Monday, June 27, 2011

Tangan Tersembunyi Di Sebalik Perhimpunan BERSIH 2.0?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semakin hampir ke tarikh 9 Julai 2011, pergerakan ke arah merealisasikannya telah dilaksanakan. Bagaimanapun, belum sempat tindakan seterusnya diambil, polis telah menahan 31 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S Jayakumar Devaraj selepas menemui bahan mengandungi unsur komunis dan penentangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, dalam bas yang mereka naiki, di Plaza Tol Sungai Dua, petang kelmarin.

Menurut sumber, antara yang ditemui adalah 28 helai pakaian warna hitam dan merah tertera nama dan gambar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), iaitu Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah serta gambar tokoh komunis Argentina, Ernesto ‘Che’ Guevara atau dikenali sebagai El Che.

Polis turut menemui kira-kira 7,000 risalah PSM dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil yang bertulis ‘Udahlah tu... Cukup 54 tahun, bersaralah’, 600 risalah berkaitan perhimpunan haram 9 Julai, 25 naskhah sosialis termasuk 15 naskhah berbahasa Tamil, satu set pembesar suara mudah alih, 15 bendera PSM, sembilan helai baju T tertera tulisan ‘Serangan Neo Liberal Rakyat Terus Sengsara’ dan lapan helai baju T tertera tulisan ‘Anti Capitalism’.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Jaafar, ketika memaklumkan penemuan itu pada sidang media di sini, semalam, berkata, tiada senjata berbahaya ditemui dalam bas berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati bahan yang ditemui bersama kumpulan itu sangat serius serta boleh menggugat keselamatan negara dan berikutan itu, siasatan dibuat mengikuti Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu cuba melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kita melihat usaha kumpulan ini membawa ke arah penentangan dan peperangan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Abd Rahim berkata, pihaknya mendapat maklumat ada rombongan dalam sebuah bas dari Sungai Petani, Kedah ke Pulau Pinang dipercayai cuba menghasut orang ramai untuk membenci kerajaan dan membawa senjata berbahaya.

Sementara itu, Mahkamah Sesyen Butterworth menetapkan tempoh reman tujuh hari sehingga 7 Julai terhadap 30 ahli PSM terbabit, termasuk Jayakumar.

Majistret Amernudin Ahmad membenarkan mereka ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu cuba melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka diwakili peguam Karen Lai, A Chandra Segaran, Rowena Nair, Sukhindarpal Singh, Agatha Foo, Joshua Narendren dan Benjamin Sathyanandam.

Karen berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan mengkaji semula siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi kerana tiada sebarang senjata berbahaya ditemui.


Perhimpunan BERSIH dianjurkan oleh NGO yang menganggap SPR tidak telus. Mereka bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran dengan menjadikan orang Melayu sebagai aset utama yang dapat membarisi perhimpunan berkenaan. 
 
Jika melibatkan gerakan subversif seperti tokoh komunis dijadikan idola, ada wajarnya orang Melayu memikirkan kembali natijah di sebalik perhimpunan ini. Ramai tentera kita mati berjuang mempertahankan negara daripada ancaman komunis pada tahun awal kemerdekaan. Ketika pemerintahan Bintang Tiga selama 14 hari selepas Jepun menyerah kalah, bukan sedikit pemuda Melayu yang disembelih, termasuk datuk saudara mak saya di Kg Bharu, Lumut dahulu.

PAS tidak wajar menjadikan ini sebagai agenda parti. Ia merosakkan kredibiliti PAS dalam kalangan orang Melayu kelak.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...