Sunday, November 28, 2010

Rosli Churalia.. Alfatihah Untuknya.

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semasa di tingkatan 5, saya tinggal di asrama untuk menyediakan diri dengan SPM. Di situlah saya mengenali Rosli Mat Johan, seorang yang agak kelakar. Susuk tubuhnya kurus tinggi, berambut kerinting dan kulitnya agak cerah. Dia suka berlawak, dan kerap menyebabkan kami ketawa. Apabila dia berada di sisi kami, pasti ada lawaknya yang menceriakan suasana.


Kami menggelarnya 'Li Churalia' sebab dia suka sangat menyanyikan lagu Hindustan dan menghafal sebahagian daripada liriknya. Kalau dia salah menyebutnya, siapa yang tahu lirik lagu itu. Itulah sebabnya dia tidak kisah akan sebutannya, betul atau salah.

Tiga minggu sebelum kematiannya, dia mengadu sakit kepala. Saban hari dia makan Panadol dengan jumlah yang agak banyak juga. Kami pelik dengan sikapnya, tapi dia menjelaskan kepalanya sangat sakit. Ketika itu, dia sudah kurang berlawak. Kami sendiri simpati dengan kesakitannya. Adakalanya, dia tidur lebih awal daripada orang lain.

                                                       Berposing ketika di kelas prep

Sangkaan kami sakit kepala itu bersifat sementara, rupanya tidak. Makan Panadol pun, masih tak hilangkan sakitnya. Dia mohon untuk balik kampung. Pada mulanya setiap Sabtu dan Ahad, tetapi akhirnya hampir dua minggu dia tidak kembali ke asrama. Khabarnya, dia berubat cara kampung dan berselang dengan janji temu bersama doktor pakar di Hospital Taiping.

Ketika berada di kelas, kami mendapat perkhabaran yang sahabat kami, Li Churalia meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam kepala. Patutlah dia asyik mengadu sakit kepala. Pihak warden menyediakan sebuah bas untuk kami menziarahinya buat kali terakhir di Kampung Baru 3, Segari. Saya dan rakan lain sempat bertemu dengan Li ketika di perkuburan, tanpa nyanyian sumbang dan gelak ketawanya. Ketika itu jasadnya sudah dibaluti kafan.

Sudah hampir 22 tahun peristiwa itu berlaku, tapi ingatan kami terhadap arwah Li Churalia masih segar.
Moga Allah merahmati rohnya.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...