balasan dari apa yang umat Islam kerjakan dan balasan itu adalah sebanyak 70 kali ganda. Hal ini sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang telah diriwayatkan oleh Muttafaqun alaih (Bukhari, Muslim). Maka umat Islam diseru supaya melakukan amal kebaikan dan amal jariah seperti bersedekah, solat sunat dan membaca al-Quran kerana yang paling baik adalah pada bulan Ramadhan.

Bulan diturunkan al-Quran

Pada tarikh 17 Ramadan merupakan hari Nuzul Quran iaitu telah diturunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman dan menjadi petunjuk bagi seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Hendaklah anda memperbanyakkan doa dan amalan di hari turunnya al-Quran agar kita akan mendapat keberkatan yang lebih di bulan suci Ramadan. Sebagaimana hadis riwayat meriwayatkan bahawasanya barangsiapa beribadah (menghidupkan) bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap pahala, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga dengan ilmu yang serba sedikit ini dapat kita fahami dan janganlah sia-siakan kesempatan terbaik ini kerana kita tidak akan tahu bila kita akan dipanggil untuk menghadap Allah SWT. Bulan Ramadhan merupakan hadiah terbesar diberikan oleh Allah. Bagi umat Islam disyaratkan supaya berpuasa dengan baik dan betul. Kejarlah ilmu akhirat dengan bersungguh-sungguh kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan datang menjemput dan dengan amalan inilah yang akan menentukan kita adalah seorang hamba-Nya yang soleh.

Kesimpulannya,  marilah kita manfaatkan peluang menikmati Ramadhan ini kerana belum pasti lagi kita dapat peluang seperti ini pada tahun berikutnya. 


Tuesday, March 7, 2023

Bak Pergi Buat Selama-Lamanya

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bermula cuti sekolah pada 18 Februari 2023, kami balik kampung untuk menjenguk keluarga mentua saya di Batu Rakit Terengganu. Kami pulang melalui Beruas- Gerik- Jeli- terus ke Batu Rakit dalam jarak perjalanan 486km. 

Sebenarnya kesihatan ayah mentua saya, Wan Mohammad bin Wan Ngah atau lebih mesra kami panggil, Bak semakin tidak menentu akhir akhir ini. Peluang cuti yang ada dimanfaatkan untuk isteri saya yang merupakan anak keduanya berbakti sementara peluang masih tersisa. 

Bak beritahu rambutnya agak panjang. Saya ambil peluang mencukur rambut dan misai Bak sebelum kembali ke Perak untuk bekerja. Rabu 22 Februari, saa pulang ke Manjung menaiki bas. Manakala anak dan isteri tinggal di sana untuk tempoh seminggu dua lagi dengan harapan mereka dapat berbakti kepada Bak.

Pada petang Selasa 28 Februari 2023 isteri menelefon dan minta saya pulang ke Terengganu. Katanya Bak kelihatan lemah tak bermaya, lain daripada biasa. Malam itu saya menaiki bas jam 8 malam dari Stesen Bas Seri Manjung menuju ke Terengganu. Perjalanan dirasakan panjang. Saya berharap ayah mentua saya sihat kembali walaupun harapan itu kelihatannya jauh daripada realiti. 

Pukul 12.35 mlm ketika melepasi pekan Gerik, saya mendapat perkhabaran dalam grup keluarga KAW, Bak sudah tiada buat selama lamanya. Perjalanan diteruskan hingga saya turun di bulatan Batu 6, dan sampai di rumah mentua selepas solat subuh di Masjid Pantai Batu Rakit. 

Kami memandikan dan mengkafankan Bak dengan dipimpin oleh Imam Meri. Selepas solat Zohor, jenazah bak di solatkan di surau Wakaf Chagak dan dibawa ke perkuburan bersebelahan Balai Polis Batu Rakit disemadikan berdekatan pusara Tokki dan Tok Minah. 

Semoga Allah merahmati roh ayahanda mentua yang dikasihi Wan Mohammad bin Wan Ngah
 

Semut adalah musuh anai-anai

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Semut dan anai anai adalah serangga ...