Monday, August 1, 2011

Renungan Ramadhan 1

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dari Zuhri, Sai dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda; Masa (kiamat) akan semakin dekat , ilmu akan semakin berkurang, akan tinggal orang-orang yang bakhil (kedekut) fitnah akan muncul, kerosakan (alam) semakin banyak. Lalu ditanya oleh sahabat, apakah kerosakan itu? Lalu dijawab oleh baginda, peperangan, peperangan.

Berdasarkan intipati hadis di atas, kita harus menerima hakikat bahawa dunia kita semakin menghampiri akhir zaman. dan kiamat pasti berlaku. Cuma masanya bukanlah esok lusa. Nabi menjelaskan bahawa orang yang berilmu semakin sedikit. Jika ada pun, ilmuwan tersebut tidak dapat menggunakan ilmunya untuk kesejahteraan masyarakat. Lebih buruk lagi, ilmu dijadikan barang dagangan dan simbol status kedudukan semata-mata.Hari ini, masyarakat lebih pantas melihat siapa yang bercakap, bukan inti percakapannya yang diutamakan. Justeru, pandangan golongan marhaen kurang ditonjolkan berbanding ahli politik dan golongan berkepentingan. 

Selain itu, dinyatakan juga golongan kedekut semakin bercambah. Hari ini, kedekut bukan ditafsir untuk harta kekayaan sahaja, sebaliknya ia lebih menyeluruh. Semakin ramai ahli masyarakat hilang sifat untuk menderma darah, atau menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong dan seumpamanya. Itu juga sebenarnya adalah sifat kedekut yang harus diketepikan.

Seterusnya, nabi juga menegaskan tentang fitnah akan tersebar pada akhir zaman. Hakikatnya fitnah sudah jadi mainan pada bibir manusia yang tidak mengira dosa dan pahala. Walaupun fitnah lebih buruk daripada membunuh, ia semakin menjadi amalan dalam masyarakat.

Kerosakan alam yang berlaku kini semakin menakutkan. Pemanasan global, kesan rumah hijau, pencairan kutub, semuanya gara-gara hasil tindakan manusia atas nama kemajuan. Buruk akibatnya, apabila alam diteroka secara ganas. 

Akhirnya, kita wajar menilai kembali tindakan kita. Adakah apa yang dinyatakan oleh Nabi itu realiti masa kini? Jika ya, kitalah umat yang rugi sebenarnya.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...