Wednesday, April 20, 2011

Pengunjung Setia Masjid An-Nasriyah

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

"Allahuakbar!" Dia mengajuk imam dengan suara kelakar.
Entah siapa namanya, di mana tinggalnya, aku tak tahu. Yang pasti, setiap kali aku ke masjid ini, dia sering berada bersama jemaah untuk solat. Susuk badannya kini agak gempal berbanding dahulu. Kata orang, dia cacat sejak kecil. Cacatnya tak kelihatan pada mata kasar, tapi perangainya kebudak-budakan.
Kerap juga dia menyaringkan suara, sehingga hampir-hampir mengganggu solat para jemaah. Tapi setakat ini, dia tidak bersikap kasar. Hari ini dia berkaca mata, nampak bergaya. Hampir tergelak aku melihat wajahnya dengan spek tersebut. Ironinya, dia cuba bersalam dengan jemaah lain selepas solat. Bagi jemaah yang memahami, mereka menerima salamnya bersahaja. Tapi bagi yang tidak pernah bertemu dengannya, mungkin berasa sedikit cuak dengan sikap 'ramah'nya itu.
Pernah satu ketika, ketika menyusun kasut pengunjung masjid, dia dibelasah kerana salah faham. Dia dianggap cuba mencuri kasut jemaah. Hari ini, dia masih setia menyusun kasut para jemaah yang singgah menunaikan solat di masjid ini.
Selesai solat, kubawa anak-anak kembali ke kereta.
"Baba, tengok kasut kita, dah disusun."  anakku menunjuk ke arah kasut dan selipar yang tersusun kemas.
Kami memandang sekeliling masjid.
Tidak jauh dari tangga masjid, kelihatan kelibat seorang lelaki tersengih ke arah kami.
Aku membalas dengan senyuman.
Terima kasih, getus hatiku.

Tuesday, April 12, 2011

Guru Ditumbuk Hidung, Murid Dibelasah Hingga Mati.

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kisah seorang murid berusia 7 tahun dibelasah hingga koma, dan akhirnya menemui ajalnya, cukup menyebabkan masyarakat marah. Mana mungkin, seorang guru (yang juga penyelia) boleh bertindak keterlaluan sehingga mengambil nyawa seorang kanak-kanak yang baru mengenal erti hidup. Walau apa pun alasannya, saya bersependapat dengan majoriti ahli masyarakat yang tidak setuju dengan tindakan guru berkenaan. 

Kini guru tersebut di tahan reman dan bakal dibicarakan. Persoalannya, layakkah dia digelar guru? Bukankah dia sudah menjatuhkan martabat dan profesion mulia ini?

Kisah kedua, berlaku di Perlis juga. Seorang samseng baru berusia 14 tahun, menunjukkan kegagahan dengan membelasah guru wanita sehingga patah hidungnya. Guru tersebut dikatakan cuba meleraikan suspek yang sedang membuli seorang pelajar lain. Suspek tersebut kemudian ditahan reman dan dijamin RM3000 sebelum kesnya dipanjangkan. 

Dua kisah ini tidak berlaku di Afrika. Bukan berlaku di Amerika, tetapi di negara kita. Apa sebenarnya yang berlaku dalam sistem pendidikan kita? Bukankah kedua-dua pihak, guru dan murid saling memerlukan? Ironinya, seorang insan tidak bergelar guru, jika tiada murid. Jika tidak menghormati guru, ilmu yang kita pelajari tidak mendapat keberkatan.

 

Thursday, April 7, 2011

Kisah Atendan Pam Bujang Tua

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Aku sering mengisi minyak kenderaan di sebuah stesen minyak berdekatan. Kali pertama menemuinya, aku pasti, dia adalah Pozi, rakan sekampung yang sudah menginjak 40 tahun.

Kami pernah sama-sama mengikuti perkhemahan sekolah rendah. Kami sama-sama di'halau' oleh Kem Komandan atas sebab tidak layak mengikuti perkhemahan tersebut. Mengingati kisah tersebut, kami ketawa bersama. Kenangan itu kami simpan sebagai tanda kami pernah melalui pengalaman pahit.

Dia kini agak botak, raut wajahnya menampakkan kesusahan hidup. Wajahnya kusam, berkerut di sana sini. Kulit tangannya keras membuktikan banyak kerja berat yang dibuatnya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Dia tidak punya apa-apa untuk dia banggakan.Tiada isteri, anak atau harta. Masih menumpang emak. Emaknya pula tinggal bersama ayah tirinya. Selalu dia meluahkan kisah malangnya apabila kami bertemu di stesen ini. Aku pula senang menjadi pendengar keluhannya.
"Kau ada kereta, aku tak ada apa pun." katanya.
"Jangan melihat kereta sebagai ukuran. Kereta dah jadi keperluan sekarang ni."
Tapi, tengoklah kau," katanya lagi.
"Kau ada kerja. Jadi cikgu. Kau dihormati. Anak murid kau ramai. Jumpa di mana-mana pun, kau dikenali."
Dia diam sambil merenung pelanggan yang datang dan pergi dari stesen minyak.
"Besar kedudukan, besarlah tanggungjawab dan harapan masyarakat." perlahan aku menyusun kata.
"Kau masih ada sesuatu untuk dibanggakan,"
"Ada? Apa yang aku ada? Kerja atendan pam minyak, setaraf Bangladesh yang datang cari rezeki di sini," katanya merenung jauh.
Aku menanti dia meluahkan rasa terbuku di hatinya. 
"Kau masih ada maruah, harga diri. Kau tak meminta-minta. Kau bukan perompak. Kau ada kerja halal."
Dia senyum kelat sambil matanya terpaku ke arahku.
Entah apa makna senyumannya, hanya dia yang tahu.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...