Saturday, September 26, 2009

Raya, Semangatnya Semakin Pudar..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kali terakhir menulis di blog ini 17 September lalu. Semuanya gara-gara sambutan aidilfitri. Jika difikirkan, sambutan hari raya kini tak semeriah zaman kecil-kecil dulu. Banyak sangat perbezaannya, lantaran perubahan suasana dan cara hidup masyarakat kita hari ini.

Kuih raya dahulu, cukup dengan ketupat, lemang, bahulu, kuih bakar dan semperit. Itupun di'bikin' sendiri oleh ibu-ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Hari ini, kuasa beli wanita bekerja semakin besar. Masa menghasilkan kuih raya terhad. Lebih mudah untuk kaum ibu hari ini mendapatkan biskut atau 'kuih tunjuk'. Biksut raya pula pelbagai jenis. Biskut moden mengambil tempat, tetapi yang lama tetap sinonim dengan suasana raya.

Kalau dahulu, kanak-kanak tanpa segan silu mengunjungi rumah jiran tetangga atau saudara mara. Kunjungan pun bukan sendirian, sebaliknya dengan kumpulan, semata-mata ingin dapatkan 'duit raya'. Dalam kunjungan itu, dapatlah tuan rumah mengenali si polan anak siapa, dan berbual mesra sambil memberi sedekah berupa siling 20 sen atau 30 sen, tetapi sudah cukup menggembirakan kanak-kanak tadi. Hari ini, kelibat kanak-kanak seperti itu sukar ditemui. Lebih ramai yang suka bersantai di depan TV, menonton rancangan hiburan yang ditayangkan sepanjang hari. Budaya kunjung mengunjung musim raya sudah semakin dipinggirkan. Jika ada pun, mereka datang bersama ibu bapa. Lebih ramai yang suka merencana program dengan rakan sebaya seperti merempit dan berfoya-foya tak tentu hala.

Memasang pelita panjut pun, kini sudah diganti dengan lampu moden yang lebih cangggih dan berseri. Dahulu, kita sanggup menebang buluh, mencari tin susu untuk dijadikan pelita panjut Malam Tujuh Likur.  Ketika itu, minyak tanah mudah sangat dibeli. Hari ini, minyak diesel jadi pengganti, manakala minyak tanah sukar dicari.
Mercun dan bunga api kini semakin canggih dan berbahaya, berbanding dahulu. Remaja yang tersalah catur, menyebabkan hilang jari. Agaknya anak remaja kita hari ini semakin kreatif merosakkan diri?

Perubahan-perubahan ini menjadikan raya tidak lebih daripada ritual adat yang tidak lebih daripada itu. Semangat aidilfitri semakin pudar dimakan zaman. Akhirnya, anak-anak akan datang meraikan aidilfitri sebagai waktu balik kampung dan majlis makan-makan sahaja.

Salam aidilfitri. Jangan lupa puasa 6 hari dalam bulan Syawal, sebab dalam satu hadis Nabi, orang yang berpuasa sebulan Ramadhan dan ditambah 6 hari dalam bulan Syawal, ia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

4 comments:

  1. bezanya hari ini..
    budak2 suka lagi suka layan TV dari ' jalan2 cari duit ' ....
    dan sekarang : duit syiling tak mainlah.....

    kueh - sama aja dimana.
    nak jumpa kueh lama....susah....

    semuanya dah berubah..

    ReplyDelete
  2. saya masih bawa anak-anak bersama-sama ke rumah kaum kerabat. Budaya yang diterapkan oleh bapa setiap kali berhari raya.

    ReplyDelete
  3. Bro Jinggo,

    Memang raya semakin berubah. Pengisiannya juga tak sama macam dulu.

    Dalam masa 10 tahun lagi, raya hanya ritual adat yang perlu disempurnakan.

    Tiada lagi tradisi kunjung mengunjung. Tiada lagi panjut dan salam.

    Tak seronoknya raya masa itu.

    ReplyDelete
  4. Pokli, baguslah begitu.

    Saya pun sebolehnya bawa juga anak-anak, suruh salam, sebab kalau tidak dipaksa, ia takkan jadi tabiat setelah dewasa.

    Sama-samalah kita pertahankan agar anak-anak kita memahami konsep tersirat di sebalik sambutan raya.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan