Ayah pernah memiliki senapang pusaka daripada arwah atuk. Kata ayah, atuk membeli senapang patah itu pada tahun 1953.
Senapang laras satu, jenis Spanish 12 bore itu dijaga atuk dan diwariskan kepada ayah selaku anak lelaki sulung.
Pada 2003, ayah mula memohon sub lesen untuk memastikan senapang pusaka itu tidak terlepas tangan. Aku sebenarnya teruja untuk meneruskan legasi keturunan ayah untuk menjaga senapang tersebut. Maklumlah, sebagai anak lelaki sulung, aku sememangnya 'layak' menjaganya, sementelah adikku Sani dan Oun kurang menunjukkan minat ke arah itu.
Hari demi hari, tahun demi tahun, jawapan yang kami terima ialah '..masih dalam pertimbangan.' Ayah yang semakin uzur ketika itu telah menggunakan pelbagai saluran, termasuk meminta seorang bapa saudara yang bekerja di KDN membantu menyelesaikan masalah ini.
Begitulah juga dengan hubungan ayah dengan beberapa orang tokoh parti pemerintah, yang berpengaruh dan mempunyai kuasa untuk membantu urusan mendapatkan lesen berkenaan.
Malangnya, apa yang dihajati tidak dicapai. Ketika ayah menutup mata buat selama-lamanya, senapang pusaka itu tidak dapat diwariskan kepada aku, kerana aku tidak memperoleh lesen. Malah, seingat aku, kami membuat rayuan tidak kurang daripada 10 kali. Jawapannya tetap sama, "..masih dalam pertimbangan."
Sebulan selepas ayah meninggal dunia, aku menerima sepucuk surat daripada KDN, yang memaklumkan secara muktamad bahawa permohonan tersebut TIDAK DILULUSKAN. Senapang yang menjadi kebanggaan arwah atuk dan ayah, akhirnya bertukar tuan, kerana aku tidak layak memilikinya. Senapang itu kemudiannya diserahkan ke Balai Polis berhampiran, dan aku tidak lagi ambil peduli tentangnya.
Kecewa sebenarnya aku, kerana aku gagal meneruskan penjagaan pusaka yang banyak memori kepada ayah.
Aku juga kecewa, kerana bapa saudara yang kami harapkan itu, tidak berusaha sedaya upayanya, malah lebih banyak memberi alasan untuk mengelak membantu ayah. Dengan kedudukannya sebagai pegawai kanan di KDN, perkara itu boleh diuruskan.
Aku kecewa sebenarnya, apabila tokoh politik yang pernah ayah sanjung ketika dalam UMNO dahulu, tidak bersungguh-sungguh membantu kami.
Paling mengecewakan, apabila seorang polis pangkat rendah yang sering berurusan dengan kami, secara berbisik memberitahu aku dan ayah, bahawa kami 'tak beri makan' kepada pihak atasan.
Aku terkesima. Apa maksudnya?
Secara perlahan, dia memberitahu, tauke dan pekebun Cina sanggup berbelanja sehingga ribuan ringgit untuk membayar kepada pegawai kanan polis bagi memudahkan urusan mendapatkan lesen senjata api.
Patutlah kami gagal mendapat lesen.